Boleh bayangkan perkahwinan yang di bina atas dasar cinta, makin hari makin hambar dan bosan. Apa yang dibuat dan diandang dari mata pasangan tidak memberi apa-apa makna. Apatah lagi untuk berbual seperti dulu. Umpama duduk serumah tapi buat hal masing-masing.
Mulalah ada asngan yan mencari kehidupan luar yang rasakan lebih baik sekarang ini. Sedangkan tidak diselidiki dan diselesaikan permasalah yang dihadapi atau lebih tepat lagi, pasangan perlulah pandai mengurus emosi.
Perkongsian daripada Fadzli Aziz ini turut memberi pandangan tentang pentingnya bijak emosi suami isteri. Bila suami isteri bijak urus emosi, rumah tangga akan bahagia. Mudah-mudahan.
Pentingkan Bijak Emosi?
“En Fadzli, macam mana nak eratkan hubungan ye? Saya rasa saya dengan orang rumah ini semakin lama semakin hambar pula”.
“Baguslah kalau awak dah tanya macam ni. Sebab awak peka dengan keadaan, peka dengan perubahan emosi diri dan pasangan. Yang paling penting ada usaha untuk perbaiki. Tau tak suami macam awak ni dah tak ramai dah” gurau saya.
“Ye ke En Fadzli?”
“Haah. Tu. Tanda awak ni bijak emosi. Suami isteri kalau bijak emosi ni insyaallah bahagia rumah tangga”.
“Kenapa En Fadzli? Penting sangat ke emosi?”
Ads
“Sangaaaaaaattttt penting dalam rumah tangga. Kat luar pun penting juga tapi dalam rumah tangga sangat penting.
Sebab apa? Sebab kita berurusan dengan manusia. Manusia ni unik. Isteri, suami, anak-anak, mak ayah dan saudara mara.
Bayangkan bila kita ada masalah, pasangan kita sedar dan bertanya pada kita.
Bila kita bercerita, pasangan kita jadi pendengar yang baik.
Bayangkan kalau kita merajuk, dia pujuk.
Kalau kita marah, dia jadi penenang dan menenangkan kita.
Bayangkan bila kita rasa sangat ‘down’, dia memotivasikan kita.
Apabila kita buat kerja rumah, dia nampak kita susah dia tolong,
Bayangkan bila kita terasa hati, dia sedar dan cepat minta maaf.
Dia sangat mudah menegur kita, berterus terang dan caranya sangat berhikmah.
Bayangkan dia suka peluk bila di rumah, pegang tangan bila berjalan kat luar walaupun sudah lama kahwin,
Pada masa yang sama, kita juga buat hal yang sama pada dia seperti mana suka apabila dibuat hal tersebut.
Sama-sama saling memberi dan menerima. Ada ‘give and take’. Bukan hanya menanti untuk menerima. Bahkan sentiasa memberi dan terus memberi.
Insya Allah dengan izin Allah akan terus bahagia. Ini komponen dari sudut emosi”.
“Faham….”
Ads
“Inilah keperluan emosi yang jauh lebih besar dari keperluan material. Dalam rumah tangga kita akan cari keperluan ini.
Hari ini ramai orang bila dia tak dapat penuhi keperluan emosinya di rumah, maka dia akan cari di luar. Ini yang bahaya.
Salah satu punca curang adalah apabila keperluan emosinya tinggi tetapi dia gagal dapat dari yang halal.
Maka walaupun mungkin secara kebetulan, ada orang yang memenuhinya keperluan emosinya secara tak sengaja, tetapi apabila ianya berlaku secara konsisten, dari tak sengaja akan menjadi sengaja.
Sebab tu menyintai ini tidak susah tetapi untuk terus menyintai ini payah. Kerana ianya memerlukan komitmen sepanjang hayat untuk berusaha sepanjang hayat memenuhi keperluan emosi pasangan.
“Pudar cinta bukan kerana tidak cinta, tetapi kerana tiada lagi usaha untuk mengekalkan cinta”.
MW: Masing-masing kena main peranan supaya hubungan cinta yang dibina selama ini kekal ke akhir hayat. Jangan fikir, selepas berkahwin tiada lagi cinta sebaliknya hanya kepada tanggungjawab. Hati-hati.
Bila kita berkahwin dengan pasangan, secara tak langsung kita telah ‘masuk’ dalam keluarganya. Menerima baik buruk keluarga itu seadanya. Beruntunglah bagi mereka yang mempunyai ipar yang baik-baik dan ‘satu kepala’.
Namun, ada juga ipar yang ‘tidak sebulu’ sehinggakan bermasam muka hanya kerana perkara kecil. Baik di matanya tapi buruk di mata kita. Begitu juga apa yang ipar itu fikir. Pendek kata, bila tidak ‘ngam’ ada sahaja salah di matanya.
Sebenarnya, bila kita sudah ‘masuk’ dalam keluarga lain yang bukan darah daging kita, itu bermakna kita kena bersedia untuk terima segalanya. Tak perlu berlakon atau berpura-pura. Cukuplah menjadi diri yang sebenar.
Perkongsian daripada Nur HabibiQalbi ada benarnya tentang apa yang diperkatakan tentang ipar.
Bila adik bradik kita kawin dengan sesorang. Layanlah ipar tu baik-baik. Kalau boleh jangan di beza-bezakan ipar ini dengan ipar itu.
Ipar ini mungkin rajin di dapur. Tapi ipar itu pulak tak kedekut hulur duit atau belanja. Sama-sama ada baiknya.
Buruk ipar ini jangan di jaja pada ipar lain. Kalau ipar ini bermasam muka dengan ipar itu, kita mesti jadi penyejuk dan pendamai. Bukan pengadu domba yang akan memburukkan lagi situasi rumah tangga adik beradik kita.
Jangan menuntut ipar tu sempurna di mata kita. Sebab dia kawin dengan saudara kita, bukan dengan kita. Dia mungkin sempurna pada mata saudara kita. Bukan di mata kita.
Jangan memaksa agar ipar tu ikut gerak geri keluarga kita. Kerana dia dibesarkan oleh mak ayah nya dengan cara berbeza. Dia tidak dibesarkan di dalam keluarga kita.
Sebolehnya.. jadilah ipar yang memberi ketenteraman dan kebaikkan agar rumah tangga adik beradik kita berkekalan.
Bukannya jadi ipar MADE IN NERAKA yang suka melihat rumah tangga keluarga hancur dan bercerai berai.
Yang dapat ipar baik tu.. Ucaplah Alhamdulillah.
MW: Betullah, cara mak ayahnya ajar berbeza dan usah kita menuntut kesempurnaan pada ipar.
Kadang-kadang kita melihat orang lain cukup bahagia dengan kehidupannya. Mulalah bandingkan dengan orang lain dan timbul rasa cemburu atau iri hati. Sedangkan kita hendaklah bersyukur dengan apa yang kita ada. Tak perlulah nak membandingkan dengan orang lain.
Setiap orang ditakdirkan dengan cara hidup yang berbeza-beza dan masalah yang berlainan. Kalau semuannya sama, tiadalah hitam putih dan warna warni kehidupan. Sebab itulah, jika ada kekurangan, kita perlu bersyukur. Itulah anugerah dan rezeki yang Allah berikan.
Perkongsian daripada Intan Dzulkefli, cukup membuatkan kita rasa bersyukur dengan apa yang ada.
Dugaan terbesar kita ini adalah susah sangat nak bersyukur.
Mungkin kita kata kita sudah bersyukur tapi hakikatnya masih belum. Jadi, macam mana nak bahagia jika tidak bersyukur kan?
Paling payah bila ada rasa nak bersaing dengan orang terdekat seperti adik beradik, kawan-kawan, jiran tetangga. Tentang material duniawi. Bab kahwin, bab tambah anak, tambah harta benda, rupa paras.
Benda-benda yang ulama’ kata tak berharga pun untuk timbangan amal, tak berharga untuk menyelamatkan kita masa dalam kubur. Tapi itulah yang nafsu kita ni kejarkan sangat kan.
Nampak mereka bahagia kahwin muda, ada kereta, beli rumah, kita rasa insecure. Bersyukurlah.
Jika nampak orang buat bisnes sekejap terus kaya, kita merungut kenapa kita jual susah nak laku?
Nampak orang famous tayang itu ini kat media sosial kita pertikaikan kenapa la hidup orang lain ‘seems perfect’ je?
Bila nampak orang lain beranak tiap tahun anak semua baik je tak tantrum, kita pun cakap; “untungnya la dah la muka cantik, kaya, suami hensem, anak lawa-lawa”
Mungkin kita tak luahkan dengan kata-kata tapi hati kecil yang memberontak begitu. Oh bahaya!
Telitilah dengan penuh hikmah setiap apa yang Allah anugerahkan kepada kita. Berhentilah memandang orang-orang yang di ‘atas’ kita, kerana bimbang kita sibuk membanding-banding kehidupan mereka dengan kita dan hasilnya lahir prasangka yang sangat buruk kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, Allah yang Maha Penyayang.
Tahu tak kenapa kita susah nak rasa tenang dan bahagia?
Antara sebabnya, kita kurang bersyukur atas apa yang ada di sekeliling kita.
Apa yang Allah bagi kita kurang bersyukur, apa yang Allah belum bagi dan tak bagi kita persoalkan pula.
Pujuklah hati kita yang keras ini untuk selalu bersyukur selalu. Bukannya hanya kata syukur di mulut tapi di hati dan perbuatan kita juga.
Kan Allah dah janji siapa yang bersyukur akan ditambah lagi nikmat? (Bacalah Surah Ibrahim, ayat 7).
Jomlah kita sama-sama selalu berdoa..
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu jiwa yang merasa tenang kepadaMu, yang yakin akan bertemu denganMu, yang redha dengan ketetapanMu, dan yang selalu merasa cukup dengan pemberianMu.”
Tiada yang lebih bermakna dalam hidup ini melainkan diberikan rasa kecukupan atas segala nikmat pemberian Tuhan. Itulah dia namanya, qanaah.
Allah… Sentap. Muhasabah diri.
MW: Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Dengan bersyukur itulah membuatkan kita hidup bahagia dan tenang.
Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!