Tahun lepas impian Dato Sri Siti Nurhaliza untuk menimang cahaya mata telah tercapai dengan kelahiran Siti Aafiyah Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Kini sudah setahun usia Siti Aafiyah atau nama panggilan manjanya Aafiyah. Bermakna tahun ini juga adalah tahun kedua Siti Nurhaliza beraya bersama anak tersayang.

“Semakin banyak keletah Aafiyah. Waktu dan usia begini juga saya sudah boleh memakainya baju raya dan saya memang tidak sabar untuk sedondon dengannya. Saya sudah menempah baju raya sedondon saya dan Aafiyah. Sudah tentulah koleksi pakaian raya Creacion untuk pakaian raya sedondon kami,” kata Siti yang sangat teruja untuk menyambut raya bersama anaknya.

Berpakaian sedondon bersama Siti Aafiyah ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri. Betapa hasrat itu tercapai pada tahun ini apabila Creacion by Siti Nurhaliza mengeluarkan satu rekaan baju untuk kanak-kanak dalam koleksi rayanya pada tahun 2019 ini.

“Pengalaman bergambar dengan Aafiyah menggayakan baju sedondon ini amat menarik. Saya sebenarnya rasa tidak sabar untuk melihat Aafiyah pakai baju raya Creacion dan dipadankan dengan saya.

“Semasa penggambaran dilakukan dia memang bertenag, maklum sahaja Aafiyah sudah kenyang. Kami memang cari waktu ketika tenaganya masih banyak. Jika tidak susah pula kerana dia hendak tidur dan sebagainya.

“Kami bagi dia shooting dulu. Kita sudah tahu apa yang boleh buat dia tergelak dan ketawa. Tetapi bila ibunya keluar sahaja, dia sudah mula hendak Siti dukung dan sebagainya. Nasib baik kakak yang jaga Aafiyah itu tahu bagaimana hendak pastikan Aafiyah gembira.

“Sementelah, jurugambar pula pandai ambil gambar ketika dia nampak comel dengan senyum sehingga ke telinga, saya rasa penggambaran itu berjaya,” cerita Siti tentang Aafiyah semasa pengambaran.

Sebagai ibu, Siti turut menempah baju raya Aafiyah.

“Inilah yang saya hendakkan. Baju sedondon bersama anak. Ada beberapa baju yang saya tempah menggunakan kain yang sama. Kami sedondon. Ayah Aafiyah tidak ada masalah untuk dipadankan dengan kami kerana Datuk banyak baju warna ‘plain’,” katanya lagi.

Berkaitan warna tema untuk hari raya tahun ini, Siti tidak meletakkan tema warna tertentu tetapi pilihan baju rayanya dan baju raya Aafiyah adalah warna-warna pastel.

Keluar Single Trio Pada Akhir Ramadan

Sebulan sebelum berpuasa, Siti Nurhaliza mengakui dirinya amat sibuk melakukan pelbagai urusan. Semuanya mahu disiapkan sebelum tiba Ramadan.

“Persiapan pada bulan Ramadan saya lebih kepada bersahur dan berbuka. Selebihnya saya ada juga ikut kelas-kelas mengaji. Pada bulan Ramadan juga biasanya saya sibuk menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur.

“Dari segi nyanyian saya tidak mengambil sebarang persembahan tetapi lebih tumpukan kepada kerja-kerja yang berkaitan dengan Simplysiti dan Creacion by Siti Nurhaliza. Kadang-kadang saya buat Meet and Greet di butik-butik saya atau di tempat yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan saya. Selain itu, saya memang betul-betul fokus untuk menunaikan ibadah pada bulan Ramadan,” kata Siti tentang aktivitinya di bulan Ramadan.

Ujarnya lagi pada akhir Ramadan tahun ini, beliau akan muncul dengan single trio bersama seorang artis dari Singapura dan Indonesia.

“Kemudian saya akan muncul dengan single untuk OST sebuah filem dan seterusnya single terbaru saya akan dirakamkan selepas raya. Saya dan SNP juga ada perancangan untuk mengadakan persembahan dan semuanya akan dimaklumkan selepas hari raya nanti,” tambah siti tentang programnya selepas raya.

Sambutan Raya

Bercerita mengenai sambutan raya pula pada tahun ini seperti selalunya Siti dan suami akan mulakan berhari raya di Kuala Lumpur.

“Kemudian barulah kami balik ke Kedah atau Pahang. Semua ini bergantung kepada keadaan. Jika tidak ada aral, minggu terakhir Ramadan atau 10 hari terakhir saya mengerjakan umrah dan selepas raya fokus kepada kerja semula.

Berkaitan dengan rumah terbuka, selalunya suami yang akan tentukan kerana jika tidak buat open house rasmi, memang keluarga, saudara mara dan kenalan datang beraya seperti biasa. Sehingga kini saya belum berbincang dengan suami lagi kerana ada kala suami khaskan buat untuk para pekerja untuk meraikan mereka,” kata Siti.

Katanya lagi setelah bergelar ibu, Siti semakin teruja membuat persiapan raya dan pastinya persiapan raya itu lebih kepada Aafiyah.

“Apatah lagi baju untuk kanak-kanak perempuan memang banyak dan cantik-cantik. Selain persiapan untuk Aafiyah, persiapan untuk rumah dan keluarga juga adalah secara bersederhana sahaja,” ceritanya tentang raya.

Sebagai seorang isteri, Siti juga tidak akan lupa tanggungjawab terhadap suami dan keluarga. Pada hari raya Siti mengakui dia memang akan turut membantu di dapur.

“Jika ada permintaan menu tertentu yang biasa saya masak, tak menjadi masalah. Selalunya hari pertama kami memasak menu khas keluarga di samping masakan yang disediakan oleh caterer juga,” ujar Siti lagi, setiap kali hari raya sudah pasti biskut-biskut raya seperti tart nenas, biskut Mazola dan biskut bunga cina atau semperit jadi pilihannya.

“Selalunya saya akan tempah biskut-biskut ini. Ada juga biskut-biskut yang diberikan oleh peminat-peminat saya,” katanya.

Cantik Bergaya Seperti Siti Nurhaliza

Lebaran kali ini sudah pasti ada yang mahu bergaya cantik seperti Siti Nurhaliza. Itu sudah tidak mustahil lagi kerana sejak Siti Nurhaliza memiliki butik dan jenama baju Creacion by Siti Nurhaliza, para peminat dan seluruh wanita di Malaysia boleh menggayakan koleksi pakaian yang dikeluarkan oleh penyanyi nombor satu negara ini.

Jelas Siti, beliau amat bersyukur kerana ini tahun yang kelima Creacion berada di pasaran. Setiap tahun terdapat rekaan terbaru dipersembahkan kepada peminat dan pembeli Creacion by Siti Nurhaliza.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakan. Kami telah menambah lagi butik Creacion by Siti Nurhaliza. Sehingga ini kami ada enam buah butik dalam masa empat tahun. Setiap tahun kami belajar daripada banyak pengalaman.

“Kekurangan kami perbaiki dan tahun ini, Alhamdulillah saya ada pereka fesyen baru iaitu Daniel Arif. Saya gembira dengan banyak perubahan yang telah dilakukan. Bagi koleksi raya 2019 ini,kami ada 43 rekaan sahaja.

Sebagai butik ready to wear kami bersedia menyediakan pelbagai warna pilihan pada pelanggan dengan saiz yang berbeza,” jelasnya tentang rekaan pakaian raya di butiknya.

****************************
Banyak lagi kisah menarik yang dikongsikan oleh penyanyi No 1 negara Dato Sri Siti Nurhaliza ini, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Jun, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.

Penulis: Julie Roshana Akma bt Shafee
Busana Siti Nurhaliza: Creacion by Siti Nurhaliza
Foto Ehsan: Creacion by Siti Nurhaliza

Jangan Lupa Komen

komen