Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak Hukum Pasangan

Prosiding Komital
Prosiding Komital

Berkait isu lawatan anak Fattah Amin dan Fazura semalam, masih ramai yang kurang jelas tentang prosiding komital apabila salah seorang daripada pasangan memilih untuk bertindak sedemikian.

Sebelum pergi lebih jauh dalam isu ini dan mengelakkan daripada anda salah faham, jemput baca perkongsian daripada Peguam Syarie Syuhada Zulkifli..

Tak Salah Memihak Tapi Perlu Tahu Prosiding Komital

Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak Hukum Pasangan

Sejak semalam, saya hanya memerhati “kepakaran” netizen yang begitu pantas mengulas sesuatu isu.

Tanpa memahami hujung pangkal, hanya membaca tajuk “menang kalah”, terus membuat kesimpulan dan berpihak. Untuk berpihak kepada mana-mana pihak itu tidak salah. Namun, fahamilah dahulu asas sesuatu permohonan – khususnya apabila melibatkan prosiding komital.

Permohonan komital bukanlah sesuatu yang difailkan secara sewenang-wenangnya. lni bukan berlaku hanya kerana dua atau tiga kali pelanggaran, terus dibawa ke mahkamah. Tidak semudah itu.

Komital merupakan satu permohonan yang kompleks – lazimnya difailkan setelah satu pihak melalui proses yang panjang dan mencabar hanya untuk mendapatkan hak mengambil atau bertemu anak.

Di pihak peguam pula, setiap permohonan perlu disokong dengan pliding yang terperinci serta penghujahan yang kukuh bagi meyakinkan mahkamah.

Ini bukan tindakan terburu-buru, tetapi merupakan langkah terakhir setelah pelbagai usaha lain tidak berhasil.

Bukan Semata-mata Untuk Menghukum!

Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak Hukum Pasangan

 

Apa itu komital?

Komital ialah suatu prosiding mahkamah untuk menghukum pihak yang ingkar terhadap perintah mahkamah – biasanya melibatkan ketidakpatuhan yang jelas dan berterusan.

Dalam konteks Mahkamah Syariah, komital sering timbul apabila:

– Hak lawatan anak tidak diberikan
– Hak bermalam dinafikan
– Atau perintah mahkamah langsung tidak dipatuhi.

Secara mudah, apabila mahkamah telah mengeluarkan perintah tetapi satu pihak sengaja mengingkari atau – maka tidak mengendahkannya – komital adalah tindakan untuk memastikan perintah tersebut dipatuhi.

Apa yang berlaku dalam prosiding komital?

Pihak yang ingkar akan dipanggil ke mahkamah dan mahkamah akan menilai sama ada benar berlaku pelanggaran.

Sekiranya sabit, tindakan boleh dikenakan seperti denda atau penjara.

Namun, penting untuk difahami tujuan utama komital bukan untuk menghukum, apatah lagi untuk memenjarakan.

lni adalah satu bentuk peringatan tegas supaya perintah mahkamah dihormati dan dipatuhi.

Permohonan ini boleh difailkan:

⚫ secara sebelah pihak (ex parte) sekiranya terdapat keperluan mendesak, atau
⚫ secara kedua-dua pihak (inter partes).

Dalam kes Fazura-Fattah, satu sahaja ulasan saya:

– Permohonan tersebut difailkan secara ex parte, namun telah ditolak. Justeru, ini akan diteruskan secara inter partes, di mana kedua-dua pihak akan diberi ruang untuk didengar dan diadili dengan sewajarnya.

Yang Ingkar Kena Patuhi Perintah Mahkamah

Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak Hukum Pasangan

Dalam banyak keadaan, komital menjadi satu “wake-up call” kepada pihak yang ingkar supaya kembali mematuhi perintah mahkamah – terutamanya dalam isu melibatkan anak. Di sesetengah negeri, sebelum memfailkan komital, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu.

Justeru, apabila permohonan kebenaran atau komital ditolak, itu bukan bermaksud tiada pelanggaran berlaku.

Boleh jadi:

Terdapat alasan munasabah mengapa anak tidak dapat diserahkan, atau dalam tempoh prosiding berjalan, pihak yang ingkar telah kembali patuh setelah dinasihati peguam.

Apabila Yang Arif melihat keadaan telah kembali kepada asal, maka permohonan tersebut wajar ditolak.

Ketika keputusan dibacakan, Yang Arif bukan sekadar menolak atau membenarkan permohonan tetapi turut memberikan peringatan kepada pihak yang mempunyai hak jagaan penuh mengenai akibat mengingkari perintah mahkamah.

Sekali lagi ditegaskan – prosiding komital bukan semata-mata untuk menghukum.

lni adalah satu peringatan yang tegas. Jika benar tiada pelanggaran, permohonan ini tidak akan melepasi peringkat untuk difailkan sekalipun.

Ditolak bukan bererti tiada kes.

Apabila sesuatu perkara telah sampai ke mahkamah dan difailkan, itu menandakan adanya hak yang didakwa telah dinafikan dan dalam kebanyakan keadaan, ia melibatkan hak seorang ibu atau bapa untuk bertemu anak.
Ini bukan soal siapa – bukan Fazura atau Fattah.

Ini Realiti Harian di Mahkamah Syariah

Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak Hukum Pasangan

Hanya mereka yang melalui sendiri akan benar-benar memahami.

Hak tetap hak.
Apabila nafkah anak diberikan, adalah tidak munasabah untuk menafikan hak seorang bapa melihat anaknya sendiri.

Saya sendiri sedang mengendalikan satu kes komital yang masih berjalan – melibatkan seorang ibu yang dinafikan hak lawatan.

Bukan seminggu. Bukan sebulan. Tetapi dua tahun.

Dua tahun tidak dapat bertemu anak yang disembunyikan.

Pelbagai rundingan telah dibuat. Pelbagai usaha telah diusahakan.

Namun tiada hasil.
Akhirnya, mahkamah menjadi jalan terakhir untuk menuntut hak seorang ibu – hanya untuk bertemu anaknya sendiri.

Bagi yang tidak melalui, mudah untuk berkata:

“Move on.”

Namun cubalah duduk sehari di Mahkamah Syariah.

Lihat sendiri berapa ramai yang berjuang hanya untuk satu perkara – hak bertemu anak.

Barulah difahami, ini bukan sekadar soal emosi.

Ini soal hak.

Apabila seseorang itu layak, berhak, dan diiktiraf oleh undang-undang atau syarak untuk memiliki sesuatu – maka orang lain wajib menghormatinya.

Daripada terus mengecam, lebih baik kita mendoakan agar kedua-dua pihak menemukan jalan perdamaian dan komunikasi yang lebih harmoni.

Walaupun hubungan sebagai suami isteri telah berakhir, hubungan sebagai ibu dan ayah tidak pernah terputus.

Demi anak, semoga yang tinggal bukan sengketa tetapi kematangan dan tanggungjawab.

 

 

Faraj Berbau Hanyir Selepas Bersama Suami? Ini Punca & Cara Atasi Jangkitan Bakteria

Faraj Berbau Hanyir

Ramai wanita pernah berdepan situasi ini. Rasa tidak selesa apabila faraj berbau hanyir, terutama selepas bersama suami.

Walaupun jarang dibincangkan secara terbuka, masalah ini sebenarnya agak biasa dan boleh berlaku kepada wanita dalam usia reproduktif.

Namun, ia bukan sesuatu yang boleh diabaikan kerana mungkin menjadi tanda jangkitan bakteria pada faraj.

Baca juga: “Miss V” Tidak Terjaga Boleh Sebabkan Radang Pelvis,Jejaskan Kesuburan Wanita

Kenapa Faraj Berbau Hanyir?

Ia terjadi disebabkan oleh Vaginosis bakteria, keadaan di mana berlaku ketidakseimbangan antara bakteria baik dan bakteria jahat dalam faraj.

Dalam keadaan normal, faraj mempunyai bakteria baik seperti Lactobacilli yang membantu mengekalkan keseimbangan pH.

Apabila keseimbangan ini terganggu, bakteria jahat akan membiak dan menyebabkan jangkitan.

Antara Simptom Yang Perlu Diperhatikan

Jika anda mengalami masalah ini, antara tanda yang biasa berlaku termasuk:

  • Bau hanyir yang kuat, terutama selepas hubungan intim
  • Keputihan cair berwarna putih, kelabu atau kehijauan
  • Rasa tidak selesa atau sedikit gatal
  • Rasa pedih ketika membuang air kecil

Jika simptom berlarutan, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor.

Kenapa Faraj Berbau Hanyir Selepas Bersama?

Ramai wanita tertanya-tanya kenapa bau menjadi lebih ketara selepas bersama pasangan.

Ini kerana air mani bersifat alkali, manakala faraj secara semula jadi berasid.

Perubahan pH ini boleh mengganggu keseimbangan bakteria dan menyebabkan bau serta jangkitan berlaku.

Rawatan & Risiko Berulang

Rawatan biasa melibatkan antibiotik yang diberikan oleh doktor.

Namun, kajian menunjukkan jangkitan ini boleh berulang dalam tempoh setahun jika keseimbangan bakteria tidak dijaga dengan baik.

Penggunaan antibiotik yang kerap juga boleh menjejaskan bakteria baik.

Cara Mencegah Jangkitan Berulang

Beberapa langkah mudah boleh diamalkan:

✔ Pilih pakaian dalam yang sesuai

Gunakan material kapas dan elakkan pakaian terlalu ketat.

✔ Jaga kebersihan, elak douching

Jangan mencuci bahagian dalam faraj kerana boleh mengganggu keseimbangan semula jadi.

✔ Gunakan produk yang sesuai

Pilih produk yang membantu mengekalkan pH faraj sekitar 3.8–4.5.

✔ Jaga keseimbangan bakteria baik

Pastikan kawasan intim sentiasa kering dan bersih.

Baca juga: PENTING! Wanita Perlu Menjalani Ujian Pap Smear 3 Tahun Sekali

Kenapa Kesihatan Intim Penting?

Faraj mempunyai sistem semula jadi yang menjaga keseimbangannya.

Namun, faktor seperti hormon, haid, tekanan dan gaya hidup boleh mengganggu keseimbangan ini.

Jika tidak dijaga, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti:

  • Jangkitan berulang
  • Masalah kesihatan reproduktif
  • Risiko komplikasi kehamilan

Masalah faraj berbau hanyir bukan sesuatu yang perlu dipendam atau dimalukan.

Ia adalah isu kesihatan yang boleh dirawat. Yang penting, kita faham puncanya dan tahu cara menjaganya dengan betul.

Sumber: Hello Doktor

Fattah Amin Failkan Saman Pada Fazura Berkaitan Hak Lawatan Anak

Fattah Amin
Fattah Amin

Pelakon sensasi, Fattah Amin mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas isterinya, Nur Fazura.

Fattah Amin Failkan Saman

Fattah Amin Failkan Saman Pada Fazura Berkaitan Hak Lawatan Anak

Terbaharu, tular satu perkongsian daripada  Musang Berjanggut berkaitan jadual prosiding sebutan kes mahkamah (MAL) pada 31 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang tertera nama kedua-dua pelakon itu.

Dalam jadual tersebut nama Abdul Fattah Mohd. Amin tertera sebagai Pihak 1 (plaintif) dan Nur Fazura Sharifuddin sebagai Pihak 2 (tertuduh).

Untuk ketahui lebih jauh isu ini, peguam yang mewakili Nur Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan ada menjelaskan berkaitan sebutan kes berkenaan menerusi satu temu bual satu portal hiburan.

Fazura Boleh Dipenjarakan Langgar Perintah

Fattah Amin Failkan Saman Pada Fazura Berkaitan Hak Lawatan Anak

Menurut Fakhrul, Fattah didapati memfailkan satu permohonan kebenaran tunjuk sebab secara ‘ex parte’ terhadap Fazura melalui prosiding komittal yang jika sabit kesalahan, Fazura boleh dipenjarakan kerana melanggar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan yang diberikan kepada Fattah.

“Fattah failkan kes tersebut pada awal Februari lalu. Pada 31 Mac 2026, Hakim Yang Arif Tuan Salehan telah membuat keputusan untuk menolak permohonan yang difailkan oleh Fattah.

“Dalam erti kata lain, mahkamah menolak permohonan tersebut kerana tiada sebab untuk kenakan tindakan tunjuk sebab kepada Fazura. Mungkin bagi mahkamah, hak lawatan itu berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Boleh Diselesaikan Di luar Mahkamah

Fattah Amin Failkan Saman Pada Fazura Berkaitan Hak Lawatan Anak

Kongsinya, pada hari berlangsungnya sebutan kes, hanya Fattah yang hadir ke mahkamah, kerana kes tersebut adalah ‘ex parte’ (sebelah pihak).

“Sebelum kita ambil tindakan perlu dapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu. Tetapi peringkat untuk mendapatkan kebenaran itu pun tidak diluluskan oleh mahkamah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, perkara sebegitu boleh diselesaikan di luar mahkamah dengan kaedah negosiasi.

“Mungkin ada dua tiga kali yang Fatima sendiri tak mahu pergi kerana penat ataupun terlambat kerana ada kelas mengaji. Tetapi tahun ini Fatima dapat beraya bersama bapanya,” ujarnya.

Apa pun masalah mereka berdua, semoga kedua belah pihak boleh jernihkan keadaan demi pembesaran anak tersayang.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Fazura mendapat hak penjagaan penuh terhadap anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, manakala Fattah Amin diberi hak lawatan serta bermalam dua kali sebulan. Fattah juga dibenarkan bertemu Fatima tiga kali seminggu, termasuk bermalam.

Gambar: Fazura & Fattah Amin

Cara Urus Rambut Jenazah Wanita Panjang, Ikut Sunnah Nabi Muhammad SAW

rambut jenazah wanita

Pengurusan jenazah bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu amanah besar yang menuntut ilmu dan adab yang betul.

Ramai wanita mungkin pernah terlibat membantu menguruskan jenazah, namun masih ada perkara-perkara tertentu yang jarang diketahui.

Salah satunya adalah cara mengurus rambut jenazah wanita yang panjang.

Baca juga: Bakti Terakhir Untuk Mak, Pastikan Anak Mandikan Jenazah Jangan Bagi Orang Berkasar

Pengalaman Sendiri Urus Jenazah

Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah menguruskan tiga jenazah wanita, termasuk ahli keluarga terdekat.

Menurutnya, proses yang dilakukan merangkumi:

  • Memandikan jenazah
  • Menjahit bantal jenazah
  • Mengkafankan
  • Menyediakan keperluan lain

Namun, walaupun pernah melalui pengalaman tersebut, masih ada ilmu baru yang dipelajari.

Rambut Jenazah Wanita Perlu Dianyam

Baru-baru ini, beliau mengetahui bahawa jika rambut jenazah wanita itu panjang, rambut tersebut boleh dan digalakkan untuk dianyam.

rambut jenazah wanita

rambut jenazah wanita

Cara yang betul:

  • Rambut dibahagikan kepada tiga bahagian
  • Dianyam (tocang) seperti biasa
  • Diletakkan di bahagian belakang

Tujuannya adalah untuk memastikan rambut berada dalam keadaan kemas dan teratur sepanjang proses pengkafanan.

Baca juga: Suami Meninggal Di Rumah, Bolehkah Isteri Iringi Jenazah Ke Masjid Sebagai Tanda Penghormatan Terakhir?

Ilmu Kecil, Tapi Penting

Perkara ini mungkin nampak kecil, tetapi sangat penting dalam memastikan pengurusan jenazah dilakukan dengan penuh tertib dan hormat.

Hakikatnya, masih ramai yang belum tahu teknik ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang jarang terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah.

Pengajaran Untuk Kita Semua

Ilmu pengurusan jenazah bukan hanya untuk golongan tertentu. Ia adalah fardu kifayah yang sepatutnya dipelajari oleh lebih ramai wanita.

Kadang-kadang, kita sangka sudah tahu semuanya, rupa-rupanya masih ada perkara baru yang boleh dipelajari.

Sumber: SPJM, Ustaz Rafie Zainal

Susah Senang Ozlynn dan Johan Sebelum Sampai Tahap Sekarang, Pernah Terima Nafkah RM1

Ozlynn dan Johan
Ozlynn dan Johan

Bukan terus senang bila masuk alam berumahtangga, inilah yang dilalui Ozlynn dan Johan sebagai suami isteri sebelum mencapai kesenangan.

Pernah Terima Nafkah RM1

Susah Senang Ozlynn dan Johan Sebelum Sampai Tahap Sekarang, Pernah Terima Nafkah RM1

Ozlynn atau Roslinawaty Ismail, 44, berkata suatu ketika dahulu hidup mereka serba kekurangan sehingga ada hari yang terpaksa dilalui tanpa makanan mencukupi.

“Hidup dengan suami aku dulu kais pagi, malam kadang tak ada apa nak makan.

“Tapi sebab kerja aku bagus dapat tolong suami. Sampai pernah dia (Johan) bagi nafkah dekat aku RM1 saja.

“Aku ambil duit itu cakap saya terima sambil senyum,” katanya.

Ozlynn berkongsi perkara itu menerusi ruangan komen di Threads sebagai respons kepada perbincangan mengenai kehidupan rumah tangga.

Susah Senang Ozlynn dan Johan

Susah Senang Ozlynn dan Johan Sebelum Sampai Tahap Sekarang, Pernah Terima Nafkah RM1

Dalam pada itu, Ozlynn turut mengimbau bagaimana dia menyimpan perasaan sedih melihat kesusahan suaminya pada ketika itu.

Kongsinya, Johan sentiasa berusaha mencari rezeki buat keluarga dan sering memintanya untuk mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.

“Dia suruh aku tolong doakan semoga Allah bantu dia. Aku terus masuk bilik air.

“Aku menangis sampai sakit tekak. Bukan sebab jumlah nafkah tapi cara dia rendahkan maruah depan aku.

“Aku nampak usaha dia cari rezeki. Maka aku doa minta Allah bantu. Alhamdulillah sekarang dia senang dan tak pernah lupakan aku,” ujarnya.

Sekadar info, Ozlynn mendirikan rumah tangga dengan Johan atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 42, pada 25 Julai 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.

Gambar: Ozlynn

JAIM Tarik Sijil Halal Kilang Kopi & Biskut Di Melaka, Guna Berus Disyaki Bulu Babi

tarik sijil halal

Isu halal bukan perkara kecil, lebih-lebih lagi apabila melibatkan produk makanan yang digunakan oleh umat Islam setiap hari.

Terbaharu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak tarik sijil halal milik sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka.

Baca juga: Lavender Bakery Akui Tiada Sijil Halal, Maklum Guna Bahan Halal & Patuh Standard HACCP

Tarik Sijil Halal, Dikesan Guna Berus Berasaskan Bulu Haiwan

Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan berus yang dipercayai diperbuat daripada bulu haiwan dalam proses pembersihan peralatan.

Berus tersebut kemudian disita dan dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) untuk analisis lanjut.

Analisis Sahkan Ciri Fizikal Bulu Babi

Menurut Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat, hasil analisis yang diterima mengesahkan bahawa berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi.

Susulan itu, JAIM tarik sijil halal premis tersebut serta-merta.

Kilang tersebut dilaporkan telah beroperasi lebih 10 tahun dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah.

Baca juga: JAKIM Sahkan Bungkus Kaw-Kaw, Dolly Dim Sum, Johnny’s Antara 5 Restoran Bukan Pemegang Sijil Halal

Alasan Tidak Tahu Tidak Boleh Diterima

Pihak premis memberi alasan tidak mengetahui asal bahan berkenaan. Namun, JAIM menegaskan bahawa ketidaktahuan bukan alasan untuk melanggar piawaian halal.

Pemegang sijil halal bertanggungjawab memastikan setiap aspek operasi termasuk bahan, peralatan dan proses perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

Tiada kompromi dalam hal ini.

Pemantauan Akan Terus Diperketat

JAIM memaklumkan akan terus memperhebatkan pemantauan terhadap semua premis yang memiliki sijil halal.

Langkah ini penting bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk sentiasa terjamin.

Pengguna Perlu Lebih Berhati-Hati

Dalam masa sama, orang ramai disaran untuk:

  • Memilih produk yang mempunyai sijil halal sah
  • Peka terhadap isu semasa berkaitan makanan
  • Tidak ambil mudah soal halal

Sebagai pengguna, kesedaran adalah benteng pertama.

Kes ini menjadi peringatan bahawa sijil halal bukan sekadar label, tetapi satu amanah besar. Peniaga perlu lebih bertanggungjawab, manakala pengguna perlu lebih bijak dalam membuat pilihan.

Sumber: Malaysia Gazette

Kes Zara Qairina: Pakar Psikiatri Dedah Dapatan, Tekanan Emosi Jadi Faktor Risiko Utama

Kes Zara Qairina

Masih ingat kes kematian melibatkan seorang pelajar tingkatan satu, Kes Zara Qairina Mahathir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut, Sabah pada 17 Julai tahun lalu?

Dalam perkembangan terbaharu, pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung memaklumkan bahawa dapatan penilaian menunjukkan faktor risiko emosi dan tekanan memainkan peranan besar dalam Kes Zara Qairina ini.

Baca juga: Kesan DNA Zara Qairina: Pendedahan Mengejut Di Mahkamah Koroner
Baca ini juga: Inkues Zara Qairina: Darah Pada Tulisan Tangan Sepadan DNA Zara Qairina

Penilaian Berdasarkan Bedah Siasat Psikologi

Menurut Dr Chua yang tampil sebagai saksi bagi Kes Zara Qairina, laporan psikiatri setebal 84 muka surat telah disediakan bagi menilai kebarangkalian faktor yang menyumbang kepada kematian remaja tersebut.

Penilaian ini melibatkan semakan pelbagai sumber termasuk:

  • Diari peribadi
  • Laporan kejadian
  • Laporan perubatan
  • Sesi kaunseling
  • Temu bual bersama keluarga dan pihak sekolah

Pendekatan ini dikenali sebagai bedah siasat psikologi, iaitu kaedah untuk memahami keadaan mental seseorang sebelum kejadian.

Tanda Tekanan Emosi & Cabaran Remaja

Hasil penilaian menunjukkan terdapat beberapa petunjuk berkaitan tekanan emosi, termasuk:

  • Kemarahan melampau
  • Tingkah laku mencederakan diri
  • Hubungan sosial yang tidak stabil
  • Ketakutan ditinggalkan

Namun begitu, pakar turut menjelaskan bahawa maklumat tersebut tidak mencukupi untuk mengesahkan diagnosis gangguan mental secara klinikal.

Tekanan Akut Boleh Ganggu Pertimbangan

Menurut Dr Chua, gabungan faktor tekanan dan pencetus tertentu boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan rasional.

Dalam keadaan tekanan emosi yang tinggi, seseorang mungkin mengalami:

  • Pertimbangan yang terjejas
  • Kesukaran mengawal emosi
  • Rasa terasing
  • Kehilangan sokongan emosi

Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan persekitaran terhadap remaja.

Remaja 13–15 Tahun Antara Golongan Berisiko

Kajian turut menunjukkan bahawa remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun merupakan antara kumpulan yang berisiko tinggi menghadapi tekanan emosi serius.

Faktor yang sering dikaitkan termasuk:

  • Tekanan akademik
  • Konflik keluarga
  • Rasa tidak diterima
  • Perubahan emosi yang mendadak

Lebih membimbangkan, sebahagian kes tidak mempunyai rekod diagnosis kesihatan mental sebelum ini.

Peranan Keluarga & Komuniti

Kes Zara Qairina ini membuka ruang untuk kita melihat semula bagaimana kita memahami emosi remaja.

Wanita sebagai ibu, kakak atau penjaga, memainkan peranan penting dalam:

  • Mengesan perubahan emosi anak
  • Memberi ruang untuk anak berkongsi perasaan
  • Mengurangkan tekanan yang tidak perlu
  • Mendapatkan bantuan profesional lebih awal

Kadangkala, tanda-tanda kecil adalah isyarat yang tidak boleh diabaikan.

Kes Zara Qairina bukan sekadar laporan berita. Ia adalah peringatan tentang pentingnya kesedaran kesihatan mental dalam kalangan remaja.

Memahami, mendengar dan memberi sokongan mungkin menjadi langkah paling awal untuk mencegah perkara yang tidak diingini.

Sumber: Harian Metro

Anak Penjual Pisang Goreng Raih 11A+ SPM & Hafiz Quran Ditawar Program MARA ke Jordan

Anak penjual goreng pisang raih 11A+ SPM & Hafiz Quran ditawar program MARA ke Jordan.
Seorang anak kepada penjual pisang goreng, Fakhrul Iman Zainudin yang  mencatat pencapaian luar biasa  meraih 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 semalam menerima rezeki tidak disangka-sangka apabila ditawarkan  mengikuti pengajian melanjutkan pengajian ke luar negara melalui tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson yang juga merupakan seorang hafiz Al-Quran 30 juzuk ditawarkan berita gembira ini oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki mengikuti pengajian ke Jordan di bawah tajaan MARA ketika hadir bersama ibu bapanya  ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan pendidikan MARA.

jelas Pengerusi MARA ini pencapaian cemerlang Fakhrul melayakkan dirinya dipertimbangkan untuk menyertai program khas MARA ke Jordan yang dikhususkan kepada pelajar tahfiz berprestasi tinggi.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang Syariah dengan pengkhususan dalam Ekonomi dan Kewangan Islam, selaras dengan keperluan semasa negara,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia sebagai antara peneraju global dalam industri kewangan Islam memerlukan lebih ramai tenaga pakar yang bukan sahaja mahir dalam Syariah tetapi turut mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan moden.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Asyraf turut berkongsi pengalaman beliau dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam serta menggalakkan Fakhrul memperluaskan skop pengajian bagi menghadapi cabaran masa depan.

Beliau turut menitipkan pesanan agar Fakhrul tidak melupakan jasa ibu bapanya yang membesarkan beliau dengan hasil jualan pisang goreng.

“Dengan ilmu, insya-Allah kehidupan keluarga dapat diubah. Jangan sesekali lupakan pengorbanan ayah dan ibu,” katanya.

Fakhrul merupakan anak kepada peniaga kecil yang dikenali sebagai “Abang Din Goreng Pisang” dan kejayaannya dilihat sebagai contoh bagaimana latar belakang sederhana bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Pertemuan itu turut diserikan dengan suasana santai apabila Dr. Asyraf sempat menguji hafazan Al-Quran Fakhrul secara berseloroh, sebagai tanda keyakinan terhadap kemampuan pelajar tersebut.

Kisah kejayaan Fakhrul mencerminkan bahawa usaha, disiplin dan pendidikan berkualiti mampu mengubah masa depan sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Muncul Di Mahkamah Syariah Secara Berasingan, “Doakan Yang Baik-Baik…

Zizi Kirana & Yusuf Bahrin muncul di mahkamah syariah secara berasingan, “doakan yang baik-baik. Penyanyi Zizi Kirana hari ini muncul di Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi satu urusan berkaitan rumahtangganya bersama suami, Yusuf Bahrin.

Diilihat datang secara berasingan dengan pasangannya, pempengaruh ini datang ke mahkamah dengan ditemani rakan baik iaitu Datin Umie Aida dan Ustazah Asni Mansor. Mengenakan jubah warna hitam dan berniqab, Zizi Kirana dilihat tenang ketika melangkah masuk ke perkarangan mahkamah pagi ini.

Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Muncul Di Mahkamah Syariah Secara Berasingan, "Doakan Yang Baik-Baik...
Zizi Kirana muncul di Mahkamah Syariah Petaling ditemani Datin Umie Aida dan Ustazah Asni Mansor
Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Muncul Di Mahkamah Syariah Secara Berasingan, "Doakan Yang Baik-Baik...
Zizi mohon doa yang baik-baik dari orang ramai dan agar urusan kedua belah pihak dipermudahkan

Ketika bercakap kepada media, akvitis ini hanya memberikan kenyataan ringkas di mana dirinya meminta agar orang ramai mendoakan yang baik-baik dan semoga urusan kedua-dua belah pihak dipermudahkannya.

Memetik laporan Sinar Harian, Zizi juga tidak memperincikan mengenai kehadirannya ke mahkamah pagi ini. Sama ada bagi proses perceraian dan sebagainya.

Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Muncul Di Mahkamah Syariah Secara Berasingan, "Doakan Yang Baik-Baik...
Yusuf dilihat tidak datang bersama Zizi dan ianya jelas mengenai spekulasi bahawa rumahtangga pasangan ini sedang bergolak

Sebelum ini, sejak tahun lalu orang ramai mula berteka teki mengenai perhubungan mereka kerana dilihat tiada gambar berdua di muat naik di media sosial.

Bahkan Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, turut mengesahkan ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Mahkamah Rendah Syariah. Bahkan Zizi dilihat turut tidak mengulas pertanyaan media berkenaan rumahtangganya yang dikatakan sedang bergolak.

Raih 11A+ SPM, Fakhrul Iman Kongsi Rahsia Kejayaan Sepanjang Jadi Pelajar

11A+ SPM
11A+ SPM

Raih 11A+ SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), anak penjual pisang goreng dan laksa buat ramai rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai sebagai seorang pelajar.

Namun baru-baru ini anak muda ini terharu apabila ada pihak yang sudi memberikan dua biasiswa kepadanya untuk melanjutkan pelajaran.

Raih 11A+ SPM

Raih 11A+ SPM, Fakhrul Iman Kongsi Rahsia Kejayaan Sepanjang Jadi Pelajar

Fakhrul Iman Zainudin, 18, berkata, dia sangat menghargai tawaran itu sekali gus dapat mengurangkan beban ibu dan bapanya untuk meneruskan pengajian ke menara gading bagi mengejar cita-citanya sebagai pensyarah.

Fakhrul Iman Kongsi Rahsia Kejayaan Sepanjang Jadi Pelajar

Raih 11A+ SPM, Fakhrul Iman Kongsi Rahsia Kejayaan Sepanjang Jadi Pelajar

Katanya, dia belajar bersungguh-sungguh sejak tingkatan tiga selepas merasai pengalaman pembelajaran di rumah selama dua tahun akibat Covid-19.

“Perkara paling penting yang saya amalkan ialah adab dengan guru haruslah dijaga. Semasa cikgu ajar di depan, jangan berbual di belakang,” kongsinya.

Menurut Fakhrul Iman, dia terus membantu bapanya, Zainudin Abdul Latif, 63, dan ibunya, Zarina Sood, 54, selepas mengambil slip keputusan SPM di Sekolah Menengah Agama Telok Kemang semalam.

Raih 11A+ SPM, Fakhrul Iman Kongsi Rahsia Kejayaan Sepanjang Jadi Pelajar

Sementara itu, Zainudin berkata, perasaannya bercampur baru selepas mendapati anaknya mendapat A+ dalam kesemua mata pelajaran walaupun ia tidak begitu ketika peperiksaan percubaan.

“Itu yang saya bangga serta sebak lihat keputusan Ayoi (Fakhrul Iman). Ikutkan, sejak dari kecil lagi, Ayoi ni memang cepat belajar seawal usia empat tahun. Kalau di tadika pun, guru tadika selalu minta Ayoi bantu rakan-rakan seusia belajar,” katanya.

Apa pun, ini satu kejayaan bukan biasa-biasa memandang kehidupannya bukan berasal dari golongan orang berada. Semoga adik Fakhrul Iman berjaya dalam bidang yang akan diceburi dan tidak melupakan jasa kedua ibu bapanya.

 

Cerita Lain

Prosiding Komital

Seret Bekas Pasangan ke Penjara, Peguam Jelas Prosiding Komital Bukan Nak...

Berkait isu lawatan anak Fattah Amin dan Fazura semalam, masih ramai yang kurang jelas tentang prosiding komital.