Wahai mak ayah, apa pun keadaan anak kita, pandai ke sebaliknya, sihat ke sakit, itu adalah anugerah yang tuhan hadiahkan untuk mak ayah. Maka hargailah setiap kehadirannya dengan penuh rasa syukur.
Bila mana Puan Marliya Ramli berkesempatan menemui temannya yang berkongsi kisah anak, membuatkan hatinya jadi sebak.
Seperti Anak Kita
Dah berapa lama? Tanya akak serba salah…. Memandangkan ibunya bercerita, akak usaha memberikan perhatian sepenuh nya.
Sejak lahir. Memang lahir je kami dah perasan ada kelainan… Masa mengandung doktor dah bagitau.
Bila rakan sebaya merangkak, dia masih terbaring. Usia sepatutnya berjalan dia masih terbaring.
Makan pun masih bersuap dan sentiasa terbaring.
Ads
Akak telan air liur berkali-kali. Allahu…
Akak juga ibu. Dan kisah begini benar-benar menampar hati.
Ada Yang Anggap Anak Sebagai Bebanan
Kita selalu marah anak nakal. Anak tak pandai. Anak malas belajar. Anak sepahkan mainan. Anak boros. Anak itu. Anak ini. Malah ada yang anggap anak sebagai bebanan juga ujian? #apeni?
Padahal di suatu ceruk di sudut dunia ada seorang ibu yang:
Ads
tak apa anaknya nakal asalkan anak tahu berjalan.
tak apa anaknya sepahkan mainan asalkan anak tahu berkawan.
tak apa anaknya tak pandai di sekolah asalkan anak tahu memakai pakaian.
tak apa anaknya tak cekap Matematik dan tak teror Sains asalkan anak tahu menyuap makanan.
tak apa anaknya tumpahkan minuman asalkan anak boleh bercakap dan memberikan perhatian.
Sungguh!
Ianya mengingatkan. Benar-benar memberi amaran. Merentap hati dan emosi ini. Agar setiap ibu bapa lebih bersyukur dan menghargai.
Anak kita demam setahun sekali. Itupun kita menggelabah cari doktor yang terbaik dan bilik rawatan paling selesa buat anak kita.
Syukur lah.. Ada Ibu Tak Tidur Malam Jaga Anaknya..
Ada seorang ibu bertahun-tahun tak tidur malam takut terpejam mata tatkala anak diserang sawan.
Akak segera ingatkan diri. Belajarlah bersyukur. Kerana… Di suatu ceruk di sudut dunia ada seorang ibu yang kepingin anaknya SEPERTI ANAK KITA.
Buat anak-anak Double A, maafkan Mama yang tidak sempurna. Maafkan Papa yang expectation sentiasa berganda. Kita sama-sama berusaha untuk ke arah kebaikan sentiasa. Okay?
Salam sayang.
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memiliki anak-anak yang sihat juga adalah rezeki yang tak ternilai harganya buat ibu bapa. Namun begitu, andai anak-anak diuji dengan penyakit tertentu, tetap diterima dengan reda kerana itu semua adalah ujian Allah SWT untuk hamba-Nya.
Bagi pasangan Anita Binti Mat Tahir, 42, dan suami, Hasnizam Bin Mohamed, 46, anak ketiga mereka, Fatin Nur Fatehah telah didignosis dengan penyakit Palsi Serebrum selepas dilahirkan. Selain Fatin, pasangan itu turut memiliki dua orang anak lelaki yang kini berusia 20 tahun dan 12 tahun.
Menurut Anita, ketika mengandungkan Fatin Nur Fatehah atau mesra dipanggil Atin, semuanya berjalan lancar. Allah sangat mempermudahkan ketika mengandungkan Fatin. Berbeza dengan abang-abang Atin, saya mengalami tekanan darah tinggi dan kencing manis ketika mengandungkan mereka dan kerap berulang alik ke klinik dan hospital.
” Segala-galanya normal sehinggalah masuk minggu ke-38. Saya didapati demam dan ketika itu kandungan normal saja. Dua hari sebelum kelahiran, pergerakan Atin di dalam kandungan agak perlahan tapi degup jantungnya normal. Namun keesokan hari ketika hendak pergi kerja, saya rasa badan saya lain macam. Hati ini rasa serba tak kena, terus beritahu suami supaya hantar saya ke hospital selepas hantar anak ke sekolah. Namun waktu itu, saya tak rasa sakit hendak bersalin pun.” Ujar Anita membuka bicara.
“Sampai di hospital, didapati tekanan darah saya agak tinggi dan saya demam. Bila nurse periksa degupan jantung bayi, katanya bacaan tak berapa cantik dan panggil doktor.
“Ketika itulah doktor tiba-tiba beritahu yang saya perlu dibedah kecemasan. Ketika Atin lahir, doktor kata dia dah tak ada dan umumkan meninggal dunia. Namun tiba-tiba saja Atin memberikan respons.
” Saat itu, doktor terus sedaya upaya berusaha selamatkan Atin dengan menebuk perut Atin dan sambungkan wayar bantuan penafasan dan sebagainya. Alhamdulillah Atin sangat kuat dan mampu bertahan.” Tambahnya.
Selepas dipindahkan ke wad, suami Anita memberitahu yang anak mereka mungkin akan jadi anak istimewa dan dipantau di wad NICU.
” Waktu itu, saya sudah pasrah dan reda. Bila suami bawa saya tengok Atin di wad dengan wayar yang berselirat di badannya, sayu rasa hati. Tapi saya sudah reda dengan apa juga keadaanya kelak.
” Saya patut bersyukur keadaan anak ini cukup sifat berbanding bayi lain dan dari situlah timbul kekuatan diri menerima Atin seadanya. Kami juga bersyukur, kami dapat dignosis Atin lebih awal. Ketika Atin di dalam NICU, kami sudah diberikan sesi kaunseling dan doktor sudah beritahu yang anak kami OKU terlantar cerebral palsy dan memerlukan sepenuhnya perhatian. Tak boleh makan minum dan pakai sendiri. Semua kena bantuan ibu bapa dan keluarga.
” Tiga minggu Atin koma, hari-hari saya bercakap dengannya dan memberikan semangat sehinggalah dia akhirnya membuka mata. Itulah saat yang paling menggembirakan hati saya.
” Alhamdulillah saya bersyukur famili saya dan suami sangat supportif, mereka pun buat macam-macam usaha termasuk bacaan yassin di surau dan sebagainya. Arwah emak memang sangat risau takut saya akan meroyan kerana terlalu sedih. Doktor ada menyatakan punca Atin menjadi cerebral palsy mungkin sebab saya demam dan semasa proses kelahiran, oksigen tak sampai ke otaknya. Apa juga puncanya, saya sedar itu semua kuasa Allah Yang Esa.” Tuturnya lagi.
Perkembangan
Anita dan suami juga sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk Atin.
” Dari usia Atin 4-5 bulan, saya dah bawa dia pergi fisioterapi. Saya juga daftarkan Atin di Spastic Central Petaling Jaya untuk fisio dan cara kerja. Usia Atin 5 bulan saya dah ke hospital rehab Cheras. Sehingga kini Atin masih berterapi di Hospital Rehab Cheras dan Spastic Central untuk membantu Atin lebih memperolehi perkembangan yang lebih baik.
” Dari umur satu tahun Atin mendapatkan injection botox untuk melembutkan saraf dan intensif fisio. Dia juga baru menjalani pembedahan tulang pinggul untuk memasukkan plate, hamstring release, hip dan percutaneous TA leghthening supaya lebih selesa bila buat fisio dan berdiri di standing frame untuk kekuatan kaki dan tulang belakang bagi menggelakkan berlakunya scoliosis,” jelas Anita.
Demi Atin, Anita nekad berhenti kerja. “Tak sangka, dapat tawaran menyambung pelajaran di bidang perbidanan dan stimulaterapi untuk anak-anak istimewa. Jadi saya gunakan ia untuk mengurut dan stimulaterapi untuk perkembangan Atin selain fisio terapi yang kerap.
” Setiap bulan Atin minum susu pedisure dengan anggaran kos RM800 sebulan. Syukur juga kini Atin tidak lagi mengunakan ryles tube untuk makan dan minum. Berkat kesabaran gigih ayah Atin mengajar Atin menelan walau pun mengambil masa 1oz untuk 3 jam, kini Atin boleh menelan sendiri tanpa mengunakan tiub.
” Dulu Atin langsung tak boleh bergerak ke kanan dan ke kiri lembik, Alhamdulillah pelan-pelan Atin menunjukkan perkembangan yang lebih baik. Walau pun Atin tak boleh mendengar, kami mengajar Atin dengan mengunakan mata dan dia boleh mengikut arahan,” tambah Anita.
Menurut Anita, dia juga turut mencari kumpulan sokongan bagi mendapatkan lebih banyak makluman berkaitan penyakit anaknya.
” Group pertama yang saya sertai ialah Malaysia Advocates Cerebral Palsy. Saya juga merupakan pengasas Kumpulan Support Group Kau Yang Teristimewa ( KYT), merupakan kumpulan sokongan ibu bapa anak-anak OKU pelbagai diagnosis dan kami sering bertukar-tukar cerita kisah duga, suka, terapi anak-anak dan kami sering melakukan aktiviti riadah bersama.” Akhiri Anita menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Keluarga desak bercerai sedangkan pasangan tersebut tidak terlintas pun nak bercerai! Bukan sedikit rumah tangga yang punah dan hancur akibat campur tangan daripada pihak keluarga si isteri atau si suami.
Wanita ini misalnya, telah menghantar e-mel untuk meminta pandangan dan nasihat daripada puan Hajah Maimunah Hj Mohamad, Kaunselor dan juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, berkenaan masalah yang sedang dihadapinya. Ikuti luahan hatinya.
Saya seorang isteri muda, berusia 27 tahun. Terus terang, saya seorang gadis yang agak liar ketika remaja. Mungkin kerana saya terlalu dimanjakan oleh mama dan papa. Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga dan saya memiliki tiga orang abang.
Langkah saya makin panjang bila masuk ke IPT. Tinggal berjauhan daripada keluarga membuatkan saya makin bebas. Cuma sejahat saya, tak pernah minum arak dan ambil dadah.
Ketika di tahun tiga, saya mula serius dengan seorang jejaka satu universiti, S. Orangnya memang tampan dan saya rasa bertuah kerana dapat takluki hatinya. Saya sanggup menyerahkan kehormatan saya padanya. Timbul penyesalan selepas itu namun S pandai memujuk dan berjanji akan mengahwini saya kelak.
Tuhan masih sayangkan saya dan tidak mahu saya terjebak dengan lebih teruk dalam dalam lembah maksiat. Saya mengandung dan ia satu tamparan sangat hebat bagi diri saya. Yang buat saya makin hilang arah tujuan, bila S tiba-tiba menghilangkan diri dan rupanya dia menyambung pelajaran ke luar negara. Saya tahu itu cara dia nak lepaskan diri.
Saya sangat terpukul bila dibuang begitu saja oleh S. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang dengan keluarga kerana saya sangat buntu. Papa hampir bunuh saya malam itu namun sempat ditenangkan oleh abang-abang saya dan mama.
Dalam masa yang sama, saya ada seorang abang angkat, M, yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan. M abang angkat saya sejak di sekolah menengah lagi. Fb menemukan kami kembali dan sejak itu sering juga kami berhubung.
Dengannya saya boleh bercerita apa saja dan dia tak pernah pandang rendah pada saya walau pun saya liar. Bahkan sentiasa cuba menasihati saya dengan lemah lembut.
Bila saya ceritakan keadaan diri pada M, dia rela memperisterikan saya demi menjaga maruah saya. Puan, saya sangat terkejut dan tak bersetuju. Tapi dia sanggup datang berjumpa keluarga dan melamar saya. Akhirnya saya menerima M apabila didesak keluarga yang ingin tutup malu.
Majlis diteruskan walau pun seminggu sebelum pernikahan, saya keguguran. Ketika itu, keluarga saya minta saya batalkan pernikahan itu tapi saya berkeras untuk teruskan kerana saya tak sanggup memalukan lelaki sebaik M dan keluarganya.
Ternyata, saya sangat bahagia selepas berkahwin dengan M walau pun saya rasa diri saya tak layak untuk lelaki sebaiknya. Sebab itu saya tekad untuk berubah menjadi wanita dan isteri terbaik untuk dirinya. Dia juga membimbing saya untuk dekatkan diri dengan Allah.
Namun yang menyedihkan, keluarga saya tak habis-habis minta saya minta cerai daripada M. Katanya saya akan dapat lelaki yang lebih kaya, apatah lagi saya kini berjawatan tinggi daripada M.
Saya sedih dan marah dengan keluarga yang tak mengenang budi dan bersyukur. Mereka lupa, M yang ‘kutip’ saya dan sanggup terima keburukan saya. Apa yang patut saya lakukan puan?
Saya benar-benar sayangkan M. Dia terlalu baik untuk saya Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan. Saya juga sedang hamil anak pertama kami selepas tiga tahun berkahwin. Lebih sedih keluarga minta saya gugurkan kandungan ini kerana mereka tak nak saya terus terikat dengan M!
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dalam keadaan puan yang ditimpa musibah dek kerana lelaki dan juga kesilapan yang puan lakukan, masih ada insan bernama lelaki yang sudi menjadi “pak sanggup” untuk puan dan masa depan yang puan akan lalui.
Tidak ramai orang yang bernasib baik kerana kebanyakan lelaki banyak pilihan untuk mencari jodoh yang terbaik buat mereka. Namun puan dikurniakan lelaki yang sanggup menerima puan dalam keadaan yang kritikal yang juga boleh menjejaskan imejnya juga sebagai lelaki. Tetapi dia tetap menerima puan. Alangkah bertuahnya nasib puan…
Apabila seorang wanita itu berkahwin, maka semua ketaatan dan kesetiaannya hanyalah kepada suami, selagi suaminya menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rasul dan ahli keluarganya.
Malah jika suami tidak mengizinkan berjumpa dengan ahli keluarga isteripun, si isteri perlu mentaatinya. Begitu tingginya penghormatan terhadap suami. Berbalik kepada suami puan, kalau suami sebaik yang puan katakan itu tidak ditaati, adakah wajar puan menjadi isterinya?
Adalah keterlaluan sehingga ahli keluarga menyuruh gugurkan kandungan. Puan harus punya prinsip hidup tersendiri. Cuba beri kesedaran kepada mereka, adakah apa yang mereka suruh itu dilarang oleh agama? Pastinya berdosa bukan? Tidak mentaati suami, tanpa sebab yang kuat untuk tidak taat, berdosa kan?
Tahukah puan, hampir 25% (mungkin lebih) masalah keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada campur tangan ahli keluarga. Semasa saya menjalani praktikum selama 26 tahun yang lalu di sebuah pejabat agama, hampir 60 % masalah suami isteri diperkuatkan dengan campur tangan ahli keluarga yang menyebabkan mereka sukar untuk berbaik semula.
Justeru, puan perlu ada pendirian sendiri untuk tidak mengizinkan keluarga mencampuri hal puan suami isteri. Apatah lagi sehingga ke tahap mohon cerai daripada suami hanya kerana pendapatan yang rendah daripada puan.
Puan perlu bertegas bahawa keluarga tidak boleh mencampuri urusan puan dan suami. Dengan kata lain puan perlu ada pendirian bahawa puan ada kehidupan sendiri yang keluarga tidak boleh mencampurinya.
Kebergantungan puan kepada keluarga sendiri perlu dikurangkan dan puan sendiri perlu nyatakan bahawa puan telah ada kehidupan sendiri dan puan bahagia dengan kehidupan puan bersama suami.
Minta kepada keluarga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan puan dan suami. Puan perlu bertegas, dan jika mereka masih mendesak, puan boleh beri beberapa syarat seperti puan tidak mahu pulang ke rumah keluarga jika mereka mengeluarkan lagi kenyataan suruh memohon cerai.
Jangan takut kehilangan ibu bapa hanya kerana desakan mereka untuk memohon cerai daripada suami. Mungkin puan boleh renggangkan hubungan buat semetara waktu dengan ahli keluarga jika mereka kerap mendesak puan untuk mohon cerai. Ketaatan puan kepada ibu bapa perlu ada selagi mana mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Puan perlu nyatakan secara berhikmah dan melayani keluarga dengan cara yang baik. Paparkan tingkahlaku dan akhlak puan yang sudah berubah sejak puan berkahwin dengan suami. Cara pakaian, adab, dan lain-lain yang ada perubahan pada diri puan perlu menunjukkan ke arah yang positif. Akhir sekali banyakkan berdoa agar ibu bapa puan lembut hatinya dan menerima puan suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bak kata Ustazah Rohamiah Muda, kebersihan dalam rumah bukan tugas isteri semata. Sebaliknya, suami dan anak-anak pun terlibat sama. Membersih dan kosongkan sinki sebelum tidur misalnya.
Hal inilah yang kadang kita terlepas pandang. Bila dah terlalu penat, walau pinggan secawan pun tinggal saja dalam sinki. Tunggu esok sajalah baru cuci.
Saya ke dapur untuk meletakkan cawan ke dalam sinki. Saya melihat di dalam sinki beberapa cawan lagi yang belum dibasuh. Biasalah, anak-anak minum air, cawan diletakkan di dalam sinki.
‘Pagi esoklah basuh cawan-cawan ni. Mata dah mengantuk!’ bisik hati saya sambil meletakkan cawan ke dalam sinki. Lagipun, cawannya hanya ada beberapa biji sahaja. Tak banyak pun!
Ketika saya ingin beredar, tiba-tiba suami datang bersama cawan di tangan.
Saya terus berkata, “Abang, cawan tu letak je lah di dalam sinki. Mengantuk dah ni. Nak tidur.”
“Basuh! Apa pula tinggalkan bekas tak berbasuh di dalam sinki. Ni mewarisi kepapaan. Tahu tak, kepapaan!”
Saya mendengar omelan suami dengan rasa bersalah. Tetapi, rasa mengantuk menguasai diri.
“Allah. Penat sangat ni, bang,” kata saya seperti memohon simpati.
Kemudian, saya beredar dengan meninggalkan suami di dapur.
Pagi esoknya, saya ke dapur untuk membuat sarapan serta membersihkan cawan yang belum dibasuh semalam.
Eh, tiada sebiji pun cawan. Semua telah dicuci oleh suami. Saya melihat ke dalam bakul sebelah sinki. Cawan yang saya minum semalam ada di situ.
Allahu … rasa terharu dengan kebaikan suami. Walaupun ia kecil, tetapi kesannya sangat mendalam di hati.
Selepas kejadian itu, saya cuba sedaya upaya untuk kosongkan sinki sebelum tidur.
Kawan,
Sebenarnya apa yang dikatakan oleh suami adalah benar.
Saya pernah mendengar dan membaca tentang sunnah nabi supaya tidak membiarkan bekas tidak berbasuh sebelum tidur.
Kenapa?
Kerana hukumnya adalah makruh. Keadaan mewarisi kepapaan dan kemiskinan. Ini kerana sisa makanan yang dibiarkan pada bekas makanan kita tanpa dibersihkan akan menjadi ‘habuan’ syaitan. Ini kerana syaitan sangat sukakan kepada makanan yang kotor lagi busuk. (Disebut dalam Kitab arab Ta’limul Muta’allim).
Jadi, sebaiknya sebelum tidur bersih sinki daripada bekas makanan yang tidak dibasuh.
Sebenarnya, kebersihan di dalam rumah tangga bukan urusan isteri semata-mata, bahkan tanggungjawab bersama, iaitu isteri, suami dan anak-anak.
Sebiji cawan jika bertangguh untuk dibasuh dan dikumpul di dalam sinki, ia akan penuh. Ketika itu, mulalah rasa malas untuk mencucinya.
Sebelum tidur, pastikan sinki kosong.
Moga coretan ini bermanfat buat isteri, suami dan anak-anak.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda , penulis buku Diakah Jodohku?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seronok melihat perkembangan Alana Dunsmore, seorang pempengaruh yang lebih dikenali sebagai alanaspinktravels seorang gadis dari Scotland yang bertemu jodoh dengan pelakon tempatan, Abbas Mahmood di Malaysia.