
Eda Ezrin minta ruang untuk berehat, tidak mahu diganggu. Penyanyi terkenal asal Kelantan, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memohon agar diberikan ruang sementara menunggu kepulangan suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35.
Eda Ezrin Minta Ruang Untuk Berehat, Tidak Mahu Diganggu
Difahamkan, Mohd Affendi kini masih ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi melengkapkan proses dokumentasi sebelum dibenarkan pulang. Sumber terdekat memaklumkan, Eda memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan awam buat masa ini.
“Dia tunggu suami pulang ke sini (Kelantan). Kemudian akan bincang dengan suaminya, bila selesai semua itu barulah kumpul keluarga pula.”
Buat masa sekarang Eda Ezrin mohon jangan diganggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurut laporan Sinar Harian Khamis lalu, Eda pulang ke pangkuan keluarga pada jam 11.40 malam selepas menjalani hukuman sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Ibu kepada dua anak berusia lima dan sembilan tahun itu dibawa pulang setelah selesai memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang selama lebih tiga jam bersama rakannya, Nur Aida Mamat, 33.
Pada Rabu, Eda dan Nur Aida dibebaskan sepenuhnya dari tahanan penjara berkenaan sebelum berlepas ke Kelantan pada jam 6 petang hari yang sama. Namun, suami Eda bersama tiga individu lain iaitu Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi urusan dokumentasi sebelum dibolehkan pulang.

Difahamkan, setibanya di Kelantan, Eda memilih untuk menetap sementara di kediaman ibu mentuanya di Kota Bharu.
Terdahulu, Eda, suami dan empat rakannya dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu lalu.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Eda Azrin Dibebaskan Dari Penjara Narathiwat, Tiada Bukti Kukuh Dikaitkan Dengan Pemilikan Pil Kuda
Anak Melompat Gembira Ibu Dibebaskan, Eda Ezrin Pulang Selepas 9 Bulan Ditahan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Pernah Tengok Tak Orang Mop Dinding?’ Sakit Mental Inilah Antara Kesan Dadah Jenis Syabu, Ketahui 15 Selebihnya

Mak ayah tahukan kesan dadah ini bahayanya macam mana. Lebih mengejutkan apabila Puan Nadia Hazmi, Pegawai Anti Dadah di AADK Daerah Kuching, Sarawak berkongsi tip bagaimana mak ayah perlu pantau keadaan anak-anak sejak dari kecil
Sebab bila mereka dah terjebak dengan dadah jenis psikoaktif seperti syabu inilah bila diambil berterusan dalam jangka masa panjang, boleh sebabkan otak mereka mereng serupa pesakit mental. Pendek kata boleh buat jadi GILA.
Pengalaman Kerja Di Serenti
Pernah tengok tak orang mop dinding? Haa.. ini ok lagi. Lebih dahsyat bila tengok budak-budak ini mop karpet siap tabur serbuk pencuci Daia lagi.
Bertambah bisa sel otak cik puan pegawai pemulihan melihatnya.
Di Sarawak ini, kami lebih banyak berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan pesakit mental. Ini kesan pengambilan dadah jenis psikoaktif seperti Syabu atau nama manjanya Batu/ Ice/Kaca yang paling banyak dijual di merata pelosok malahan secara terbuka.
Pengambilan dadah jenis inilah, biasanya sebabkan penagih jadi mental, psiko, skizofrenia, delusi, pendek katanya GILA.
Mereka hilang pertimbangan diri, hilang kewarasan. Setelah pengambilan lama dan berterusan. Bila dah jadi macam ni, harapan untuk pulih tu sangat tipis.
Sakit Mental.. Demi Syabu Sanggup Membunuh
Syabu adalah dadah yang popular di masa kini. Ianya membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresif untuk mendapatkannya.
Paling geram, tokan-tokan syabu ini ada yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kalinya agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).
Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan dari negara kita. Harganya yang mahal (100 miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka.
Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri. Jadi anda, perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.
Berikut adalah cara-cara untuk anda men’detect’ tanda-tanda penagihan dadah paling durjana abad ini:

Tanda Dan Kesan Pengambilan Syabu, Mak Ayah Kena Ambil Tahu Pantau Anak-anak
1. Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi. Mereka akan menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal mereka pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.
Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.
Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka. Namun ianya hanya untuk seketika. Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai ‘kong’).
2. Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.
Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.
3. Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang tu dia akan mengetap gigi, ada sesetengah tu akan basuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.
Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.
4. Pada saat “kong” ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.
Masa ini lah tiba-tiba keluar kisah cinta lama lah, sedih dengan masyarakat lah, kawan-kawan aniaya dia lah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.
5. Tanda-tanda fizikal ini diceritakan oleh ramai. orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur. Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.
6. Boleh juga dilihat pada wajahnya seperti di bawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung). Kesan jangka masa panjang.
7. Berdasarkan pengalaman sendiri dalam bidang ni, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh. Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.
8. Di antara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang ‘extreme’ ni boleh jadi gila terus.
9. Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman. Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.
10. Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan kaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu. Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini. Pada ketika inilah anda boleh lihat bomoh dan pawang-pawang di luar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.
11. Antara perkara yang patut diperhatikan, Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari. Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam tu kena bagi ‘extra care’ lah nampak gayanya.
12. Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat ‘topup’ syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab tu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.
13. Salah sangka di kalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.
Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.
Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru). Namun kalau dah extreme tu susah juga nak sedarkan mereka.
14. Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka. Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.
15, Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang. Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lamanya yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.
PS: Gambar ni (gambar orang mop dinding biru) dari album 6 tahun lepas. Klien dalam gambar ni, ada datang ‘melawat’ kami minggu lepas. Siap speaking london lagi. Soalan pertama dia “Hai doktor! Anak cik puan dah berapa orang? Berapa orang dah suami puan?”
Sumber/Foto : Nadia Hazmi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
50 Hari Bergelar Isteri Kepada Penyelam, Allah Uji AhTeng Dengan Berita Kematian Suami

Tepat 50 hari Fatin Nor Afirah atau mesra disapa AhTeng bergelar isteri kepada penyelam profesional dan bekas tentera, Kapten Sazali Sakiran, Allah menguji wanita ini. Pada sambutan ulang tahun kelahiran ayahnya, dia harus akur apabila takdir Allah sudah tertulis buatnya.
Takdir yang sama sekali tidak boleh berubah sampai bila-bila. Takdir yang memisahkan dirinya dan suami di dua alam yang berbeza. Hanya ada air mata dan kerinduan selepas suaminya menemui ajal akibat diving related injury di mana paru-parunya pecah selepas naik ke permukaan air dengan terlalu cepat selepas menyelam pada kedalaman 60 meter.
Suaminya keluar mencari rezeki buat keluarga, dia diupah mengambil sample pasir pada kedalaman itu dengan harga RM1000.
Menziarahi kubur suami, kembali menyelam dengan baju kurung yang dipakai raya setahun sebelumnya. MW menghubungi dirinya dan berkongsi segala kenangan.
Pesan Agar Dikebumi Di Kampung
Mereka sama-sama meminati dunia diver ini dan terlalu banyak kenangan dikumpul biar pun diberi kesempatan sebumbung cuma untuk 50 hari sahaja. Mungkin tempoh itu tidak lama tetapi semasa berkenalan, Kapten Sazali atau mesra disapa Capt sudah “memanjakan” AhTeng.
Dia sanggup mengambil AhTeng di rumah sewa di subuh dinihari, kemudian menghantarnya ke stesen komuter Seremban. Dia melepaskan gadis disayanginya itu dengan pandangan mata kasih dan menjelang petang, tepat jam 6.30 petang, lelaki ini sudah setia menunggu di hadapan pejabat AhTeng yang terletak di Pantai Bharu, Kuala Lumpur.
Bukan saja-saja tetapi Capt inginkan masa bersama kerana dia tahu dirinya semakin kesuntukan masa. Saat indah diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan tiadanya majlis persandingan seperti permintaan AhTeng, rutin itu tidak pernah berubah malah lebih manis lagi, selain bekerja, tugas dirinya sebagai isteri hanyalah memasak sahaja. Lain, semuanya suaminya uruskan.
Bukan tak pernah AhTeng menggosok, mengemas rumah dan sebagainya tetapi suaminya merajuk. “Kalau ko buat semua kerja, aku nak buat apa pula di rumah,” itu balas suaminya yang mana bahasa percakapan mereka lebih kepada gaya orang Sabah bercerita.
Pada pertemuan itu, kongsi AhTeng, dua hari sebelum kejadian dia ada bergurau dengan suami, andai dirinya meninggal, dia bertanya di mana suaminya itu mahu mengebumikannya?
Ternyata soalannya membuat suami di sebelah merajuk. Selepas terdiam beberapa lama, suaminya pantas menjawap, di kampungnya, Kampung Api-Api Kuala Selangor.
“Kemudian suami berpesan jika suami pula yang meninggal dunia, dia mahu dikebumi di kampungnya. Biar jarang pulang ke kampung tetapi di situ ada kubur emak, ayah, adik dan anaknya.
“Selepas mendengar jawapannya, saya pula yang terdiam kerana berasa sebak,” kata AhTeng sambil menambah, kerana suaminya bersetuju menerima pekerjaan mengambil sample pasir di Lumut, demi keselamatan, suaminya telah menghantar dirinya ke rumah keluarga di Sungai Buloh, Selangor.
“Ketika ini, nampak arwah seakan tidak bersedia melepaskan saya pergi. Selepas bersalam dan memeluknya seperti biasa arwah bergerak ke keretanya. Dia masuk dan saya juga sudah mengunci pintu pagar tetapi arwah keluar semula dan memeluk saya sekali lagi, seolah-olah ingin memberitahu itulah pelukan terakhirnya, dunia dan akhirat.
Tidak Sedarkan Diri
Pagi esoknya, sama seperti hari-hari biasa, 20 Mac itu, AhTeng memulakan tugas di pejabat. Sekitar jam 2 petang, dia mendapat panggilan telefon daripada rakan arwah mengenai kemalangan berlaku. Bertalu-talu dia menyoal soalan kepada pemanggil. Sebagai penyelam, sama seperti suaminya dia tahu semua prosedur namun dirinya berasa sedikit lega apabila dimaklumkan yang arwah stabil.
“Saya dimaklumkan arwah suami naik terlalu laju ke permukaan udara. Kalau ikut peraturan menyelam, pada kedalaman 60 meter, penyelam cuma ada beberapa saat sahaja di dasar sebelum perlu naik ke atas. Biasa pada kedalaman 45 meter, kita cuma ada masa di antara lima minit sahaja dan kalau lebih dalam, masanya lebih pendek.
“Buat saya sedikit terkilan, tank spare cuma ada satu sedangkan yang pergi berdua. Laju saya memecut dari Kuala Lumpur menuju ke Lumut, Perak selepas mengambil isteri kepada kawan suami yang sama-sama menyelam dengannya itu.
“Ketika sampai di hospital, arwah suami sudah tidak sedarkan diri kerana ada tanda-tanda dia mengalami masalah decompression sickness, pulmonary barotrauma dan arterial gas embolism. Dan kata doktor, arwah tidak boleh dipindahkan ke alat kebuk oksigen (recompression chamber) yang ada di Hospital Angkatan Tentera Lumut kerana keadaannya tidak stabil. Dalam suami bertarung nyawa itu seorang lagi rakan selamnya sudah dimasukkan ke situ.
“Jam dua pagi, barulah arwah suami dimasukkan ke alat kebuk oksigen ini. Tujuannya bagi membuang nitrogen yang berlebihan dalam badan kerana tubuhnya memerlukan 100 peratus oksigen. Mungkin Allah sudah menulis segalanya buat suami. Dia stabil dan saya berada lega mendengarnya. Semalaman saya tidak dapat tidur, berdiri dan memandang mukanya yang belum juga sedar. Sekitar jam 7 pagi, saat mahu melelapkan mata seketika, doktor menghampiri dan memaklumkan yang suami seperti tiada harapan untuk sembuh.
“Allah, hanya itu mampu saya ucapkan. Air mata saya sudah kering sebelumnya dan saya sudah tidak mampu menangis lagi. Saya hubungi anak-anak suami dan bekas isterinya terdahulu. Arwah pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai lima orang anak.
“Saya adalah isterinya yang terakhir seperti mana dia bersumpah, sayalah yang terakhir buatnya. Rupanya, janji Allah itu indah. Memang saya yang terakhir dalam hidupnya. Sebelum itu, kata arwah, kalau dia meninggal dunia, dia mahu anak-anak duduk menghadapnya. Allah kabulkan doanya. Allah atur cantik-cantik kehidupannya. Sempat anak-anak mengelilinginya. Lepaslah hajatnya,” kata AhTeng.
Mimpi Tentang Kematian
Semasa mengenali suaminya, AhTeng akui dia mendapat terlalu banyak mimpi-mimpi tentang kematian.
“Bila mimpi, saya kongsikan dengannya. Saya cakap saya nampak dia meninggal dunia. Dia tinggalkan saya tanpa anak, saya uruskan syarikatnya dan saya akan hidup sendirian. Bila saya beritahu, katanya serah kepada Allah segalanya.
“Bukan sekali tetapi banyak kali. Pernah saya terjaga dari tidur, saya pandang muka suami yang sedang lena tidur dan saya menangis. Dia bangun dan tenteramkan saya. Dia selalu memujuk saya dengan kata-kata positif dan jiwa saya akan jadi tenang.
“Benar, bagaimana keadaan saya hari ini, itulah mimpi yang dipertontonkan kepada saya. Kini saya duduk seorang diri. Saya tak ada anak dengannya. Pernah seminggu selepas abang meninggal dunia, dia datang dalam mimpi saya. Dia dengan pakaian selamnya, katanya dia minta maaf berkali-kali. Dia cakap masanya tidak lama dan mahu saya halalkan segalanya. Saya dapat rasakan air matanya panas lagi ketika itu. Bila sedar, saya menangis, saya meraung sekuat hati. Banyak kenangan manis kami ciptakan. Dia manjakan saya, dia ajar saya tentang banyak perkara dalam hidup.
“Biasa bila menyelam, kita mesti berpasangan. Sejak mengenalinya tahun lepas, suami menjadi pasangan saya. Bila arwah tak ada, menggigil lutut saya menyelam seorang diri. Menangis seorang diri dalam air tetapi sebagaimana laut mengambil nyawa suami, saya tidak boleh menyalahkan alam dan takdir ini. Cuma saya sangat terasa sejak kehilangannya,” katanya memaklumkan bakal berhenti kerja kerana mahu meneruskan perniagaan suami.
Luahan Di Facebook
Ironinya laut bagai rumah pertama pasangan ini. Ada kata-kata suaminya yang kalau boleh dia ingin mati di laut dan doanya itu diterima Allah. Raya tahun lepas dengan baju Melayu kuning dan baju kurung ungu, kedua-duanya menyelam menyambut hari raya di pulau.
Tahun ini, dalam kesedihan, AhTeng kembali ke laut, namun hanya baju mampu dibawanya, bukan tubuh atau jasad suaminya. Laut bagaikan sudah sejiwa dengannya malah dia sendiri berazam, andai laut menjadi saksi kepada nafas terakhirnya, dia redha atas segalanya.
Kenangan bersama suami, biar hanya 50 hari tetapi kekal utuh di sanubarinya. Malah AhTeng pernah menulis di laman Facebooknya, suaminya, Kapten Sazali Sakiman Sakiran adalah lelaki terakhir hadir dalam hatinya, sebagaimana janji suaminya yang menjadikan dia wanita terakhir suri hatinya.
Al-Fatihah untuk arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Saya Kehilangan Kata-Kata..” Bonda Najib Razak, Tun Rahah Meninggal Dunia

Perasaan sebak, kehilangan kata-kata dan berduka pasti dirasai bilamana ibu yang selama ini mendidik dan membesarkan kita bagaikan pelita yang menyinari kehidupan, kita telah kembali kepada pencipta ke negeri abadi.Jiwa pasti terasa kosong, tiada lagi sinar cahaya.
Itu yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap bondanya Tun Rahah Mohamad Noah yang juga balu kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang telah meninggal dunia petang tadi ketika dalam rawatan di Hospital Prince Court.

Balu Bekas Perdana Menteri Kedua
Kematian Tun Rahah, 87, dikongsikan Najib menerusi akuan media sosial, Facebook dan Twitter peribadinya.
Dukacita dimaklumkan Bonda saya, Tun Hajjah Rahah Mohamed Noah yang juga balu kepada bekas Perdana Menteri ke-2 Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein, telah pulang ke rahmatullah di Prince Court Medical Centre petang ini.
Jenazah dibawa pulang ke kediaman arwah bonda hari ini dan akan dibawa ke Masjid Ar-Rahah pada hari esok untuk pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Masjid Negara.

Diberi Penghormatan Istiadat Pengebumian Negara
Sementara itu, allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang menghembuskan nafas terakhirnya petang tadi, akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara esok.
“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada Datuk Seri Najib Razak dan seluruh keluarga di atas kepulangan Allahyarhamah Tun Rahah.
“Kerajaan memutuskan supaya Allahyarhamah Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MW: Innillahi wainna ilaihi rojiun.Salam takziah buat Datuk Seri dan keluarga. Semoga roh bonda beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman serta beramal soleh.
Sumber: Najib Razak, Bharian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!






