koc pink

Warga kota yang menggunakan khidmat tren komuter sudah pasti akan mengetahui mengenai koc untuk wanita yang telah diperkenalkan oleh KTM Berhad bermula April 2010. Sudah hampir 8 tahun koc pink ini diperkenalkan tetapi masih ada juga lelaki yang seakan buat buat tidak faham apabila mereka berada di dalamnya.

Saya sebagai pengguna tegar tren komuter ini ingin berkongsi cerita mengenai kisah di koc wanita. Boleh dikatakan setiap hari apabila saya menaiki tren ini sudah pasti ada sahaja lelaki yang akan duduk di dalam koc ini.

Setiap kali menaiki tren komuter, sudah pasti akan ada pengumuman dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mengenai koc wanita ini. Logo dan tulisan berwarna merah jambu atau pink pula sudah jelas tertulis pada bahagian luar dan dalam koc. Tetapi masih ada lelaki saya fikir yang kurang prihatin atau mungkin mereka itu sahaja buat-buat tidak faham.
Koc untuk wanita khas untuk wanita. Kalau ada lelaki pun hanya untuk bayi dan kanak-kanak lelaki yang menaiki tren bersama ibu mereka. Jika yang menaiki tren itu adalah ibu bapa bersama anak-anak, perlulah mereka berpindah ke koc lain.

Wanita juga memainkan peranan untuk mengingatkan lelaki untuk mengikut arahan tersebut. Biasanya ada juga wanita terutamanya ibu yang menaiki tren bersama suami dan anak-anak membiarkan suami mereka duduk sama di koc tersebut. Alasan mereka senang ada suami untuk menjaga anak-anak.
Sedarkah mereka itu koc wanita. Jika mereka mahu suami meneman dan menjaga anak-anak, apa kata mereka terus menaiki koc ‘universal’ atau koc yang boleh dinaiki oleh lelaki dan wanita tanpa sebarang halangan. Biarlah koc wanita hanya untuk wanita.

IKLAN

Kalau arahan dan peraturan mudah itu pun ibu bapa buat-buat tidak endah, bagaimana pula cara mereka mendidik anak? Sedarkah mereka kelakuan itu secara tidak langsung telah dilihat oleh anak-anak mereka. Wahai ibu bapa, tunjukkanlah perbuatan baik kepada anak-anak kerana setiap perbuatan tidak baik anda itu akan menjadi acuan kepada sikap anak-anak pada masa hadapan.

Koc wanita disediakan demi keselamatan wanita itu sendiri. Hargailah usaha pihak KTM Berhad ini. Kalau kita wanita sendiri tidak memperjuangkan hak untuk wanita, siapakah lagi yang mahu melakukannya.

IKLAN

Tegur secara sopan

Daripada pengalaman saya apa yang boleh kita buat kalau ada lelaki yang sengaja atau tidak sengaja duduk di kerusi yang terdapat di koc wanita?

IKLAN

Perkara pertama yang saya buat adalah beri lelaki itu masa lebih kurang beberapa saat sebelum menegurnya. Kita anggaplah dia tidak tahu atau tidak perasan.

Setelah melihat lelaki itu buat tidak tahu, bolehlah kita memberitahunya secara sopan bahawa koc ini untuk wanita. Mereka boleh berpindah ke koc lain. Biasanya cara saya ini akan berkesan.

Apa cara anda kalau melihat lelaki duduk di dalam koc untuk wanita?

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI