Tular video seorang wanita melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit, mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bangsar.
Dalam beberapa minit sahaja, wanita itu terus terbaring selepas dilanggar oleh sebuah motosikal yang lalu di jalan yang sama.
Wanita Guna Telefon Masa Lintas Jalan
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa berusia 20 tahun itu melintas dari bahu kiri ke bahu kanan di lokasi yang bukan lintasan pejalan kaki.
“Ketika kejadian, wanita berkenaan dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit sehingga menjejaskan kepekaan terhadap keadaan lalu lintas.
Ads
“Tindakan itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun gagal mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Babitkan Kemalangan Tiga Kenderaan
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal hilang kawalan sebelum melanggar dua lagi kenderaan iaitu sebuah Toyota Vellfire serta sebuah lori jenis Hino.
Ads
“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut sedang berhenti di lampu isyarat merah,” jelasnya.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal dan pejalan kaki mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan sebagai pesakit luar manakala pemandu kenderaan lain tidak cedera,” ujarnya.
Untuk mengelakkan situasi ini berulang, sebelum melintas jalan, jangan sesekali leka dengan keadaan sekeliling dan masing-masing kena bertanggungjawab apabila menggunakan lalu lintas.
Naluri pasangan tidak pernah salah. Inilah yang berlaku apabila isteri tak sedap hati kerana tiba-tiba alat GPS milik bekas pemain sepak takraw negara, Mohd Taufik M Saad, 41, terhenti. Rupanya ini menjadi jawapan bahawa suaminya maut dalam kemalangan.
Perasaan tidak sedap hatinya mendapati alat penjejak sistem kedudukan global suaminya terhenti dan dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara-Selatan selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah pikap yang berhenti di lorong kecemasan.
Insiden berlaku sekitar jam 10.13 malam ketika Allahyarham dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jitra.
Mohd Taufik, yang pernah mewakili negara dalam skuad sepak takraw pada temasya Sukan SEA Laos 2009, kini bertugas sebagai Pembantu Khidmat Awam di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, di bawah Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, mangsa dikatakan baru pulang dari sebuah majlis berbuka puasa anjuran majikan di sebuah resort di Bertam sebelum kejadian berlaku. Motosikal jenis Honda ADV 160 yang ditungganginya dipercayai gagal mengelak kenderaan pikap yang berhenti di lorong kecemasan tanpa sebarang petunjuk awal.
Akibat pelanggaran kuat tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada kaki kiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Berita ini turut mengejutkan rakan-rakan seperjuangan dalam arena takraw, memandangkan Allahyarham pernah menjadi sebahagian daripada skuad negara yang beraksi di peringkat serantau.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya mengenai bahaya berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah, selain pentingnya memberi perhatian penuh ketika menunggang atau memandu pada waktu malam.
Wanita Malaysia di Dubai kongsi detik cemas saat serangan berlaku. Dalam suasana umat Islam menyambut Ramadan penuh ketenangan, realitinya berbeza buat sesetengah wanita di perantauan. Terutama di kawasan yang terkesan dengan konflik geopolitik.
Bagi seorang wanita Malaysia di Dubai, Nasreen Zaky, 34, pengalaman Ramadan kali ini bukan sekadar tentang ibadah dan rindu kampung halaman, tetapi juga detik mencemaskan apabila situasi keselamatan di kawasan sekitarnya berubah secara tiba-tiba.
Nasreen berkongsi, insiden yang berlaku sekitar dua minggu lalu benar-benar menguji emosi dirinya sebagai ibu kepada anak kecil.
“Memang terkejut. Kami dengar bunyi kuat macam jet dan letupan. Rumah pun rasa bergegar,” katanya.
Ketika itu, laporan mengenai pelancaran misil oleh Iran ke arah kem tentera Amerika Syarikat di beberapa kawasan sekitar UAE mula tersebar, walaupun maklumat rasmi tidak diperincikan secara meluas.
Dalam keadaan tidak pasti, Nasreen dan keluarga memilih untuk berkurung di dalam rumah demi keselamatan.
“Anak pun takut, menangis. Kita sebagai ibu memang cuba tenangkan keadaan walaupun dalam hati sendiri berdebar,” ujarnya jujur.
Terbaharu, berdasarkan perbualan terkini, Nasreen mengesahkan bahawa keadaan yang semakin tidak menentu mendorong mereka untuk mengambil keputusan pulang lebih awal ke Malaysia.
“Sempat balik hari tu, I awalkan flight. It was getting a bit scary dekat Dubai, so we decided to balik awal. Alhamdulillah sampai dengan selamat,” kongsinya.
Menurutnya lagi, beliau kini berada di Malaysia dan dalam keadaan selamat bersama keluarga.
“Alhamdulillah semua okay. Dekat Malaysia sekarang,” katanya ringkas.
Sebelum keputusan pulang dibuat, suami Nasreen dibenarkan untuk bekerja dari rumah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
Langkah ini sedikit sebanyak memberi kelegaan, namun rasa bimbang tetap ada, lebih-lebih lagi apabila tinggal jauh dari keluarga di Malaysia.
“Perasaan takut itu memang ada. Lagi-lagi bila kita jauh dari keluarga, rasa homesick itu jadi lebih kuat,” katanya.
Dalam keadaan tegang, kehidupan Ramadan tetap diteruskan seperti biasa oleh wanita Malaysia di Dubai ini sebelum beliau pulang ke tanah air.
Menurut Nasreen, suasana Ramadan di Dubai tidak semeriah di Malaysia, namun masih ada komuniti yang menghidupkan suasana.
“Bazar ada, tapi tak macam di Malaysia. Kita memang akan rindu makanan macam kuih pelita, roti john, nasi kerabu,” katanya.
Walaupun begitu, terdapat juga peniaga tempatan yang menjual makanan Malaysia, walaupun harganya agak mahal — sekitar 25 hingga 30 AED untuk satu hidangan.
Waktu berpuasa juga sedikit berbeza, dengan tempoh sekitar 14 jam, dan faktor cuaca panas memberi cabaran tersendiri.
“Minggu awal puasa memang badan rasa penat, sampai demam sebab cuaca panas dan perubahan rutin,” jelasnya.
Wanita Malaysia di Dubai ini mula menetap di sana sejak tahun 2022 selepas suaminya mendapat peluang pekerjaan. Sebelum itu, beliau bekerja dalam bidang pemasaran di Malaysia Airlines.
Peralihan daripada wanita bekerjaya kepada suri rumah bukan sesuatu yang mudah.
“Awal-awal memang rasa sunyi dan tertekan. Tambah pula anak masih kecil, jadi fokus lebih kepada keluarga,” katanya.
Namun, sokongan daripada suami dan komuniti rakyat Malaysia di Dubai membantu dirinya menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pempengaruh didenda RM1500 cederakan tunang, majlis kahwin batal walau tinggal 12 hari. Seorang pempengaruh lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencederakan bekas tunangnya dalam kejadian pada 21 Februari lalu.
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Anak bongsu daripada lima beradik itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19, di sebuah rumah di belakang Sekolah Raja Bahar, Taman Ehsan, di sini pada jam 5.30 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sewa tertuduh sebelum tercetus pertengkaran yang membawa kepada pergelutan sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam pada lengan kanan dan lengan bawah kanan seperti disahkan melalui laporan pegawai perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Sebelum ini, ibu mangsa yang juga pengasas kosmetik, Fara Sharina Zamari, 37 tampil memaklumkan anak sulungnya itu menjadi mangsa kekerasan bekas tunangnya dalam kejadian sama.
Menurutnya, anak perempuannya yang berusia 19 tahun itu pergi berbuka puasa di rumah lelaki terbabit di Kedai Lalat kira-kira jam 6.30 petang sebelum pulang ke rumah pada jam 10 malam dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika pulang, mangsa dilihat mempunyai kesan kemerahan pada leher dan hanya mengadu sakit kepada bapanya tanpa menceritakan perkara sebenar.
“Selama dua hari anak saya menyembunyikan perkara itu sebelum akhirnya memberitahu dia dipukul, dicekik, ditendang dan diseret,” katanya.
Susulan pendedahan itu, keluarga mangsa membawa remaja berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 24 Februari lalu.
Fara Sharina berkata, keputusan memutuskan pertunangan pasangan itu dibuat serta-merta selepas mengetahui kejadian sebenar kerana keluarga tidak sanggup meneruskan perkahwinan dalam keadaan anak mereka didakwa sudah menjadi mangsa kekerasan sebelum sempat bergelar isteri.
Menurutnya, ketika insiden berlaku, persiapan perkahwinan pasangan berkenaan sudah hampir siap dan majlis sepatutnya berlangsung pada 10 Syawal, iaitu kira-kira 10 hari selepas Aidilfitri.
Bagaimanapun, keluarga mangsa mengambil pendirian untuk membatalkan majlis itu demi keselamatan dan masa depan anak mereka selain tidak mahu hubungan berkenaan diteruskan selepas kepercayaan terhadap lelaki terbabit musnah susulan insiden berkenaan.
Beliau turut mendakwa, selepas laporan dibuat, lelaki itu melarikan diri selama 12 hari sebelum menyerah diri di IPD Kota Bharu kira-kira enam hari kemudian.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan tiga hari lalu dengan ikat jamin polis.
Fara Sharina berkata, satu lagi laporan polis turut dibuat kerana tidak mahu lelaki itu terus mengganggu anaknya yang kini didakwa mengalami trauma teruk akibat kejadian tersebut.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian ramai memandangkan kejadian berlaku ketika pasangan itu sedang menghitung hari untuk disatukan namun berakhir dengan pertunangan diputuskan dan perkahwinan dibatalkan susulan insiden berkenaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!