Sebenarnya tak perlu pergi spa nak dapatkan urutan batu panas ini. Buat sendiri dekat rumah pun boleh. Asalkan tahu cara betul nak membuatnya.
Trainer di World SPA Theraphy & Consultancy, Sarifa Redzuan II berkongsi manfaat urutan batu panas. Antaranya dapat legakan badan penat sekaligus cara membuat terapi urutan batu panas ini.
“Okay , sebelum nak buat kat rumah, awak perlu cari batu. Jangan pula kutip batu tepi jalan.”
“Cikgu sarankan awak pergi kedai pokok, pergi beli batu sungai yang untuk landskap tu yang berwarna hitam. Beli saiz yang agak besar dan leper supaya senang utuk diletakkan di badan.
“Ambil dalam lebih kurang 20 biji batu. Cikgu larang awak kutip batu di sungai bawa balik.”
Langkah-langkah Terapi Batu Panas Di Rumah
1. Langkah Pertama
Panaskan batu di dalam periuk dengan meletakkan air. (Jangan guna periuk ini untuk masak makanan). Maksudnya beli la satu periuk elektrik yang murah murah tu khas untuk buat terapi ini.
2. Langkah Kedua
Pastikan pasangan meniarap dengan selesa . Dan lapikkan towel di atas badan pasangan.
3. Langkah Ketiga
Angkat batu dalam periuk dengan penyepit dan susun batu di atas badan pasangan di antara tulang belakang (rujuk gambar batu disusun ). Dan susun di bahagian kaki. Habiskan 20 biji batu. Biarkan 10 minit.
Ads
4. Langkah Keempat
Angkat kesemua batu dan buka towel serta susun kembali batu tadi di atas badan pasangan. maksudnya batu direct ke kulit (rujuk gambar batu disusun) Biarkan selama 10-15 minit.
5. Langkah Kelima
Setelah 15 minit angkat ke semua batu dan sapukan di badan dengan minyak zaitun yang dipanaskan dengan burner (Boleh dibeli di Hinode shop dengan harga RM6). Kemudian urut perlahan lahan menggunakan tapak tangan.
Kombinasi urutan tangan dengan batu panas mampu melegakan otot yang tegang dan memberi kepuasan yang maksima . (rujuk rajah urutan back rubs) . Ulang beberapa kali.
Ads
Manfaat Urutan Batu Panas Masak Herba
Batu masak herba special!
Kehangatan batu yang dimasak bersama rempah dan herba terpilih dilalukan di badan yang kepenatan.
Haba yang di pindahkan dari batu ke badan membuatkan bahu yang ketat tadinya menjadi kendur dan sangat selesa.
Masih ramai yang tak sedar kesan merokok bila sudah berumah tangga, malah dah ada anak kecil pun tetap berani hembus asap rokok depan orang tersayang.
Dan macam mana pula kalau merokok itu sampai jadi punca isteri nak hamil? Ya, mungkin ada yang kurang yakin dengan kenyataan ini, tapi perkongsian daripada Doktor Khairul Faizie Mohammad Kamar boleh membuka mata sesetengah anda yang masih merokok tanpa rasa bersalah.
Pagi tadi, ada seorang wanita umur 27 tahun datang sebab cirit birit. Borak punya borak, dia pun buka cerita tentang masalah masih tak dapat zuriat setelah 4 tahun kahwin. Dah buat pemeriksaan kesuburan, dia OK.. semua tip top. Suami ada masalah pada pergerakan sperm (sperm motility). Suaminya umur 29.
Punca yang boleh difikirkan kenapa sperm suaminya tak mampu berenang normal untuk men-senyawakan ovum nya?
Sebab suaminya MEROKOK.
Jadinya wahai lelaki yang bakal bergelar suami / dah kahwin lama masih tak dapat zuriat… kalau anda merokok, tolong berhenti. Kalau ada tak kisah tentang risiko cancer, sakit jantung, bla bla bla…fikirkan kesan merokok pada isteri & bakal zuriat anda.
Kesan pada isteri:
Isteri gagal mengandung sebab sperm anda tidak sihat. Sperm perokok boleh rosak (low motility). Tak geti berenang normal. Sperm juga boleh kurang bilangan nya (low sperm count)
Kalau anda merokok depan isteri, isteri jadi passive smoker, selain kesan passive smoker pada paru-paru isteri, ia juga beri kesan secara langsung pada kesuburan isteri itu sendiri.
Kesan pada bakal anak:
Merokok boleh merosak kan DNA pada sperm anda, dan kesannya… anak yang bakal lahir boleh terganggu kesihatan. Antara penyakit yang dikenal pasti boleh meningkat risikonya ialah LEUKAEMIA.
Andai isteri anda mengandung baby girl, dan asap rokok anda kena pada isteri (dan baby dalam kandungan pun terima kesannya), perkembangan kilang telur (ovari) baby girl itu masa di dalam rahim akan terganggu. Anda faham apa natijahnya? Ada risiko anak perempuan anda kelak bila besar, alami masalah berkaitan ovari. Kanser ovari, cyst pada ovari, maybe anak perempuan anda sukar mengandung. So lihat lah, sebab anda merokok, kesan nya…anak & menantu anda sukar dapat zuriat.
Kalau lah anda perokok memang hati keras jugak, tak peduli kanser, sakit jantung, tak peduli isteri & anak anak merana…. nah, satu fakta yang mungkin anda peduli:
‘MEROKOK BOLEH MENYEBABKAN MATI PUCUK’
Ya, masyarakat kita sangat obses dengan performance dan saiz penis. Maka Erectile Dysfunction (mati pucuk) ialah sangat sangat taboo.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Angau cinta, rela korbankan apa saja. Malah cinta tak mengenal usia. Cinta juga mampu membuatkan seseorang itu seolah-olah ‘buta hati’, tidak dapat berfikir dengan waras dan rasional.
Atika, 23 tahun, telah jatuh cinta yang seusia bapanya dan dia ingin ingin mengahwini lelaki itu namun takut ditentang keluarga. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.
Hidup Sederhana
Aku dilahirkan dalam kalangan keluarga yang sederhana. Ayah seorang kaki tangan kerajaan dan ibu seorang suri rumah tangga. Mempunyai adik beradik seramai enam orang membuatkan kehidupan kami sederhana saja. Emak perlu bijak mengatur perbelanjaan keluarga.
Sebagai anak sulung, aku sering terpaksa mengalah demi adik-adik. Aku tak kisah kerana sedar kesusahan mak dan ayah. Bahkan aku sanggup membantu emak berniaga pisang goreng di depan rumah setiap petang dan ketika cuti sekolah. Kesusahan keluarga juga mencetuskan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.
Sambung Pengajian Di IPTA
Aku bersyukur kerana mendapat keputusan SPM yang agak cemerlang dan melayakkan aku untuk sebuah universiti. Aku mengambil jurusan perakaunan. Aku berjimat-jimat di universiti kerana sedar keadaan kewangan mak dan ayah.
Selepas tamat diploma, aku mengambil keputusan menangguhkan hasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah kerana memberi ruang kepada adik kedua yang mendapat tawaran ke sebuah universiti di utara tanah air. Aku tak mahu bebankan mak dan ayah. Sementara dapat kerja yang sesuai, aku membantu mak dan ayah di gerai.
Detik Perkenalan
Ketika membantu emak di gerai goreng pisang, aku perasan ada seorang lelaki yang sering datang ke gerai kami. Kadangkala duduk minum di situ dan kadangkala bungkus sahaja. Walau pun sudah berusia 40 tahun namun orangnya cukup segak.
Kadangkala datang menaiki kereta mewah, kadangkala dengan bermotorsikal besar. Kata mak, dia seorang kontraktor besar. Walau pun berpangkat tetapi baik dan tak sombong orangnya. Aku bahasakan dia Uncle K sahaja. Jika aku ada, aku perasan dia sering memerhatikan aku. Tapi aku tak ambil kisah kerana bukan dia kacau aku pun.
Pada satu hari, uncle K bertanya kepadaku sama ada hendak bekerja dengannya atau tidak. Salah seorang stafnya baru sahaja berhenti kerja selepas berkahwin kerana mengikut suaminya berpindah ke negeri lain.
Pucuk dicita ulam mendatang. Pasti aku terima memikirkan aku boleh membantu keluarga. Mak dan ayah juga tidak menghalang. Lagi pun hanya di bandar yang tidak jauh dari rumahku. Dengan menaiki satu bas sahaja sudah sampai ke pejabat.
Mulanya Hanya Bos Dan Pekerja
Pada mulanya hubungan kami seperti pekerja dan bos sahaja. Aku sangat menyenangi sifat mengambil beratnya. Dia juga suka bergurau dan memanjakan aku. Mungkin kerana aku staf yang paling muda, kata hatiku waktu itu.
Namun tidak pernah terdetik untuk jatuh cinta dengan uncle K lebih-lebih lagi aku baru saja putus cinta dengan teman lelaki yang sama tempat belajar. Belum terfikir hasrat untuk kembali bercinta.
Tak diduga
Entah bila aku mula menyukai uncle K. Seingat aku apabila aku sakit teruk dan terpaksa MC selama dua minggu. Saban hari pasti ada mesej bertanya khabar darinya. Entah mengapa, hatiku rasa selesa dengannya.
Selepas masuk kerja, aku ditugaskan sebagai PA uncle K kerana kebetulan PA lamanya cuti bersalin. Ketika itu kami mula rapat. Dia mula menghadiahi aku bermacam-macam barangan mewah. Puas kutolak tapi dia pula merajuk bila ingin ku kembalikan hadiah-hadiah itu.
Akhirnya aku mula pandai merajuk dan dia juga cukup pandai memujuk dan mengambil hati. Maklumlah lelaki berpengalaman. Walau pun aku sedar aku sedang bermain dengan api, namun aku biarkan sahaja diri hanyut dengan perasaan itu.
Percutian Di Bali
Uncle K mempelawa aku menemaninya menghadiri satu mesyuarat di Bali. Pucuk dicita ulam mendatang bagiku. Yelah, seumur hidup aku tidak pernah ke luar negara. Kata uncle K, kami akan pergi bersama beberapa orang staf lain. Jadi, tidaklah aku rasa segan dan bimbang. Mak dan ayah juga membenarkan aku pergi kerana atas urusan kerja.
Tiba hari yang dijanjikan, di lapangan terbang barulah aku sedar bahawa hanya kami berdua sahaja terbang ke Bali. Tapi keterujaan untuk ke luar negara membuatkan aku tidak berfikir apa risikonya bila berduaan dengan Uncle K nanti.
Di Bali kami tinggal di sebuah hotel mewah. Tapi uncle K tempahkan dua bilik berasingan untuk kami. Gadis kampung seperti aku cukup seronok dengan pengalaman itu. Bahkan, berada di tempat asing, membuatkan kami berani berjalan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih. Dalam hati, aku sudah menganggap Uncle K sebagai kekasih.
Makin Angau
Berada di negara membuatkan kami bebas bergerak. Aku bahagia dan tak langsung memikirkan tanggapan orang lain terhadap kami. Lebih-lebih lagi apabila aku dilayan bagai seorang puteri. Dibawa makan di romantis di tepian pantai, dibelikan pelbagai barangan. Walau pun aku tidak minta, Uncle K yang beria-ia membelikan itu dan ini untukku. Bahkan untuk ibu dan ayahku juga dibelikan cenderahati.
Malam terakhir di Bali, Uncle K mengadu sakit badan. Maklum sajalah seharian kami berjalan sebelum akan pulang ke Malaysia keesokan harinya. Lewat malam, uncle K menghantar whatsApp meminta aku ke biliknya. Dia minta aku ke biliknya. Tanpa syak apa-apa, aku turutkan kehendaknya.
Jangan salah sangka, kami tak melakukan apa-apa. Uncle K hanya meluahkan perasaannya padaku ketika itu dan ingin mengambilku sebagai isteri. Dia sendiri rasa tak percaya dia boleh jatuh cinta dengan gadis sebaya anak gadisnya tapi itu yang terjadi. Aku? Rasa gembira, bingung dan risau. Namun aku gembira. Ternyata aku tak bertepuk sebelah tangan.
Hati Tekad Menyayangi
Pulang ke Malaysia, hubungan aku dan Uncle K berjalan seperti biasa dan masih tak dapat dihidu oleh sesiapa pun kecuali driver peribadinya. Berkali-kali dia mengajakku berkahwin namun aku menolak kerana tidak sanggup hidup bermadu. Hendak menyuruh Uncle K menceraikan isterinya, mustahil bukan. Zalim sangat rasanya jika aku buat begitu kepada wanita lain. Namun, perasaan sayangku semakin membuak-buak padanya.
Aku juga takut hendak berterus terang dengan keluargaku. Tentu mereka tak merestuinya. Jangan tanya sampai bila hubungan ini akan berterusan. Yang aku tahu, aku sangat mencintai lelaki itu! Aku dah angau cinta padanya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Sentiasa mendapat sokongan suami dan keluarga
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...