Dua sudah lahir. “Kelahiran berselang bayi kembar empat, doktor tangguhkan elak komplikasi.” Perkara ini dikatakan jarang berlaku dalam sejarah kelahiran dunia.
Bayi kembar empat ini dilahirkan secara berasingan di mana dua daripadanya sudah selamat dilahirkan dan lagi dua bayi masih dalam kandungan ibunya.
Dua Sudah Lahir
Dua sudah lahir, dua lagi masih dalam kandungan.
Itu yang berlaku kepada seorang wanita China yang hamil kembar empat, namun sudah melahirkan dua bayi lelaki pramatang, masing-masing pada hari yang berbeza.
Bayi pertama dilahirkan 22 Mac di Hospital Qilu Universiti Shandong di Jinan, wilayah Shandong, timur China, selepas mengandung selama 25 minggu dan enam hari, lapor portal berita dzwww.com.
Empat hari kemudian, wanita itu melahirkan seorang lagi bayi.
Dua bayi itu diletakkan di dalam inkubator.
Ads
Doktor berusaha menangguhkan kelahiran dua lagi bayinya untuk mengelakkan komplikasi yang mungkin berlaku terhadap bayi pramatang, kata Ma Yuyan, seorang doktor dari hospital itu.
“Dua bayi pertama dilahirkan sangat awal. Jika keempat-empat bayi dilahirkan pada masa itu, mereka akan mengalami banyak komplikasi dan agak berisiko untuk mereka semua untuk terus hidup,” katanya.
Doktor Tangguhkan Elak Komplikasi
Bapa kepada bayi berkenaan, yang dikenali sebagai Chu berkata, dua bayinya berada di dalam inkubator dan dia belum berpeluang melihat mereka.
Katanya, dia mengurut kaki isterinya selama setengah jam setiap hari kerana kaki isterinya bengkak akibat mengandung.
Ads
“Isteri saya menanggung kesusahan yang paling teruk. Saya berterima kasih kepadanya,” kata Chu.
Chu berkata isterinya yang berusia 22 tahun pada mulanya diberitahu hamil kembar tiga kerana janin keempat tidak dilihat semasa pemeriksaan.
Pasangan terbabit berasal dari kawasan pedalaman Jining di Shandong.
Keluarga itu mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak 5,000 yuan (AS$786 atau kira-kira RM3,310.63) sebulan. Ia diperoleh Chu sebagai pekerja di sebuah syarikat logistik.
Ads
Kelahiran berselang jarang berlaku di China dan di seluruh dunia.
Pada 2017, seorang wanita di Yichang, Hubei, tengah China, melahirkan bayi lelaki enam hari lebih awal daripada dua kembarnya.
Mingguan Wanita : Semoga ibu dan bayi-bayi ini sihat dan selamat dilahirkan kesemuanya. Bukan mudah melalui proses kelahiran anak kembar.
Seorang mak akan sanggup lakukan apa sahaja demi anak-anaknya walaupun ketika nyawanya sedang berada dihujung tanduk. Besarnya pengorbanan seorang mak dalam keadaan cemas sebelum berlakunya rempuhan kemalangan, masih sempat untuk memikirkan keselamatan anaknya.
Perkara ini diceritakan oleh Syaidatul Fatihah mengenai kemalangan maut yang menimpa kakaknya, Surawati Mohd, 33, semalam.
“Kakak (arwah) sempat campak anak bongsu yang ada bersamanya di tempat duduk penumpang hadapan ke belakang sebelum disambut anak sulungnya bagi menyelamatkan anaknya,” kata Syaidatul Fatihah Mohd, 30.
3 Anak Yatim Piatu Sekelip Mata
Dalam kejadian 5 pagi itu, Surawati bersama suami Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan – Seremban, dekat Keratong.
Kejadian menyebabkan tiga anaknya, Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfan Rakeen, 2, menjadi yatim sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia.
Bertolak Sehari Awal
Menurut Syaidatul Fatihah, kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Pulau Duyong ke rumah ibu bapa Muhammad Noor di Felda Lui, Jempol, Negeri Sembilan.
“Kami (ahli keluarga) semua tidak tahu mereka bertolak awal sehari ke sana.
“Kakak memaklumkan mereka akan bertolak esok ke rumah mentuanya kerana anaknya tidak bersekolah malah keluarga abang ipar pun tak tahu lima beranak itu bertolak awal,” katanya ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang.
Keadaan kereta yang remuk, mengorbankan pasangan suami isteri ini.
Dihubungi Pihak Hospital
Menurutnya, ahli keluarga hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi Hospital Muadzam Shah, Pahang 7 pagi tadi.Katanya, susulan itu ahli keluarganya segera ke hospital terbabit bagi melihat keadaan lima beranak itu.
“Kami dimaklumkan kakak dan suami meninggal dunia dan hospital minta kami datang ambil tiga anak saudara yang cedera.
“Menurut Aryan Rizqy, ketika kereta hilang kawalan dia masih sedar dan ibunya sempat campakkan Arfan ke tempat duduk belakang bagi menyelamatkan anak bongsunya itu.
“Aryan Rizqy sempat menyambut adiknya sebelum Perodua Myvi dinaiki berlanggar dengan lori,” katanya.
Ahli keluarga terdekat menunaikan solat jenazah Allahyarhamah Surawati Mohd di rumahnya Kampung Gong Merawang, Rhu Muda.- Foto Ghazali Kori
Penjagaan Tiga Anak
Katanya, jenazah abang iparnya dibawa ke Felda Lui untuk dikebumikan manakala jenazah kakaknya dibawa pulang ke Gong Merawang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang selepas solat Isyak.
“Tiga anaknya turut dibawa pulang bersama kami kerana mereka lebih rapat dengan ahli keluarga di sini.
“Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan ahli keluarga abang ipar mengenai penjagaan tiga anak arwah ini,” katanya.
MW: Besarnya pengorbanan seorang mak, ketika saat cemas bertarung nyawa masih sempat memikirkan keselamatan anak. Semoga ganjaran syurga hendaknya. Salam takziah buat keluarga mangsa, semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
‘Budak Tahun 1,2 tak boleh baca, kira.’ Murid ketinggalan akibat PdPR, dikurung masa PKP. Sedihnya memikirkan situasi ini apabila anak mak ayah masih tidak boleh membaca walaupun sudah di tahun dua.
Bukan seorang, dua yang berdepan situasi ini, malah ramai anak-anak tahun 1 dan 2 masih tidak boleh membaca. Ikuti perkongsian Cikgu Fadli Salleh dan ketahui langkah atau solusi terbaik untuk selesaikan masalah ini.
Budak Tahun 1,2
10 solusi murid tak kuasai 3m. Fokus perkasakan kelas pemulihan
Kelas pemulihan tempat intervensi murid tidak pandai asas membaca, menulis dan mengira dipulihkan. Tahun ni, guru-guru pemulihan pening kepala perlu pulihkan murid TP1 dan TP2 yang terlampau ramai.
Sedangkan kelas pemulihan itu sangat terhad (Satu sekolah hanya diperuntukkan 1 kelas sahaja) dan banyak masalah yang perlu yang mereka pikul sejak sekian lama.
Jom baca sekilas fakta tentang kelas pemulihan dan apa yang perlu diperkasa.
1. Kelas pemulihan sangat-sangat membantu dalam memulihkan murid. Sangat-sangat!
Namun guru pemulihan biasanya hanya seorang untuk satu sekolah. Maka terkejar-kejar guru yang seorang ini nak handle semua benda.
Bahkan ada sekolah tiada guru pemulihan pun. Bagaimana murid nak dipulihkan?
Guru pemulihan perlu ada dan ditambah untuk setiap sekolah. Ini keperluan segera.
2. Masa guru pemulihan sangat padat. Seorang guru pemulihan perlu mengajar 34 waktu seminggu, termasuk waktu persediaan 4 waktu.
34 waktu adalah satu masa yang padat sedangkan beban mereka bawa sangat berat. Mereka perlu lebih masa persediaan untuk memastikan PdP yang dilaksanakan betul-betul berkesan.
Nak kurangkan masa untuk beri ruang persediaan lebih bagus, kembali pada point 1. Tambah guru pemulihan.
3. Guru pemulihan perlu pembantu.
Tugas memulihkan murid ini sangat penat. Nisbah guru pula agak tinggi. 1:15 murid.
Murid lemah ini perlu diberi tumpuan secara satu hadap satu. Maka seorang guru tidak dapat mengajar dengan berkesan jika murid sampai 15 orang.
Yang mereka hadap tu bukan murid biasa. Tu murid ‘hardcore’. Perlu lebih perhatian dan tumpuan. 1 guru seeloknya ajar 5 hingga 7 murid sahaja.
Di sini perlunya pembantu guru. Membantu menyediakan bahan dan membantu tunjuk ajar dahulu murid lain sebelum mereka berhadapan dengan guru secara satu hadap satu.
Akibat PdPR
4. Guru pemulihan tiada peruntukan. Ini sangat menyedihkan dan tidak patut berlaku. Kasihan wei nak run kelas special begini tapi tiada duit.
Guru pemulihan merupakan guru yang perlu punya banyak bahan bantu mengajar kerana mereka ini mengajar anak-anak yang lambat dan sangat perlahan.
Bantuan LCD, laptop, printer, radio, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik perlu dibekalkan. Kena beri peruntukan khas untuk kelas pemulihan.
Ramai guru pemulihan keluar duit poket sendiri sampai beribu-ribu untuk sediakan bahan dan persiapan demi anak-anak didik tercinta.
5. Seorang guru pemulihan kena ajar dua subjek. Matematik dan Bahasa Malaysia. Dan tidak semua masa BM dan Maths murid belajar di kelas pemulihan walau mereka murid pemulihan.
Ada murid hanya belajar 2 masa dari 6 masa sahaja seminggu di kelas pemulihan dan selebihnya belajar di kelas biasa.
Maka sangat rugi bila pelajar sangat lemah berada di kelas biasa kerana mereka tidak mampu catch up pengajaran guru. Level mereka terlalu berbeza!
Kenapa begitu? Kerana guru pemulihan tak cukup. Kembali pada point 1, tambah guru pemulihan, settle masalah ni.
6. Guru pemulihan sepatutnya dibekalkan mengikut kemahiran. Satu guru pemulihan untuk Matematik, satu guru pemulihan yang lain pula untuk Bahasa Malaysia.
Selagi murid itu belum lepas, biarlah 100% masa BM dan Matematik mereka bersama kelas pemulihan. Hanya matapelajaran elektif sahaja mereka belajar bersama murid lain dalam kelas aliran perdana.
7. Tiada guru pemulihan Bahasa Inggeris. Hal ini menjadi rungutan Cikgu English saban tahun namun dipandang sepi.
Murid yang tak kenal huruf, tak boleh membaca BM langsung, tapi tetap masuk kelas English macam biasa. Memang jadi bebanan guru English nak hadap mereka pula.
Alangkah bagusnya jika yang tak tahu baca kira ni pun masuk kelas pemulihan masa subjek English agar mereka dipulihkan dahulu sebelum belajar dalam kelas aliran perdana bersama murid lain macam biasa. Itu yang sebaiknya.
Kena wujudkan jawatan guru pemulihan English dalam kadar segera. Ini betul-betul keperluan pendidikan demi anak bangsa dan generasi akan datang.
Silibus Perlu DiSemak
8. Kelas perlu di’streaming’ semula.
Kena asingkan murid yang terlampau perlahan dan laju untuk memudahkan proses PdP. Murid lemah berterabur dalam setiap kelas, nak kutip tu payah, guru subjek beredar pun sukar nak laksanakan PdP kerana aras murid dalam kelas jauh berbeza.
9. Silibus perlu disemak semula.
Tahap tahu tekan pada 3M sahaja. Sangat ramai murid ketinggalan akibat PdPR dan dikurung masa PKP. Ia memberi kesan besar pada murid.
Murid melangkah ke masuk sekolah dengan basic yang sangat lemah, tapi perlu belajar mengikut silibus yang tinggi, padat, susah, KBAT dan mencabar.
Umpama budak baru belajar merangkak disuruh naik basikal dua roda. Memang susah lah.
10. Okey, aku dah habis idea. Korang pulak tambah. Saja tulis no 10 untuk cukupkan 10 point. Haha.
Mingguan Wanita : Sebagai mak, ayah tentu rasa sedih melihat anak berumur tujuh atau lapan tahun masih belum pandai membaca. Sedangkan anak orang lain sudah lancar membaca. Semoga ada sinar untuk anak-anak mak ayah.
Allahu, mengucap panjang dengan kejadian pembuangan mayat bayi yang baru berlaku ini. Menurut laporan, bayi tersebut diperlakukan dengan menyayat hati, ditutup mulut, dibalut dengan selimut dan dimasukkan ke dalam beg sekolah serta mayat bayi tersebut di buang ditempat pembuangan sampah.
Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya yang masing-masing berusia 17 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi dalam lori sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya dekat sini, semalam.Turut ditahan, bapa kepada remaja perempuan itu yang berusia 43 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketiga-tiga suspek direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Katanya, remaja perempuan itu direman empat hari sehingga Isnin depan, manakala bapa dan teman lelakinya direman dua hari sehingga esok.
“Siasatan mendapati bayi perempuan tersebut dilahirkan pada Rabu lalu kira-kira jam 11.30 pagi oleh suspek.
Menurutnya suspek remaja perempuan tersebut bertindak menutup mulut bayi itu dengan tuala dan membalut badannya dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.
“Suspek kemudian memasukkan beg sekolah tersebut ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumah bersama sampah yang lain.Plastik sampah yang mengandungi bayi tersebut telah dibuang oleh bapa suspek ke rumah sampah dikawasan perumahan mereka,” katanya.
Kredit Foto: The Star Online
Mayat Bayi Dibedah Siasat
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.Suspek berdepan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584 atau 585 atau pun menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
“Kita juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak remaja mereka supaya tidak terbabit dengan gejala negatif dan anasir yang tidak baik,” kata Mazlan lagi.
Semalam, seorang pekerja Alam Flora menemui mayat bayi berkenaan ketika memasukkan sampah ke dalam lori sampah dari tempat rumah sampah di Blok D kuarters penjawat awam terbabit.Polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 9.27 pagi menghantar sepasukan anggota polis bagi menjalankan siasatan.
MW: Pesanan buat mak ayah, jangan terlampau memanjakan anak-anak dan pantaulah pergaulan mereka. Ambil peduli jika terdapat sebarang perubahan fizikal pada anak.Remaja mungkin tak panjang akal untuk berfikir yang mana baik dan buruk pada masa hadapan, tapi peranan kita sebagai mak ayah seharusnya bertindak lebih matang dan rasional. Doakan yang baik-baik buat keluarga ini.
“Acara Queens Night bersifat tidak bermoral dan berunsur lucah” itulah antara kenyataan yang diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan seperti mana...