Pernah tengok tak orang dekat kedai makan, duduk satu meja, berdepan-depan.. dekat pula tu. Tapi masing-masing tak bercakap pun. Berjam-jam mata terfokus pada handphone. Leka amat tengok smartphone.
Inilah yang berlaku di hadapan mata Nik Mohd Iznan ketika berada di kedai makan. Walaupun sedih, tapi inilah realitinya. Beliau juga sarankan 4 syarat yang boleh selamatkan komunikasi agar tak seratus peratus mengadap handphone semata-mata.
Realitinya Dekat Kedai Makan Semua Leka Tengok Smartphone
Selesai solat Isyak di Masjid Sultan Salahuddin, saya berjalan kaki ke kedai mamak. Saya pesan air oren segar dan sedikit nasi.
Tadi pergi masjid dengan kawan. Tapi hendak balik tidak jumpa. Jadi saya pulang seorang diri.
Sambil makan saya memerhati gelagat warga kota.
Yang meja di depan, 3 orang. Seorang leka dengan telefon bimbit. Dua orang lagi pun begitu. Semuanya bermain telefon bimbit.
Yang di sebelah. Satu keluarga saya fikir. Termasuk seorang kanak-kanak umur sekitar 6 tahun. Pun semuanya pegang telefon bimbit.
Selang beberapa meja di sebelah kanan. Saya fikir sepasang kekasih. Masing-masing sedang bercinta dengan telefon bimbit. Seolah-olah muka masing-masing mahu masuk ke dalam skrin.
Barangkali itulah harga yang perlu dibayar untuk bercinta dalam konteks dunia siber sekarang ini.
Kadang-kadang pelik. Duduk di rumah ber-Whatapps dengan kawan-kawan yang berada di restoran. Duduk di restoran ber-Whatapps dengan dengan keluarga di rumah.
Ads
Kita Di Zaman Pelik
Entah apa hendak jadi.
Saya melihat sekeliling. Boleh dikatakan satu restoran. Semuanya dengan telefon bimbit.
Kita di zaman pelik. Zaman masing-masing yang dekat semakin jauh. Yang jauh semakin dekat.
Ads
Macam mana tidak leka. Grup Whatapps pun 56. Grup Telegram pula 37. Facebook ada dua akaun.
Pelik. Dulu tidak ada boleh sahaja.
Sekali lagi saya berasa risau dengan gelagat manusia. Di kedai mamak. Yang semuanya dengan telefon bimbit. Hanya saya seorang sahaja yang tidak memegang telefon bimbit.
Sejenak saya tersedar.
Sedar kerana apa. Sedar kerana saya menjadi pemerhati segar sebab telefon sendiri sudah kehabisan bateri. Kalau bateri masih ada rasanya saya pun dua kali lima.
Ads
Demikianlah. Kita sering nampak kesalahan orang. Sehingga kita terlupa yang kita pun begitu juga.
4 Peraturan ‘Tanpa Smartphone’ Ini Akan Selamatkan Keadaan
1. Kena letak satu peraturan. Bila bersama pasangan di kedai makan, telefon kena tinggal dalam kereta. Walaupun bunyinya kelakar, tapi cara ini memang menjadi. Nak tak nak, kita akan kembali bercakap dengan pasangan.
2. Ketika di rumah, berikan waktu untuk beronline. Balik rumah, selesaikan urusan dengan anak-anak dan hal rumah, barulah tengok telefon. Susah.. memang susah.. kalau tak cuba memang tak jadi.
3. Kalau ke majlis kenduri, cuma perlu pegang smartphone waktu hendak ambil gambar. Sebaik sampai, berbuallah dengan saudara mara itu. Bukan bergosip, tapi bertanya khabar sepupu sepapat yang lama dah tak jumpa.
4. Anak-anak jangan beri smartphone ketika belum cecah usia remaja. Biar mereka belajar bermain, berbual dengan adik-adik. Bergaduh manja apa salahnya. Mak ayah cubalah leraikan pertelingkahan anak-anak dengan kelembutan.
Sekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashidtak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.
Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.
Ramai wanita yang mungkin dengan berat hati terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata. Tindakan itu memang wajar dipuji kerana bukan semua wanita mampu mengambil tindakan yang bakal merubah besar dalam kehidupan mereka selepas itu.
Si isteri membuat pengorbanan itu demi untuk keharmonian rumah tangga. Maka, sebagai suami, anda perlu menghargai isteri dan jangan ambil kesempatan di atas pengorbanan isteri itu.
Berikut perkara yang boleh dilakukan oleh suami sebagai penghargaan buat isteri:
1. Wang Saku
Apabila tidak bekerja, isteri sudah hilang punca pendapatan. Hanya mengharapkan suami untuk menanggung segala perbelanjaan. Setiap bulan anda akan memperuntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan rumah. Jangan lupa untuk ‘selit’kan juga elaun untuk isteri. Sekurang-kurangnya isteri ada duit untuk digunakan di saat kecemasan. Isteri juga pastinya ada keinginan untuk memiliki sesuatu barangan. Wang itu yang akan disimpan dan dikumpul sedikit demi sedikit. Kemudian dia akan beli setelah cukup wang, tanpa perlu meminta wang tambahan daripada anda.
2. Tanda Terima Kasih
Sebagai isteri, tiada apa lagi yang lebih penting selain daripada disayangi dan dihargai oleh suami di atas pengorbanan mereka menjaga keluarga. Apa salahnya, sesekali bila dapat gaji, bawa isteri dan anak-anak makan di luar. Tak perlulah isteri memasak pada hari itu. Itu juga masa untuk isteri rileks setelah setiap hari terkejar-kejar uruskan anak-anak.
3. Beli Hadiah
Bila ada duit lebih, apa salahnya belikan hadiah untuk isteri seperti baju baru dan sebagainya. Walau pun tidak bekerja, tapi mereka boleh memakai pakaian cantik ketika keluar menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke pasar dan sebagainya. Takkan anda sanggup biarkan isteri selekeh saja sedangkan anda mampu? Kalau isteri anda kelihatan menarik, anda juga yang tumpang bangga. Itu bermakna anda pandai jaga isteri.
4. Bantu Kerja Rumah
Suami juga boleh bantu isteri membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan atau menyapu sampah. Tentu isteri akan rasa terharu dan ini juga menunjukkan sifat timbang rasa suami pada dirinya. Walau pun penat bekerja, anda masih sanggup membantunya.Bantu menjaga anak-anak jika anda lihat isteri sedang sibuk di dapur dan sebagainya. Pasti dia akan rasa bersyukur memiliki suami yang bertimbang rasa. Ingat, kalau anda rasa anda sudah penat seharian bekerja, apakah anda rasa isteri tidak penat seharian di rumah? Malah, ramai wanita yang mengaku, duduk di rumah lagi memenatkan daripada bekerja di pejabat!
5. Jangan Ego
Ada suami yang bersikap ego dan tidak mahu langsung membantu isteri menjaga anak-anak atau melakukan kerja rumah ketika hari cuti dengan alasan sudah penat bekerja sepanjang minggu. Aduhai suami, anda kena ingat. Isteri bukan orang gaji ye. Apa kata anda beri isteri ‘cuti’ sehari dan benarkan dia keluar bersama rakan-rakan atau memanjakan diri di spa. Anda pula ambil uruskan anak-anak sendirian. Baru anda tahu, betapa ‘mudahnya’ tugas isteri di rumah!
6. Ucapkan Terima kasih
Sesekali apa salahnya anda lahirkan rasa terima kasih anda kepada isteri kerana sudi menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga dengan baik sepanjang anda keluar mencari rezeki. Pasti isteri akan rasa anda menghargai dirinya.
7. Jangan Pandang Rendah
Ada suami yang anggap peranan sebagai suri rumah itu mudah hingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Kononnya suami penat keluar bekerja sedangkan tugas isteri mudah saja, hanya duduk di rumah saja jaga anak. Hinggakan sanggup mempelekehkan isteri di depan orang lain. Jangan begitu, anda sepatutnya sentiasa menjaga maruah isteri yang sanggup tidak bekerja demi keluarga. Walau pun isteri seorang suri rumah, tapi mereka juga ‘bekerja’ di rumah malah kerja mereka 24 jam tanpa henti, tanpa gaji.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kalau tahu anak demam, mak-mak lah orang pertama yang paling tak senang duduk. Tambah kalau mak-mak itu jenis keluar bekerja. Jadi, nak tak nak mak ayah kena tahu cara nak merawat anak di rumah untuk turunkan suhu demam anak dengan tip yang dikongsikan Dr Ezairy M.Sallih ini…
Jangan biar anak anda mengalami demam panas tanpa rawatan awal.
Ikuti 7 langkah di rumah ini:
Jangan biarkan anak anda demam terlalu lama. Pastikan anda mempunyai termometer di rumah. Periksa suhu anak anda jika ada tanda-tanda panas tubuh
Banyakan air suam ketika demam. Ini bagi memastikan anak anda tidak mengalami dehidrasi dan kekurangan air dalam tubuh
Ia tidak akan berguna bahkan boleh mendatangkan mudarat jika melewatkan rawatan sepatutnya di hospital
Suhu terlalu tinggi tanpa rawatan awal boleh mengakibatkan serangan sawan berlaku. Perhatikan tanda-tanda seperti kekejangan, mata, dan anggota lain pada anak
Basahkan kepala, badan dan jika perlu mandikan anak anda dengan air. Tak perlu air sejuk. Cukup air suam untuk merendahkan suhu tubuh.
Pastikan anda ada simpan syrup atau supp paraceramol di rumah. Pastikan anda tahu dos sepatutnya melalui ahli farmasi dan doktor. Sekiranya anak demam, berikan mengikut dos sepatutnya. Pastikan atas nasihat mereka yang ahli, bukan sendiri.
Jika langkah di atas gagal menurunkan suhu anak anda. Bawa segera ke klinik atau hospital.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka, selepas hampir 10 tahun mendiami mahligai serba mewah, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya membuat keputusan besar rumah agamnya bakal dicat semula sepenuhnya buat pertama kali!