Hiburan

Ibu Khai Bahar meninggal dunia

Share

Ibu penyanyi Khai Bahar, Rosnah Muhammad meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pukul 10.40 malam tadi.

Khabar duka itu dimaklumkan pengurus penyanyi itu, Mohammed Rizal Mohammed Yasin menerusi satu perkongsian di Instagram.

Difahamkan penyanyi Luluh itu sedang bercuti di sebuah pulau. Usai menerima perkahabaran duka, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, dilihat memuat naik rakaman di media sosial yang menunjukkan dirinya dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Perlis. Khai menerusi rakaman itu menangis selain meninggalkan kapsyen ‘mak’ pada video berkenaan.

Dia sebelum ini memaklumkan kesihatan ibunya merosot akibat penyakit buah pinggang, masalah jantung dan paru-paru.

Allahyarham  Rosnah Muhammad baharu meraikan ulang tahun kelahiran ke-62 pada 25 Disember lalu, dilapor menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati.

Arwah mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu, pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas  mengalami masalah sesak nafas.

Terdahulu, Khai pernah memaklumkan mengenai keadaan kesihatan ibunya yang mengalami masalah daya ingatan sehingga tidak kenal diri sendiri setiap kali selesai menjalani rawatan dialisis.

Malah sejak setahun lalu, penyanyi kesayangan ramai itu kerap pulang ke kampung bergilir menjaga ibunya. Dimaklumkan, ibu Khai Bahar meninggal dunia dalam tidur.

Sembahyang jenazah telah disempurnakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar usai solat zuhur disusuli pengkebumian di Tanah Perkuburan Tok Paduka.

Al Fatihah.

IKLAN