Sejak kecil dirinya didedahkan dengan ilmu al-Quran meskipun pada mulanya tidak pernah langsung terlintas untuknya menjadi guru mengajar al-Quran seperti hari ini. Merupakan anak kepada seorang guru mengajar al-Quran yang merupakan seorang OKU, secara tidak langsung timbul minat Nur Ruzana Natiah Jaafar, 35, untuk terus mendalami ilmu al-Quran yang cukup luas itu.

“Saya bermula daripada umur 6 tahun, ketika itu saya sertai pertandingan tilawah al-Quran di tadika. Ayah saya merupakan guru al-Quran. Memang ramai orang datang rumah belajar al-Quran, kenal tajwid dan juga taranum ketika itu. Dulu sebenarnya saya tak minat sangat untuk mengaji, biasalah budak-budak lagi ketika itu. Tapi pendengaran kanak-kanak kan biasanya cepat menyerap. Orang keluar masuk rumah dan belajar mengaji di rumah saya itu membuatkan sedikit sebanyak masuk dalam jiwa. Daripada situlah minat mula datang dan saya mula menyertai pertandingan-pertandingan tilawah al-Quran di sekolah sehinggalah dewasa,” ujar Ruzana yang kini merupakan seorang guru mengajar mengaji dan membuka kelas agama.

Suami pendorong utama

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini pernah berkhidmat sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) selama 12 tahun sebelum berhenti untuk memberi tumpuan dalam bidang al-Quran. Penglibatan Ruzana dalam bidang al-Quran ternyata banyak dipengaruhi oleh ayahnya yang pernah empat kali memenangi Johan Tilawah Peringkat Kebangsaan Bagi Kategori OKU suatu masa dahulu. Malah Ruzana sendiri pada tahun lalu telah mewakili Negeri Selangor dan muncul sebagai Naib Johan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Demi Menyampaikan Ilmu Al-Quran, Suami Dan Anak Turut Berkorban Masa Bersama Ruzana
Suami dan anak-anak yang sentiasa menemani Ruzana

“Saya dahulu guru sekolah KAFA tapi ambil keputusan untuk berhenti daripada mengajar KAFA dan fokus dalam bidang al-Quran. Kalau ikutkan bidang saya ini lebih kepada bidang taranum. Sepanjang menjadi guru al-Quran ini, apa yang boleh saya katakan pengorbanan yang perlu saya buat adalah dari segi masa terutamanya setelah berkeluarga. Tapi yang penting adalah reda suami. Alhamdulillah, suami memang sangat memahami dan dia benarkan dan memberi sokongan penuh kepada saya untuk terus menyampaikan ilmu al-Quran seperti yang saya lakukan sekarang.

IKLAN

“Kadang-kadang kelas yang saya mengajar tamat lewat sehingga jam 10 malam. Selepas itu saya pergi pula ke kelas untuk belajar dan ada ketikanya kelas yang saya hadiri itu berlanjutan sehingga ke pagi. Tapi suami dengan sabar menunggu, bawa anak-anak serta tilam dan tidur di masjid. Saya rasa pengorbanan suami dan anak-anak cukup besar untuk saya.

“Dulu suami bekerja sendiri, tapi sekarang dia tumpukan sepenuhnya pada kerjaya saya kerana kelas saya bertambah dari sehari ke sehari. Duit bukanlah tujuan utama saya tapi memikirkan generasi kini yang masih ramai tidak boleh membaca al-Quran, saya rasa itu menjadi tanggungjawab saya dalam menyampaikan ilmu al-Quran kepada orang ramai selagi khidmat saya diperlukan. Tak nafikan memang pada mulanya ramai yang mengkritik seolah-olah suami saya ini tak boleh buat kerja lain. Pada saya biarlah kami bergerak bersama kerana ia lebih mudah dan malah tidak mendatangkan apa-apa fitnah,” jelasnya yang tentang pengorbanan suami tercinta.

IKLAN

Mengajar Dan Belajar

Ingin terus menimba ilmu dalam bidang taranum al-Quran yang meluas, Ruzana bukan sahaja menjadi tenaga pengajar, malah turut menghadiri kelas-kelas taranum al-Quran yang lain bagi menambah ilmu yang sedia ada untuk disebarkan kepada para pelajarnya.

IKLAN
Demi Menyampaikan Ilmu Al-Quran, Suami Dan Anak Turut Berkorban Masa Bersama Ruzana
Ruzana turut belajar untuk menambah ilmu yang sedia ada

Selain itu, Ruzana mempunyai cara yang tersendiri dalam menarik minat orang ramai untuk belajar mengaji. Dia menggunakan taranum yang berbeza-beza bagi setiap peringkat umur anak-anak muridnya dalam menyampaikan ilmu al-Quran.

“Bagi saya, cara nak tarik perhatian orang muda atau dewasa dan kanak-kanak untuk mengaji ni mesti kena caranya. Pembelajaran yang diselang seli dengan Qasidah, ada nyanyian sikit, nyanyian yang berunsurkan selawat dan tiada unsur lagha atau sia-sia itulah yang saya gunakan. Manusia kan suka dengan muzik jadi bila cara pembelajaran yang diterapkan itu menyeronokkan, terutamanya untuk kanak-kanak senang untuk mereka terima dan ingat.

“Untuk orang dewasa pula, saya sediakan satu kelas khas iaitu kelas taranum al-Quran. Kelas ini terbahagi kepada dua bahagian taranum iaitu Mujawwab iaitu bacaan menggunakan Qari style dan taranum Murattal iaitu bacaan Imam style. Bila mengaji, ada alunan-alunan yang ditetapkan barulah rasa seronok nak mengaji. Kita baca pun rasa seronok sebab Taranum ini mempunyai beberapa sifat-sifat tertentu mengikut pada ayat. Jika ayat sedih, kita baca taranum-taranum tertentu baru kita dapat rasai apa yang ingin disampaikan oleh ayat yang kita baca itu.

“Mengaji al-Quran adalah salah satu amalan yang akan kita bawa sebagai bekal ke akhirat nanti. Tua atau muda sepatutnya diberi pendekatan awal sedari kecil sampailah meningkat usia, memang kena mengaji. Bila dah tua memang akan rasa malu, sebab sudah berumur baru ada kesedaran untuk mengaji. Jadi sebaiknya tanamkan dalam hati mahupun anak-anak untuk mengaji seawal usia,”nasihatnya mengakhiri perbualan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI