Ada benarnya dalam menunaikan kewajipan solat ini, solatlah dengan tenang dan bukan dalam keadaan terburu-buru semata-mata ingin cepat habis. Tunaikanlah solat dengan sehabis baik, fokus dan khusyuk dengan apa yang kita bacakan dalam solat.Anggaplah ini solat terakhir kita sebelum bertemu pencipta.
Masa sekolah dulu, ustaz sering nasihatkan supaya kami solat dengan tenang dan khusyuk.Ada orang, dia boleh selesaikan solat 4 rakaat dengan 2 minit sahaja. Lepas beri salam, dia terus baring melepaskan lelah. Tenangkah begitu?
Solat Tempat Berehat
Orang soleh sering menjadikan solat sebagai tempat untuk mereka berehat. Kita ini kadang-kala berasa tak faham. Macam mana nak rehat dengan solat?
Rupanya, dengan menghayati tiap pergerakan dan bacaan dalam solat. Barulah kita akan rasa yang solat itu sungguh mendamaikan, menenangkan bahkan merehatkan.
Solatlah Dengan Tenang
Ustaz kami kata,
“Solatlah dengan tenang, bukan dalam keadaan terburu-buru. Kita nak kejar apa sampai solat pun nak laju-laju? Paling kurang 1 solat, pastikan ambil masa 5-10 minit. Kena fokus dan khusyuk dengan apa yang kita bacakan dalam solat.”
Solat selama 5-10 minit? Rasa macam lama kan?
Tapi sebenarnya kawan, itu tidaklah lama. Tambahan jika kita tunaikan segala sunat-sunat dalam solat dari takbiratul ihram sehinggalah selesai berikan salam.
Kita tengok balik,
Lepas takbiratul ihram, bacalah terlebih dahulu doa istiftah. Kemudian baca apa-apa surah yang kita hafal setelah selesai baca al-Fatihah. Tak panjang tak apa, asalkan ada.
Rukuk, pastikan bacaan tasbih cukup bilangannya.
I’tidal, lengkapkan zikirnya sampai habis.
Sujud pula, pastikan bilangan tasbih itu cukup. Dan ambillah masa sekejap untuk berdoa kepada Tuhan. Ingat, waktu sujudlah antara waktu yang sangat dekat seorang hamba dengan Penciptanya.
Ketika duduk tahiyat akhir, bacalah bacaannya berserta selawat Ibrahimiyyah dengan sempurna. Janganlah terlalu berkira sehingga bacaan dalam solat pun nak dibuat short cut.
Ads
Berdoa Memohon Hajat
Lepas dah habis baca, berdoalah memohon hajat daripada Tuhan sebelum memberikan salam. Di sinilah juga antara tempat yang mustajab doa. Ada beberapa panduan doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW di sini.
Setiap bacaan zikir dan tasbih, bacalah dalam keadaan tak tergesa-gesa. Jika mampu untuk faham setiap bait-bait yang dilafazkan, itu lebih baik. Barulah kita lebih menghayati setiap apa yang diucapkan.
Namun jika tak mampu nak faham lagi, hadirkan dalam hati bahawa kita sedang solat menghadap Tuhan semesta alam. Anggaplah ini solat terakhir kita. Yakinlah bahawa solat inilah yang akan kita bawa bertemu-Nya kelak.
Sungguhlah kawan-kawan, solat 10 minit itu sangat tak lama. Tuhan dah berikan kita sebanyak 1440 minit sepanjang hari. Untuk solat 5 waktu, hanya memerlukan sekitar 50 minit sahaja. Masih ada berbaki 1390 minit tau.
Oleh itu, dengan peruntukan sekitar 10 minit ini, buatlah yang terbaik untuk solat kita. Pastikan ada juga penambahbaikan yang dibuat sejak kecil sehingga kini.
Takkanlah sama saja kualitinya dari dulu sehingga sekarang.
Misalnya bacaan dalam solat. Sebenarnya ada banyak versi pilihan tau yang kita boleh baca dan amalkan.
Doa istiftah ada banyak versi.
Tasbih ketika sujud dan rukuk, ada banyak pilihan.
Zikir ketika i’tidal juga ada beberapa cara.
Semuanya ini telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW sejak zamannya lagi. Tinggal kita sahaja untuk cuba hafal dan amalkannya dalam solat harian.
Itulah.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini sebagai peringatan buat kita. Solatlah dalam keadaan tenang, tidak terburu-buru dan buatlah sehabis baik dengan anggap ia solat kita yang terakhir.
Keadaan sekarang ini cukup mencabar bagi sesiapa sahaja. Bersyukurlah bagi kita yang masih berada di zon selesa. Tapi, ada juga orang lain yang berkira-kira dan memikirkan tentang masa depan yang bakal dilalui.
Kadang-kadang apa yang kita ada sekarang ini dirasakan sudah cukup baik dan semestinya kita berada pada zon selesa. Tak perlu apa-apa dan teruskan dengan apa yang ada.
Namun, sedar tak bila kita berada di zon selesa, kita tak akan buat apa-apa. Hanya itulah yang dihadap hari-hari. Tak ada sebarang perubahan.
Begitu juga dalam mencari rezeki, jangan ingat dengan makan gaji kita sudah berada pada zon selesa berbanding dengan mereka yang perlu bekerja keras siang dan malam demi mencari sesuap nasi.
Sebenarnya, kita takut untuk membuat keputusan, malah takut untuk keluar dari apa yang kita ada sekarang ini. Kita tak tahu, asbab keutusan yang kita buat dengan keluar dari zon selesa, ia mampu menaikkan taraf hidup kita.
Itulah yang dikongsikan oleh Khairul Ahmad Basri tentang keputusan salah yang diambilnya sebelum ini. Rupa-rupanya, keputusan salah itulah menjadi asbab untuk diperoleh rezeki yang lebih baik lagi.
Semua orang pernah buat keputusan yang salah. Sama juga macam yang pernah buat macam-macam keputusan yang salah.
Kalau orang tanya saya satu keputusan yang salah paling teruk dalam hidup yang pernah saya buat, saya tak akan teragak-agak untuk cakap; berhenti kerja bank untuk masuk kerja di koperasi.
Itu keputusan yang salah paling besar saya pernah buat. Bayangkan, daripada hidup mewah dengan gaji besar dan macam-macam benefit, saya tinggalkan semua tu untuk mencuba nasib bekerja dalam bidang yang sangat asing bagi saya.
Malah, bidang baru yang tak tahu lagi masa depannya macam mana, gaji pulak terpaksa dipotong 50% daripada gaji asal.
Benefit tak usah cakap, macam tak ada langsung. Kerja pulak entah apa-apa. Ini tak boleh, itu tak boleh. Jawatan dah CEO, tapi saya tak ada kuasa untuk buat keputusan.
Maka jadilah ia suatu permulaan perjalanan hidup yang amat perit untuk saya tempuh bermula dari saat itu.
Teruskan Kelangsungan Hidup
Pada masa tu, saya jual kereta Mercedes C Class yang saya beli masa kerja HSBC Amanah tahun 2008 dulu. Yelah, kuranglah belanja dalam RM3,000 bayar kereta mahal macam tu kan.
Tapi Allah nak uji saya sungguh. Kereta tu saya jual pada orang yang salah. Dipendekkan cerita, dia jadi macam ni.
Kereta itu pembeli ambil. Nama kat geran dah bertukar. Pinjaman bank tak selesai. Kereta tu pulak hilang masuk sindiket mana entah. Pembeli tu pulak mati eksiden!
Toingk!!!!
Parah, kalau benda ni jadi kat kalian, apa kalian boleh dan akan buat?
Nak dikejar keretanya, kereta pun dah tak tahu ke mana atau nak dikejar pembelinya, pembeli pun dah mati eksiden. Report ke banknya, loan kereta tu bawah personal loan masa jadi staf.
Apa boleh buat?
Saya pasrah, saya redha. Ini salah satu ujian paling berat pernah saya rasa.
Saya maafkan mamat yang tipu saya tu. Saya halalkan hutang dia terhadap saya. Sungguh!
Moga-moga selesai urusan dia di hadapan Allah dan buka hati setiap orang yang saya bermasalah dengan mereka supaya maafkan saya di hari akhirat.
Itu yang saya buat. Hati saya jadi tenang. Saya maafkan dia, tak marah-marah. Sungguh. Saya jadi tenang.
Hutang kereta? Saya kena hadap. RM3,000 lebih saya terpaksa bayar sebulan selama hampir 3 tahun.
Tapi Alhamdulillah akhirnya selesai juga ikut jadual asal. Tak tahu la duit dapat dari mana. Allah sahajalah yang berkuasa untuk mencukupkannya.
Bersangka Baik
Jodoh saya dengan koperasi tak lama. Saya ada strong reason kenapa saya resign dari koperasi.
Ia sama ada structure dan budaya kerja dalam koperasi tu tak betul atau saya ni yang tersalah pilih tempat kerja.
Saya sangka baik dan pilih sebab yang kedua.
Tapi masa tu saya mula kerja koperasi tu, saya dah berjinak-jinak berniaga emas. Jadi dealer yang agak bagus dan terkenal juga.
In fact saya pernah bagi keuntungan RM200,000 dalam masa setahun kepada koperasi tempat saya kerja tu hasil beli dan jual emas.
Bisnes saya dengan emas is not bad. Sebab it goes by years and size of empire. Dalam masa 8 tahun sebelum saya stop, saya dah ada 8,000 orang dalam empayar emas saya.
Income? It goes without saying… 5 angka.
Bila saya dah tak kerja makan gaji, saya berniaga macam-macam. Saya tulis buku dan jual, berniaga makanan kering dan frozen.
Malah, saya belajar-belajar buat kerja kebajikan terutamanya dengan golongan Huffaz dan juga maahad tahfiz.
Saya upgrade followers di facebook, belajar, beli buku dan ebook. Memang saya improve sungguh daripada followers sekitar 8,000 orang pada tahun 2019, sekarang saya dah ada hampir 35,000 orang followers.
Keputusan Terburuk Berhenti Kerja
Begitulah… tengok dari sudut negatif, keputusan pertama yang saya buat bila saya berhenti kerja bank boleh jadi keputusan terburuk saya pernah buat.
Tapi kalau tak berhenti kerja bank bank tu, saya tak mungkin sampai ke tahap yang saya sampai sekarang.
Betul la.. Allah cakap;
“Ada benda yang kamu tak suka, padahal ia baik untuk kamu. Ada benda yang kamu suka, padahal ia tak baik bagi kamu. Allah maha tahu, kamu sungguh tak tahu”.
[Al-Baqarah ayat 216]
Dengan berhenti kerja bank, saya dapat peluang kerja koperasi. Saya belajar dan tahu tentang selok belok koperasi.
Malah, dengan berhenti kerja bank, saya sekarang dah jadi penasihat Syariah bank pulak.
Saya sekarang boleh jadi dealer emas. Boleh belajar selok belok
perniagaan emas.
Dengan berhenti kerja bank, saya boleh gamble niaga macam-macam, saya dah pun berjaya tulis 5 buah buku, dapat buat kerja kebajikan dengan lebih baik.
Dan macam-macam hikmah lagilah…
Pada hari ini, hasil daripada keputusan yang salah itu, saya dah ada beberapa syarikat saya sendiri.
KAB Foods and Beverages dan KAB Media. Pertubuhan KAB. Koperasi KAB.
Paling baru dan trendy sekarang, KAB Gold pulak.
Insya Allah Sabtu depan saya nak launch KAB Properties lagi…
MasyaAllah.. Subhanallah… Alhamdulillah…
Moral of the story ya kawan-kawan : 1. Jangan takut untuk buat keputusan untuk hijrah kerana Allah.
Keluar dari zon selesa untuk mencuba sesuatu yang baru demi mencapai matlamat lebih besar yang selama ini kita impikan.
“Siapa yang berhijrah kerana Allah, maka dia akan dapati lebih banyak peluang di atas muka bumi dan rezeki yang sangat luas”. [Surah An-Nisa’ ayat 100].
2. Allah adalah pencatur dan pengatur yang maha pengasih dan penyayang. Dia tak akan sia-siakan setiap usaha kita.
Cuma cepat atau lambat saja, pasti kita akan diberi balasan yang menggembirakan. Just do it!
“Bekerjalah, kerana sesungguhnya Allah, Rasulullah dan orang mukmin keseluruhannya akan melihat usaha kamu itu. Dan kamu akan kembali kepada Allah untuk diberi khabar gembira tentang apa yang kamu usahakan”. [Surah At-Taubah ayat 105].
3. Allah itu wujud, berkuasa dan maha segalanya. Jangan takut. Allah pasti akan bantu.
Kena yakin perkara ni sungguh-sungguh. Kalau Allah kata benda tu memang akan jadi, maka ia pasti akan jadi.
Tapi kalau Allah kata benda tu tak jadi, tiada siapa yang boleh adjust bagi benda tu jadi. “Dan jika Allah menentukan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia.
Dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya.
Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. [Surah Yunus ayat 107].
Begitulah…
#KAB
MW: Perkongsian yang cukup menarik untuk kita contohi.
Kenapa nama dajjal tidak disebut dalam Al-Quran seperti Firaun? Ramai yang tahu tentang Dajjal. Tapi namanya langsung tidak disebut di dalam Al-Quran.Hanya ada dalam hadis. Pada hal fitnah Dajjal disebut paling gelap, paling hina dan paling keji. Tapi kenapa kisah Dajjal tidak ditulis di dalam Quran sebagaimana kisah Firaun?
Perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan ini pasti menjawap, kenapa kisah Dajjal tidak ditulis di dalam Al-Quran. Di manakah Dajjal akan keluar?Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?Apakah terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal? Dan apakah kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?
Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan Dajjal menurut perspektif sebenar mengikut al-Qur’an dan al-Hadith. Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat dan ia akan berlaku di akhir zaman. Untuk itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini. Bagi menjawab persoalan di atas, sudi bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu berkaitan definisi Dajjal.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya. Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
Seorang manusia.
Rambutnya kerinting dan kusut masai.
Sebelah daripada matanya buta.
Tertulis antara dua matanya كفر (kufur).
Persoalan-Persoalan Berkaitan Dajjal
Antara persoalan-persoalan berkaitan Dajjal adalah:
Soalan: Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?
Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincang berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. [al-An’am:158] Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengn hadith Nabi SAW. Hadith tersebut adalah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”. [Riwayat Muslim (158)]
Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah)sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Setelah melihat beberapa pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas di dalam al-Qur’an tetapi Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.
JEANS BURUK JANGAN BUANG, SERTAI KELAS JAHITAN TOTE & SHOPPING BAG BERSAMA KAMI.
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila lama tak jumpa, mesti rindu bertaut. Lebih-lebih lagi nak ziarah rumah adik beradik, sanak saudara dan kawan-kawan. Inilah masa untuk bertanya khabar dan luangkan masa bersama orang-orang yang sudah lama tidak ketemu.
Apa pula perasan tuan rumah, tatkala ada yang datang ziarah secara mengejut. Kalau datang beritahu awal, bolehlah tuan rumah sediakan makanan istimewa sedikit. Tapi, kalau datang mengejut, bimbang hanya air saja yang mampu dihidangkan.
Walaupun itu tidak menjadi persoalan tapi sebagai tuan rumah tentu rasa tidak selesa, bila ada orang datang ziarah rumah kita. Kalau adik beradik munkin boleh pejamkan mata. Apa yang ada saja. Bila kawan atau sanak saudara boleh timbul rasa segan.
Itu bagi pihak tuan rumah, bagi pihak orang yang datang ziarah, walaupun ingin memberi kejutan tapi ia mungkin rasa tidak selesa pada tuan rumah. Mana tahu, keadaan rumah yang tidak bersedia, anak bersepah itu ini dan sebagainya.
Jadi, apa yang terbaik untuk kita nak datang ziarah, waima rumah adik beradik, sanak saudara atau kawan sekalipun, elak dari datang pada waktu yang dikongsikan oleh ustaz Firdaos Rawi. Boleh dijadikan ingatan nanti.
Memang satu amalan yang dianjurkan bila kita datang berkunjung ke rumah sanak saudara, kawan, jiran sekalipun. Apatah lagi lepas lama tak berjumpa.
Dalam amalan ziarah ini, ada beberapa perkara yang boleh kita buat.
3 Waktu Sebaiknya Dielakkan untuk berziarah.
a. Sebelum Subuh
b. Waktu tengah hari
c. Selepas isyak
Waktu ni biasanya waktu rehat. Kecuali kalau memang ada jemputan kan. Macam majlis kahwin dan sebagainya.
3 Perkara perlu dibuat ketika makan. a- Elakkan komen negatif. “Maaf, masin sikit mee ni.” Adalah lebih baik diam sahaja.
b- Ambil makanan yang lebih dekat terlebih dahulu. c- Makan dengan sopan.
5 Perkara perlu dijaga ketika ziarah
a- Pandangan mata. Masuk rumah sebaiknya mata jangan melilau. “Uiiii almari baru.”
b- Minta izin kalau nak balik. Jangan tiba-tiba hilang je. “Mana dia? Tadi ada elok duduk depan ni.”
c- Mohon maaf sebelum balik. Mana tahu ada tersalah kata masa berziarah.
d- Elakkan bermegah dengan apa yang kita ada. “Aku baru beli kereta Honda yang terbaru tu. Kau ada?”
e- Jangan ziarah terlalu lama.
Ziarah ini tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan. Dan kelebihan mengeratkan hubungan ini antaranya adalah rezeki diluaskan dan umur panjang.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat Muslim)
Mingguan Wanita: Tak salah pun beritahu untuk datang pada waktu-waktu sekian, bukan nak minta tuan rumah sediakan makanan yang sedap-sedap, cukup hanya harap tuan rumah bersedia dengan kehadiran ini.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...