Cahaya iman penyuluh tiap insan. Kita dilahirkan sempurna. Biarpun ada di antara kita yang yang menjadi orang kelainan upaya sejak lahir, namun kita tetap sempurna. Kita sempurna kerana kita dikurniakan akal. Kita sempurna kerana manusia adalah sebaik-baik kejadi sebagaimana yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.” (at-Tiin : 4).

Akal Untuk Bezakan Baik Dan Buruk

Kelebihan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada kita membolehkan kita membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Anehnya semakin kita dewasa, semakin kita berilmu kelebihan akal ini semakin kurang kita gunakan untuk membezakan yang mana hitam dan yang mana putih. Segalanya mula berteraskan nafsu. Inilah asal porak perandanya kehidupan.

Sebagai orang awam, saya mempunyai pandangan tersendiri terhadap hidup. Justeru, pandangan ini adalah pandangan peribadi yang tidak semestinya betul untuk semua orang.

Cahaya Iman

Pada saya, selain dari kelebihan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia, kita juga dikurniakan cahaya iman untuk menyuluh seluruh perjalanan kehidupan kita.Cahaya iman itu pada saya adalah kesempurnaan kita sebagai seorang insan. Cahaya iman ini sama terangnya sewaktu kita lahir dan sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Pada saya ianya tidak dikurangkan walaupun sedikit. Tetapi ianya perlu dilindungi agar tidak terlindung hingga cahayanya tidak dapat menyuluh seluruh perjalanan hidup.

Cahaya Iman Umpama PERMATA Penyuluh Hidup, Jangan Biar Pudar Dan Hilang
Cahaya Iman Permata Yang Allah Kurniakan

Permata ini tidak dipedulikan jika kita tidak kenal dan tidak tahu nilai permata. Permata ini bercahaya terang benderang sewaktu kita dilahirkan di dunia ini. Dek kerana terangnya kilauan permata, kita tidak perlu bergantung dengan sesiapa pun kerana Allah SWT menyediakan segalanya untuk kita sewaktu kita lahir.

IKLAN

Jika kita kita tidak berbaju, maka dihantar-Nya pakaian sama ada melalui ibu bapa kita atau orang lain untuk kita berpakaian. Kita dikurniakan kasih sayang dari setiap mata yang memandang, telinga yang mendengar serta tangan yang menyentuh. Itulah kekuatan cahaya kilauan permata tersebut.

Makin Pudar

Namun semakin kita meningkat usia, cahaya kilauan permata itu seakan pudar dan hilang hingga kita menjadi mudah tertekan dalam kehidupan. Pada saya, cahaya kilauan permata teresebut tidak pernah hilang dan jauh sekali pudar.

Tetapi ianya mula tenggelam dalam nafsu dunia kita. Sewaktu kita lahir, kita menerima apa adanya. Tetapi setelah kita petah berbicara, kita punya kehendak dan keinginan. Setiap kehendak dan keinginan yang tidak disertakan Allah SWT bersama akan menjadi nafsu yang menutup cahaya kilauan permata tersebut.

IKLAN

Apabila cahaya kilauan permata itu tenggelam dalam nafsu, kehidupan kita sudah pasti tidak lagi disuluh. Kita mula sesat dalam terang. Kita mula merasakan yang kita perlu hidup panjang untuk menikmati dunia ini. Nilai kebergantungan dengan Allah SWT semakin berkurangan. Kita lebih percaya setiap hasil yang kita perolehi adalah hasil usaha keraskan kita. Kita mungkin lupa bahawa setiap perkara itu berlaku adalah kerana keizinan Allah SWT.

Makhluk Dengan Banyak Kelebihan

Kita bukan makhluk sembarangan. Kita adalah ciptaan Allah SWT yang dikurniakan pelbagai kelebihan. Pada saya kita lahir dengan cahaya iman dan kita perlu hidup dengan hingga ke akhir hayat dengan cahaya tersebut. Kita perlu menjaga dengan rapi cahaya tersebut agar tidak tenggelam dalam kehendak dunia kita.

IKLAN

Sebagai manusia kita sentiasa berkehendak. Tetapi kita perlu sentiasa berada bersama Allah SWT agar kehendak kita tidak menenggelamkan cahaya kurniaan-Nya. Hidup ini sangat indah apabila setiap langkah kita disuluh dengan cahaya iman. Insya-Allah langkah kita di dunia ini tidak tersandung. Kita akan sentiasa redha dengan segala ketetapan Allah SWT kerana kita sangat tahu yang Allah SWT sentiasa mengurniakan yang terbaik untuk kita.

Pulih Daripada Kekecewaan

Sebagai manusia yang sentiasa tidak sempurna dari tindakan dan perasaan, kita mungkin akan merasa kecewa atas sesuatu hal yang tidak selari dengan kehendak kita. Tetapi bagi mereka yang memelihara cahaya kilauan permata ini, mereka akan cepat pulih dari kekecewaan tersebut kerana mereka akan dapat melihat dengan jelas segala hikmah dari hal tersebut.

Masih belum terlambat untuk kita kembali hidup dengan cahaya kilauan permata kurniaan Allah SWT ini. Kita hanya perlu kembali kepada-Nya. Kita perlu sentiasa berada dalam apa yang saya panggil zon taubat. Insya-Allah ianya tidak akan pernah mengecewakan bahkan membahagiakan hingga nafas kita yang terakhir.

Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP USA)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI