
Pesanan buat para suami dan golongan ayah, rajin-rajinlah bantu isteri tukar lampin anak sejak dari kecil. Ia juga salah satu bentuk interaksi yang boleh menjalin hubungan diantara ayah dan anak. Malah apabila hubungan ini telah terjalin, ia sebenarnya memudahkan lagi tugas mendisiplinkan anak-anak. Mereka menjadi lebih mudah mendengar kata berbanding hanya mengharapkan isteri atau ibu sahaja yang menukarkan lampin.
Baca perkongsian Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy ini;
Tahukah anda perhubungan yang rapat antara ayah dan anak boleh dibina dengan hanya menukar lampin anak sejak hari pertama anak lahir?
3 tahun pertama kehidupan seorang anak adalah waktu kritikal di mana ‘attachment’ sangat diperlukan. ‘Attachment’ inilah yang akan membina rasa percaya (trust) dan hubungan yang rapat (connection) yang berpanjangan (insya Allah) antara ayah/ibu dan bayi.
Ketika 3 tahun pertama, anak memerlukan lebih kurang 5000 kali pertukaran lampin. Jika seorang ayah menukar lampin hanya 20% kali sekalipun, itu sudah memberi 1000 peluang untuk ayah ‘bond’ dan berinteraksi dengan anak. Ayah perlu mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian bayi untuk menukar lampinnya dan bayi pula selalunya terhibur dengan gurauan ayah ketika berinteraksi.
Disiplinkan Anak Jadi Lebih Mudah
Interaksi yang dibina dari peringkat awal inilah juga yang menjadikan tugas mendisiplinkan anak lebih mudah kerana ‘connection’ telah pun terbina.
Jika menukar lampin pun tidak mahu dilakukan, bagaimana ayah hendak memainkan peranan sebagai pembimbing tingkah laku anak?
Easy peasy.
Syabas saya ucapkan kepada semua ayah yang menukar lampin anak.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Baca Lagi Di Sini: Ayah Jadilah BFF Anak Perempuan, Sebelum Kepercayaannya Diambil Orang Lain
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat para suami dan golongan ayah yang dah biasa tukar lampin anak, tahniah. Teruskan ‘bonding’ ini, banyak kesannya pada anak-anak nanti terutama dari segi mendisiplinkan mereka.
Sumber: Parent Connect
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Duhai Penghuni Pertama Rahim Ibu, Kadang Ibu Terlupa Yang Kamu Masih Kecil…

Anak sulung lah penghuni pertama rahim setiap ibu di dunia ini. Hadirnya si sulung cukup dinanti. Kasih tertumpah sepenuh hati. Namun, bila hadirnya yang kedua ibu seakan terlupa. Sedangkan dari kejauhan si sulung memerhati.
Kasih ibunya sudah terbahagi. Makin lama dia menyepi, hatinya sunyi, cemburunya meninggi. Dan sekali lagi ibu tidak sedar.. terlupa yang anak sulungnya juga punya emosi. Mahu didakap seerat pelukan cinta untuk anak kedua.
Perkongsian Puan NurulAa Mustofa ibu tiga orang anak ini membuka ruang hati ibu-ibu lain menjadi lebih lembut dan mahu berdamai dengan anak sulung. Tulisannya penuh jiwa, sehingga mampu menggerakkan langkah ibu yang ada anak sulung.. mahu berlari mendakap anak sulungnya ketat-ketat.
Mahu ucapkan kata maaf.. kerana tanpa sedar ibu telah mengabaikan mu wahai penghuni pertama rahim ibu..

Duhai Sayang, Penghuni Pertama Rahim Ibu
Ingat lagi masa mula-mula doktor cakap ujian urin positif? Indahnya rasa. Nikmatnya rasa. Dia punya excited, Allah saja yang tahu. Dulu siap buat satu travel log. 1st kick, 1st scan, 3D 4D dan segalanya lah.
Bila anak dah keluar tak payah cerita laa. Every 5 minutes upload gambar kat FB. Hehe. Excited kan? Yaaa it happened to me too!
Dan sehingga tibanya si adik. Anak sulung tadi seakan dipaksa untuk membesar, memahami segala yang orang dewasa fahami, selesaikan masalah, kawal emosi sendiri, and the list goes on sedangkan masa tu dia baru berumur 2 tahun, setahun, setahun setengah.
Kakak kan dah besar. Abang kan dah ada adik. Seems familiar? Standard ayat nak salahkan si sulung, right away kalau adik tetiba nangis. Kadang-kadang memang adik yang kacau kakak, tapi sebab adik yang kecil, kakak lah yang tanggung beban tu.
Duhai sayang, penghuni pertama rahim ibu.. Kadang-kadang ibu terlupa kamu masih kecil, ibu marah suruh kamu bersabar sedangkan ibu sendiri tak sabar. Ibu mahu kamu fahami diri ibu, kesibukan ibu, kerja ibu.
Tapi sebenarnya ibu yang tak faham kesunyian kamu bila ibu bekerja, kesedihan kamu bila ibu lebih fokus pada adik-adik, kekecewaan kamu bila ibu acuh tak acuh dengar cerita kamu di tadika.
Tetapi seteruk mana pun ibu lakukan pada kamu, dalam sekelip mata kamu tetap boleh kembali tersenyum macam tak ada apa yang berlaku, kamu masih punya cerita yang banyak, kamu masih punya cinta yang sarat untuk ibu walaupun kadang-kadang cinta kamu itu tak terbalas oleh ibu.
Terlalu Banyak Hutang Ibu Pada Kamu
Kerap ibu rasakan ibu dan ayah lah yang akan membuatkan kamu bahagia, gembira, tapi ternyata kamu dan adik-adik yang selalu menghilangkan rasa gundah dan lelah di hati ibu setiap kali ibu tatap wajah tak berdosa kalian.
Perjalanan hidup ini sukar. Terlalu banyak hutang ibu pada kamu dan adik-adik. Terlalu banyak pengorbanan kamu untuk ibu dan ayah. Kamu korbankan emosi kamu bila ibu tak punya banyak masa untuk kamu berbanding adik-adik.
Bila ibu jadikan kamu sasaran untuk lepaskan marah kerana kamu dah ‘besar’.. Sedangkan bila nama kamu disebut-sebut kerana kejayaan kamu dalam pelajaran, ibu baru tersedar betapa tidak bersyukurnya ibu kepada Dia.

Sayangku Anak Sulung Ibu..
Maafkan segala khilaf ibu dan ayah dalam membesarkan kamu. Maafkan ibu, ibu dan ayah hanya manusia biasa yang selalu terlupa bahawa kamu suatu masa dahulu pernah menjadi kecil seperti adik-adik mu.
Ibu dan ayah selalu terlupa untuk kembali mengucup dan memelukmu sehangat kucupan dan pelukan yang ibu berikan buat adikmu.
Maafkan ibu, kerana ibu tahu selepas ini ibu akan terus menerus lakukan kesalahan lagi.
Buat adik-adik, janganlah dilupakan jasa dan pengorbanan si sulung itu. Kerana pengorbanan mereka sepanjang kita membesar tidak kurang hebatnya berbanding pengorbanan ibu dan ayah kita.
Buat anak sulung ibu dan anak sulung yang lain, semoga kalian sentiasa dirahmati Allah, semoga Allah jua yang membalas jasa kalian, pengorbanan kalian dan kasih sayang kalian kepada adik-adik.
Selamat Hari Lahir anak sulung ibu, Nawwar Irdina.. 5 years and still counting..
Sumber/Foto : Facebook NurulAa Mustofa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Macam Tu Je Keputusannya, Kata Anak Pensyarah’ Yang Tak Cemerlang Akademik Inilah Buat Ibu Ayah Bangga

Mulanya ibu ini tak dapat terima apabila anaknya yang seorang ini tak cemerlang akademik. Lagi-lagi, beliau dan suami, masing-masing bergelar pendidik.
Resah hati ibu makin berganda-ganda apabila anak yang semakin membesar memilih ke sekolah vokasional. Bagaimana nanti masa depan anaknya? Selepas melalui satu peristiwa, Allah membuka ruang hati ibu ayah ini untuk melihat kebesaranNya.
Inilah pengalaman yang dikongsikan ibu bernama Ezatul Marini tentang anaknya yang bernama Syamil. Sayu di hujung cerita buat kita lebih sedar setiap anak itu Allah ciptakan dengan anugerah istimewa dalam diri mereka.
Allah Lebih Tahu
“Ishhh, takkan macam itu je keputusannya? Kata anak pensyarah, anak cikgu.”
“Hai takkan mak ajar English, ayah ajar Matematik, anak tak boleh score dua subjek ni?”
Biasa. Dah terlampau selalu dan biasa kami dihenyak dengan terjahan sebegitu. Bukan sekali dua juga kami disindir perli dek kerana tidak direzekikan anak yang cemerlang akademik.
Syamil, sebaik pandai bertutur sudah saya sediakan dengan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Tidak lupa juga asas ilmu agama yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk diajarkan kepada anak-anak.
Namun, segalanya seolah tidak menurut perancangan asal kami. Syamil tidak berkembang menjadi anak yang bijak, pencapaian akademiknya hanya sederhana.
Beliau selalu diletakkan di kelas kedua hujung kalaupun tidak di kelas paling belakang. Saya tidak dapat membayangkan apa perasaan Abahnya bila terpaksa menelan perasaan terkilan kala menerima keputusan UPSR yang diumumkan.
Biarpun tidak berkata apa-apa, dari riak wajahnya saya pasti sang Abah menyimpan rasa kecewa namun berjaya disorokkan dengan terus-terusan memberi semangat dan dorongan kepada si anak.
Berbeza sekali dengan saya yang menangis hiba hingga tidak mampu memandang wajah anak dek rasa sedih dan terkilan. Bertubi-tubi saya mengasak anak yang tentu sekali juga sedang sedih dengan pertanyaan dan kecaman yang bila difikirkan semula tidak sepatutnya saya hamburkan sama sekali kepadanya.
Tamparan, ‘Kepandaian Itu Bukan Boleh Diwariskan’
“Rupanya untuk reda itu tidak mudah sama sekali. Meminta orang untuk reda dan sabar itu sangat mudah tetapi bila ia terjadi kepada diri sendiri…nyata sebaliknya”
Seorang rakan baik memujuk saya yang akhirnya sudah mula mampu menerima tamparan pertama cabaran “kepandaian itu bukan boleh diwariskan”.
Melepasi pendidikan menengah rendah, Syamil masih menunjukkan prestasi yang sederhana. Namun, anak ini ada kelebihan dalam bidang sukan, kepimpinan dan beliau menyerlah dalam aktiviti kokurikulum hingga mampu mewakili sekolah dan daerah.
Anak ini juga punya daya tarikan paling istimewa…beliau tertib dan beradab.
Kejamnya saya sebagai ibu, saya masih belum mampu mengiktiraf kebolehannya yang bukan berasaskan pencapaian akademik. Jarang saya menunjukkan sokongan pada sebarang pencapaian bukan akademiknya.
Pengumuman keputusan peperiksaan PT3 seolah menjadi tamparan kedua kepada kami. Harapan saya untuk menghantar Syamil ke sekolah yang lebih berprestij nyata buntu. Apalah ikhtiar saya untuk memberikan sokongan dan dorongan pada anak ini.
“Syamil nak minta masuk Kolej Vokasional, Abah”.
Abahnya sedikit tidak membantah malah dengan senang hati mengaturkan temujanji untuk berbincang dengan kaunselor sekolah si anak.
Kami maklum, Syamil sangat meminati bidang perikanan…dari kecil, apa sahaja yang ada kaitan dengan bidang itu amat disukainya.
Saya hanya menurut apabila beliau nyatakan keinginan memohon bidang Akuakultur di KV biarpun kurang pasti apakah prospek dan potensi bidang tersebut.
“KV? Ada masa depan ke tu kalau masuk ke situ?” Saya seolah hendak jeritkan pada mereka yang masih bertanya, sekiranya kami sebagai ibu bapa sedang mencuba sedaya upaya menyetujui dan menyokong, tidakkah mereka mampu untuk membantu kami dengan menunjukkan sokongan yang sama?
Edar Tempahan Ikan Keli Kepada Pelanggan
Hari ini, Syamil sudah di semester akhir Pengajian Diploma Akuakultur. Semasa cuti semester Disember 2017, beliau nyatakan hajat pada Abahnya.
“Abah boleh tak modalkan Syamil untuk beli tangki dan benih ikan keli? Syamil nak mula ternak ikan keli di rumah, besar nanti boleh jual”
Melihatkan semangatnya, kami bersetuju sumbangkan sedikit dana untuk beliau mulakan usaha kecilnya.
“Wah! Bagus Syamil, banyak ni ikannya. Kalau macam ni habis belajar nanti bolehlah mula ternak komersial” seronok benar dia bila Atok Baiknya memberi komen spontan semasa melawat kami pada penghujung Disember lalu.
Dan Alhamdulillah, pada petang 15 Ramadan lalu, dalam hujan lebat, Abahnya dan saya bantu mengedarkan tempahan ikan keli siap siang dan cuci hasil ternakan kecil-kecilan anak kami kepada rakan-rakan yang telah membuat pesanan.
Dengan ilmu dan kemahiran yang dikutipnya selama di kolej, dia mulakan usaha awal di rumah. Sesungguhnya di penghujung petang separuh Ramadan itu, sambil menantikan waktu berbuka, saya termenung panjang mengenangkan selama 2 tahun pengajian sijil dan lebih setahun pengajian diplomanya, saat ini memberikan saya rasa yang amat berlainan.
Hari ini Allah berikan saya peluang mengutip pengajaran dari setiap satu bentuk ujian yang telah dikirimkan melalui pengalaman anak kami.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
Terima Kasih Allah Atas Kurniaan Ini
Pada suatu masa dahulu saya pernah merasa teramat kecewa kerana anak yang seorang ini nyata tidak mampu untuk memenuhi apa sahaja impian dan perancangan saya mengenai dirinya, dan akhirnya saya terpaksa menerima untuk menitipkan beliau di ladang ilmu dan kemahiran yang tidak pernah tersenarai dalam institusi pilihan.
Anak ini juga mengajarkan saya tentang hakikat anak yang baik bukan diukur hanya pada kecerdasan minda. Pelik kan? Sebagai seorang guru seharusnya saya maklum tentang perkara itu. Ya, saya amat maklum namun jauh di sudut hati pada suatu masa dahulu masih tersemat ilusi tidak realistik tentang hakikat itu.
Hari ini saya melihat betapa bangga seorang Abah tatkala menghulurkan bungkusan ikan keli yang dipesan pembeli.
“Wahhh bagus Syamil, belum habis belajar tapi dah praktikkan apa yang dia belajar. Muda lagi dah ada minda usahawan”
Sesungguhnya dari senyum lebar sang Abah, saya pasti beliau amat berbangga. Terima kasih Allah, kurniakan kami pengajaran bermakna melalui anak ini.
Terima kasih anak, memberi Abah dan Ummi pengalaman belajar banyak ilmu hidup yang tidak dituliskan dalam mana-mana buku. Alhamdulillah…
Sumber/Foto : Ezatul Marini
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mulianya Hati Elyana, Dah Sebulan Ambil Anak Angkat Istimewa Hidap Sindrom Down

Mempunyai anak merupakan anugerah terindah. Apatah lagi anak-anak istimewa yang dijamin syurga. Namun demikian, bila memilih untuk mengambil anak angkat, tidak ramai yang sanggup menjaga anak istimewa seperti Sindrom Down.
Sebelum ini Elyana pernah menyuarakan hasrat hati untuk mengambil anak angkat, setelah dirinya tidak lagi boleh mengandung kerana komplikasi rawatan kanser yang dilalui.
Sindrom Down
Terbaru, mulianya hati penyanyi Elyana, disebalik menghidap kanser limfoma tahap 4, ibu kepada Cinta Sumayyah ini telah membuat keputusan menjaga dan mengambil anak angkat istimewa yang menghidap Sindrom Down.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31,mengakui telah mengambil seorang anak angkat lelaki penghidap sindrom Down yang diberikan nama ‘Tulus’ sejak sebulan yang lepas.
Elyana,31, yang sedang bertarung dengan kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu memberitahu berita tersebut menerusi laman Instagram semalam.
“Ya, ini anak saya cuma saya tidak melahirkannya.
“Kini umurnya genap sebulan 24 hari. Terima kasih atas doa-doa anda buat saya sekeluarga,” tulisnya menjawab soalan-soalan peminat di Insta Story.

Hasil perkahwinan Elyana bersama suami, Khairul Anuar Husin pada 2010 telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Cinta Sumayyah yang kini berusia tujuh tahun.
Terdahulu, penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu ini mengakui pernah hamil anak kedua namun terpaksa digugurkan kerana komplikasi penyakit kanser yang dihadapinya dikhuatiri akan membahayakan diri dan bayi yang dikandung.

MW: Tahniah buat Elyana kerana berani buat keputusan ambil anak angkat sindrom down. Semoga Elyana semakin sihat dan bayi membesar dengan sempurna, memberi kebahagiaan serta melimpahkan rezeki melimpah ruah buat keluarga.
Baca Disini:
“Pening, Mual, Lesu, Rasa Nak Muntah” Elyana Kongsi Perasaan Kesan Buat Rawatan Radioterapi
Sumber: Kosmo & ElyanaOfficial
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!



