Mana-mana ibu pun berdoa agar setiap anaknya cemerlang akademik dari sekolah rendah. Namun, tak semua anak dapat penuhi harapan ibu. Sebab kemampuan mereka berbeza-beza.
Dan ibu, usah terlalu memberi tekanan kepada anak. Lagi-lagi anak yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR dalam minggu terakhir persekolahan ini. Biar apa pun keputusan mereka, ibu peluklah, kekal dalam mood positif demi si anak.
Perkongsian Ezatul Mariniyang sebelumnya begitu tegas dengan si anak. Begitu kecewa apabila anak tak dapat capai apa yang ibu harapkan. Sampai satu tahap, ibu ini mengalah. Yakin bahawa yang penting adalah akhlak dan pegangan agama anak itulah sebenar-benar erti bahagia
Murid Tahun 6 Bakal Terima Keputusan UPSR
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Gagal Akademik & Harapan Ibu Yang Berkubur
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
Ads
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Tiga Soalan Suami Ini, Buka Minda Ibu
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Ads
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Keputusan Akademik Anak Bukan Penamat Segalanya
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Ads
Agar Lebih Positif, Renungkan Kata-kata Ini
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah. i
i. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
qqv. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doa.
MW : Ingat ya mak ayah, anak gagal akademik tak bermakna anak itu gagal untuk segalanya. Mak terus berikan sokongan positif. Siapa tahu, anak inilah nanti yang akan jaga mak ayah apabila sampai usia senjanya.
Majlis resepsi simple tetapi penuh bermakna! Kehadiran sahabat handai dan keluarga terdekat telah meraikan perkahwinan di antara personaliti media sosial, Farah Lee dan suaminya, Fuad Hashim bertempat di Padangs On Wheels, Subang Bestari semalam.
Foto: Faeez dan Fathiah
Tampil ringkas dalam busana rona pastel rekaan Rico Rinaldi, ketibaan pasangan ini menaiki sebuah kenderaan mewah rona hitam disambut dengan sahabat handai dan kaum keluarga terdekat pasangan ini.
Menurut pemilik restoran yang juga personaliti televisyen, Farrah Adeeba ketika ditemui berkata, pihaknya bersama rakan kongsi Padangs On Wheels berbesar hati meraikan Farah sekeluarga sekaligus memperkenalkan hidangan katering Padangs On Wheels untuk majlis perkahwinan, akikah dan sebagainya.
Turut mencuri tumpuan, kelibat bekas suami Farah Lee iaitu Ally Iskandar yang hadir ditemani isteri dan anaknya di majlis tersebut. Malah Mingguan Wanita turut berkesempatan bertanyakan perasaan Ally Iskandar mengenai perkahwinan bekas isterinya itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana anak kami, Maream Esabel, dapat merasai sebuah keluarga yang lengkap.
“Farah kata tadi, sekarang kami berdua sudah seri kerana masing-masing sudah berkahwin lagi. Saya bersyukur dan gembira kerana anak kami, Maream, akan dapat merasai keluarga lengkap dengan ayah dan ibu.
Hubungan Baik Jadi Contoh
“Saya tengok wajah Fuad pun sejuk hati. Saya yakin dia akan menjadi bapa yang hebat kepada anak kami,” katanya.
Selain itu, kata Ally, dia dan Farah mempunyai pendirian untuk selalu bertolak ansur dan mengutamakan kebajikan anak meskipun tidak lagi bergelar suami dan isteri.
“Di akhirnya, kita semua mempunyai pendirian untuk mengharungi semua ini. Walaupun berbeza cara, namun kami perlu cari jalan tengah untuk pastikan anak hidup dalam satu institusi keluarga meskipun berjauhan.
“Soal anak, memang saya dan Farah akan selalu bertimbang rasa,” katanya.
Untuk rekod, pengacara Ally Iskandar bernikah dengan Farah Lee pada 20 Januari 2012 namun bercerai pada 17 Ogos 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Maream Esaabel.
Pada Jun 2019, Ally telah menamatkan zaman bujang sekali lagi dengan wanita bernama Marlina Ibrahim di Temerloh Pahang manakala Farah Lee bertemu jodoh dengan Fuad dan berkahwin pada 6 Januari lalu.
Foto:Instagram @faeezazahar @nurfathiah__
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Jangan tunggu perut sudah busung, baru nak jumpa doktor” itulah antara pesanan Doktor Andi Anggeriana Andi Asri, Pakar Perunding Perbidanan Sakit Puan, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur.
Kanser rahim adalah antara kanser yang paling menakutkan wanita. Kanser rahim juga merujuk kepada kanser yang bermula di dinding rahim dan bukan serviks. Kanser serviks ialah jenis kanser yang berbeza. Jenis kanser rahim yang paling biasa ialah kanser endometrium yang berasal dari endometrium, iaitu lapisan dinding rahim.
Sewaktu di temubual, Dr. Andi atau lebih dikenali dengan nama Dr. Ana yang sudah berpengalaman 27 tahun dalam bidang kedoktoran, 20 tahun Pakar Perbidanan Sakit Puan dan 7 tahun di Pusrawi menerangkan kanser rahim merupakan pembunuh senyap yang semakin ramai ‘mangsanya’ dalam kalangan wanita tanpa mengira usia.
“Saya pernah rawat pesakit yang baru berumur 18 tahun. Mengalami obesiti, ada PCOS (Sindrom Ovari Polikistik) dan ada sejarah keluarga dalam kanser. Usia bukan penghalang untuk terkena kanser rahim,” ujar Dr. Ana tenang.
4 Faktor Utama Kanser Rahim
Menurut Dr. Ana lagi, kanser rahim bermula dari selaput dinding rahim (endometrium) dan disebabkan oleh beberapa faktor utama:
Obesiti – berat badan berlebihan menyebabkan lebihan hormon estrogen, yang akan menebalkan dinding rahim secara tidak normal.
PCOS (Sindrom Ovari Polisistik) – apabila wanita tidak datang haid setiap bulan, dinding rahim tidak keluar seperti sepatutnya, lalu terus menebal hingga boleh berubah menjadi kanser.
Keturunan – jika ramai ahli keluarga menghidap kanser payudara, usus atau ovari, risiko anda juga tinggi.
Pemakanan & pengambilan jamu berlebihan – ada ramuan jamu dan kolagen yang tidak diisytiharkan kandungannya amat bahaya dan boleh menebalkan lapisan rahim secara berlebihan.
“Produk jamu yang tidak diketahui asal usulnya sangat bahaya. Kilang nak cepat nampak kesan, mereka campur bahan tertentu tanpa makluman pengguna jadi ini boleh cetuskan kanser rahim dan payudara,” sambung Dr. Ana.
Kenali Tanda Awal, Jangan Malu Buat Pemeriksaan
Antara gejala awal yang patut diberi perhatian:
Pendarahan haid yang terlalu banyak, lama atau keluar darah beku.
Pendarahan selepas bersama suami – ini tanda abnormal.
Keputihan berlebihan dan perubahan pola haid.
Pendarahan selepas menopause – walaupun ramai rasa ‘macam anak dara semula’, itu sebenarnya tanda tidak baik.
Ramai wanita takut dengan perkataan “kanser” dan enggan jalani pemeriksaan. Namun menurut Dr. Ana, kaedah saringan sangat mudah iaitu dengan melakukan imbasan ultrasound (melalui perut atau faraj), biopsi rahim dan ujian lanjutan seperti CT scan atau MRI jika perlu.
“Pemeriksaan setahun sekali sudah memadai. Kos tidak mahal, tapi impaknya sangat besar. Kanser rahim boleh sembuh serratus peratus jika dikesan awal.”
Bila Perut Dah Busung, Mungkin Sudah Terlambat
Dr Ana mengingatkan wanita agar jangan menunggu hingga perut mula ‘buncit berair’ atau alami kesakitan baru mahu bertindak.
“Busung air itu tanda kanser dah merebak ke organ lain. Jangan tunggu waktu itu baru nak berjumpa doktor. Kanser jika dapat dikesan lebih awal, lagi tinggi peluang sembuh,” kata Dr. Ana.
Jangan Takut Hilang Rahim
Jika kanser rahim sudah disahkan, langkah rawatan paling utama ialah pembedahan membuang rahim dan kelenjar berhampiran. Kaedah kini lebih moden termasuk pembedahan robotik yang cepat sembuh dan kurang kesan sampingan. Malah di Pusrawi juga semua kemudahan ini disediakan.
Ramai wanita Melayu takut rahim dibuang kerana risau suami menjauh.
“Saya nak tegaskan, tanpa rahim pun seorang wanita masih boleh menjadi isteri sepenuhnya. Selagi ada sokongan pasangan dan keluarga, wanita tetap boleh berfungsi seperti biasa. Jangan biar ketakutan musnahkan peluang hidup,” tegas Dr. Ana.
Amalkan Gaya Hidup Sihat, Pemakanan Seimbang & Elak Makanan Segera
Dr. juga Ana menyeru semua wanita untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kawal berat badan, kurangkan makanan berlemak dan makanan segera, lakukan senaman berkala dan paling penting jangan abaikan pemeriksaan kesihatan berkala.
“Kalau takut pembedahan sekalipun, jangan terus menghilang. Jumpa doktor, dapatkan pandangan. Takut tidak akan hilangkan kanser. Tapi ilmu dan tindakan akan selamatkan nyawa kita,” pesan Dr. Ana.
Antara kemudahan fasiliti yang terdapat di Pusrawi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam mencari pasangan untuk dijadikan suri hati, tidak dapat dinafikan ada lelaki yang jenis yang suka mengambil kesempatan, mencari isteri yang berpangkat, kerja kerajaan dan bergaji besar untuk menumpang senang dan goyang kaki.
Bila memiliki isteri yang ekonominya stabil, ramai suami yang melepaskan tanggungjawab dan sering mempergunakan isteri demi kepentingan diri sendiri.Meskipun tak semua lelaki mempunyai tujuan begini ketika berniat untuk berkahwin, namun realitinya golongan ini memang wujud.
Berikut pengalaman dan pandangan yang dikongsikan oleh Muhammad Ahmad ;
Bila berbual dengan kawan-kawan bujang. Kebanyakkan berhasrat mahu cari isteri berpangkat guru atau pekerjaan dalam sektor kerajaan. Termasuklah minta ‘matt tolong carikan aku doktor perempuan, kau mesti ada kawan-kawan doktor yang belum kahwin. best sikit isteri doktor ni,gaji besar”.
Alasannya senang nanti guna nama isteri buat loan kereta atau rumah. Atau senang cerita ada peluang nanti boleh goyang kaki.* sambil gelak melawak.
Pada awalnya memang mahu melawak. Tapi realitinya inilah yang berlaku hari ini. Isteri yang bergaji besar 5,7k ni akan jadi mangsa oleh suami yang memang jenis goyang kaki. Dalam diam boleh pula kahwin sorang lagi, ini realiti.
Saya kata kepada mereka. Jika itulah tujuan korang mahu beristerikan pekerja kerajaan. Makin ramailah lelaki dayus. Makin ramailah suami abaikan dan mempergunakan isteri demi kepentingan diri sendiri.
Agihkan Tangunggjawab
Korang perlu ingat. Tanggungjawab suami menyediakan tempat tinggal,pakaian,peralatan mandian,makan minum,bil-bil air, perbelanjaan anak-anak ke sekolah, perbelanjaan ketika isteri sakit,bayi baru lahir,bil-bil hospital,ubatan di klinik hatta tuala wanita juga tanggungjawab suami.
Ada yang beranggapan dan mengambil kesempatan apabila isteri bergaji besar, maka tanggungjawab tersebut perlu diagihkan kepada isteri juga. Ini sebenarnya dosa bagi suami.
Jika basic pun korang tidak faham tanggungjawab sebagai seorang suami, bagaimana untuk bina keluarga yang bahagia dan tunai tanggungjawab yang paling besar untuk bimbing isteri dan ahli keluarga masuk syurga?
Saya tambah lagi. Kita berkahwin perlu serius, perlu ada matlamat yang jelas, perlu letakkan diri dan jiwa kita untuk pasangan dan abdikan diri kita kepada Allah, bukan jadikan mereka ‘hamba abdi kita. Ketua keluarga yang baik akan berusaha dari masa ke semasa supaya diri aku ini bermanfaat buat pasangan dan ahli keluarga.
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Buat wanita yang masih belum berkahwin, hati-hatilah dalam memilih lelaki untuk dijadikan suami dan teman hidup. Kenali pasangan luaran dan dalaman sebelum membuat keputusan besar untuk berkahwin.Semoga para wanita dijauhkan daripada mendapat lelaki yang jenis goyang kaki dan hanya menumpang senang isteri.
Buat para lelaki yang bakal menjadi suami, berusahalah atas kaki sendiri, jadilah lebih bertanggungjawab dan perbetulkan niat untuk berkahwin.Jadikan perkongsian pandangan ini sebagai panduan.
Ibu bapa mentua kepada personaliti media sosial Prince Syed ditahan polis selepas insiden serangan di Klang. Pempengaruh itu tampil menjelaskan isu pembedahan bariatrik isterinya, Fatin Syazwani.