Tahniah Mingguan Wanita ucapkan buat pelakon dan pengacara yang kini bergiat aktif dalam dunia politik, Dira Abu Zahar yang dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Dira Bergelar Datuk
Dira atau nama sebenarnya Khaidiriah Abu Zahar, 36, merupakan antara 298 individu yang menerima darjah bintang dan pingat kebesaran pada sesi akhir Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.
Acara tersebut bersempena sambutan ulang tahun ke-71, Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.
Dira yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO mula aktif dalam politik selepas memperlahankan aktivitinya dalam bidang seni sekitar 2015.
Ads
Berhasrat menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham bapanya yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Melaka Kelapan, Datuk Seri Abu Zahar Haji Ithnin, Dira tekad untuk menabur bakti pada masyarakat dan berbakti pada negara.
Ucapan Tahniah & Doa
Sejurus umum mengetahui perkahabaran tersebut, laman Instagram Dira turut dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa yang dititipkan rakan-rakan dan para peminat yang tumpang berbangga dengan pencapaian yang diperolehinya.
Sumber Foto: Instagram Dira Abu Zahar Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hebat usaha guru-guru SK Lemoi, Cameron Highlands ini. Ketika, sekolah ditutup akibat Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB), dan sedar para pelajarnya sukar meneruskan pembelajaran dalam talian. Guru-gurunya turun padang, masuk kampung anak-anak murid mereka.
Empat buah kampung dijejaki demi menghantar lembaran kerja untuk pelajar-pelajar mereka. Salah satu kampung terletak jauh dalam hutan. Perlu jalan kaki untuk sampai. Ketika merentas belantara ini, guru sama merasai keperitan anak-anak murid untuk mencari ilmu hampir setiap hari.
Oleh kerana kita tidak boleh buat pembelajaran dalam talian, kita buatlah luar talian. Apa sahaja kita usaha, asal anak-anak boleh belajar. Kan?
Alhamdulillah, hari ini kami selesai mengedarkan lembaran kerja dan bahan belajar untuk anak-anak SK Lemoi, Cameron Highlands.
Anak-anak yang bersekolah di SK Lemoi datangnya daripada empat buah kampung iaitu Kg Lemoi, Kg Telimau, Kg Chenan Cerah dan Kg Tileb (kampung yang baru di buka). Hanya Kg Lemoi dan Kg Telimau yang boleh dilalui dengan kenderaan (pacuan 4 roda atau motorsikan). Kg Chenan Cerah dan Kg Tileb pula terletak jauh di dalam hutan yang hanya boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja.
Biasanya, dari sekolah untuk sampai ke Kg Chenan Cerah memakan masa kurang lebih dua jam dan tambah lagi satu jam untuk sampai ke Kg Tileb.
Semalam kami telah ke kampung-kampung berhampiran sekolah untuk mengedarkan fail yang mengandungi lembaran kerja dan bahan belajar untuk setiap murid.
Tidak susah untuk mengumpulkan mereka, sebab bila mereka nampak sahaja cikgu masuk kampung – akan bersegeralah mereka berkerumun. Walaupun sekadar menempel tanpa berbuat apa-apa.
Dalam hujan lebat dan salakan anjing sahut menyahut petang semalam juga kami telah selesai mengedarkan bahan untuk anak-anak di Kg Telimau.
Pagi tadi pula, dengan berbekalkan sebungkus nasi lemak setiap seorang, roti dan air minuman; kami bergerak masuk ke Kg Tileb.
Fail-fail dan alat tulis telah kami bungkus rapi dalam plastik. Bimbang kehujanan.
Jalan hutan dan denai yang dilalui oleh anak-anak untuk ke sekolah dan asrama mengundang rasa keinsafan dalam diri. Bayangkan betapa kentalnya anak-anak sekecil 7 tahun ini bersama-sama mereka sahaja berjalan untuk ke sekolah.
Suasana agak “gempar” sedikit apabila kami tiba di Kg Tileb. Boleh jadi mereka hairan dan kagum kerana inilah kali pertama kami para guru sampai di kampung ini. Tiada kelihatan kaum lelaki, hanya kaum wanita beberapa orang dan anak-anak kecil sahaja di rumah dan laman. Barangkali kaum lelaki telah ke kebun atau hutan mencari hasil. Kecuali Batin yang masih di rumah.
Setelah meminta izin daripada Batin, kami mengorak langkah masuk ke kawasan rumah. Hanya ada 7 buah rumah di kampung ini. Sebaik kami merapat, berkerumunlah anak-anak kecil mengelilingi kami. Nasib baiklah hari ini kami bawa banyak bekal gula-gula, coklat, jajan dan biskut untuk mereka. Wahhh bukan main seronok masing-masing mendapat habuan. Kami ikut terhibur melihat mereka rakus membuka plastik pembalut, ada yang agak sukar – tanpa ragu mereka hulur pada kami untuk dibukakan.
Anak-anak ketika itu menjalani rutin mereka jika tidak ke sekolah. Anak lelaki ke kebun, anak perempuan membasuh pakaian, memasak dan mengemas. Mereka berhenti seketika untuk mengambil bahan yang kami bawa. Berkeliling dan berbual-bual bagaikan melepas rindu lamanya tidak berjumpa dek perpisahan yang tergesa-gesa minggu sebelumnya.
Kami tidak dapat berlama di situ kerana risau hujan akan turun. Sekarang hampir setiap petang hujan dan kami tidak mahu ditimpa kesusahan jika terpaksa keluar dalam hujan.
Sedang kami bersiap untuk keluar, Arif dan Amirul pulang dari kebun. Ada senyum terukir di wajah demi melihat kami. Di belakang tubuh kecil itu pula memikul beg kecil berisi sireh, pucuk labu, jagung dan sayuran. Sayu hati ini melihat wajah polos yang sekecil ini sudah tahu mencari rezeki untuk keluarga mereka.
Kami tinggalkan pesanan untuk mereka. Insya-Allah kami akan datang lagi nanti untuk pembelajaran seterusnya. Biar bagaimana caranya sekalipun, guru-guru tetap akan cuba memberi yang terbaik buat anak-anak didik.
Tahniah diucapkan kepada semua guru dan staf SK Lemoi yang telah bertungkus-lumus menyediakan lembaran kerja / bahan belajar untuk murid-murid dan seterusnya menghantar kepada setiap mereka.
Terima kasih atas kerjasama semua. Diharap dengan sedikit usaha ini, akan memberi manfaat kepada anak-anak didik kita untuk terus belajar walaupun di rumah dan tanpa kemudahan internet.
THIS IS LEMOI! Nota: Al Fatihah untuk arwah Syam Din; kalau arwah masih ada – dah tentu dialah yang paling sibuk ketika ini. Ketika PKP sebelum ini, arwahlah yang menguruskan untuk hantar semua kerja kepada anak-anak. Semoga arwah tenang di sana. Al Fatihah.
MW : Luar biasa hebat kerja cikgu! Semoga usaha yang cikgu-cikgu lakukan diberkatiNya.
Covid-19 masih mengancam nyawa sesiapa sahaja apatah di kalangan orang berisiko terutamanya kanak-kanak, warga emas dan pesakit yang imunnya rendah.
Oleh sebab itu, mak ayah perlu sentiasa memastikan kehidupan harian sentiasa mengikuti norma baharu dan mematuhi arahan pihak berkuasa kerana virus jahat ini tidak mengenal siapa pun.
Begitulah yang terjadi pada allahyarham Ahmad Mohamad Talib yang meninggal dunia setelah dijangkiti Covid-19. Tentu sedih dia “pergi’ seorang diri di hospital kerana terikat dengan SOP.
Namun menurut anaknya, “Abah sempat minta maaf, minta semua jaga diri. Sebagai anak tentu sedih baca pesanan terakhir sebelum ayahnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Al-Fatihah.
“Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf. Jaga diri semua”
Itu kata-kata terakhir Ahmad Mohamad Talib, 58 kepada isteri dan anak-anaknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, pada Rabu lalu.
Gambar pesanan bapanya yang ditulis di atas dua helai kertas viral di media sosial selepas dikongsi anaknya Syafiqa Humairak, 32, di laman Facebook miliknya.
Syafiqa Humairak berkata, mereka sekeluarga tidak dibenarkan menyimpan kertas yang mengandungi pesanan bapa kerana dikhuatiri mengandungi virus Covid-19.
Menurutnya, bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang disahkan positif Covid-19 Khamis minggu lalu, sebelum dihantar ke HRPB untuk dikuarantin dan mendapat rawatan lanjut.
“Abah tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif (selepas dimasukkan ke hospital). Keadaannya juga bertambah teruk dan doktor memutuskan supaya abah dikomakan, Isnin lalu.
“Abah menulis nota itu sebelum dikomakan. Dia juga tidak mampu bercakap. Namun, kami sempat berhubung dengan panggilan video sebelum abah dikomakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Syafiqa Humairak berkata, semua ahli keluarga termasuk anak saudaranya yang berusia sebulan turut disahkan positif Covid-19, dan tidak berpeluang menghadiri majlis pengebumian bapanya.
Bagaimanapun, Syafiqa Humairak tidak dijangkiti virus berkenaan kerana dia tinggal di Pulau Pinang.
“Hanya saya yang dibenarkan hadir ke majlis pengebumian. Saya sangat sedih kerana tidak dapat mencium abah buat kali terakhir.
“Saya juga hanya dapat melihat jenazah arwah abah dari jauh. Covid-19 sangat bahaya, hanya dalam tempoh beberapa minggu ia ‘membunuh’ abah,” katanya. Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta sentiasa mengambil berat mengenai langkah keselamatan yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, arwah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini.
MW: Sedih sungguh bila ahli keluarga terdekat meninggal dunia di musim Covid-19 kerana kita tidak berpeluang menghadiri majlis pengebumian dan terikat dengan beberapa SOP. Oleh itu jagalah diri, jagalah keluarga agar kita semua dalam keadaan selamat dan terhindar daripada Covid-19.
Jika sudah tiba ajalnya, tak akan lambat walaupun sesaat. Kereta dihempap pokok getah, seorang kerani wanita meninggal dalam perjalanan ke tempat kerja pagi tadi.
Perjalanan seorang wanita ke tempat kerjanya di Gemencheh, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas kereta dipandu dihempap pokok getah yang tumbang.
Dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Keru-Batu Belang, dekat sini, jam 8.20 pagi, mangsa, Nur Zalehan Balkish Abdul Majid, 27, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bukit Ria, di Tampin ke tempat kerja di Gemencheh.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin menerima panggilan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) pada jam 9 pagi.
Katanya, anggota bomba memaklumkan berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dihempap pokok di Jalan Dalam Kampung Keru iaitu satu kilometer dari jalan utama Tampin.
“Siasatan awal polis mendapati, ketika mangsa memandu kereta di Jalan Dalam Kampung Keru, sudah dihempap sebatang pokok getah yang tumbang.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa tersepit di antara kereta dan pokok berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai kerani di Ar Rahnu Cawangan Gemencheh.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
“Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi JPBM Tampin, Pegawai Bomba Kanan Mohd Helmi Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.26 pagi.
Beliau berkata, pihaknya mendapati sebatang pokok getah tumbang menghempap kereta mangsa dan mangsa tersepit yang menyebabkan kecederaan pada bahagian dada.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan.
“Anggota kami mengambil masa 45 minit bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ dan mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
MW: Ajal tak mengenal usia dan tempat, bayangkan sebelum ke tempat kerja arwah sihat. Namun dipertengahan jalan, ajal datang menjemput dengan tragedi yang tidak disangka-sangka. Al-fatihah.