Pengumumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 (Rabu) mengundang pelbagai reaksi ramai.Memandangkan ia bakal dilakukan pada pertengahan minggu hari bekerja dan anak-anak bersekolah. Ramai yang tertanya-tanya status cuti pada hari penuh bermakna ini.
Majikan Tak Wajib Beri Cuti Khas
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan tidak diwajibkan untuk memberi cuti khas sehari kepada pekerja masing-masing bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan. Namun demikian,majikan perlu memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi pada 9 Mei ini.
Kata beliau, majikan mempunyai tanggungjawab untuk tidak menghalang pekerja mereka sebagai pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari berkenaan meskipun Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) kali ini diadakan pada hari bekerja.
Ads
“Sebaliknya tempoh masa bersesuaian dan munasabah antara satu hingga dua jam boleh diberikan contohnya masuk pejabat lewat sedikit untuk mengundi pada sebelah pagi, menggunakan waktu rehat atau pulang awal dari pejabat sebelum pusat pengundian ditutup.
“Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh apabila disabitkan, didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
“Selain itu, majikan juga tidak boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa-apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh munasabah yang diberikan berkenaan,” katanya.
Pengundi Harus Kemas Kini Alamat Terkini
Shamsuddin berkata, masalah lokasi pengundian jauh di negeri asal bukanlah bebanan di pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja seharusnya mengemas kini lokasi tempat pengundian berdasarkan alamat tempat tinggal terkini. Katanya, masalah biasanya timbul sekiranya pengundi masih mengekalkan alamat kampung halaman masing-masing meskipun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di tempat lain.
“Dalam hal ini, pekerja perlu sedar bahawa sekiranya dua jam pelepasan diberikan, syarikat sudah pun kehilangan kira-kira 25 peratus produktiviti kerja.
“Namun, jika majikan dapat memberi kelonggaran, pekerja boleh mengambil cuti tahunan masing-masing untuk membolehkan mereka mengundi dengan selesa tanpa perlu mengejar masa kembali ke pejabat,” katanya.
Cuti Peristiwa Khas Semua Sekolah
Sementara itu, bagi mak ayah yang tertanya-tanya status cuti untuk anak-anak yang bersekolah, memandangkan pilihanraya jatuh pada hari Rabu,Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi akaun facebooknya mengumumkan bahawa 9 Mei 2018 sebagai cuti peristiwa khas bagi semua sekolah sempena Pilihan Raya yang akan datang.
Ads
Pengumuman itu juga sekaligus menjawab isu yang menjadi tanda tanya orang ramai mengenai persekolahan anak-anak mereka di hari pengundian oleh kerana pusat pengundian banyak juga dijalankan di sekolah-sekolah yang terpilih.
Di syurga kita kan bertemu kembali.. Alfatihah.Sebaris ayat namun beri makna yang cukup mendalam. Itulah luahan Mohd Taufik Abdullah, 42 suami kepada Nurliyana Abdul Raziff,32 penghidap sakit Para Tiriod yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.
Kematian Nurliyana telah disahkan oleh bapanya Muhammad Radzi, 55, yang memaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Pada 13 April lalu, Liyana menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar para tiriod di bahagian lehernyadi Hospital Kuala Lumpur (Nefrologi). Selepas pembedahan itu Liyana terpaksa di bedah sekali pada Selasa lalu bagi membuat saluran pernafasan selepas dilaporkan mengalami masalah pernafasan disebabkan kandungan karbon dioksida di dalam badannya tinggi.Pakar dari Putrajaya dan HKL berusaha melakukan yang terbaik buat Liyana, namun Allah SWT lebih menyayangi beliau.
Jenazah Liyana dibawa ke rumah neneknya disembahyangkan di Masjid Al Taqwa dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Banting pada jam 10 pagi tadi.
Bapa Nurliyana turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat-sahabat yang datang menziarahi anaknya serta warga Facebook dan netizen yang sentiasa mendoakan anaknya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Nurliyana, semoga redha diatas pemergian beliau dan semoga ruhnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah!
Tak sangka cuma guna kain yang dipotong, wanita ini dapat hasilkan skirting table top yang cantik di bahagian dapur basah di rumahnya. Nak lagi cantik, letaklah bunga hijau sekali.
Haaa… inilah idea kreatif daripada Puan Suhaibah Mukhtar, kalau rumah anda tak ada kabinet dapur lagi bolehlah tiru cara ni. Cuma anda kenalah sediakan barang ini dulu ya.
Simple laundry area and wet kitchen
Kain skirting #sofia
Frame #fiskbo
Rak #mosslanda
Pokok #fejka
Edit version.
Skirting tu kain dari ikea namanya Sofia.
Tebal material macam polister.
Boleh beli ikut meter kat ikea.
Saya potong dua sebab lebar sangat.
Lepas tu saya lipat dan jahit.
Untuk lekatkan pada table top tu, saya jahit strap. Tape kaler putih dan guna double tape kaler merah. Untuk tampal pada table top.
Tembak pulak dgn stapler tembak.
Memang lekat abis.
Sekian.
Kain tu i beli 2 meter. Potong dua dan lipat sikit nampak macam skirting.
Kemudian beli tape untuk tampal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiada wanita yang inginkan penceraian berlaku dalam rumahtangga yang dibina. Namun tatkala, rasa cinta semakin hambar, maruah diri dan kehormatan bagai dipijak-pijak serta hilang segala kepercayaan buat insan yang bergelar suami, inilah nokhtah keputusan yang dirasakan paling bahagia.
Semoga perkongsian kisah benar pengalaman hidup oleh seorang wanita bernama Anisah, yang baru sahaja bergelar janda selepas diceraikan suami dengan talak 3 akibat campur tangan keluarga mertua dan kecurangan suami didalam rumahtangga, dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain.
Assalamualaikum Admin. Terima kasih siarkan cerita ni.
Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yg sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.
Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tak menyenangkan tapi saya ambil positif, saya anggap tak ada pun manusia sempurna, jadi bersabarlah. Semakin dekat tarikh kahwin, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya tapi saya masih positif, ibu bapa mana tak sayang anak, jadi bersabarlah.
Ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sndiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang nak buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tak sangka pada hari nak berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak2 awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yg lain pergi hospital. Suami setuju dgn ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.
Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke 28, kami bersiap nak balik ke kampung suami ( setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya ), ibu saya diserang strok. Saya tak mahu ulang kebodohan lalu, dan saya bertegas untuk hantar ibu ke klinik dan menjaganya, suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.
Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yg mesti dihormati. Yup, saya bodoh.
2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. (Dalam hati terdetik, apa kena mengena ibunya dengsn saya nak melanjutkan pelajaran?) dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat.
Jelas dan terang ayat ibunya, ”Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan (ibu bapa saya dah tak ada, adik beradik pula dah benci), saya sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “Kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.
Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormat saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tapi masa depan Amar.
Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampai lah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dengan perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun.
Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jangan risau, saya belum nak kahwin dengan dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tapi saya ni lelaki yang berani, jadi saya jujurlah dengan awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abang nak kawin dengan dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.
Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yang baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur.
Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.
Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa-apa kerja part time yang boleh saya buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tapi dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil-bil rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yang bersekolah, jadi dia yang sulung mesti bantu.)
Saya mula pergi kelas tiap-tiap minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nak cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yang agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.
Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abang tak nak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sebab saya tak pernah buat keputusan sendri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…
Di tempat kerja, saya tanya ada tak yang nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, untuk siapa sebab saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma untuk sementara, boleh? Dia okay.
Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.
Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yang bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “Kena redha lah dimadukan. Orang suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….
Disember 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yang akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yang diduduki saya waktu itu.
Saya menolak dengan baik dan dia kata ” kau pandai-pandai cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. Duit depo pun aku akan dapat bulan depan. barang-barang perabot aku nak pindahkan kat umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.”
Malam itu, saya kemas baju-baju dan barang keperluan yang penting untuk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yang sangat bangga, mengambil barang-barang, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yang saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.
Selepas itu bertalu-talu whatsapp masuk handphone saya;
“Hoi, mana rak dalam bilik?” “Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?” “Betina, kenapa barang rumah banyak yang tak ada?”
Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yang saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”
Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri untuk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kahwin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit-sikit perabot dengan bantuan rakan pejabat.
Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yang sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too.
Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan-kawan dulu yang saya tinggalkan untuk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.
-Anisah
Buat wanita ini, sesungguhnya anda memang seorang wanita yang kuat, cekal dan tabah! Bukan mudah untuk bangkit, membina benteng kekuatan diri untuk persiapan masa depan. Namun anda berjaya membuktikannya dan tidak mengharap simpati daripada bekas suami.
Buat wanita lain, yang mungkin senasib dan sama perjalanan seperti wanita ini, Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Berani lah untuk ‘melangkah’ lebih jauh. Sentiasalah bersedia, persiapkan diri dengan ilmu, kewangan, kerjaya dan paling penting mampu berdikari walaupun tanpa insan yang bernama suami.
Mengimbas kembali peristiwa menyayat hati, tiada siapa menyangka sebuah pertengkaran yang bermula kerana masalah duit akhirnya meragut nyawa seorang ibu kepada tujuh orang anak.