Alumni UPSI tak sempat hantar adik daftar pengajian, meninggal dunia dalam perjalanan. Hasrat seorang abang menghantar adik perempuannya mendaftar pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim bertukar tragedi apabila meninggal dunia secara mengejut semasa dalam perjalanan.
Alumni UPSI Tak Sempat Hantar Adik Daftar Pengajian, Meninggal Dunia Dalam Perjalanan
UPSI memaklumkan Nik Mohamad Syahrul Azzim Nik Yusoff, 29, yang sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Tanjong Malim, tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri ketika kereta dipandunya tiba di Plaza Tol Sungai Besi kira-kira jam 6.30 pagi.
“Dalam keadaan cemas itu, adiknya Nik Nur Maisarah, 18, yang duduk di sebelah pemandu sempat menggenggam stereng bagi mengelakkan kenderaan mereka merempuh plaza tol.
“Walaupun terbabas, dia bersama seorang lagi kakak yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut UPSI dalam kenyataan hari ini.
Ads
Nik Mohamad Syahrul yang juga alumni universiti pendidikan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati mengejut tanpa tanda awal penyakit.
Jenazah telah dibawa pulang ke Seremban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest High, disaksikan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan lama.
Ads
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti amat duka cita dengan kejadian itu.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan pihak UPSI bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah kebajikan dan sokongan emosi mahasiswa juga menjadi keutamaan kami, lebih-lebih lagi dalam situasi kehilangan seperti ini.
Ads
“Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga UPSI yang melihat Allahyarham sebagai alumni cemerlang,” katanya.
Nafi Dibuli, Pelajar IKBN Miri Maklum Hanya Gurauan – Polis. Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular dalam rakaman video di media sosial memperlihatkan beliau seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal, menafikan dirinya dibuli.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pelajar itu bersama ibu dan bapanya telah hadir ke balai polis untuk menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu, tanpa unsur paksaan atau penderaan.
“Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta semua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terbabit dalam rakaman video itu untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.
“Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Farhan berkata, pihak IKBN Miri juga telah mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan pihak institut juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pelajar terbabit.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis bagi tindakan sewajarnya.
Sebelum ini satu rakaman video berdurasi 13 saat telah tular di media sosial yang memperlihatkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang.
Video itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi berhubung kemungkinan berlaku kejadian buli.
Kes Zara Qairina: Jenazah Alami Pereputan Tidak Seperti Diviralkan, Ini Pandangan Sudut Syarak. Kes Zara Qairina mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara. Ketika penggalian semula kubur arwah, ramai yang memperkatakan tentang pelbagai keajaiban antaranya jenazah tidak reput dan berbau harum.
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Jessie Hiu berkata, tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah. Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Dr Jessie berkata, penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang. Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu?
Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa “sesuatu” dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat. Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan “nasi tambah”.
Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu”. [HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut ‘ada sedikit kesan reputan sederhana’, ini akan mendatangkan tohmahan.
Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik.
Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah”.
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله “Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad”. [HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali. Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu’tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung.
Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata ‘Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap’. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
“Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya”.
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang
UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula. Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
“Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya”. [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan”. Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
“Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik”. Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti.
Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.
Suami Isteri Maut, Bot Terbalik Di Perairan Kuala Merchang – “Mereka Bersama Hingga Akhir Hayat.” “Tidak sangka mereka bersama hingga ke akhir hayat,” kata Muhammad Haziq Adha Abdul Rahim, 19, anak kepada pasangan suami isteri, Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, yang ditemukan lemas di Pantai Merchang, Marang semalam.
Menurut Muhammad Haziq, ibu bapanya sememangnya tidak pernah berenggang dan sering melakukan aktiviti bersama, termasuk turun ke laut untuk menangkap ikan.
Katanya, selepas bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpengkalan di Lumut, Perak pada tahun 2019 ketika berusia 41 tahun, ayahnya menjadikan kerja menangkap ikan sebagai sumber rezeki keluarga.
“Ikatan kasih sayang mereka sangat kuat, malah hari ini pun mereka pergi bersama buat selama-lamanya. Memang tidak sangka kasih sayang mereka membawa hingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, kehilangan mengejut tersebut menjadikan dia dan adik-beradiknya kini sekelip mata bergelar anak yatim piatu.
Lima lagi adik beradiknya yang lain ialah Nur Nadhirah, 26, seorang guru di Pasti Serating; Muhammad Aniq Arsyad, 24, anggota TLDM di Lumut; Nur Nabilah, 23, kakitangan TNB di Selangor; Nur Najihah, 16, serta yang bongsu, Nur Nazirah, 15.
“Memang mereka tidak tunjukkan apa-apa perubahan sikap, tapi sejak kebelakangan ini, kucing kesayangan kami, Puyeng, kerap ke bilik arwah mak dan ayah setiap malam, sesuatu yang sangat luar biasa,” katanya.
Menurutnya, kucing betina itu sangat manja dengan kedua orang tuanya dan kebiasaannya tidur bersamanya setiap malam.
“Saya tidak fikir apa-apa sehinggalah kejadian ini berlaku. Barulah saya sedar, seolah-olah Puyeng tahu mereka akan ‘pergi’,” katanya.
Jelasnya lagi, arwah ibu bapa hanya memaklumkan kepada adiknya, Najihah, sebelum keluar ke laut kira-kira jam 7.45 pagi semalam tanpa memberitahu anak-anak lain.
Muhammad Haziq yang bekerja di sebuah pasar mini di Merchang berkata, sekitar jam 3 petang, dia menerima panggilan daripada rakan bapanya yang memaklumkan bot milik arwah ditemui terbalik di laut.
“Saya kemudian terus ke jeti nelayan Merchang dan mendapati bot berkenaan tidak ada di kawasan itu dan mengesyaki sesuatu kejadian buruk menimpa mereka,” katanya.
“Walaupun sedih namun saya reda kerana semua yang berlaku ini adalah ketentuan Allah,” katanya.
Dalam kejadian itu, bot gentian kaca yang dinaiki pasangan tersebut dilaporkan terbalik sekitar jam 3.30 petang. Mayat Norhasriah dijumpai pada 4.30 petang, manakala Abdul Rahim ditemui 15 minit selepas itu.