Allahu.. sebaknya kisah ibu ini yang juga seorang peniaga kek. Allahyarham Mimi Sunarty Ederis, 42 disahkan meninggal dunia dalam kereta sementara menunggu anaknya keluar dari sekolah.
Ibu ini dikatakan berehat dan tertidur dalam kenderaan Proton Persona ketika mengambil anaknya, Syakir Anuar Jasli, 10 tahun di sekolah Kebangsaan (SK) Temin, Jerantut, Pehang.
Disahkan Meninggal Dunia Dalam Kereta
Bagaimanapun, kira-kira jam, 1.30 tengah hari ibu ini ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan itu. Orang awam mula menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai perubatan yang sampai di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan ibu itu sudah pun meninggal dunia.
Sementara rakan mangsa, Norshidah Taib, 45 memaklumkan kepada pemberita, beliau sendiri terkejut dengan pemergian rakannya secara tiba-tiba itu.
Ads
Maklumnya, dari jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, dia masih meluangkan masa dengan sahabatnya. Mereka sempat berbual ketika menghadiri mesyuarat Amanah Ikhtiar Cawangan Jerantut hari ini.
Tapi tak menyangka yang detik itu adalah pertemuan terakhir mereka.
Ads
Arwah Mahu Ambil Anak Di Sekolah
Beliau juga agak terkilan kerana tidak dapat bergambar kenangan dengan Mimi selepas mesyuarat. Kerana maklumnya arwah ingin mengambil anaknya di sekolah.
“Arwah seorang peniaga kek dan roti. Malah dia baru membuat pinjaman RM10,000 melalui Amanah Ikhtiar untuk mengembangkan perniagaan.”
Ads
Allahyarham Tinggalkan Dua Anak..
Allahyarham Mimi meninggalkan dua orang anak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi, Jerantut selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan.
Kata Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian. Dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
MW : Semoga Allahyarham Mimi Sunarty ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan kedua anak arwah tabah menghadapi ujian getir ini.
Beratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).
Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.
Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.
RAHSIA.
Assalamualaikum..
Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.
Anak sulung saya, namanya Naim. Kini berusia 6 tahun.
Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.
[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]
Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.
Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.
Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..
Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.
Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.
Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.
Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.
Antaranya:
1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan. 2- Tidak tahu bermain olok-olok. 3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan. 4- Tidak bermain dengan rakan sebaya. 5- Tiada hubungan mata. 6- Suka memutar objek. 7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa. 8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan. 9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.
Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!
Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:
1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan). 2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu). 3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya. 4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan. 5- Boleh menguruskan diri sendiri. 6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.
Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.
“Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”
Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.
Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.
Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,
Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.
Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.
Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..
Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”
Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.
Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.
Semoga lebih ramai yang cakna.
Kawan-kawan, Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.
Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?
Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.
Kawan-kawan, Simpati. Empati. Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna. Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.
MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.
Kuss semangat mengucap panjang melihat keadaan rumah ini. Dapat rasakan sengsaranya hidup berjiran bersebelahan dengan rumah tersebut. Kediaman dihuni tidak ubah seperti pusat kitar semula dengan pelbagai barang terbuang memenuhi setiap ruang hingga ada yang melimpah keluar ke pekarangan rumah.Belum campur bau busuk dan risiko binatang serta serangga yang mungkin menyinggah seperti tikus, ular dan lipas.
Pemandangan menyakitkan mata kediaman di Jalan Melati 5, Taman Dusun Setia di sini, juga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan jiran.
Difahamkan, rumah berkenaan didiami suami isteri bekerja sebagai pengutip barangan terbuang. Sejak setahun lalu jumlah barangan dikumpul semakin bertambah hingga menyebabkan ada yang diletakkan di atas bumbung sekali gus menimbulkan rasa pelik dalam kalangan orang luar melalui kawasan itu.
Barangan terpakai seperti tong plastik, tilam buruk, besi dan kotak memenuhi segenap ruang rumah berkenaan.
Ketika tinjauan dilakukan, lelaki menghuni kediaman itu dipercayai keluar mencari barang terpakai.Malah jiran menasihatkan wartawan agar tidak mengganggu lelaki berkenaan berikutan dia didakwa sebagai panas baran dan tidak mempedulikan nasihat mereka sebelum ini.
Penduduk taman itu, Nordin Hasan, 71, berkata, dia dan isterinya Azmah Laili, 67, antara paling terjejas berikutan tinggal bersebelahan dengan kediaman pasangan terbabit.
Nordin mendakwa sudah beberapa kali menegur lelaki berkenaan, malah jirannya itu juga tidak mempedulikan nasihatnya selain memarahi mana-mana pihak mahu menghalang aktivitinya.
“Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa memandangkan kami hidup dalam satu komuniti, jadi kena melalui semua ini setiap hari.
“Jumlah barangan dikumpul memang banyak, saya risau kalau berlaku kebakaran lelaki berkenaan dan isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit akan terperangkap dalam kediaman mereka,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi jiran yang mahu dikenali sebagai Tan, 30-an, mendakwa sudah beberapa kali barangan diletakkan lelaki terbabit diatas bumbung jatuh ke dalam kawasan rumahnya.
“Bila ditegur dia marah. Dengan jumlah barang terpakai yang banyak macam ini pasti mengundang haiwan dan serangga seperti ular, tikus dan lipas.
“Sebagai jiran saya kesal dengan perbuatan lelaki terbabit, tetapi dia tidak boleh ditegur,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Nor Mursyidah Chik berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dan mengadakan lawatan ke rumah terbabit pada 12 September lalu.
“Benar kediaman itu dipenuhi barang kitar semula hingga melimpah ke jalan. Sehubungan itu, tindakan serta-merta diambil Jabatan Pelesenan Pembersihan MPS.
“Lelaki itu dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen (kitar semula) mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred 1996,” katanya.
MW:Hidup bermasyarakat kena ada toleransi dan perlu pentingkan keselesaan jiran-jiran. Apatah lagi tinggal dalam kawasan komuniti yang sama. Jangan kerana pentingkan diri sendiri, perkara yang dianggap kecil, boleh buat kan jiran tak selesa dan bermasam muka pula.
Rata-rata warga Twitter hari ini merayu agar Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali mengaktifkan akaun twitter Che Minah Sayang yang sudahpun dinyahaktifkan di laman sosial.
Akaun twitter peribadi Tunku Azizah ini begitu dekat di hati rakyat. Di ruangan sosial media itulah baginda berkongsi pandangan peribadi, aktiviti malah kerja-kerja kebajikan yang mendekatkannya dengan rakyat yang begitu kasih dan mengikuti setiap perkembangan baginda.
Banyak kenangan manis dan lucu dirakamkan dalam twitter Raja Permaisuri Agong, @cheminahsayang.
Bagaimana pun, hari ini akaun itu telah dipadamkan.
Carian hashtag #AmpunTuanku dan #Permaisuri Agong menjadi trending di laman twitter. Yang rata-rata mahukan Raja Permaisuri Agong kembali aktif berkongsi aktiviti baginda.
Tentunya kita semua akan merindui perkongsian fesyen busana Tunku Azizah yang indah-indah, cerita kucing comel Ku Comel dan Ku Jeling malah rindukan tweet-tweet baginda yang ramah bergurau dengan rakyat yang mengikuti twitternya itu.
Menerusi perkongsian di twitter itulah rakyat mengenali sisi baik dan manis Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Malah, momen romantis suami isteri memikat hati rakyat, menjadikan baginda raja yang disayangi rakyat.
Sehingga hari ini, masih menjadi tanda tanya mengapa akaun twitter Raja Permaisuri Agong dinyakaktifkan. Bagaimana pun daripada cakap-cakap warga twitter, segalanya bermula apabila ada segelintir pemilik akaun twitter yang kurang senang dengan posting Tunku Azizah.
Sehinggakan mereka mengeluarkan komen-komen negatif tentang perkongsian baginda.
MW : Kami rindukan tweet dari Raja Permaisuri Agong. Semoga Tunku Azizah terbuka hati untuk kembali mengaktifkan semula akaun @cheminahsayang yang begitu dirindui rakyat jelata ketika ini. #AmpunTuanku
Sumber/Foto : twitter
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!