Cerai Kerana Tak Mahu Dimadu, Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Suami Orang

Cerai adalah jalan terakhir apabila suami isteri tiada lagi jalan penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka. Misalnya wanita itu tidak ingin dirinya dimadukan.

Cerai dimohon wanita itu daripada suami. Tapi akhirnya dia jatuh cinta pula dengan suami orang lain. Apakah bermakna dia sudah bersedia dimadukan? Ikuti luahannya.

Mohon Cerai

Assalamualaikum puan. Saya merupakan janda berusia 39 tahun. Saya mempunyai tiga orang anak yang sudah remaja.

Yang sulung berada di kolej, kedua menduduki SPM tahun ini dan yang bongsu tingkatan dua. Saya berpisah dengan bekas suami lima tahun lalu apabila dia ingin berkahwin lain. Saya tidak rela diri dimadukan dan memaksa suami ceraikan saya.

Perniagaan

Saya memiliki spa kecantikan yang dikongsi bersama seorang rakan, Zai, dan spa kami itu mendapat sambutan menggalakkan. Hasil daripada itu saya dapat membesarkan anak-anak dan memberikan sedikit kesenangan buat diri mereka.

Bekas suami juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan nafkah tidak pernah dilupakan setiap bulan. Tidak dinafikan, sepanjang berkahwin dulu, dia melayan saya dengan baik dan bertanggungjawab. Malah dia meminta izin saya apabila hendak berkahwin lagi walau pun mungkin dia boleh bernikah secara diam-diam.

Tercalar Ego

Saya sedar tidak salah berpoligami di dalam Islam tapi saya tak dapat terima poligami. Apatah lagi saya rasa saya tiada kurangnya. Masih cantik pada usia 30-an dan sudah memberi zuriat kepadanya. Isteri baru bekas suami saya itu pula serba sederhana dan janda anak dua. Ego saya tercalar dengan pilihan bekas suami dahulu. Lagi pun saya tak nak berkongsi kasih dengan wanita lain. Itu prinsip yang saya pegang.

Empat bulan lepas, saya didatangi oleh seorang pelanggan di spa saya. Seorang wanita berusia 40-an, Puan Maz, yang baik dan lemah lembut orangnya. Setiap kali datang, pasti dihantar oleh suaminya, Z. Satu hari, Z tiba-tiba menelefon saya kerana hendak membatalkan temu janji isterinya yang tidak sihat. Pertama kali berbual di telefon, saya tertarik dengan Z. Sejak itu, dalam diam saya sering menghantar whatsapp dengan Z.

 Cerai Kerana Tak Mahu Dimadu, Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Suami OrangTerjalin Hubungan Lepas Cerai

Maka, terjalin perhubungan antara saya dan Z sehingga saya anggap dia kekasih. Saya seolah ‘lupa’ bahawa Z itu sudah ada isteri dan sangat menyayangi isterinya. Kami sudah beberapa kali berjumpa dalam tempoh ini. Setiap kali itu juga, saya akan bercakap dan memberi dia ‘hint’ soal kahwin dan melahirkan hasrat untuk memiliki suami yang dapat menjaga saya dan anak-anak.

IKLAN

Saya tahu Z mampu kerana dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Z tidak pernah memberikan kata putus tentang hubungan kami. Tidak pernah memberi apa-apa harapan buat diri saya. Semakin hari, semakin saya rasa tertekan kerana saya ingin memiliki Z dan sanggup membuang prinsip saya yang tidak ingin bermadu. Bagi saya, Z seorang lelaki sempurna untuk saya.

Apakah silap saya berterus terang dengan Z tentang soal hati? Apakah saya terlalu gelojoh sedangkan usia perkenalan kami baru beberapa bulan. Tapi saya betul-betul sukakan dia dan tak ada salahnya jika saya yang memulakan langkah pertama? Saya tak paksa dia cerai isterinya. Lagi pun usia saya bukan muda lagi. Apa yang patut saya lakukan?

Ain, Setapak

SARANAN KAUNSELOR

Poligami ialah satu mekanisme yang dibenarkan dalam Islam agar setiap wanita akan terbela nasibnya, maruahnya, martabatnya serta kehormatannya sekiranya amalan poligami ini tidak disalah gunakan. Keperluan berkasih sayang dan berkongsi kasih dalam keluarga merupakan amalan poligami yang berjaya dan dirahmati Allah SWT.

Igauan Ngeri Wanita

Namun perkataan poligami menjadi satu igauan ngeri bagi kebanyakan wanita yang dimadukan kerana pengalaman yang zalim serta tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh suami juga isteri yang mencacatkan keistimewaan ini yang sepatutnya merupakan anugerah terindah dalam kehidupan manusia.

Konsep poligami diamalkan atas dasar perkongsian secara harmoni serta meletakkan cinta Allah SWT sebagai cinta utama dan menjadikan suami sebagai pemimpin yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keharmonian dalam berkongsi kasih ini merupakan satu arahan minda kita yang menyatakan bahawa perkongsian kerana Allah SWT dan segala amanah yang dilaksanakan merupakan ibadah bukan tuntutan nafsu semata-mata.

IKLAN

Berpunca Daripada Niat

Poligami ialah persetujuan untuk memikul amanah yang lebih dan berjanji untuk bertanggungjawab kepada lebih daripada satu keluarga. Namun hasil daripada pemerhatian dalam persekitaran sekarang menunjukkan masalah yang dihadapi oleh pasangan yang berpoligami berpunca daripada niat awal kepada poligami itu sudah terpesong, masing–masing sudah ada persepsi kepada poligami, tidak berterus terang, takut untuk bertanggungjawab, takut kepada konflik serta membiarkan pasangan menanggung semua masalah setelah berlaku poligami.

Lebih serius lagi bila para suami yang hanya tahu berpoligami tetapi sangat takut untuk mengaku atau bertanggungjawab kepada perkahwinan tersebut. Akhirnya isteri yang mengalah dan tidak mahu konflik akan ditinggalkan serta isteri yang banyak mengugut atau memberi ancaman akan berjaya menguasai suami sehingga meninggalkan amalan poligami.

Tolak Poligami Tuntut Cerai

Dalam kes yang puan paparkan ini menunjukkan puan tidak mahu berpoligami dan minta diceraikan suami atas alasan tidak mahu berkongsi suami tetapi setelah puan hidup sendiri, puan merasakan perlu berpoligami kerana kesunyian dan perlukan teman dalam kehidupan puan.

Kekeliruan ini menunjukkan puan banyak memikirkan tentang diri puan tanpa melihat keperluan persekitaran. Namun apabila semua terkena kepada puan, maka puan dengan sendiri bersetuju untuk berpoligami tanpa puan memikirkan pula perasaan isteri pertama kepada kekasih puan itu. Puan juga mempersoalkan adakah puan terlalu mendesak dan gelojoh dalam perhubungan ini dalam memastikan kekasih puan akan bersetuju berpoligami.

Tiada Kepastian Dalam Hubungan

Puan juga takut harapan puan untuk memiliki kekasih puan dan berpoligami akan berkubur kerana masih tidak ada kepastian dalam hubungan puan dan kekasih puan.

IKLAN

Apa yang perlu puan buat adalah cuba untuk memperbetulkan niat puan untuk berpoligami ini dan serahkan kepada takdir akan jodoh puan bersama kekasih puan setelah puan berusaha untuk menyatakan kesungguhan puan untuk berpoligami. Seterusnya puan perlu berbincang secara baik dengan bakal suami puan berserta bakal madu puan bagi mendapatkan kesepakatan untuk hidup bersama dalam satu keluarga.

Paksaan Satu Penderaan

Perkara yang membantutkan dan mendatangkan masalah jika berpoligami adalah “penipuan”, merahsiakan, tidak berterus terang dan mengandaikan bahawa jika semuanya timbul setelah berkahwin maka isteri pertama terpaksa menerima perkahwinan ini. Namun peratus kebahagiaan itu amat sedikit atau terpaksa berpisah di tengah jalan atau berlaku keadaan tidak adil bagi perjalanan hubungan keluarga seterusnya.

Paksaan terhadap penerimaan poligami adalah satu hukuman dan penderaan bagi wanita kerana mereka rasa ditipu dan dianiayai, maka berterus terang akan membantu mempercepatkan penerimaan ini walaupun berlaku konflik pada awalnya.

Sukarnya Poligami

Jarang ada wanita yang mahu berkongsi apa pun terutama berkongsi suami, namun berbahagialah sesiapa yang sanggup bermadu dan berkongsi suami dalam keadaan harmoni dan berkasih sayang. Matlamat utama adalah keredhaan Allah SWT serta memburu cinta Allah SWT tanpa terlalu lalai dengan cinta manusia.

Dalam masa yang sama poligami akan membantu wanita-wanita yang memerlukan perlindungan dan kasih sayang untuk menumpang kasih serta menjauhkan diri daripada zina. Maka puan perlu berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati kekasih puan untuk berkahwin dengan puan dalam keadaan diterima oleh bakal madu puan agar puan dalam mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sumber: Persoalan ini dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis di dalam majalah Mingguan Wanita.

https://www.mingguanwanita.my/bila-berpoligami-bukan-hati-isteri-isteri-nak-kena-jaga-tapi-seluruh-keluarga/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI