Bunuh bapa kandung kerana tak puas hati pembahagian harta, lelaki didakwa. Seorang lelaki menganggur berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya dalam kejadian Sabtu lalu.
Bunuh Bapa Kandung Kerana Tak Puas Hati Pembahagian Harta, Lelaki Didakwa
Tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, yang hadir dengan memakai kurta ungu, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Arunjothy. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri pada jam 3.01 pagi, 13 September lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara sepanjang hayat, atau hukuman penjara bagi tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Ads
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perselisihan mengenai harta dipercayai menjadi punca seorang warga emas maut selepas ditikam anak lelakinya di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.
Ads
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid, berkata mangsa ditemui terbaring di ruang tamu rumah dengan kesan tikaman sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.
Beliau menambah, anak mangsa telah diberkas pihak polis dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.’ Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.
Memetik Sinar Harian, dalam sesi tersebut, kedua-duanya kelihatan romantis apabila duduk di atas pelamin sambil berpegangan tangan, melayan komen peminat yang membanjiri ruangan chat.
Amira yang menggunakan akaun TikTok miliknya menjadikan sesi siaran langsung itu sebagai platform untuk mempromosikan produk kecantikan dan minuman dengan ditemani suami tercinta. Malah, beliau sempat menguji serum tersebut dengan meletakkannya di atas tangan Fattah.
Lebih menghiburkan, para peminat di ruangan komen turut mengusik pasangan ini kerana wajah mereka dikatakan seiras. Reaksi mereka yang saling berpandangan selepas membaca komen itu mencuri tumpuan warganet.
Suasana menjadi lebih istimewa apabila Fattah menerima kejutan sambutan ulang tahun kelahirannya. Sebuah kek dua tingkat dibawa masuk sebelum pasangan itu bersama-sama memotong kek, dan Amira sempat menyuapkan sepotong kek ke mulut suaminya.
Untuk rekod, Fattah selamat bernikah dengan Amira pada Ahad lalu dengan sekali lafaz dalam majlis penuh bermakna di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Majlis akad nikah tersebut disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan dihadiri sekitar 200 tetamu terdiri daripada keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Dengan tema Islamik Al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh Allah”, majlis berkenaan mengetengahkan suasana senja yang sederhana namun penuh makna. Pasangan itu turut menekankan konsep kesyukuran dan keberkatan sebagai simbolik penyatuan cinta mereka.
Alumni UPSI tak sempat hantar adik daftar pengajian, meninggal dunia dalam perjalanan. Hasrat seorang abang menghantar adik perempuannya mendaftar pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim bertukar tragedi apabila meninggal dunia secara mengejut semasa dalam perjalanan.
UPSI memaklumkan Nik Mohamad Syahrul Azzim Nik Yusoff, 29, yang sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Tanjong Malim, tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri ketika kereta dipandunya tiba di Plaza Tol Sungai Besi kira-kira jam 6.30 pagi.
“Dalam keadaan cemas itu, adiknya Nik Nur Maisarah, 18, yang duduk di sebelah pemandu sempat menggenggam stereng bagi mengelakkan kenderaan mereka merempuh plaza tol.
“Walaupun terbabas, dia bersama seorang lagi kakak yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut UPSI dalam kenyataan hari ini.
Nik Mohamad Syahrul yang juga alumni universiti pendidikan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati mengejut tanpa tanda awal penyakit.
Jenazah telah dibawa pulang ke Seremban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest High, disaksikan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan lama.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti amat duka cita dengan kejadian itu.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan pihak UPSI bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah kebajikan dan sokongan emosi mahasiswa juga menjadi keutamaan kami, lebih-lebih lagi dalam situasi kehilangan seperti ini.
“Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga UPSI yang melihat Allahyarham sebagai alumni cemerlang,” katanya.
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.