Usianya masih muda namun Datin Paduka Eina Azman, 23 atau lebih mesra dengan panggilan Eina kelihatan begitu matang. Ibu kepada sepasang cahaya mata kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef yang kini berusia dua tahun begitu komited terutama terhadap penjagaan anak kembar kesayangannya ini. Malah Eina juga cukup bertuah kerana pasangannya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden begitu memahami dan sentiasa menyokong segala aktiviti yang dipilihnya terutama yang berkaitan seni dan perniagaan.

Selepas mendirikan bahtera selama empat tahun, Eina sendiri begitu selesa dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu. Walaupun aktiviti hariannya begitu padat namun Eina begitu bijak membahagikan setiap kerjayanya. Tidak gemar berdiam diri, Eina sebenarnya sudah mempunyai produk sendiri dan sekali sekala turun padang ke lokasi penggambaran.

Malah sewaktu penulis mahu mencuri masanya dengan anak-anak bagi mengabdikan kisah wanita muda ini sebagai penghias muka hadapan, Eina cukup mudah memberikan kerjasama. Seperti mana tarikh yang dijanjikan, Eina hadir ke studio kami bersama ibu tercinta, anak-anak dan tiga orang pembantunya.

Datin Paduka Eina Azman Ikat Perut Suami Dengan Air Tangan Sendiri

Gelagat anak kembarnya cukup mencuit hati, Arianna Aubrey dan Karl Kareef mempunyai karakter yang berbeza. Namun aksi kedua-dua si comel ini membuatkan kami di studio terhibur. Selesai sesi fotografi, penulis sempat menemubual Eina mengenai perkembangan terbaru dan pelbagai kisah mengenai dirinya dan keluarga untuk tatapan pembaca MW.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada tim MW kerana sudi menjemput saya dan anak-anak untuk sesi fotografi. Saya akan berikan kerjasama yang sebaiknya jika punya masa yang luang. Mengenai perkembangan terbaru, alhamdulillah saya sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan muncul dengan produk sendiri yang saya namakan Nea Beauty Care by Eina Azman. Setakat ini produk ini masih belum dilancarkan kerana saya masih tunggu beberapa produk lagi yang belum dikeluarkan. Kalau boleh saya nak keluarkan set penjagaan wajah yang lengkap,” ungkap Eina membuka bicara.

Bijak Bahagikan Masa

Selain bergelar isteri, ibu dan menjalankan perniagaan, Eina juga turut meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon. Ditanya bagaimana wanita yang juga anak saudara kepada penyanyi dan pelakon senior Juliza Adzlizan ini membahagikan masanya terhadap kerjaya dan keluarga, Eina akui berasa sangat bertuah kerana mempunyai seorang suami yang begitu memahami.

“Suami tidak pernah cakap ‘tidak’ pada apa yang saya buat. Malah dia juga tidak pernah melarang segala aktiviti yang saya pilih. Suami memberi sokongan setiap apa kerjaya yang saya mahu ceburi asalkan saya pandai bahagikan masa. Cuma dia berpesan pada saya supaya kena tahu batasan sebagai seorang isteri.”

“Contohnya baru-baru ini, saya turun lokasi drama arahan Michael Ang ‘call time’ pukul 10, jadi jam 7 pagi saya sudah bangun siapkan masakan untuk suami dan siapkan anak-anak. Kemudian baru saya keluar, bila waktu rehat saya akan pulang ke rumah dan sediakan masakan tengah hari, kalau tak sempat masa waktu balik sebelah malam baru saya akan masak.”

“Setakat ini saya tak ada masalah untuk bahagikan masa sebabnya lokasi penggambaran sekitar KL, cuma jika pada masa akan datang diberi peluang jalani penggambar di luar KL saya kena cuba susun jadual masa saya dengan baik,” terang Eina yang cukup berdisplin.

Datin Paduka Eina Azman Ikat Perut Suami Dengan Air Tangan Sendiri

Ramai yang beranggapan Eina cukup bertuah kerana hidup dalam kemewahan. Namun dirinya dilihat begitu aktif berniaga dan berlakon. Eina sendiri akui memang ada ‘haters’ di laman sosial yang menyatakan hal sedemikian.

“Saya ni memang jenis yang tak boleh duduk diam tetap nak bekerja keras. Secara jujurnya memang ada ‘haters’ yang cakap ‘dah ada macam-macam kenapa nak berlakon lagi’. Pada saya itu minat saya. Contohnya saya sudah bergelumang dalam dunia lakonan sejak usia 13 tahun. Walaupun perlahan-lahan nama saya naik dari pelakon tambahan dan kemudian watak utama. Karier ini bukanlah sesuatu yang senang-senang untuk saya tolak ketepi.

“Alhamdulillah suami bagi sokong. Tak salah jika ada peluang yang baik untuk saya ambil. Saya juga jenis yang tak kisah walaupun penat. Pada saya jika sudah minat segala perkara akan menjadi senang. Saya selalu muat naik dalam akaun IG masakan yang saya hasilkan. Perumpamaannya sama macam memasak, jika badan penat sekali pun saya akan turun ke dapur memasak. Jika suami saya mahu makan, saya tak kisah pukul berapa pun dia minta, saya akan sediakan masakan yang dia suka. Kadang-kadang tu jam 3.00 pagi saya akan bangun masak bukan mi segera tapi menu berat seperti Masak Lemak atau Kari Ayam,” beritahu Eina.

Mummy Sebagai Idola

Mengusik Eina bagaimana dia cekap dalam mengendalikan rumah tangga memandangkan dia berkahwin dalam usia muda. Eina menerangkan ibu (panggilan Mummy) merupakan idolanya dalam menguruskan rumah tangganya.

“Segalanya saya mulakan dari bawah. Saya ni bukanlahjenis yang terus pandai memasak. Saya belajar perlahan-lahan. Sifu saya adalah Mummy. Sejak kecil saya lihat Mummy menguruskan rumah tangga dengan baik. Setiap hari bapa saya akan bawa bekal yang dimasak Mummy ke pejabat. Mummy juga selalu pesan ikat perut suami dengan air tangan sendiri.

“Masa baru-baru kahwin saya cuma tahu masak tiga lauk saja. Kemudian perlahan-lahan saya belajar masak menerusi internet dan paling penting banyak bertanya kepada Mummy. Baru-baru ini suami teringin nak makan Nasi Dagang, saya belajar masak nasi tersebut, alhamdulillah menjadi dan suami pun suka. Saya juga sangat bersyukur dalam penjagaan anak-anak saya memang perlukan pembantu dan saya memang kesian nak tinggalkan anak lama-lama,” ungkap Eina lagi.

Datin Paduka Eina Azman Ikat Perut Suami Dengan Air Tangan Sendiri

Ditanya adakah dia menghadiri kelas dalam mengendalikan anak-anaknya. Eina menjawab dia cuma banyak membuat kajian di internet.

“Tak sampai ke kelas, cuma saya akan cari di internet contohnya baru-baru ini penyebaran kes HFMD, setiap hari saya akan periksa lidah, tapak tangan dan peha anak. Takutkan, sekarang ni macam-macam penyakit, saya takut anak-anak dijangkiti. Sebabnya sistem imunisasi kanak-kanak lemah dan terdedah pada penyakit. Memang akhir-akhir ini saya jarang bawa mereka keluar kerana bahaya,” terang Eina yang cukup gemar pada kanak-kanak walaupun dia merupakan seorang anak bongsu.

Eina juga turut berkongsi cabaran yang paling sukar baginya tatkala menjaga anak yang sedang sakit.

“Cabaran paling besar dalam menjaga anak-anak, paling saya tak boleh lupakan semasa Karl sakit dua tahun lepas dan ditahan di hospital. Saya sedih sangat sebab semuanya serba tak kena. Nak bagi makan dan uruskan segalanya semua susah. Jadi jika boleh saya tak nak anak sakit dan sentiasa pantau anak-anak agar dijaga dengan rapi. Jika saya ke luar negara dan tinggalkan anak dengan bibik saya akan call sentiasa dan pastikan anak-anak sudah makan. Saya sangat prihatin pada kesihatan mereka,” sambung Eina.

Amal Minum Jamu

Walaupun sudah melahirkan anak kembar namun Eina kelihatan kurus. Ditanya amalan kecantikan yang diamalkan, Eina berkongsi amalan yang diperturunkan oleh Mummy kepada dirinya.

“Sejak sekolah menengah memang Mummy dah paksa kami adik beradik amalkan jamu yang dibuat dari daun inai, kunyit, daun sirih dan manjakani. Setiap hari saya akan minum setengah gelas. Jamu ini sangat baik untuk kesihatan dalaman. Alhamdulillah amalan ini sangat baik dan memberi kesegaran pada tubuh.

“Selain itu saya memang tak ada masa nak ke gimnasium jadi saya akan buat senaman ringan seperti skipping di rumah. Paling penting saya amalkan diet yang sihat dan banyakkan minum air mineral.

“Badan saya ni jenis yang cepat naik jadi, sekarang ni saya memang tak makan nasi cuma akan ambil sekali sekala saja. Saya akan makan lauk dan gantikan nasi dengan ulam-ulaman dan salad,” kongsi Eina.

Datin Paduka Eina Azman Ikat Perut Suami Dengan Air Tangan Sendiri

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Eina Azman.Ikuti sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, Volume 1 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

Penyelaras: Shahrina Azlin, Norhayati Suboh & Adli Hazeri
Teks: Norhayati Suboh
Foto: TM Azman & Azfarina
Solekan: Atie Haron
Pakaian: Koleksi Eina Azman

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI