
Pelakon popular, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta meluahkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes jenayah sekolah yang berlaku sejak kebelakangan ini hingga membuatkan beliau mempertimbangkan untuk anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, mengikuti pembelajaran di rumah atau home schooling.
Menurut Che Ta, 52, langkah itu diambil demi keselamatan Aaisyah yang kini berusia 11 tahun. Beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat guru wanita bagi mengajar anak perempuannya itu di rumah agar lebih selamat dan terkawal.
Che Ta Risau Kes Jenayah Sekolah Semakin Meningkat
“Aaisyah lepas ini tak payah pergi sekolah. Budak sekolah sekarang ini tak tahu makan apa, perangai pelik macam monyet, beruk, ungka, semua lah.
“Panggil sahaja cikgu datang rumah, cikgu pun cikgu perempuan. Sekarang jadi mak yang ada anak perempuan, takutlah Ya Allah. Macam-macam hal,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di TikTok.
Walaupun nadanya kedengaran berseloroh, ramai memahami kebimbangan ibu kepada tiga anak itu yang meluahkan keresahan mewakili ramai ibu bapa terhadap situasi kes jenayah sekolah yang semakin membimbangkan.
Punca Kebimbangan Che Ta
Difahamkan, kerisauan Che Ta berpunca daripada beberapa kes jenayah melibatkan pelajar yang tular baru-baru ini, termasuk insiden rogol di dalam kelas serta kes pelajar ditikam hingga meninggal dunia. Kejadian-kejadian ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa seluruh negara.
Video TikTok Menarik Perhatian Warga Maya
Dalam video sama, pelakon itu turut menegur Aaisyah yang hanya mampu tersenyum mendengar bebelan ibunya.
“Aaisyah, jangan senyum-senyum. Hal ini serius,” katanya, menegaskan bahawa isu keselamatan pelajar bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri pandangan ibu bapa lain yang sependapat dengan Che Ta dan turut menzahirkan rasa takut untuk melepaskan anak-anak ke sekolah pada masa kini.
@rozitachewan1 Kami yg anak soqang ni pun seqeyau laaaaa ya Allah ! Mcm2 hal ! Sekolah pun dh jadi tempat yg tak selamat utk anak2 kita 🥲 . #aaisyahdhiarana #cheta ♬ original sound – ROZITA CHE WAN
Reaksi Warga Maya Terhadap Isu Keselamatan Pelajar
“Sungguh, kita besarkan anak-anak dengan elok, alih-alih kat sekolah nyawa melayang,” tulis seorang pengguna.
“Panggil sahaja tutor ke rumah, ikut silibus yang diiktiraf. Tapi jangan lupa panggil ustazah atau ustaz mengajar agama,” komen seorang lagi pengguna TikTok.
Kebimbangan terhadap kes jenayah sekolah ini turut timbul selepas beberapa kejadian serius membabitkan pelajar, antaranya kes rogol empat pelajar tingkatan lima di Melaka serta kes pelajar perempuan maut ditikam rakan sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini.
Isu ini sekali lagi membuka perbincangan tentang pentingnya pemantauan ketat di sekolah dan keperluan memperkukuh sistem keselamatan pelajar bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Sumber: TikTok Che Tab dan Instagram Rozita Che Wan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!