Tiada siapa yang menduga, anak yang dikandung selama sembilan bulan 10 hari ini akan menerima ujian yang berat. Malah, ibu bapa mana yang sanggup melihat penderitaan si kecil ini. Sebolehnya, mereka cuba sedaya upaya berikhtiar agar si kecil ini sembuh seperti sedia kala dan dapat bermain bersama adik-beradiknya yang lain.
Sarah Nur Maryam Bt. Sulaiman, 9 bulan adalah anak ke enam bagi pasangan, Sulaiman Misri, 51 tahun dan Zuridah Sa’don, 42 tahun. Kehadirannya, cukup dinanti oleh adik beradik yang lain.
Boleh dikatakan sepanjang mengandungkan Maryam, Zuridah tidak mengalami sebarang masalah, sama seperti anak-anak yang lain. Pemeriksaan bulanan semasa mengandung juga mengikut tarikh yang diberikan.
Tanggal 9 Mac 2019, lahirlah si comel ini. Segalanya sempurna. Seperti anak-anak yang lain, Maryam telah dikesan mengalami masalah kuning semasa lahir. Bukan sekejap tetapi berlarutan.
Hasil pemeriksaan doktor, Maryam didapati menghidap penyakit Billery Atherisia (BA) yang mana tiada saluran hempedu ke hati semasa umurnya dua bulan.
Pembedahan Kasai
Menurut ayah Maryam, Sulaiman, bagi penyakit BA, tiada rawatan yang boleh diberikan selain daripada pembedahan. Saranan yang boleh doktor berikan adalah dengan membuat pembedahan kasai.
“Tidak mahu masalah ini berlarutan, kami menerima saranan doktor dan bersetuju untuk pembedahan kasai buat Maryam. Pembedahan itu berjaya dan untuk memastikan tahap kesihatan Maryam, dia perlu membuat rawatan susulan setiap minggu. Syukur dalam tempoh itu Maryam sihat seperti anak-anak yang lain,” terang Sulaiman.
Ads
Walau bagaimanapun, keindahan untuk melihat Maryam tersenyum tidak lama, apabila usianya memasuki enam bulan, Maryam mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat. Dia kurang minum susu, badannya agak lemah dan perut semakin membesar.
Apa yang boleh dilakukan oleh pasangan ini adalah dengan membawa Maryam berjumpa dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mengesahkan masalah yang dihadapi oleh Maryam.
“Hasil pemeriksaan doktor, hati Maryam telah rosak. Ini bermakna pembedahan kasai oleh Maryam tidak berjaya. Jalan terbaik adalah dengan melakukan pembedahan hati secepat yang mungkin,” katanya dengan nada sayu.
Perlukan Bantuan
Daripada apa yang diberitahu oleh pakar, kos rawatan untuk pembedahan hati memakan belanja yang besar iaitu kira-kira RM160,000.
Bagi pasangan ini, sumber pendapatan mereka sebagai pekerja kilang, mungkin tidak mencukupi dalam waktu terdekat. Bukan sahaja untuk kos rawatan, tetapi perbelanjaan anak-anak yang lain.
“Buat masa sekarang, kami berkampung di HKL untuk rawatan Maryam dan menunggu dana mencukupi bagi kos pembedahan hati,” katanya mengharapkan ada bantuan untuk anak kecilnya itu.
Ads
Sepanjang pemeriksaan dan rawatan Maryam, keluarga ini sanggup berulang alik dari Taman Rengit Indah, Johor ke HKL. Seminggu di HKL, Maryam ditemani setia oleh ibunya.
“Oleh kerana kos perjalanan dan rawatan ditanggung sendiri, saya hanya membawa seorang sahaja anak. Selebihnya dijaga oleh ibu mentua di Kg Parit Betak, Johor Bahru,” kata Sulaiman lagi.
Harapan Ibu Bapa
Tiada yang diharapkan oleh Sulaiman dan isterinya selain pembedahan Maryam dapat dilakukan secepat mungkin. Lebih-lebih lagi hati seorang ibu. Selagi hayat dikandung badan, Zuraidah sanggup lakukan apa sahaja dan berikan yang terbaik untuk anaknya.
Ads
“Kami tidak menyangka Maryam terpilih untuk dapat penyakit ini kerana anak-anak yang lain semuanya sihat. Walau bagaimanapun kami reda dengan Qada dan Qadar. Apa yang boleh saya lakukan, banyakkan berdoa dan pembedahan dapat berjalan dengan lancar,” katanya mengharapkan doa orang ramai juga.
Info daripada bapa saudaranya yang dikenali sebagai Ajie Jana, keadaan Maryam dari hari ke sehari agak lemah. Malah, sebelum membuat pembedahan, badan Maryam perlukan nutrisi untuk dia sihat.
Jadi, doktor perlu berikan albumin dan susu khas kepada Maryam bagi memastikan nutrisi badan Maryam meningkat dan barulah proses pembedahan dapat dijalankan dengan lancar.
Maklumat Tambahan:
*HKL telah menerima Maryam untuk menjalani pembedahan hati.
*Pesanan doktor sebelum dan selepas pembedahan
1)Nutrisi dalam badan Maryam perlu dalam keadaan baik (Contohnya, pengambilan makanan, kesihatan dan berat badan).
2)Perlu penjagaan rapi dan elakkan Maryam daripada dijangkiti kuman sebelum dan selepas pembedahan.
3)Memerlukan penderma hati yang sesuai untuk Maryam.
4)Bersedia daripada segi fizikal dan mental.
5)Memerlukan kos yang tinggi sebelum dan selepas pembedahan.
Maklumat Lanjut:
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi talian 0 13-716 6068 (Sulaiman Misri) dan 0 11-2671 5344 (Zuridah) atau menerusi akaun Maybank 15115574270 (Zuridah Sadon).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahu, 1 Ramadan yang disambut semalam negara dikejutkan dengan tragedi berdarah apabila tiga beradik kehilangan nyawa dan empat yang lain parah, gara-gara ditetak oleh seorang lelaki kurang siuman.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup, petang semalam.
Tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah bagaimanapun masih belum dikenal pasti. Mangsa yang maut merupakan Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke rumah didiami tiga mangsa dan ibunya. Jelasnya, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.
“Suspek dipercayai melibas parang ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.
“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.
Bersenjatakan Parang
“Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek yang berusia 37 tahun menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.
Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.
“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika dihubungi, berkata suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa.
“Sejak dua tiga hari lalu, dia kelihatan macam tidak berapa sihat dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.
Allahu berat sungguh dugaan buat keluarga ini pada permulaan Ramadan tahun ini. Salam takziah diucapkan, semoga keluarga ini terus tabah dan diberi kekuatan untuk menerima takdir serta ketentutan tuhan. Al Fatihah.
“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.
Motosikal yang ditunggang arwah ketika kemalangan, motosikal ini juga merupakan kesayangan arwah.
Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.
Wanie akan membelek album perkahwinan mereka tatkala rindu menyelubungi dirinya.
Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahurabbi… sedihnya tengok keadaan anak ini, terkena jangkitan HFMD tanpa disangka-sangka dan melarat sampai teruk satu badan. Dengan keadaan satu badan macam ini, manalah si kecil tak menangis tahan sakit.
HFMD ini sejenis kudis kecil yang terjadi pada tangan dan kaki, dan dalam mulut. Dan biasanya anak-kanak berumur di bawah 10 tahun sering menghidap jangkitan ini! Namun hati-hati ya, orang dewasa juga boleh terkena virus.
Kes yang dilalui adik Mia ini pula terjadi selepas dia balik dari pergi beraya, nak tahu cerita penuh jemput ikuti perkongsian dari saudara Affi Ariff yang merupakan ayah kepada mangsa.
“Salam rakan-rakan dan kenalan FB.
Saya nak pesan, sekarang musim raya mintak semua beringat-beringat sebelum terlambat. Anak saya Mia Rumaisya kena jangkitan HFMD masa pergi open house beraya, dalam masa 2 hari saja boleh jadi teruk macam ni. Dari semalam sampai sekarang anak saya tak boleh tidur sebab badan panas gatal-gatal. Saya nak pesan, mak ayah tolong jangan ambik ringan hal macam ni. Orang sekeliling pun kena main peranan, kalau anak kita dah kena, mintak dijauhkan dengan anak org lain. Kalau anak kita belum kena, kita sendiri yang bawak anak kita jauh-jauh.”
Kita seronok beraya, anak kita yang merana kemudian. Biarlah keseronokan beraya tu tak ada sekarang, dari kita merana tengok anak macam ni.
Penyakit ni seakan demam campak, tapi petanda HFMD adanya bintik-bintik merah kecil, bintik-bintik merah besar dan ulser mulut. Punca penyakit ni boleh kena dari persekitaran yang tidak bersih dan sangat mudah berjangkit untuk budak berumur bawah 2 tahun.
Penyakit ni lebih tertumpu pada mulut, tangan dan kaki dan takde ubat yang boleh merawat cuma perlu persekitaran yang bersih sahaja. Boleh baik tapi dalam tempoh yang agak lama.
Tiada apa yang diharapkan dari pihak lelaki ini, cuma minta orang ramai doakan agarnya kembali pulih sihat seperti sedia kala.
“Saya cuma berpesan untuk rakan-rakan supaya beringat dan tolong ambik sedikit pengetahuan tentang penyakit ni utk kebaikan kita kelak. Ni saja yang boleh saya bantu. Tolong doakan anak saya cepat sembuh. Amin.”
Haaa… mak ayah, dalam seronok kita beraya sakan jangan lupa ambil peduli tentang kes macam ini. Beringat dan pantaulah anak-anak demi kesihatan mereka. Apa pun, Hakak doakan moga mak ayah adik Mia Rumaisya sabar dengan ujian Allah ni dan didoakan adik ini cepat sembuh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...