Perempuan memang kalau dengan suami, dia suka bercakap. Segalanya dia ingin luahkan pada suami agar sang suami memahami perasaannya. Sebenarnya dia ingin meluahkan sahaja, bukannya ingin cari jalan penyelesaian.
Suami pula berbeza, bila isteri mula bercakap, dia labelkan isteri kuat berleter. Lagi satu bila isteri mengadu atau meluahkan perasaan dikatakan isteri mahukan jalan penyelesaian. Sudahnya isteri jadi bingung mahu bercerita pada siapa. Oleh itu gunakan cara ini untuk meluah pada suami tetapi tidak dilabel sebagai berleter.
Ikuti perkongsian, Dr Saidatul Husna : Seorang wanita berjumpa saya, mengadu dunia perkahwinannya yang semakin hambar. Satu demi satu dia luahkan. Saya dengar saja ceritanya. Biasalah orang perempuan ni ‘talkative’. TERAPI mereka ialah dengan berbual-bual. Selepas wanita ini mencurahkan hasrat hati dia kepada saya, lega sungguh raut wajahnya. Senyuman pun sampai ke pipi. Muka yang tadinya keruh kembali berseri seri seperti ada sinaran lampu menyinar dari ubun-ubun. Timbul rasa kesian pada wanita ini kerana jelas dari ceritanya, dia jarang berkomunikasi dengan suami. Dia banyak memendam. Risau juga kerana jika berterusan, cara begini bahaya untuk jiwanya, bimbang meletus di kemudian hari. Bagi seorang isteri, ada masanya mereka sangat perlukan suami yang dapat mendengar luahannya dengan penuh perasaan (active listening). Tiada penyelesaian tidak apa. Hanya mendengar sahaja. Jadi apabila suami jarang jarang mendengar, kebanyakan isteri begini mudah kecewa dan memilih cara untuk memendam sahaja. Sebenarnya ujian rumah tangga hari ini berlaku kerana kurangnya skil komunikasi antara pasangan. Sifat isteri mahu bercerita dan didengari. Sifat lelaki pula sentiasa mencari solusi. Jadi isteri yang meluahkan hasrat hati kemudian suami pula memberi jalan keluar membuatkan komunikasi tergendala kerana bukan semua cerita perlukan penyelesaian. Akhirnya wanita rasa diri tidak didengari dan memendam rasa kerana dilabel asyik berleter dan tidak menghargai jalan penyelesaian yang diberikan oleh suami. Aduh tepuk dahi.
Tip Bercerita Pada Suami
Mari saya kongsikan tip untuk isteri yang mahu bercerita kepada suami tetapi tidak mahu dilabel sebagai leteran.
1) Fokus pada perkataan yang nak diceritakan saja.
2) Katakan abang tak perlu respon apa-apa tau.
3) Abang dengar saja.
4) Saya sekadar nak luah saja.
5) Bila saya luah, saya lebih lega.
Dialog di atas membantu suami bersedia untuk mendengar cerita isteri. Suami lebih relaks dan tidak terbeban untuk memberikan isteri jalan penyelesaian (yang isteri tak perlu pun). Selepas bercerita, akhiri dengan “terima kasih abang kerana sudi mendengar tanpa susah susah fikirkan solusi. Kerana sebenarnya saya cuma nak bercerita saja.” Cara ini membantu isteri lebih selesa untuk berbual bual dengan suami dan suami pula lebih rasa dihargai dan lebih bersedia untuk menjadi pendengar setia isteri di kemudian hari. “Apabila isteri jelaskan daripada awal bentuk sokongan yang dia perlukan, barulah isteri dapat luahkan perasaan dengan aman, tanpa perlu risau mengguris perasaan suami ataupun terasa jika suami tidak beri perhatian padanya”. Begitulah. Semoga bermanfaat untuk pasangan diluar sana. Boleh cuba. Boleh follow. Boleh kongsi. Saidatul Husna
– Belajar lagi –
MW: Sebenarnya isteri inginkan suami mendengar luahannya, hanya dengar. Tak perlu susah-payah bagi idea serta cadangan. Selalunya selepas suami mendengar, dia rasa lega teramat sangat. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila suami kerap puji isteri, barulah cukup makanan jiwa isteri. Lagi pun bukan kena bayar bila puji isteri. Isteri korbankan masa uruskan rumah tangga siang malam, apa salahnya hargai si isteri dengan pujian melangit.
Ini tidak, puas isteri tanya itu dan ini, tak faham juga nak memuji lebih-lebih, Isteri bukan mahu dihargai dengan hadiah mewah atau wang ringgit, memadailah sekadar pujian ikhlas daripada sang suami.
Ikuti perkongsian Hilmi Jailaniini dan hadam baik-baik ya ayah-ayah semua.
Satu hari puan isteri tanya saya,
“Abang! Mandi tadi ada nampak lain tak bilik air?”
Saya pun cepat-cepat kilas.
“Ha’ah laaa. Abang baru nak tanya. Berkilat lain macam. Sayang basuh ke?”
“Yerr, tadi waktu anak tidur, sempat sayang gonyoh dinding tu.”
Allah. Mujurlah betul tekaan saya. Sebenarnya, saya taklah perasan mana masa mandi tu.
“Baiknya isteri abang ni. Tak penat tiap hari tolong abang kemas rumah. Sudahlah cantik, rajin pulak tu. Terima kasih sayang!”
Sejujurnya, majoriti lelaki ni payah nak aware benda-benda gini. Dia nak mandi, dia mandi je. Takde nak tilik bilik air ada berubah pape ke. Yang dia tahu, sabun ada, berus gigi ada, dah cukup bagi dia.
Jadi, saya merayu pada kaum isteri, beri saja hint pada si suami.
Contohnya,
“Abang, rajin dak sayang harini?”
“Abang tahu tak, dalam segunung kain sayang lipat tadi, spender abang paling banyak.”
“Seronok anak-anak join saya mop lantai hari ni.”
Barulah si suami perasan dan kalian mendapat “makanan” jiwa yang cukup.
Pujilah Isteri Bukan Kena Bayar
Lelaki pulak, jangan buat dekk je bila isteri bagi hint gitu. Tak cool pun kalau puji dalam hati. Ingat, nafkah batin ni bukan takat seks sahaja. Puji, bermanja, dan gurau senda itu semua makanan yang sangat penting bagi pasangan.
Maksud saya, ia sama pentingnya dengan nasi yang beri tenaga setiap hari. Jangan biarkan pasangan kita lapar santapan jiwa hat ni.
Sebab kajian menunjukkan, salah satu keinginan manusia yang paling tinggi ialah
“The feeling of importance!”
Jadi, nak tarik perhatian dia, nak suruh dia sayang kita, bagi mereka rasa yang ini, rasa mereka itu “penting” buat kita.
Caranya mudah, sentiasalah puji. Suami puji isteri dan isteri puji suami. Walaupun sekecil-kecil perkara, kita perbesarkan bagi mereka gembira.
Lagipun benda puji ni, bukan kena bayar pun. Kalau yang bayar tu, nama dia pulut dakap.
.
Hilmi Jailani
MW: Bukan susah pun nak puji isteri tapi kesannya buat isteri rasa bahagia dan terus hilang lelahnya seharian. Pandailah ambil hati isteri ya suami! Renung-renungkan.
Bukan pertama kali kita dengar, bila suami beratkan ahli keluarga sendiri, nak apa semua bagi! Isterilah orang yang paling makan hati. Kalau dengan isteri dengan anak-anak bukan main berkira, itu tak boleh, ini tak boleh. Tapi kalau keluarga dia, ya ampun semua lulus.
Sebenarnya tak mudah berdepan dengan situasi sebegini, malah jika dibiarkan akan menjadi nanah dalam hubungan suami, isteri. Lebih teruk, cenderung untuk bercerai.
Ikuti perkongsian kaunselor ini, Puan Normaliza Mahadi dan jadikan iktibar iya:
Banyak sudah kes isteri merasakan suami asyiklah memberatkan ibu, bapa dan adik beradik serta keluarga dia sendiri.
Belanja raya di kampung dari A sampai Z. Tanggung.
Abang tak bayar kereta tiga bulan. Bayarkan.
Beratkan Keluarga Sendiri, Dari Anak, Isteri
Belanja rumah sendiri…
Bayar rumah. Isteri
Kereta. Isteri
Makan, minum, pakaian . Isteri
Sekolah anak-anak. Isteri.
Belanja raya, sekolah anak, bercuti dan lain-lain. Isteri.
Alasan Dulu Mak Ayah Tanggung Suami
Alasan suami. Isteri gaji lebih besar. Dan mak, bapak abang yang tanggung abang dulu. Abang mesti balas balik!
Habis tu, kami ini?
Suami pun diam sambil membalas WhatsApp kakak dia ajak ke Penang hujung minggu ni.
Jadi kak. Saya sewakan hotel!
Saya yang mendengar ni cuba menstabilkan hormon jeritan dengan cepat dan ligat. Istighfar. Istighfar. Istighfar.
Baca Quran.
Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)
by NM
MW: Sebagai suami, fahamilah peranan dan tanggungjawab seorang suami betul-betul sebelum memegang gelaran suami. Tidak kiralah gaji sikit atau banyak, utamakan tanggungjawab anda dahulu sebelum melebihkan orang lain termasuklah ahli keluarga sendiri. Renung-renungkan ya.
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Fattah nafi tak beri nafkah anak atau berlaku curang, akui wujud tak sefahaman dalam perkahwinanSebentar tadi, rumahtangga selebriti terkenal, Fattah Amin dan Fazura berakhir...