Zara Qairina simpan duit dua bulan demi beli kasut impian…Kini tinggal kenangan. Beberapa minggu ini media sosial dibanjiri rasa pilu dan marah apabila sebuah hantaran lama milik Zara Qairina kembali menjadi tular.
Zara Qairina Simpan Duit Dua Bulan Demi Beli Kasut Impian… Kini Tinggal Kenangan
Dalam perkongsian bertarikh 5 Disember 2024 itu, Zara meluahkan rasa gembira kerana berjaya memiliki sepasang kasut jenama ASICS hasil menabung daripada duit belanja sekolah selama dua bulan.
“Hasil ikat perut… simpan duit belanja sekolah selama 2 bulan, akhirnya dapat beli kasut ASICS berharga RM++,” tulis Zara sambil memuat naik gambar kasut berwarna merah jambu tersebut.
Namun, hantaran itu kini mengundang sebak apabila dikaitkan dengan berita pemergian tragis Zara yang sedang hangat diperkatakan. Ramai warga maya tidak dapat menahan emosi membaca kisah tersebut, malah ada yang turut berkongsi rasa simpati dan kemarahan terhadap nasib yang menimpa remaja itu.
Seorang pengguna Facebook, Ciperdy Azey memuat naik semula hantaran tersebut dengan kapsyen penuh emosi:
Ads
“Antara post Zara… terus meraung jiwa dalam hati. Percayalah jika saya abang kepada mangsa, you never meet me as a human anymore.”
Walaupun bukan ahli keluarga, luahan itu menggambarkan betapa dalamnya rasa simpati dan marah terhadap kejadian tersebut.
Ruang komen juga dibanjiri ucapan takziah, doa, dan janji untuk menuntut keadilan buat Zara. Seorang pengguna menulis, “Kasut ini bukan sekadar kasut tetapi simbol usaha, harapan, dan impian yang kini terhenti.”
Ads
Kisah ini menjadi peringatan penting untuk kita semua tentang betapa perlunya menjaga keselamatan anak-anak, menghargai setiap usaha mereka, serta menghindarkan sebarang bentuk buli atau penderaan.
Ibu Syamsul Haris dedah wujud tanda pada dada arwah,”Ada kesan umpama ditikam, terkena objek tajam.” Keluarga kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, menuntut agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi merungkai punca sebenar kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, yang didakwa mempunyai banyak persoalan.
Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata beliau berasa ragu selepas melihat keadaan jasad anaknya di Unit Forensik, yang menurutnya memaparkan pelbagai kesan kecederaan.
Menurutnya, terdapat tanda pada bahagian dada yang kelihatan seperti akibat dipukul atau dicucuk dengan objek tertentu, selain pendarahan pekat berwarna gelap dari hidung, tidak seperti darah merah biasa.
“Saya percaya ia bukan kesan tebukan untuk bantuan pernafasan seperti yang dimaklumkan, tetapi akibat hentakan kuat di kepala. Mata kanan arwah juga seperti ditumbuk, manakala mulut dan leher terdapat luka yang saya anggap luar biasa.
“Saya juga perasan ada kesan umpama ditikam atau terkena objek tajam, selain lebam pada bahu, abdomen dan sekitar mata. Keadaan ini seperti arwah dipukul atau didera,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di ibu negara, Selasa.
Ummu Haiman turut memaklumkan, tilam di katil anaknya dipenuhi darah pekat yang sudah kering, justeru menolak kemungkinan ia berpunca daripada sawan atau penggunaan oksigen semata-mata.
Beliau turut mengesyaki insiden itu mungkin ada kaitan dengan latihan menembak yang dijalankan anaknya, walaupun dimaklumkan tiada penggunaan peluru hidup.
“Saya pasti anak saya didera hingga kehilangan nyawa. Saya mahu punca kematian sebenar, bukan alasan yang tidak tepat.
“Saya mohon sebuah jawatankuasa siasatan yang telus ditubuhkan tanpa melindungi mana-mana pihak, walaupun melibatkan individu berjawatan dalam Palapes,” tegasnya.
Pada Selasa, media melaporkan siasatan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris dijangka selesai dalam masa terdekat. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pertahanan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes tersebut dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, jawatankuasa khas itu akan membuat penelitian bagi memastikan laporan lengkap dapat dikeluarkan secepat mungkin berhubung kematian pelajar berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan dalam sidang Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai perkembangan kes yang mendapat perhatian umum.
Mengulas lanjut, Ummu Haiman berkata beliau akan menunggu keputusan rasmi siasatan jawatankuasa khas, namun tidak akan berhenti menuntut keadilan sekiranya hasil laporan itu masih meragukan.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor. Pada 1 Ogos, ibunya telah mendesak agar siasatan segera dijalankan memandangkan punca kematian anaknya ketika itu masih kabur dan mencetuskan tanda tanya.
Walau sudah lebih dua dekad mewarnai dunia seni, nama Fasha Sandha masih kukuh berdiri. Namun bagi aktres ini, populariti bukanlah sesuatu yang wajib diraikan setiap masa.
Malah, Fasha akui tidak kisah langsung jika ada yang tidak mengenalinya walaupun beliau sudah 22 tahun menjadi wajah kesayangan di kaca televisyen.
“Bukan semua orang kenal saya. Dan saya pun tak kisah.”
Begitulah tenangnya pengakuan Nur Fasha Sandha Hassan, 41, yang kini tampil lebih bersahaja dan tertutup dengan penampilan berhijab.
Menurut Fasha, penampilan terkininya yang bertudung dan tidak bersolek tebal membuatkan ramai tidak ‘cam’ siapa dirinya apabila terserempak di luar.
“Saya memang tak bersolek kalau bukan waktu bekerja. Jadi, tak pelik pun kalau orang tak kenal saya. Kita tak boleh anggap semua rakyat Malaysia tonton drama. Ada yang lebih suka program agama atau dokumentari, jadi kalau tak dikenali tu, bukan satu isu.”
Pelakon drama popular Rampas Cintaku ini juga berkongsi bahawa sejak dari dahulu, dirinya tidak pernah mengangkat status sebagai selebriti ke mana-mana.
“Saya tetap pandu kereta sendiri, saya ke pasar macam biasa. Kalau tak kerja, saya memang jadi diri sendiri.”
Sikap down to earth ini nyata menjadi kunci kepada kesederhanaan hidup Fasha, walau namanya pernah menjulang tinggi di puncak glamor.
Baru-baru ini, satu momen mencuit hati telah tular di media sosial apabila seorang wanita warga emas tidak mengenali Fasha, malah dengan selamba cuba menjodohkannya dengan anak lelakinya!
“Waktu tu saya tengah buat content untuk kedai sepupu saya. Tiba-tiba mak cik tu datang dan kata dia nak kenalkan saya dengan anak dia! Saya pun tergelak je lah.”
Lucunya, insiden itu membuat anak lelaki wanita tersebut menghubungi Fasha melalui DM Instagram untuk memohon maaf kerana ibunya tidak mengenalinya.
“Saya anggap ia momen kelakar dan spontan. Tak ambil hati pun. Saya suka tengok orang happy.”
Dalam perkembangan terkini, Fasha dan suami tersayang, pelakon Aidil Aziz, kini mula melebarkan sayap dalam dunia perniagaan F&B dengan membuka cawangan ke-208 Kopi Saigon di pusat beli-belah MyTown Cheras.
“Kami laburkan sekitar RM200,000 dari wang simpanan sendiri. Ia satu langkah besar untuk masa depan kami sekeluarga.”
Kata Fasha lagi, perniagaan ini adalah satu bentuk perancangan jangka panjang yang mereka usahakan bersama, demi kestabilan dan kelangsungan hidup selepas zaman glamor berlalu pergi.
Di sebalik nama gah dan pencapaian besar, Fasha kekal tenang melayari kehidupannya dengan penuh kesederhanaan. Tiada keluh-kesah jika tidak dikenali di khalayak. Tiada rasa tergugat bila tidak dihujani pujian.
Kerana bagi Fasha, menjadi manusia yang baik itu jauh lebih penting dari menjadi selebriti yang dikenali.
“Saya bukan kejar populariti. Saya cuma nak hidup tenang, bahagia dan beri manfaat pada orang.”
Dan itulah yang menjadikan Fasha Sandha, seorang wanita, ibu, isteri dan usahawan yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati.
Kronologi lengkap kes Zara Qairina yang meruntun jiwa. Kes kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian selepas remaja itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.
Tragedi ini dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli dalam kalangan pelajar, malah isu semakin hangat apabila timbul tuduhan melibatkan anak seorang menteri, individu berstatus VIP dan tokoh ternama.
Perkara itu mencetuskan gesaan orang ramai agar siasatan telus dilakukan demi keadilan. Tragedi itu telah mencetuskan luahan rasa sedih dan solidariti, bukan saja di kalangan rakyat Sabah, tetapi seluruh negara dengan #JusticeForZara menjadi sohor kini di pelbagai platform media sosial.
• 16 Julai: Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada jam 3 pagi. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I.
• 17 Julai: Zara Qairina disahkan meninggal dunia dan kemudiannya dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
• 18 Julai: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan.
• 21 Julai: Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya. Wanita itu mendedahkan kali terakhir melihat anak tunggalnya adalah semasa program gotong-royong sekolah pada 12 Julai.
• 28 Julai: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut. Beliau menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.
• 30 Julai: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu, sama ada oleh dirinya atau isteri, Cikgu Rosnih Nasir iaitu bekas pengetua sekolah yang berkhidmat dari 20 Mac hingga 22 November 2024, sebelum bersara. Beliau menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan di Parlimen sebagai tidak berasas dan merosakkan reputasi.
• 31 Julai: Polis mengesahkan mereka berada di peringkat akhir siasatan. Pesuruhjaya Jauteh Dikun berkata kertas siasatan diserahkan kepada Bukit Aman untuk semakan akhir sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Seramai 60 individu direkod keterangan.
• 1 Ogos: Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan. Peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
• 6 Ogos: Peguam yang mewakili ibu mangsa menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, yang boleh menyebabkan tekanan kepada keluarga dan mungkin membawa kepada akibat jenayah.
• AGC memulangkan laporan siasatan awal kepada pihak polis dengan arahan melengkapkan siasatan. AGC menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi imej kanak-kanak yang didakwa terbabit kes itu.
• Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi amaran bahawa penyebaran kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan siasatan dan menafikan keadilan.
• 7 Ogos: Ibu Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara dirinya dan arwah anak perempuannya, kepada polis untuk membantu siasatan.
• Kementerian Pendidikan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran hantaran dan video yang mengelirukan berkaitan kes itu, dengan alasan kebimbangan terhadap potensi gangguan awam yang ditujukan kepada guru dan pelajar.
• Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk memastikan siasatan teliti. SKMM turut memberi amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.
• Ibu Zara Qairina memberi keterangan di balai polis Sipitang.
• Kementerian Pendidikan memberi jaminan kepada ibu bapa mengenai komitmen meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, dengan menyatakan bahawa 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini kekal menjadi pilihan utama keluarga.
• 8 Ogos: AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
• 9 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.
• Prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
• Proses menggali semula mayat Zara Qairina bagi prosedur bedah siasat dilaksanakan hari ini.
Kesimpulannya kes ini telah membuka mata masyarakat tentang pentingnya keselamatan pelajar di sekolah berasrama dan keperluan siasatan yang benar-benar adil. Dalam ujian berat ini, keluarga Allahyarham terus menaruh harapan agar kebenaran terungkap dan keadilan ditegakkan.
Semoga roh Zara Qairina ditempatkan di kalangan orang beriman, dan tragedi ini menjadi pengajaran buat semua.