
Sedang berpantang selama 15 hari selepas melahirkan anak kedua pada 2016 bukan penghalang untuk ibu anak tiga menghadiri temuduga dalam bidang kejuruteraan.
Kehebatan seorang wanita itu kini terbukti apabila Nur Ashikin Mohammad Arif, 41, berjaya menjawat jawatan penting sebagai Ketua Kejuruteraan, syarikat penerbangan Firefly.
Berpantang Selepas Lahirkan Anak Bukan Penghalang

Kongsi Nur Ashikin, ketika berpantang anak kedua di rumah keluarganya di Kedah, dia mendapat panggilan temuduga bagi jawatan Nominated Post Holder (NPH) yang diluluskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Subang Jaya.
Beliau berkata, walaupun ibunya banyak kali bertanyakan keputusannya itu, namun dia nekad menghadiri temuduga dan tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya apabila lulus proses berkenaan.
“Saya memberitahu sedang berpantang, namun kerana saya calon yang layak, mereka tetapi menerima saya dan memberi peluang memulakan tugas selepas tamat cuti berpantang.
“Saya bersyukur, ini membuktikan walaupun saya wanita berpantang, tetapi dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada ia bukan penghalang untuk berjaya.
“Sebenarnya, wanita juga boleh berjaya dalam dalam industri penerbangan yang biasanya didominasi lelaki kerana peluang dibuka luas asalkan kita layak dan rajin berusaha,” katanya.
Ibu Anak Tiga Berjaya Dalam Bidang Kejuruteraan

Pemilik Ijazah Kejuruteraan Elektrik itu berkata, kariernya bermula sebagai jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Lahad Datu, Sabah pada 2011 dan setiap hari perlu berdepan keadaan jalan kurang elok.
Selain itu, katanya, jika perlu ke mana-mana akan mengambil masa lama kerana jarak jauh, yang membuatkan dia terfikir berapa lama dia boleh bekerja di Lahad Datu.
“Kebetulan ketika itu saya mendapat tahu Firefly menawarkan pekerjaan jurutera dan saya memohon hingga berjaya bekerja di Firefly yang kini sudah 15 tahun.

“Seawal kerjaya, ada yang meragui keupayaan saya sehingga berkata mahu melihat sejauh mana saya mampu bertahan, tetapi kini saya berjaya buktikan berjaya sehingga ke tahap ini.
“Jadi kepada wanita, jangan takut kerana yang penting adalah pengetahuan dan keberanian,” katanya yang bersyukur suaminya bertugas sebagai juruterbang sering memberikan sokongan.
Jadi dia berharap wanita yang mahu menjadi jurutera supaya meneruskan usaha sehingga berjaya. Ya, memang bidang penerbangan banyak didominasi lelaki, tetapi wanita boleh berjaya sehingga menjadi pemimpin.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




