Bijak Urus Kewangan, Selepas Bersara Tidak Perlu Lagi Bergantung Pada Anak-Anak

Zaman dimana menjadi satu kelaziman untuk ibu bapa bergantung harap pada anak-anak, sudah berlalu. Terutamanya dari segi kewangan tatkala menjangkau usia persaraan, menurut Pengarah Eksekutif yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Ismitz Matthew De Alwis.

“Kehidupan pada hari ini sangat mencabar. Ibu bapa tidak boleh lagi berharap pada anak-anak selepas bersara. Kos sara hidup yang tinggi, ditambah pula dengan kos sara hidup ibu-bapa yang telah bersara, memerlukan anak-anak menyediakan kewangan dua kali ganda untuk meneruskan kehidupan.”

“Anak-anak yang menampung kos sara hidup ibu bapa yang telah bersara boleh diibaratkan sebagai ‘Generasi Tersepit’ atau ‘Sandwich Generation’. Mereka perlu menanggung kepayahan menguruskan kewangan mereka sendiri dan pada masa yang sama menyediakan keperluan ibu bapa.”

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia menambahkan lagi kekusutan dan mencetus pergolakan hidup ramai rakyat Malaysia, ekoran peraturan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ramai yang berdepan dengan pemotongan gaji, malah ada yang hilang pekerjaan. Keadaan ini menambah tekanan hidup mereka yang terjejas.

“Hakikatnya rakyat Malaysia yang bersara hari ini mempunyai taraf hidup mereka jauh lebih rendah berbanding mereka yang bersara 20 tahun lalu. Perkara ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan dalam hal ehwal kewangan mereka,” jelas Ismitz Matthew.

Hadiahkan Masa Depan Terbaik Buat Tersayang, Uruskan Kewangan Secara Bijak

Perlu Kikis Sikap Sambil Lewa Terhadap Pengurusan Kewangan

Pendidikan kewangan memerlukan jangka masa yang panjang, terutamanya apabila kita tidak peka dengan masalah kewangan sendiri dan terus leka berbelanja tanpa memikirkan masa depan.

Dengan mengambil kira purata jangka hayat rakyat Malaysia yang dianggarkan sekitar usia 75 tahun, simpanan yang mencukupi untuk menampung kelangsungan hidup sehingga 15-20 tahun diperlukan sekiranya mereka memilih untuk bersara pada usia 60 tahun.

“Malah kajian menunjukkan wang persaraan dibelanjakan lebih dari simpanan yang ada, hanya dalam suku pertama selepas bersara. Perkara ini berlaku kerana tidak ada perancangan kewangan yang baik ketika mereka masih aktif bekerja. Matlamat utama adalah untuk merancang simpanan mencukupi supaya boleh bertahan hingga 20 tahun tempoh persaraan.”

Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia masih lagi di peringkat awal dari segi penyediaan skim persaraan. Disebabkan itu, terdapat permintaan untuk pihak berwajib menyediakan pendekatan yang lebih menyeluruh selain simpanan wajib melalui KWSP.

“Menurut kajian, hanya 7.6 juta pencarum yang aktif mencarum dalam KWSP berbanding jumlah warga kerja yang seramai 14.5 Juta. Persoalannya, selebihnya itu bagaimana? Adakah mereka akan mempunyai dana persaraan yang cukup nanti?”

“Rakyat Malaysia perlu memberi lebih fokus kepada perancangan dana persaraan agar mereka tidak susah hati selepas bersara. Kini terdapat banyak pengurus dana dan perancang kewangan yang boleh membantu rakyat Malaysia untuk merancang kewangan mereka. Bukan itu saja, institusi ini juga boleh memberi nasihat mengenai portfolio pelaburan yang selamat untuk jangka waktu yang panjang, bersesuaian dengan strategi pelaburan masing-masing” kongsi Ismitz Matthew.

________________________________________________________________________

Ismitz Matthew De Alwis merupakan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, salah sebuah syarikat pengurusan aset yang terkemuka di Malaysia. Beliau merupakan presiden Financial Planning Association of Malaysia (FPAM). Selain dari itu, beliau juga pemegang lesen perancang kewangan berdaftar (Certified Financial Planner), perancang kewangan Islamik, (Islamic Financial Planner) dan turut memegang lesen Capital Market Services Representative’s License (CMSRL) dari Suruhanjaya Sekuriti dalam pengurusan dana dan pelaburan.

Beliau percaya pengetahuan kewangan yang bagus akan menjadikan rakyat Malaysia lebih celik pelaburan dalam pasaran kewangan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI