
Demi Rezeki RM30, Ibu Muda Sanggup Naik Motosikal Lima Jam Bersama Tiga Anak
Demi mencari rezeki halal dan membantu suami, seorang ibu muda sanggup membonceng tiga anak kecil setiap hari ketika menjalankan kerja penghantaran makanan p-hailing di sekitar Melaka.
Wanita Cekal Bekerja Lima Jam Sehari Demi Rezeki RM30
Menurut Noryani Syakira Yaakob, 23, tindakannya bukan kerana mahu menunjuk, tetapi semata-mata untuk menambah pendapatan keluarga selain memenuhi keperluan anak-anak yang masih kecil.
“Saya terpaksa membonceng tiga anak bersama untuk mencari rezeki kerana mahu menambah pendapatan membantu suami yang bekerja di bengkel.
Lagi pun, tak sanggup dengar anak lelaki berusia 10 bulan, dua dan lima tahun merengek minta itu dan ini. Kalau kerja dapatlah RM20 ke RM30 sehari untuk tampung keperluan anak,” katanya.
Kisah Tular Ibu P-Hailing Naik Motosikal Bersama Anak-Anak
Kisah wanita cekal itu tular selepas gambarnya bersama tiga anak menaiki motosikal di Melaka menarik perhatian ramai. Jelasnya, kejadian tersebut sebenarnya berlaku dua minggu lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan upah RM5.
“Waktu itu, saya meneruskan rutin kerja seperti biasa sejak dua bulan lalu membawa anak sulung Muhammad Rayyan Iskandar Muhammad Haidar, 5, dan Muhammad Rayyan Rayfal, 2, di belakang serta Muhammad Rayyan Maleeq, 10 bulan, di depan,” ujarnya.
Bantu Suami Dengan Pendapatan Tambahan
Katanya, suaminya, Muhammad Haidar Abdul Rahimin, 22, bekerja di sebuah bengkel dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan, menyebabkan dia nekad mencari rezeki tambahan demi anak-anak.
Bekerja kira-kira lima jam sehari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, Noryani memperoleh antara RM20 hingga RM30 sehari — jumlah yang cukup untuk menampung keperluan harian keluarga kecil mereka.
“Kadang sehari dapat RM20 atau RM30 pun saya bersyukur, asalkan ianya dapat menghilangkan rasa serba salah bila anak minta sesuatu yang tak mampu diberi.
Dapatlah juga bantu suami tampung keperluan asas anak-anak selain lampin, susu dan sewa rumah di Bukit Lintang RM350 sebulan,” tambahnya lagi.
Terpaksa Bawa Anak, Namun Tetap Bersyukur
Noryani turut berkongsi bahawa walaupun terpaksa membawa anak ke mana-mana, dia tetap gembira kerana dapat memenuhi permintaan kecil mereka seperti membeli jajan atau mainan murah di kedai.
“Sebelum ini saya pernah kerja sebagai pembantu jualan ayam gunting, tapi sebab saya terpaksa bawa anak bersama jadi ia menyukarkan saya sehingga saya tekad mencari rezeki sendiri.
Setiap hari selepas sahaja menghantar anak sulung ke tadika di Bukit Katil, saya akan bawa dua lagi anak bersama membuat penghantaran makanan menggunakan motosikal suami sehinggalah tengah hari,” katanya.
Orang Ramai Hulur Bantuan Ringankan Beban
Wanita tabah itu menambah, dia hanya keluar bekerja apabila cuaca baik bagi mengelakkan risiko kepada anak-anak yang turut dibawanya menunggang motosikal.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Noryani boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541000567835 atas nama Noryani Syakira Yaakob.
Sumber: Malaysia Gazette
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Keselamatan Bukan Pilihan, Tapi Keperluan
Alarm kecemasan yang mudah dibawa ke mana-mana — sesuai untuk pelajar, wanita, atau sesiapa yang mahu rasa lebih selamat setiap hari.

Keselamatan Bukan Pilihan, Tapi Keperluan
Alarm kecemasan yang mudah dibawa ke mana-mana — sesuai untuk pelajar, wanita, atau sesiapa yang mahu rasa lebih selamat setiap hari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!