Dua Tahun Suami Menghilang, Abai Nafkah, Dapat Saman Barulah Munculkan Diri

Ramai sebenarnya di luar sana , isteri-isteri yang alami kes ‘gantung tidak bertali’ atau kata mudahnya suami menghilang atau lari dari tanggungjawab sebagai seorang suami. Tinggallah isteri itu terkontang kantung membesarkan anak sendirian tanpa bantuan suaminya.

Hendak mohon jalan perpisahan, suami tak mahu beri kerjasama. Bertahun-tahun isteri hidup menderita. Kata Peguam Syarie ini, Khairunnisa Abd Samad, isteri boleh mendakwa suami yang menghilang dan lari dari tanggungjawab ini. Hadamkan perkongsiannya.

Saman Suami Culas Tanggungjawab, Beri Nafkah

Sebelum balik kerja semalam terkejut bila tiba-tiba dapat parcel atas meja. Bila ingat balik rasanya tak ada beli barang online dalam masa terdekat ni. Bila buka je parcel, bertambah terkejut bila nampak barang yang sampai dan kad yang ada. Speechless sangat. Nak dipendekkan cerita, parcel tersebut adalah hadiah pemberian seorang klien.

Pemberian tersebut adalah tanda penghargaan daripada beliau kepada kami kerana telah berjaya menyelesaikan masalah rumahtangganya yang telah bermasalah sekian lama. Bayangkan dua tahun ditinggalkan oleh suami. Membesarkan anak seorang diri selama ini. Jadi klien tersebut telah mengambil inisiatif untuk move on dan memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya.

Setelah diteliti cerita beliau, suaminya boleh didakwa berdasarkan Seksyen 53 (1) (b), Seksyen 53 (1) (d), Seksyen 53 (1) (h) (i) dan Seksyen 53 (1) (l) di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor (2003) di mana;

1) Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah Plaintif selama lebih dari tempoh tiga (3) bulan;
2) Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
3) Suami lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan Plaintif menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya; dan
4) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan Plaintif dan Defendan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Setelah diserahkan saman tersebut kepada suaminya, kami terangkan semula kepada beliau implikasi jika fasakh ini diteruskan. Selain daripada aib pihak-pihak akan dibuka di mahkamah. Saksi-saksi juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada mahkamah. Perkara tersebut sedikit sebanyak akan menggangu emosi pihak-pihak dan juga anak mereka.

Perkara yang tak sepatutnya orang luar tahu akan diketahui apabila perbicaraan penuh diadakan. Jadi memang dah tugas kami sebagai seorang peguam yang juga orang tengah bagi mereka, akan brief dan nasihat pihak-pihak terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu perbicaraan.

Bila Dapat Saman Suami Menghilang, Muncul Kembali

Setelah pihak-pihak faham implikasi yang telah diterangkan, kami akan beri pilihan kepada mereka sama ada ingin teruskan kes ataupun ada persetujuan yang ingin dicapai. Akhirnya suami beliau yang telah hilang selama dua tahun datang ke mahkamah dan setuju untuk menceraikannya dengan cara baik (lafaz talaq). Kes tersebut juga telah di pinda daripada Fasakh (Seksyen 53) kepada Cerai baik (Seksyen 47). Tuduhan-tuduhan (Seksyen 53) yang disebutkan di atas juga akan dikeluarkan daripada perintah dan tidak disebutkan di mahkamah. Kes Fasakh yang normal kebiasaannya mengambil masa lama untuk diselesaikan. Ia akan memakan masa serta kos yang tinggi untuk diselesaikan.

Jadi berbalik kepada penghargaan yang diberikan oleh klien itu tadi. Setelah kes tersebut selesai, beliau ada meluahkan pada saya, “Saya masih tak percaya kes itu akan selesai secepat ini. Saya lega puan akhirnya beban yang saya pikul selama ini dah pun selesai.”

Tak sangka suaminya akan berikan kerjasama yang baik kepada kes tersebut sebab apabila beliau sendiri yang mengajak suaminya berbincang bagi menyelesaikan masalah rumahtangga mereka, pasti akan berakhir dengan perbalahan serta pergaduhan dan tidak jumpa penyelesaian yang sepatutnya.

Baik Selepas Bercerai, Jodoh Sebagai Rakan

Baru-baru ini beliau juga ada Whatsapp saya dan cerita pada saya yang hubungan beliau dan bekas suami semakin baik. Mungkin mereka bukan berjodoh sebagai suami isteri, tetapi tidak salah untuk menjadi kawan baik bagi menjaga anak mereka bersama. Kebajikan anak terjaga, emosi pihak-pihak juga terpelihara.

Kadang-kadang orang hanya nampak, peguam ni sebagai pihak yang ingin menghancurkan rumahtangga orang dengan mengesyorkan perceraian. Tetapi sebaliknya, jika kita ambil dari sudut yang berlainan. Keperluan setiap orang itu berbeza. Begitu juga cerita, jangan pernah samakan kisah awak dan dia.

Tak semestinya orang yang bercerai ni adalah orang yang gagal dalam hidup. Mungkin asbab perceraian itu merupakan batu loncatan bagi seseorang untuk mencapai kebahagian yang sebenar dalam kehidupan dia. Apa salahnya kita sebagai manusia sesama manusia memberikan kata-kata semangat dan juga kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Sesungguhnya mencari kemaslahatan umum itu kan lebih baik dan penting daripada membina masalah itu sendiri. Kalau kita yang tak start ubah mindset kita, siapa lagi kan? Hanya orang yang tahu menilai kerja seorang peguam akan lebih menghargai usaha serta pengorbanan seorang peguam.

Terima kasih sekali lagi buat si pemberi. Moga hidup puan sekeluarga selalu diberkati olehNYA. Alhamdulillah selesai satu kes. Priceless moment bila dapat selesaikan masalah pihak-pihak secara baik. Alhamdulillah

Baca sini : Tuduh isteri nusyuz, walhal suami cakap kasar pun boleh jatuh derhaka

Sumber/Foto : Khairunnisa Abd Samad

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI