Dugaan buatnya. Di saat anak-anak lain berseronok bermain tapi tidak baginya. Dia memikul tanggungjawab yang berat dengan jaga ibu terlantar sakit kerana menghidap kanser payudara tahap 4.
Cukup memahami penderitaan dan kesakitan ibunya. Walaupun berusia 10 tahun, dia sudah faham erti tanggunjawab. Sementelah tempat untuk dia bergantung harap, si ayah meninggal dunia kerana sakit jantung.
Itulah tanggungjawab seorang anak sulung dengan jaga ibu terlantar sakit. Rutin hariannya tidak sama seperti anak-anak lain. Hakikat yang harus diterima dengan redha. Pasti ada yang terbaik untuk anak ini. Kisah yang menyayat hati telah menarik perhatian pembaca di media sosial.
Jaga Ibu Terlantar Sakit, Hidap Kanser Payudara Tahap 4
Nur Saffiya Irdina Mohd Firdaus, berusia 10 tahun telah pikul tanggungjawab yang cukup besar buat ibunya. Dalam usia begini, dia sudah mampu menguruskan ibunya, Roliza Md Zain, 31 tahun yang terlantar akibat kanser payudara yang dihidapinya sejak tahun lalu.
Ads
.
Setiap pagi sebelum ke sekolah, dia akan menukarkan lampin pakai buang dan menyuapkan makanan pada ibunya. Begitu juga bila pulang dari sekolah, dia akan lakukan rutin yang sama.
Murid tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Tawar, Kuala Ketil, Kedah, redha dengan ujian Allah buat dirinya. Dia sebagai anak sulung daripada 4 adik beradik menggalas tanggungjawab ini selepas kematian bapanya tahun lalu kerana penyakit jantung dan paru-paru berair.
Tinggal Dengan Ibu Saudara
Dalam perkongsian tersebut, Nur Saffiya Irdina bersama 2 orang adiknya menumpang di rumah ibu saudara. Manakala adik bongsunya tinggal bersama ibu saudara yang lain sejak ibunya sakit.
Ads
Dalam pada itu, ibunya disahkan menghidap kanser payudara tahap 4 pada Ogos tahun lalu, iaitu dua bulan sebelum suaminya meninggal dunia.
.
Daripada apa yang dikongsikan ibunya, selepas bersalin anak keempat, keadaan payudara sebelah kiri membengkak. Sangkaannya, ia hanya mengalami bengkak susu selepas berjumpa bidan kampung.
.
Ads
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bolehlah menghubungi talian 019-8673582 (Rokiza) atau 019-5739844 (Rohani)
Mingguan Wanita : Moga anak-anak ini diberi kekuatan dan ibunya cepat sembuh.
Nak beli rumah, dah tentu-tentu dari tahun ke tahun akan naik harganya. Pening memikirkan untuk bayar hutang sampai 35 tahun. Paling risau kalau ada projek terbengkalai dan tak jadi.
Kalau nak beli rumah, kena betul-betul bersedia. Sebab kita akan berhutang selama 35 tahun ke hadapan. Harga pun boleh tahan mahalnya. Kalau tak beli sekarang bila lagi.
Inilah yang dijelaskan oleh Dr Azizul Azli Ahmad bila masa yang sesuai untuk ita beli rumah dan apa yang patut kita elakkan.
Soalan ini selalu ditanya pada saya, izinkan saya bagi pandangan tentang ini.
Boleh Beli Rumah Jika?
1. Ada tawaran rumah yang below market value antara 20%-35% bawah harga pasaran. Banyak tawaran begini dalam keadaan ekonomi begini. Ada orang tersalah beli atau ada masalah kewangan, perlu jual segera. Maka ia peluang kita beli kediaman pada harga yang mampu.
2. Jika kadar OPR yang jadikan kekangan, kadar ini masih rendah berbanding sebelum pandemik. Jika kita tidak terkesan, kita boleh pertimbangkan pembelian kediaman waktu ini. Kadar sekarang masih rendah sebenarnya.
3. Kita tidak terkesan oleh perubahan ekonomi ini, gaji masih baik, simpanan cukup dan jumpa hartanah yang baik dan betul untuk dibeli.
4. Kadar sewa sekarang, dah hampir sama dengan bayaran ansuran kediaman. Contohnya bayar sewa RM1500, bayaran rumah baru RM1550 sahaja. Baik beli rumah.
Elakkan Beli Rumah, Jika…
1. Kediaman yang masih dalam pembinaan, kita tak tahu berapa lama pemaju boleh bertahan. Beli rumah dah siap lebih baik.
2. Jika gaji kita cukup cukup makan, dengan beli rumah kita akan hilang langsung simpanan yang kita boleh buat.
3. Jika kadar sewa 1/3 atau 1/2 dari bayaran ansuran rumah, lebih baik sewa sahaja dulu. kediaman di situ.
4. Pekerjaan kita belum stabil atau majikan juga nampak tak kukuh, takutnya nanti kita hilang pekerjaan tetiba sahaja.
Catatan tambahan.
Banyak rumah PRIMA dan pemaju sebelum ini dah mula turun harga. Dulu yang harga RM280k dah jadi RM156k (di Ipoh, Perak). Cari yang penuhi krateria keperluan keluarga kita.
Ada 32600 hartanah ‘overhang’, dah siap tak ada orang beli. Cari dan dapatkan diskuan dari pemaju. Jangan minta diskaun kat sifo, mengarut.
Beli kediaman bila benar benar dah bersedia, bukan sebab tawaran istimewa, nak jadi pelabur kononnya. Kata kuncinya bersedia.
Kita akan ada hutang 30-35 tahun kedepan, sanggup atau tidak. Tanya diri sendiri.
Jika sekarang bukan masa sesuai beli rumah? Bila masa yang paling sesuai? Apakah jangkaan ekonomi 5 tahun dari sekarang.
Mingguan Wanita : Dalam keadaan sekarang kena kira bajet juga dan corak kehidupan kita yang mendatang.
‘Terpedaya komisen lumayan.’ Wanita putih mata, hilang duit simpanan RM37,361 sekelip mata. Menyimpan duit bertahun-tahun lamanya akhirnya lebur di tangan scammer.
Biarpun kes sebegini telah banyak berlaku, namun taktik scammer yang semakin bijak dan tak terfikir dek akal membuatkan ramai yang terpedaya dan tertipu.
Terpedaya Komisen Lumayan
Dek kerana terpedaya dengan imbuhan komisen lumayan, seorang pembantu perawatan kesihatan ‘putih mata’ selepas mengalami kerugian sebanyak apabila tertipu dengan urusan tawaran kerja yang tidak wujud secara dalam talian di sini, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Perlis, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, polis menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita berusia 26 tahun jam 4.56 petang selepas mangsa menyedari dirinya diperdaya dengan tawaran bekerja menerusi laman sosial Facebook pada Sabtu lalu.
“Mangsa mendakwa diperdaya setelah melihat iklan di Facebook yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat dan telah berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Agnes’ dari Syarikat ‘SP ECommerce’ untuk tawaran kerja secara dalam talian.
“Dia kemudian dimaklumkan dengan kaedah atau cara membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikkan ‘rating’ dan dijanjikan imbuhan komisen setelah barangan itu dijual oleh pihak ‘syarikat’ berkenaan.
“Mangsa melakukan lapan transaksi, selama tiga hari sehingga semalam untuk pembelian barangan dengan jumlah yang berbeza seperti dikehendaki sindiket.
‘Transaksi pertama membabitkan pembelian barangan bernilai RM100 dengan dijanjikan pulangan sebanyak RM130,” katanya.
Malah tambahnya, mangsa yang mengejarkan pulangan lumayan terus melakukan transaksi sehinggalah dia menyedari semua barangan dikehendaki untuk dibeli oleh sindiket itu sememangnya tidak wujud.
Hilang Duit
Jelas Mohd Shokri lagi, sindiket memberikan pelbagai alasan mengenai pulangan yang dijanjikan, sehingga mangsa kehabisan wang dan mula menyedari dirinya sudah tertipu.
Mangsa yang terpaksa menanggung kerugian wang simpanan peribadi dan wang simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.
Duit Simpanan RM37,361
“Semakan polis mendapati terdapat tiga laporan polis ke atas no akaun ‘syarikat’ itu dan dua laporan polis ke atas nombor talian yang digunakan oleh sindiket sebelum ini ke atas mangsa lain.
“Siasatan kami mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat secara dalam talian melalui medium media sosial.
“Malah, mangsa pada mulanya akan diberikan pulangan dan setelah mangsa yakin, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebabkan mangsa terjerat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mingguan Wanita : Semoga kisah ini memberi kesedaran kepada wanita di luar sana agar berhati-hati dengan scammer. Jangan kerana ingin untung cepat, segala duit simpanan tergadai.
Ini cerita ajaib tentang seorang suami, bapa bernama Reduan Mohd Noor, 55. Lelaki yang menetap di Padang Jawa, Shah Alam ini pernah terlantar sebulan di katil hospital akibat penyakit saraf tunjang.
Demi anak isteri yang alami masalah jantung, dia kuatkan semangat. Bangun sampai boleh berjalan perlahan. Wartawan Nazwa Selamat mengunjungi kediaman beliau bagi berkongsi kisah inspirasi untuk suami isteri yang berhadapan ujian seumpanya.
Semangat ‘Ajaib’, Reduan Kini Mampu Berjalan
Setiap insan diberi ujian yang berbeza oleh Allah SWT. Walaupun hati berkata tidak atau belum bersedia untuk hadapinya tetapi inilah kayu pengukur bagi menguji sejauh mana letaknya tahap keimanan seseorang.
Bersama tim PERKESO Klang, penulis berkesempatan berkunjung ke sebuah rumah milik Reduan Mohd Noor, 55 di Padang Jawa, Shah Alam.
Laluan masuk yang tidak rata membuatkan pemanduan terpaksa diperlahankan. Sana sini kelihatan lopak air bertakung, menandakan hujan malam tadi. Barangkali lebat.
Mata memandang ke kiri dan kanan, rumah-rumah lot kampung dibina serba sederhana. Mungkin cukup bagi melepas selesa setelah penat bekerja.
Akhirnya, kami tiba di sebuah rumah yang serba sederhana. Di beranda, kelihatan seorang lelaki sedang duduk menyandar kerusi yang kondisinya sedikit usang.
Salam disambut, namun dia tidak mampu berdiri kerana masalah kesihatan. Penulis bermonolog, mungkin inilah Reduan. Orangnya nampak bersemangat tetapi saiz badannya agak kurus.
Dikatakan, dia mampu berdiri dan berjalan tetapi tidak seligat dahulu. Masalah kesihatan yang menimpanya beberapa tahun dahulu seakan meragut kemampuan untuk bergerak.
“Saya redha dengan apa yang berlaku. Memang pada awalnya bukan mudah untuk menerima tetapi saya kuatkan hati dan percaya, Allah duga sebab dia sayangkan hambaNya. Kehidupan sekarang serba sederhana.
“Dulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Lama, rasanya lebih kurang 19 tahun. Alhamdulillah, ada caruman dengan PERKESO. Mungkin inilah hikmahnya bila dah terlantar sakit, ada pula bantuan yang dihulur.
Reduan Jatuh Disahkan Masalah Tulang Belakang
Suatu hari, Reduan jatuh di rumah dan dibawa ke hospital. Doktor kata ada masalah di bahagian tulang belakang (saraf tunjang).
“Disebabkan itu, saya terlantar lebih kurang satu bulan di katil hospital. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.
“Saya tak mampu lagi keluar mencari rezeki dan saya seolah membebankan anak dan isteri untuk datang menjaga.
“Waktu itulah saya bulatkan tekad untuk segera sihat, paling tidak pun dibenarkan keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah makbulkan walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih,” ujarnya dengan suara yang perlahan.
Anak Kedua Dan Isteri Ada Sakit Jantung
Sayu hati penulis mendengar cerita Reduan. Seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia yang sebelum ini diharap menjaga keluarga akhirnya tidak mampu melakukan banyak kerja.
“Isteri saya tu bukanlah sihat sangat. Dia ada masalah jantung dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan rutin. Ada juga penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Walaupun sakit, isterinya, Norli Samijan, 48, betah berdikari dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai 24 jam. Anak yang sulung pun sudah berkeluarga, jadi tidaklah terasa sangat.
“Anak kedua kami yang 23 tahun pun sama. Disahkan masalah jantung dan kencing manis. Waktu umurnya 13 tahun lagi, dia dah ambil insulin untuk kencing manis. Alhamdulillahlah, sebelum saya sakit lagi kami dah bawa dia untuk jalani pembedahan jantungnya.”
“Setidak-tidaknya, saya dapat jugalah tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan menemankannya di hospital dahulu.
“Kasihan anak kedua saya itu. Dia ada Diploma dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh tetapi sanggup tak bekerja semata-mata nak menjaga saya di rumah.
“Banyak betul pengorbanannya sampaikan ada ketika saya rasa down sebab tak dapat teruskan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.”
Sampai hari ini, Reduan masih lagi meneruskan rawatan susulan di hospital. Dua bulan sekali, dia akan berjumpa doktor untuk lihat kembali sejarah kesihatan selain melakukan pemeriksaan rutin bagi mengelak timbulnya masalah kesihatan yang lain.
Saya Tak Mahu Bebankan Mereka
Reduan terdiam seketika. Mungkin mencari kekuatan untuk menyambung bicara. Ujarnya lagi, kalau ikutkan hati dia memang susah untuk bergerak semula tetapi disebabkan semangat yang tinggi untuk sihat demi isteri dan anak-anak maka digagahkan juga.
Bila difikir-fikirkan balik, seperti satu kisah ajaib. Seorang yang hanya mampu terbaring akibat masalah saraf tunjang kini dilihat sudah mampu berjalan meskipun perlahan.
“Saya kasihankan isteri dan anak-anak. Saya tak mahu terus bebankan mereka. Yang pasti, hanya mereka penguat semangat untuk saya terus sihat.
Kadang-kadang saya akan berjalan perlahan ke dapur. Malah ada masanya saya akan buat senaman regangan yang mudah di kerusi ini.
“Memang rasa kebas dari bahu ke kaki masih ada sebab penyakit saya ini melibatkan saraf kan tetapi saya kuatkan dan cuba untuk sihat kembali.”
Semangat Reduan datangnya dari isteri, anak-anak, saudara-mara serta rakan taulan.
“Saya berfikiran positif, yakin dan percaya pada keajaiban Allah SWT. Moga ada sinar baru buat saya dan keluarga kelak.”
Sebelum mengakhiri temubual Reduan sempat memaklumkan yang kawasan rumahnya kerap kali banjir akibat sistem saliran yang tidak sempurna.
Difahamkan juga, kira-kira tiga minggu yang lepas, rumah Reduan dan kawasan sekitar dinaiki air hingga ke paras paha. Masing-masing kelam-kabut meletakkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima kasih kepada Mohd Nazree Khalid dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...