Memang jika diberi pilihan, wanita tak mahu berkongsi suami, apatah lagi ambil suami orang. Tetapi kalau dah takdir, apakan daya. Azalinya, telah menjadi fitrah seseorang  wanita, inginkan dirinya disayangi secara istimewa dan tidak berkongsi. Berkongsi ertinya tidak istimewa. Namun sekiranya berlaku, ia perlu ditangani secara bijak dengan hikmah dan hemah, supaya saling menguntungkan antara satu sama lain. Dah nama pun isteri kedua, mental kenalah kuat sebab dari awal dah tahu, kau ambil hak orang kan.

Andainya belum bermadu, kita boleh mencipta diri kita yang mampu memenuhi kebahagiaan suami kita dan ini mampu mengelakkan ruang hasrat suami untuk menambah isteri baru. Tetapi, andainya telah berlaku dan kita bermadu, jangan habiskan banyak masa untuk bergaduh dan memburuk-burukkan madu kita agar suami kita membencinya dan menyayangi kita. Memburukkan orang lain tidak akan menjadikan kita baik, tetapi kita perlu berubah melakukan kebaikan kepada orang lain.

Menurut, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, sebaiknya didik hati menerima fitrah ciptaan Allah bahawa setiap kita ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada kelebihan pada diri madu kita yang boleh membahagiakan suami kita, malah juga ada kelebihan yang boleh dipergunakan untuk kegembiraan kita. Saling bahagiakan, insyaallah bahagia yang dirasai mudah dikongsi untuk kita juga merasa bahagia. Sesekali terasa hati, itu adalah perkara biasa tetapi cepat-cepat merawat hati dengan kefahaman kita tadi.

Jalinkan Hubungan Yang Baik

IKLAN

Tambahnya lagi, sememangnya sesuatu yang agak sukar untuk mengelakkan daripada berlaku perkara yang mengguris hati atau setidak-tidaknya salah faham dan menyebabkan kecil hati antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, ia boleh diuruskan dengan memujuk hati kita supaya memahami realiti sebenar tentang diri kita yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Tidak dinafikan agak berat untuk menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan madu, kerana ia membabitkan hubungan perasaan yang sangat kuat. Pun begitu, dengan memahami dan memujuk agar kita menghadapi realiti secara bijak dan memenangkan hubungan kita, serta istiqamah membiasakan tindakan positif, diyakini ia adalah sesuatu yang mampu diubah.

Selain itu, jelas Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, antara tindakan positif yang boleh dilakukan, sedari kelebihan madu kita yang menjadi kekurangan kita. Dalam bahasa langsung, pergunakan kelebihannya contohnya dia suka memasak, sinergikan supaya dia memasak dan kita ambil peranan yang kita gembira lakukan tetapi mungkin kekurangan dia. Menerusi cara ini, dia turut merasa gembira.

IKLAN

Memberi dan menerima serta saling bertukar sesuatu yang membahagiakan. Sekiranya madu kita tidak bekerja, cuba ambil jalan tengah dan bersepakat supaya dia uruskan rumah. Manakala  kita berkongsi sebahagian gaji kita dengannya.

Barangkali nampak agak mudah diungkap, tetapi susah juga mahu dikota. Namun, dengan memujuk kefahaman kita dan istiqamah memulakan tindakan-tindakan begini, lama-kelamaan akan menjadi tabiat dan budaya hidup kita yang menggembirakan.

IKLAN

Agar sama-sama berasa menang. Kata orang didik hati agar redha. Kita hargai apa yang kita peroleh daripadanya dan kita hormati apa yang diharapkan olehnya daripada kita. Perkara ini sedikit-sebanyak memudahkan kita untuk menjadi redha.

Sebaiknya, tidak perlu bersaing untuk menunjuk-nunjuk kebaikan antara sesama madu, tetapi baik juga kalau bersaing menunjukkan kebaikan kepada suami. Namun lakukanlah secara sihat dan berhemah. Jika kedua-dua kita tunjukkan rasa memberontak dan menyedihkan suami, tidak mustahil suami akan mencari tambahan yang baru dan mungkin bertambah lagi rasa sakit di hati kita.

Peranan Suami

  1. Pertamanya, betulkan di hati bahawa tanggungjawabnya berganda berbanding suami beristeri satu.
  2. Perkara paling penting, pastikan berlaku adil terutamanya pada keperluan berbentuk fizikal dan material.
  3. Masa lebih terhad berbanding beristeri satu. Uruskan masa sebaiknya untuk keluarga berganda dan makin kurang untuk bersama kawan-kawan mahu pun bersendirian.
  4. Sedia berkorban dan kurangkan kepentingan diri kerana banyak hati yang perlu dijaga dan mudah terasa.
  5. Elakkan sama sekali daripada membanding-bandingkan kelebihan mana-mana isteri atau pun menyebut kelemahan isteri tertentu. Hargai kelebihan masing-masing.
  6. Perlulah semakin dekat dengan Allah untuk sokongan kekuatan menjaga dan mendidik dua isteri dan lebih ramai anak-anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI