Ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang dilahirkan sihat dan mampu bermain dengan anak-anak lain, tiba-tiba disahkan mendapat penyakit genetik. Semua itu sudah mula dirasai oleh Puan Zainab Awang Draman, 59 tahun setelah diberitahu sendiri oleh anaknya ketika berusia belasan tahun.

Bercerita lebih lanjut, penulis dapat menemubual dengan Puan Zainab atau dipanggil Kak Nab melalui panggilan telefon sahaja memandangkan dia sekeluarga tinggal di Kg Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.

Kata Kak Nab, anak-anaknya sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Tetapi, apabila mereka meningkat dewasa iaitu berusia dalam belasan tahun, barulah menyedari timbul benjolan pada lengan anak sulungnya.

“Semasa mengandungkan mereka, saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah, semuanya normal. Apabila anak sulung memasuki sekolah menengah, dia ada memberitahu saya tentang benjolan yang tumbuh di lengannya.

“Barulah saya terfikir, mungkin benjolan atau masalah ini ada kaitan dengan arwah suami. Ini kerana arwah ayah mereka turut mengalami masalah yang sama, terdapat benjolan pada badan dan wajah.

Mula Alami Masalah

Bagi mendapatkan pengesahan tentang masalah ini, Kak Nab membawa anaknya ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Apa yang diberitahu oleh doktor, anak saya ini menghidap penyakit genetik daripada arwah ayahnya yang dipanggil Neufebromatosis. Doktor turut memberitahu penyakit ini tiada ubat dan benjolan itu tidak menimbulkan rasa sakit,” kata Kak Nab panjang lebar.

Ulas Kak Nab, sepanjang masa itu, anak-anak tidak mengalami sebarang masalah dan aktiviti harian berjalan seperti biasa. Cuma, benjolan itu semakin hari akan tumbuh semakin banyak dan mengambil masa untuk membesar.

IKLAN

“Namun, lebih memilukan apabila anak sulung yang dahulu belajar di Institut Latihan Perindustrian di Terengganu pada tahun 2013, tiba-tiba tidak boleh berjalan seperti biasa. Mujurlah dia sempat menghabiskan pelajarannya di situ dan terpaksa di bawa pulang. Kiranya, sudah masuk tujuh tahun anak sulung saya tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda,” cerita Kak Nab tentang anak sulungnya, Muhammad Farhan Naim, 31 tahun.

Bercerita tentang anak keduanya pula, Muhammad Furizad, 29 tahun pula, sebelum ini dia berkerja di sebuah kilang terletak di Shah Alam, Selangor.

“Pada bulan Februari 2019, dia terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung. Waktu itu, saya sudah nampak kelainan pada setiap langkah dia berjalan. Semakin hari, dia tidak mampu berdiri dan apabila melakukan pembedahan, dia hanya mampu terlantar,” katanya yang kini kaki Furizad semakin membengkok.

Ibu Tunggal Jaga Tiga Orang Anak Hidap Penyakit Genetik Neufebromatosis

IKLAN

Ketumbuhan Pada Saraf

Memandangkan dua anak lelaki Kak Nab mempunyai masalah kesihatan bukan hanya penyakit genetik tetapi turut menyebabkan mereka tidak boleh berjalan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati ketumbuhan/benjolan itu bukan hanya pada kulit luaran tetapi pada bahagian dalam leher sehinggakan menekan saraf menyebabkan mereka tidak mampu berjalan. Pembedahan untuk membuang ketumbuhan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah penyakit lain pula yang timbul.

Berkampung Di Hospital

Bayangkan semasa Furizad ditahan di hospital selama tiga bulan lebih, Kak Nab hanya balik ke rumah sebanyak dua kali sahaja. Anak-anak yang lain terutamanya Farhan dan adiknya terpaksa diletakkan di bawah jagaan ibunya yang sudah uzur.

Lebih menyedihkan, semasa menjaga Furizad di hospital, anak perempuannya, Siti Sarah, 26 tahun mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke bahagian kecemasan akibat paru-paru berair.

IKLAN

Mahu tidak mahu, Kak Nab perlu bergilir-gilir menjaga anaknya. Seorang di Tingkat 7 dan Siti Sarah di Tingkat 2, Hospital Universiti Sains Malaysia. Buat masa sekarang, Siti Sarah turut mengalami penyakit genetik yang sama tetapi tidak seteruk abang-abangnya.

Harapkan Bantuan

Kini, ketiga-tiga adik beradik ini bergantung sepenuhnya kepada Kak Nab untuk menguruskan kehidupan harian.

Katanya lagi, jika sebelum ini dia mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarga namun selepas ketiga-tiga anaknya itu tidak mampu berdikari menyebabkan dia sukar untuk bekerja.

Tambah Kak Nab lagi, setiap bulan dia perlukan perbelanjaan sekitar RM1,000 untuk makanan, lampin pakai buang dan kos ulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan tiga beradik ini.

”Apa yang Kak Nab harapkan agar sentiasa diberi kesihatan pada diri untuk menjaga mereka dan dapat mengambil upah menjahit kembali. Malah, besar harapan saya supaya anak-anak kembali sihat seperti orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Ibu Tunggal Jaga Tiga Orang Anak Hidap Penyakit Genetik Neufebromatosis

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Zainab Awang Draman, Bank Simpanan Nasional (BSN) 03100-29-83414106-3.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI