“Harap dikurniakan anak kembar” selepas 3 tahun kahwin, Nadiyah Shahab sedia bergelar ibu. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti inginkan zuriat.
Begitu juga dengan pasangan pelakon yang juga pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab atau Nadiyah Shahab dan suami Ben Ali.
Sebaik mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 wanita ini sibuk dengan karier seni dan menyempurnakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Singapura.
“Harap Dikurniakan Anak Kembar”
Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, Nadiyah merasakan ini masa yang sesuai untuk mempunyai anak.
Nadiyah juga sudah bersedia untuk melangkah ke satu fasa baharu dalam hidupnya iaitu bergelar ibu.
“Ketika awal perkahwinan, kami merasakan hanya bersedia untuk bergelar ibu bapa selepas kerja selesai.
Ads
“Tetapi kami belajar bahawa tidak ada kerja yang akan selesai kerana akan sentiasa ada perancangan baharu.
“Saya tak mahu mengandung, kemudian bersalin dan selepas itu tinggalkan anak dengan pembantu. Atas sebab itu saya tangguhkan dulu hasrat untuk memiliki cahaya mata.
“Memandangkan kami dah buang masa tiga tahun, jadi saya harap dikurniakan anak kembar sebab keluarga saya ada banyak sejarah anak kembar,” ujarnya.
Jadi ‘Suri Rumah’ & Tumpu Pada Anak
Pelakon cantik ini juga menambah sudah bersedia untuk menjadi ‘suri rumah’ apabila bertukar status kelak dan memberi tumpuan kepada anak.
Ads
“Sejak beberapa tahun lalu saya dah puas bekerja, belajar. Jadi saya beritahu Ben, kalau ada rezeki saya mahu beri tumpuan kepada anak.
“Saya nak menikmati perjalanan sebagai ibu dan pengalaman membesarkan anak,” jelasnya yang juga menguruskan perniagaan Absolut Chocolat dan beberapa cabang lain perniagaan menerusi pengurusan acara dan artis.
‘Bukan hanya golongan miskin, seluruh dunia terjejas.’ Bersediakah kita, bekalan makanan berkurang tahun depan. Adakah wujud jaminan bahawa keluarga terutamanya anak-anak kita cukup bekalan makanan tahun depan.
Sebagai mak, ayah pasti ini merunsingkan kerana situasi sekarang pun telah menunjukkan beberapa produk makanan berkurangan di pasaran. Jika keadaan bertambah buruk pada tahun hadapan, tentu ianya akan memberi impak besar kepada kita.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley telah memberi amaran bahawa bekalan makanan berkemungkinan lebih sukar untuk diperoleh menjelang tahun depan ekoran pelbagai krisis seluruh dunia yang berlaku serentak, lapor Badan Penyiaran Jepun (NHK), baru-baru ini.
Malah menurut Beasley, dunia kini diselubungi situasi yang digambarkan sebagai konflik ‘ribut lengkap’ yang terdiri daripada kejutan iklim, perang Russia-Ukraine dan kemusnahan ekonomi selama dua tahun akibat Covid-19.
Beliau menegaskan bahawa Ukraine yang digelar ‘bakul roti dunia’ telah berhenti membekalkan makanan.
Tindakan tersebut menimbulkan beberapa masalah tertentu yang diburukkan lagi dengan lonjakan kos bahan api dan baja, lantas mewujudkan ‘ribut kemelesetan ekonomi yang lengkap’.
“WFP berdepan kesukaran menetapkan harga makanan utama, yang telah menimbulkan cabaran buat golongan miskin.
“Menjelang tahun hadapan, disebabkan kemarau dan krisis baja, kita mungkin berdepan dengan masalah ketersediaan makanan yang lebih dahsyat,” ujar Beasley.
WFP sebelum ini memberi amaran bahawa sehingga 345 juta penduduk dunia diramal berada dalam keadaan ekonomi yang sangat teruk untuk mendapatkan bekalan makanan atau berisiko tinggi, merentasi 82 negara.
Tambahnya, kegagalan para pemimpin dunia dalam mencari jalan penyelesaian untuk membuka pelabuhan di wilayah Odesa, Ukraine dilihat sebagai pengisytiharan perang terhadap keselamatan makanan.
Namun begitu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turki, Ukraine dan Russia sedang menjalankan rundingan dalam usaha untuk membolehkan makanan dieksport semula.
Setakat ini, sebanyak 26 negara telah pun mengharamkan eksport makanan bagi menjamin bekalan yang mencukupi bagi pasaran domestik.
“Jika rantaian bekalan makanan terganggu akibat keadaan panik dalam pasaran, orang ramai akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan.
“Ia akan menjejaskan semua penduduk dunia, dan tidak terhad kepada golongan miskin semata-mata,” tegas Beasley. – Agensi
Mingguan Wanita : Semoga apa yang diramalkan tidak menjadi kenyataan kerana bukan mudah bila bekalan makanan tak mencukupi.
Setiap umat Islam pasti berhajat untuk jadi tetamu Allah suatu hari nanti. Tak dapat bayangkan betapa syukur dan seronoknya bila dijemput untuk tunaikan haji. Itu rezeki yang paling istimewa.
Namun, jika belum rezeki dan tidak terpanggil untuk jadi tetamu Allah, jangan sedih. Ada cara yang boleh kita lakukan. Inilah yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Seseorang yang telah bersungguh-sungguh melakukan persediaan dan menanam azam yang tinggi untuk jadi tetamu Allah namun tidak dipanggil menjadi tetamu-Nya, sesungguhnya Allah SWT menerima niat mereka untuk melaksanakannya dengan ganjaran pahala yang sempurna
Di dalam satu hadis qudsi, ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”
(HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
SubhanAllah, mudahnya Allah SWT nak berikan kita pahala, hanya dengan niat melakukan kebaikan sudah diberikan ganjaran. Tak semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita, namun akhirnya takdir Allah jualah yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Firman Allah SWT: وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al Baqarah: 216)
Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan. Antaranya adalah:
1. SOLAT SUBUH BERJEMAAH
Daripada Anas bin Malik beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sehingga matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.” Beliau (Anas r.a.) berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.” Baginda SAW bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.” Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad jika ibumu redha kepadamu. Bertakwalah kepada Allah dan berbuat baiklah kepadanya.”
(HR at-Tabrani, hadis hasan)
3. MENGHADIRI MAJLIS ILMU DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ
Maksudnya: “Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.”
(HR al-Thabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, hadis sahih)
4. MEMBACA UCAPAN TAHMID, TAKBIR DAN TASBIH SELEPAS SOLAT FARDHU
Maksudnya: “Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW lalu berkata, “Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapat kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat, mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun, mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah.” Maka Rasulullah pun bersabda: “Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang yang sudah mengalahkanmu. Dan tidak akan ada yang dapat mengalahkanmu dengan amal ini sehingga kamu menjadi yang terbaik di antara kamu dan di tengah-tengah mereka, kecuali apabila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan ini. Iaitu kamu membaca tasbih (Subhanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
5. SOLAT FARDHU JEMAAH DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti menunaikan haji.”
(HR Abu Daud, hadis hasan)
Semoga dengan melakukan amalan ini dapat memberikan ganjaran serta memujuk hati para jemaah yang telah bersedia menunaikan haji namun tidak direzekikan untuk menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini.
Mingguan Wanita : Sentiasa pasanga niat moga suatu hari mampu jejakkan kaki ke rumah Allah. Aamiin.
Tunang syukur persoalan selama 10 bulan terjawab. ‘Dua kali mimpi, arwah beritahu balik hari ni.’ Alhamdulillah segala persoalan dan penantian selama 10 bulan ini berakhir.
Bayangkan selama ini ternanti-nanti jawapan ke manakah menghilang tunang disayangi kerana sepi tiada khabar berita dan kini akhirnya segala menemui jawapan yang pasti.
Tunang kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak sangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ merupakan petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan pada Selasa.
Menurut Nurfaizah Mahadi, 25, yang bekerja sebagai kerani, sudah dua kali bermimpi bertemu dengan Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan Allahyarham menghilangkan diri.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina. Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan Nurfaizah.
Menceritakan berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.
“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 hari bulan (Selasa) nanti saya balik la. Saya bersyukur Iman ditemui,” katanya.
Dia melahirkan rasa syukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan di mana tunangnya pergi telah terjawab kerana sebelum ini sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya 29 Oktober lalu.
“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada. Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” katanya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia.
Mingguan Wanita : Semoga Nurfaizah tabah menempuh hari-hari mendatang. Ternyata apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Al-Fatihah untuk allahyarham Muhammad Iman Aqmar.