Haram isteri pergi misi Sumud 2.0 walau suami beri izin jika tidak dapat pastikan keselamatan syariat & ikhtilat. Aktivis wanita yang sudah berumahtangga yang mengikuti misi Sumud 2.0 terus menerima teguran dari agamawan.
Ini kerana jihad yang sangat digalakkan buat seorang isteri adalah di sisi suami dan keluarga dan bukannya pergi ke negara yang sedang bergolak.
Isu ini menarik perhatian Prof Dato’ Dr Izhar Ariff Mohd Kashim yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyifatkan isu isteri hadir menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai panas.
Dr Izhar menyifatkan isu isteri hadir menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai panas dan apa dikhuatiri olehnya menjadi kenyataan.
Jelasnya, apa yang dikhuatiri olehnya benar-benar menjadi kenyataan di mana dirinya pernah menyuarakannya sebelum ini.
“Nampaknya apa yang saya khuatiri dan bangkitkan dalam post saya sebelum ini telah menjadi kenyataan. Sebab itu saya dari awal tegaskan perkara ini perlu ada Garis Panduan Misi yang jelas daripada Jabatan Mufti supaya tidak bertelagah antara kita di Malaysia ini.
Perkara ini pun dah berlaku, kerajaan pun dah dilibatkan oleh NGO-NGO ini. Maka saya utarakan pandangan hukum suami atau isteri terlibat misi GAZA sebagai SOLUSI untuk kita semua.
Menurut Dr Izhar, adalah HARAM isteri terlibat misi berisiko ini jika suami tidak izin dan urusan rumahtangga terabai. Jihad menjaga rumahtangga lebih besar daripada melibatkan diri dalam misi yang tidak diredai suami atau ibu bapa. Jika suami dan Ibu bapa mengizinkan pemergian isteri, maka hukumnya harus selagi syariat terjaga.
Isu Nadzmi Adhwa yang dilihat memberikan restu dan doa kepada isteri, Ardell menyertai misi kemanusiaan ini menerima pelbagai pandangan dari masyarakat kerana ketika misi Sumud, Ardell direntap tudungnya oleh tentera zionis ketika dalam penjara.
“Dan HARAM juga isteri pergi walaupun mendapat izin dari suami jika tidak dapat dipastikan keselamatan syariat, batas pergaulan, Ikhtilat di atas kapal dan lain-lain oleh pihak NGO. Jika semua keperluan syariat dan keperluan wanita dapat dipenuhi oleh pihak NGO, maka hukumnya harus.
Ads
Dirinya turut menambah adalah menjadi HARAM hukumnya jika suami terlibat dengan misi tetapi mengabaikan tanggungjawab dan nafkah keluarga sebelum dan selepas dia terlibat.
“Ini kerana menjaga nafkah keluarga adalah jihad yang lebih besar berbanding terlibat dengan misi. Sekiranya nafkah dan keperluan keluarga telah ditinggalkan seperti harta, duit belajar anak dll ketika suami meninggalkan negara atau meninggal dunia akibat musibah ketika misi maka hukumnya adalah harus.
Heliza, Hazwani, Ardell dan Haroq dilihat sekali lagi menyahut seruan menyertai misi Sumud 2.0 dan telah berangkat untuk memasuki Gaza sekali lagi.
Dirinya turut menitipkan nasihat buat semua. Katanya, bagi yang telah mendapat keizinan dan telah memenuhi segala keperluan keluarga pergilah mewakili negara bagi menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada GAZA.
Ads
“Bagi yang tidak dapat keizinan suami atau isteri atau ibubapa, maka tidak perlu paksa diri hingga kita bercerai-berai. Berlapang dada supaya rumah tangga terpelihara. Nabi sendiri tidak benarkan sahabatnya terlibat dengan jihad jika ibu bapa menghalangnya.
“Bagi yang berpendirian jihad menjaga keluarga dan ekonomi Malaysia lebih penting, maka jangan halang mereka yang terlibat. Sama-sama kita iringi mereka dengan DOA dan yang terakhit, bagi mereka yang terlibat dengan misi, jaga syariat, jaga niat dan jaga adab berbicara.
isu isteri keluar menyertai misi kemanusiaaan ini turut menerima perhatian dari Mufti Perlism Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan bahawa keputusan membenarkan isteri atau anak perempuan terlibat dalam operasi berisiko bergantung kepada pertimbangan individu. Bagaimanapun, keputusan itu perlu dibuat dengan penuh teliti serta mengambil kira pelbagai aspek penting.
Ads
“Sesiapa yang membenarkan isteri atau anak perempuannya pergi ke sesuatu operasi berisiko, ia satu pandangan atau penilaian yang mungkin ada alasannya.
“Itupun hendaklah mengambil kira soal keselamatan dan harga diri wanita dalam pelbagai sudut. Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan.
“Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya yang perempuan. Jika keadaan memerlukan khidmat wanita, mereka boleh sertai seperti para sahabat wanita menyertai Nabi s.a.w dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu. Ia satu pahala.
“Selain tujuan operasi yang memenuhi syarak, keizinan suami dan kesesuaian operasi di sudut diri wanita hendaklah diambil kira. Jika itu semua memenuhi, maka mereka boleh sertai sesuatu operasi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dipukul isteri lebih 20 tahun, suami pernah patah hidung nekad mohon cerai nekad mohon cerai. Seorang suami nekad menamatkan perkahwinannya bersama isteri selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama lebih dua dekad, satu realiti yang jarang diperkatakan apatah lagi melibatkan lelaki sebagai mangsa.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang peguam syarie, Tuan Aiman yang menggunakan gelaran @aimansyarie di threadsnya serta banyak berkongsi kes-kes yang berlaku di mahkamah syariah.
Menurut Aiman, permohonan cerai itu difailkan oleh pihak suami (plaintif) atas alasan tidak lagi mampu menanggung penderaan fizikal dialami dan ianya berlarutan sehingga lebih 20 tahun sejak di awal perkahwinan lagi.
Dalam prosiding mahkamah, plaintif secara jelas menyatakan penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
“Saya mohon cerai. Isteri saya selalu pukul saya,” katanya ringkas ketika ditanya hakim.
Namun di sebalik jawapan yang pendek itu, tersimpan cerita panjang tentang ketakutan yang menjadi rutin hariannya di mana tubuhnya sering dipukul isteri namun dirinya terus bersabar memandangkan kasihan pada anak-anak yang masih kecil namun kini dirinya nekad selepas anak-anak meningkat dewasa.
Plaintif memaklumkan demi mengelak tubuh terus dibelasah isteri, dia memilih tidak lagi tidur sebilik dengan isteri malah setiap kali pulang dari masjid, dia akan terus mengunci diri di dalam bilik bagi mengelakkan sebarang konflik yang boleh berakhir dengan keganasan.
Malah, untuk mengurangkan risiko dicederakan, dirinya memilih untuk makan di luar sebelum pulang ke rumah. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan telah bertukar menjadi ruang yang menimbulkan rasa takut kepada dirinya walau dirinya adalah suami iaitu ketua keluarga.
Dalam masa sama ketika perbicaraan di mahkamah, defendan (isteri) tidak menafikan perbuatannya memukul suami namun cuba merasionalkan tindakan tersebut yang jelas luar dari kebiasaan alam rumahtangga.
“Saya pukul sebab nak tegur dia je… apalah sangat pukulan saya sebagai perempuan, dia lelaki,” katanya.
Kenyataan itu secara tidak langsung mencerminkan persepsi umum bahawa lelaki tidak mungkin menjadi mangsa keganasan rumah tangga sekali gus meremehkan kesakitan yang dialami.
Isteri ini turut mempertikaikan alasan suami untuk bercerai dengan menyatakan bahawa sebagai lelaki, plaintif tidak sepatutnya menjadikan perkara itu sebagai sebab untuk berpisah.
Kes ini menjadi lebih jelas apabila plaintif mengemukakan bukti laporan perubatan.
Menurutnya, dirinya pernah mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang hidung akibat dipukul isterinya. Selain itu, terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan malah b mendakwa dipukul menggunakan objek.
“Dia pukul banyak guna barang,” jelasnya. Keterangan ini mengukuhkan dakwaan bahawa kejadian yang berlaku bukan sekadar pertengkaran biasa, sebaliknya melibatkan keganasan fizikal yang nyata.
Plaintif turut mendedahkan bahawa dirinya telah memberi peluang kepada isterinya untuk berubah selama lebih 20 tahun malah dirinya turut bertahan kerana anak-anak namun tiada perubahan ketara berlaku di saat anak-anak sudah dewasa.
Lebih menyentuh, suami malang ini turut memaklumkan sikap agresif isterinya kerana datang dari latar belakang keluarga yang turut berdepan keganasan di mana sejak kecil isteri sudah selalu melihat ibunya dipukul si ayah.
“Saya tak sangka dia kaki pukul bila kahwin. Dia dibesarkan dalam keluarga yang ayahnya pukul mak,” katanya.
Faktor ini menunjukkan bagaimana kitaran keganasan boleh berulang dari satu generasi ke generasi seterusnya jika tidak ditangani.
Namun bagi plaintif, kesabaran yang panjang akhirnya menemui hadnya. Saya dah makin tua… badan tak kuat macam dulu untuk tahan sakit,” ujarnya.
Dalam prosiding tersebut, plaintif turut memaklumkan bahawa anak-anak mereka yang sudah dewasa menyokong keputusan untuk bercerai.
Beliau juga memberi jaminan bahawa isterinya masih boleh tinggal di rumah mereka, manakala dirinya akan berpindah dan tinggal bersama anak.
Perkara ini menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat bukan secara terburu-buru, sebaliknya telah dipertimbangkan dari pelbagai sudut termasuk kebajikan keluarga.
Ketika hakim bersedia membuat keputusan perceraian antara pasangan ini, suasana menjadi tegang apabila defendan bertindak agresif.
Isteri telah menghentak meja, menolak plaintif dan keluar dari dewan perbicaraan sambil menghempas pintu.
Tindakan tersebut berlaku di hadapan hakim dan secara tidak langsung menguatkan lagi gambaran tentang sikap agresif yang didakwa oleh plaintif.
Selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan, mahkamah akhirnya membenarkan plaintif melafazkan cerai.
“Mahkamah benarkan plaintif lafaz cerai,” kata hakim. Dengan suara yang tenang, plaintif melafazkan cerai, sekali gus menamatkan perkahwinan yang telah bertahan lebih dua dekad.
Kes ini membuka ruang kepada satu realiti yang sering dipinggirkanlelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Persepsi bahawa lelaki harus sentiasa kuat dan tidak terkesan dengan kekerasan fizikal sering menyebabkan kes sebegini dipandang ringan atau tidak dilaporkan. Namun hakikatnya, penderaan tetap penderaan tanpa mengira jantina.
Kisah ini bukan sekadar tentang perceraian tetapi tentang keberanian seorang lelaki untuk keluar daripada kitaran penderitaan yang terlalu lama dipendam.
Dan mungkin juga, satu peringatan bahawa keganasan dalam rumah tangga tidak pernah wajar dinormalisasikanwalau dalam apa jua bentuk sekalipun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tergamam dengan jumlah wang yang dihulurkan, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri memberi wang tunai berjumlah RM40,000 kepada pelakon Azar Azmi selepas membuat siaran langsung semalam.
Setiap jualan dalam sesi jualan secara dalam talian malam tadi, Datuk dan Datin menghadiahkan RM5 buat Azar bagi setiap barang yang terjual.
Menurut Aliff, bantuan dihulurkan adalah atas rasa impati terhadap nasib yang menimpa Azar yang kesempitan hidup ketika ini.
“Saya bantu seorang wanita yang kesempitan hidup hari ini. Dia datang pada saya, minta kerja sebagai tukang ‘packing’ barang dengan gaji RM1,700.
“Tapi hari ini saya bantu dia, rakyat Malaysia sayang dia. Ini bukan duit saya tetapi milik rakyat Malaysia,” katanya.
Aliff juga memberitahu tidak keberatan untuk mengambil Azar menjadi pekerja di syarikatnya.
“Hari ini, saya ajak seorang wanita yang dahulunya terkenal bertemu, dia tak pernah dan tiada niat minta duit daripada saya.
“Mungkin selepas ini saya akan ambil dia bekerja sebagai kerani atau pembungkus barang di syarikat saya dengan gaji berjumlah RM2,OOO,” katanya lagi.
Melihat respons yang positif, Aliff melahirkan ucapan terima kasih kepada setiap individu yang membeli produk jualannya.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Kali ini kalian membeli sambil beramal.
“Selepas ini insya-Allah saya akan bantu pelakon Norish Karman yang katanya sedang sakit,” ujarya.
Sementara Azar atau nama lengkapnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, tergamam dengan jumlah wang tunai diterimanya hasil jualan Aliff dalam TikTok
“Duit ini saya nak beli barangan keperluan anak-anak. Saya segan dan tak tahu nak cakap apa dan tidak tahu sudah berapa lama tiada duit.
“Saya terima apa sahaja tawaran kerja yang datuk berikan. Jumlah duit hari ini sebenarnya terlalu banyak.
“Sejujurnya saya terhutang budi dan semua yang datuk lakukan melebihi dari yang sepatutnya,” katanya yang tidak mempunyai akaun bank selepas kes dakwaan penipuan sebelum ini.
Usaha ini bukan sekadar jualan biasa, tetapi menjadi platform untuk membantu rakan industri yang sedang memerlukan.
Sikap prihatin dan inisiatif Datuk Seri Aliff Syukri ini jelas membuktikan bahawa pengaruh media sosial boleh digunakan ke arah kebaikan, di samping memberi semangat buat Azar Azmi untuk terus kuat dan bangkit menghadapi hari mendatang.
Terdahulu, nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi bualan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes sama.
Namun begitu, pelakon berusia 37 tahun itu dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Peminat francais Avatar The Last Airbender dikejutkan dengan berita kebocoran beberapa klip daripada filem animasi terbaharu The Legend of Aang: The Last Airbender, meskipun filem itu belum ditayangkan secara rasmi.
Lebih mengejutkan, kebocoran tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun yang didakwa mengakses server kandungan media secara tidak sah sebelum memuat turun filem berkenaan dan memuat naik sebahagian klip ke media sosial.
Insiden melibatkan Avatar The Last Airbender ini mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan digital dan ancaman kebocoran kandungan sebelum tayangan rasmi.
Menurut laporan, pihak berkuasa menerima aduan pada 16 April selepas beberapa sedutan filem Avatar The Last Airbender dikesan tersebar di platform media sosial.
Klip itu dilaporkan sudah beredar lebih awal di platform X dan menarik perhatian peminat seluruh dunia.
Bagi peminat setia Avatar The Last Airbender, kebocoran ini bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap spoiler besar sebelum filem ditayangkan Oktober nanti.
Apa yang lebih mengejutkan, suspek berjaya ditahan hanya sehari selepas laporan dibuat.
Pihak polis turut merampas beberapa peranti elektronik dan menemui salinan filem Avatar The Last Airbender dalam peranti miliknya.
Siasatan awal mendapati suspek memperoleh akses jarak jauh secara tidak sah ke server kandungan media sebelum memuat turun filem itu.
Kemudian, sebahagian rakaman dimuat naik ke internet.
Suspek kini disiasat kerana akses tanpa kebenaran terhadap bahan komputer.
Jika sabit kesalahan, dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga $50,000 (RM197,000) atau kedua-duanya sekali.
Kes ini sekali lagi menunjukkan isu cetak rompak digital kini semakin serius, terutama melibatkan produksi besar seperti Avatar The Last Airbender.
Menurut laporan Variety, studio Paramount yang menerbitkan Avatar The Last Airbender mengesahkan kebocoran itu tidak berpunca daripada sistem dalaman mereka.
Perkara ini sedikit melegakan peminat, namun pada masa sama menimbulkan persoalan bagaimana akses luar boleh berlaku.
Dalam era digital, satu kebocoran boleh beri kesan besar kepada promosi dan kutipan sesebuah filem.
Buat peminat lama, Avatar The Last Airbender bukan sekadar animasi biasa. Ia antara siri ikonik yang membesar bersama generasi 2000-an.
Kini The Legend of Aang menjadi antara filem animasi paling dinanti tahun ini. Lebih menarik, filem ini membawa semula dunia Aang dalam versi lebih matang dan sinematik.
Sebab itu kebocoran melibatkan Avatar The Last Airbender cepat menjadi berita besar.
Di media sosial, ramai peminat meluahkan kecewa apabila terpaksa mengelak spoiler yang mula berlegar. Ada yang meminta orang ramai tidak menyebarkan klip bocor demi menjaga pengalaman menonton.
Bagi sesetengah peminat, menunggu Avatar The Last Airbender di pawagam adalah sebahagian pengalaman yang mahu dinikmati tanpa spoiler.
Dan ramai setuju kebocoran sebegini merosakkan keterujaan.
Kes Avatar The Last Airbender ini juga membuka semula isu keselamatan digital dalam industri hiburan. Bagaimana filem yang belum siap edar boleh diakses? Bagaimana sistem boleh ditembusi?
Persoalan ini kini jadi perhatian. Terutama apabila industri hiburan semakin bergantung kepada server digital dan storan awan.
Apa yang berlaku kepada Avatar The Last Airbender bukan sekadar isu kebocoran filem. Ia kisah tentang keselamatan digital, hak cipta dan cabaran industri hiburan moden.
Apa pun, peminat tetap menantikan tayangan rasmi Oktober nanti. Mungkin kontroversi ini menjadikan keterujaan terhadap filem tersebut semakin tinggi.
Seronok tengok video menantu sediakan sarapan untuk mentuanya, beruntung mentuanya! Terbukti wujud hubungan baik dalam keluarga ini dan selayaknya dijadikan inspirasi