Kuncinya, jangan sesekali bandingkan isteri bekerja dengan suri rumah kalau bab kekemasan rumah. Ada masa dia mampu sambung uruskan waktu balik kerja dan ada sebaliknya.
Balik-balik nak mandi pun tak sempat, mampu salin baju sahaja. Bukan malas tetapi tertidur dek kepenatan.
Itulah dilema sesetengah isteri bekerja, tetapi kadang ada suami tak faham. Nak elakkan hubungan suami isteri jadi keruh, cuba hadam perkongsian daripada Firdaus Shakirin. In shaa Allah, masih sempat untuk baiki suasana rumah tangga.
Bila Isteri Bekerja
Rumahnya mungkin tidak sekemas rumah mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Pakaian suami dan anak-anak mungkin tidak dibasuh, dilipat dan diseterika setiap hari. Dapurnya mungkin tidak berasap sepanjang masa kerana dia bekerja, dia keluar pagi, balik petang.
Ada juga yang dah malam baru sampai rumah.
Sederhanakanlah tuntutan anda sebagai suami terhadapnya, dia keluar mencari rezeki untuk mengurangkan dan meringankan beban anda. Dia sedang membantu memperbaiki ekonomi keluarga. Dia buat semua itu untuk membayar “hutang-hutang” anda.
Usahlah membandingkan dirinya dengan apa yang dibuat oleh isteri-isteri yang lain. Orang lain mungkin masih boleh melayani suami mereka seperti RAJA, boleh menghidangkan makanan betul-betul di depan mata. Tapi dia hanya boleh melayani anda sekadar kemampuannya sahaja.
Dia tahu untuk rasa letih, dia juga tahu untuk rasa penat.
Bantulah Isteri Mana Yang Patut
Dia hanyalah seorang wanita biasa, kudratnya tak sama dengan kudrat anda. Tolonglah dia sebagaimana dia menolong anda, kurangkanlah bebanan dia sebagai seorang isteri dengan membantunya melakukan kerja-kerja rumah. Sederhanakanlah tuntutan anda untuk dia memenuhinya, berikanlah dia ruang, peluang dan masa untuk berehat juga.
Kerana dia juga bekerja, dia juga perlu membahagikan masa untuk kerjaya dan keluarga. Jika anda “mampu” , sudah pasti dia tidak perlu bersusah payah untuk keluarganya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Nak Suami Faham Dirinya, Lelaki Pula Cuma Nak Orang Rumah Faham Kepantangannya
“Kenapa dia tidak mahu faham?”. Itu adalah keluhan yang selalu berbisik di hati para isteri kepada suami masing-masing. Sudah tentu keluhan ini ada benarnya tetapi jangan fikir suami tidak pernah berbisik begitu kepada diri sendiri. Mereka juga mencari jawapan kenapa isteri tidak faham diri mereka?
Sebahagian besar daripada punca keadaan ini adalah di sebabkan kecacatan komunikasi antara suami dan isteri.
Anda mungkin pernah menjadi pelajar terbaik jurusan komunikasi semasa di Universiti. Namun ‘teori
komunikasi’ yang dipelajari dahulu sangat jauh berbeza dengan seni komunikasi dalam rumah tangga.
Semua orang tahu yang isteri perlu dibenarkan menyatakan perasaan pada suami dan isteri juga mesti berbesar hati apabila ditegur suami.
Namun itu tidak berlaku. Anda fikir selama ini anda tahu apa yang suami mahu tetapi semua tidak menjadi apabila anda bercakap-cakap dengan suami. Bagaimana anda boleh mengadu pada suami jika ada masalah sekiranya dia tidak suka dengan cara anda mengadu kepadanya? Ini bukan masalah kecil.
Sudah terlalu banyak rumah tangga runtuh kerana isu ini. Anda bimbang itu berlaku terhadap rumah tangga anda tetapi bagaimana cara untuk mengatasinya?
Jangan bimbang kerana itulah yang akan dikongsi dalam nota minggu ini.
10 Tip Atasi Jurang Ketaksefahaman Suami Isteri
1. Cara paling berkesan mengatasi masalah ini ialah dengan jangan memulakannya. Mencegah itu seribu kali lebih baik daripada mengubat.
2. Jika anda baru berumah tangga maka cepat-cepat belajar teknik menakluki hati suami dengan cara yang betul apabila bercakap-cakap dengan dia.
3. Bagaimana? Mungkin agak janggal pada mulanya tetapi biasakan memanggil suami bertuah itu dengan panggilan manja yang baik-baik.
4. Ringankan mulut meminta maaf jika dia menegur. Perkataan dan ayat meminta maaf itu adalah tindakan pencegahan terbaik untuk mengelakkan masalah yang lebih besar pada peringkat awal perkahwinan ini.
5. Amalkan bercakap dengan suami menggunakan bahasa dan nada suara yang lembut dan sopan. Suami pasti suka dan setiap kali dia suka, anda akan dapat pahala percuma.
Selain itu apabila anda bersuara sopan dengan suami, dia akan lebih mudah memberikan anda ruang untuk mengadu. Dia akan lebih percaya yang anda ikhlas dan akan memberikan perhatiannya.
Jika selama ini anda bercakap dengan suara keras menyatakan hak-hak anda maka jangan terkejut dia akan membalas dengan kuasa sepuluh kali lebih kuat.
6. Seni komunikasi dalam rumah tangga bukan sekadar bercakap dengan suara lembut dan sopan. Suami juga ada hak bercakap dan dia mahu kata-katanya diberi perhatian. Oleh itu apabila dia bercakap maka berikan sepenuh perhatian.
Jangan sesekali buat perkara lain seperti menyiang ikan atau menyidai kain semasa dia bercakap. Jangan hanya mengangguk kepala tanpa faham apa yang sebenarnya dia maksudkan. Ingat ! Dengar untuk faham.
Bukan dengar untuk membalas semula.
7. Anda mahu dia faham diri anda tetapi tidak pula mahu faham apa yang jadi kepantangannya. Apabila dia
bercakap jangan pandang ke tempat lain. Itu tanda anda tidak peduli.
8. Jangan pula tenung tepat dan tajam ke dalam matanya. Dia akan tafsirkan itu sebagai isyarat anda tidak takut kepadanya.
9. Letakkan suami melebihi segalanya dan itu akan memancarkan cahaya yang anda mahu memahami isi hatinya. Rutin yang serupa setiap hari boleh menimbulkan kebosanan tanpa sedar. Tidak banyak yang boleh
dilakukan apabila kita bosan termasuklah untuk faham hati budi pasangan kita.
10. Ada baiknya jika dalam seminggu, ada hari anda keluar berdua dengan suami dan habiskan masa bersama. Jika dulu masa bercinta selalu keluar minum berdua, kenapa tidak sekarang? Cari restoran yang selesa dan berbicaralah dengan suami tentang hal-hal yang perlu dia tahu tentang perasaan anda.
Suasana yang berbeza dari rumah memberikan dimensi baru dan pastikan anda dan suami boleh berkongsi dimensi yang sama untuk kebahagiaan masa depan.
Penulis : Dr Syed Yusainee Yahaya, Kaunselor Profesional, Relationship Coach yang juga kolumnis Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menyesal Tak Siasat BACKGROUND Suami, Sudahnya Merana Dianiaya Sepanjang Perkahwinan
Wanita di luar sana, baik yang belum berkahwin mahupun yang bakal meniti perkahwinan kali kedua dalam hidup, tolonglah siasat ‘background’ bakal suami betul-betul. Lagi-lagi yang mengaku dirinya duda, atau suami orang kononnya derita dengan isteri sendiri.
Dan ketika ini, anda sedang seorang wanita bekerja, peroleh pendapatan lumayan setiap bulan. Sekali lagi, tolong siasat dalam-dalam ya.
Jangan sampai terjadi seperti Iza (bukan nama sebenar), sebagaimana kes benar di mahkamah yang dikongsikan oleh Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli ini.
Menyesal Tak Siasat ‘Background’ Suami, Merana Sepanjang Perkahwinan
Siapa yang nak perkahwinannya menjadi detik hitam dalam hidupnya? Saya pasti ramai wanita yang tak berharap macam tu. Ada satu kisah yang telah dikongsikan kepada saya untuk menjadi tauladan pada wanita yang lain katanya. Bagaimana kesilapan yang telah dilakukan oleh dirinya bila dia tak siasat ‘background’ bakal suaminya betul-betul sebelum menerima sebagai pasangan hidup selamanya ini.
Pada sesetengah orang yang tidak kisah siapa pun yang hadir dalam hidup dia, mungkin terus terima sahaja siapa saja yang meminang dirinya. Ada yang lebih cepat, tak sampai sebulan kenal, terus bernikah. Ada juga keadaan yang wanita diperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dah berstatus ‘suami orang’ untuk bernikah dengan dirinya. Kononnya isteri pertama tak elok lah, teruklah, tak pandai masaklah. Macam-macam.
Jadi, kisah yang berlaku pada Iza, 38, (bukan nama sebenar) seorang janda anak 2 yang merupakan pegawai atasan kerajaan juga telah diperdaya oleh lelaki yang kini telah menjadi suaminya. Katanya, dia telah kematian suami dengan perkahwinan pertama. Membesarkan anak secara berseorang bukanlah tugas mudah.
Jadi, suami yang baru ini hadir tanpa dikenali dengan lebih lama melalui Facebook sahaja selepas lebih 3 tahun kematian suaminya. Perkenalan yang tak sampai seminggu tu, membuatkan Iza terus nak berjumpa dengan lelaki ini. Dari segi luaran, nampak macam tak ada apa-apa yang bermasalah pada lelaki tersebut. Muda lagi daripadanya dan agak ‘hensem’ juga.
Terpedaya Janji Manis Lelaki
Lepas lebih daripada 3 kali keluar bersama, dalam tempoh sebulan, lelaki tersebut memberitahu Iza bahawa dia telah berkahwin dan ada dua orang anak. Walaupun begitu, katanya dia ada masalah dengan isterinya konon isterinya teruk serba-serbi. Jadi, Iza simpati dan tidak kisah walaupun dimadukan dan dia sanggup terima lelaki tersebut.
Akhirnya, mereka bernikah di Sempadan Thailand dan dalam masa beberapa bulan kemudian, suaminya turut menceraikan isteri pertamanya. Dia percaya, tindakan suaminya melepaskan isteri pertama adalah tindakan yang betul sebab isteri pertama dalam pengetahuan dia seorang wanita yang jahat dan bukan seorang isteri yang baik berdasarkan penceritaan suaminya.
Selepas lima bulan berkahwin, dan telah mendapat sijil pernikahan yang sah di Malaysia, sikap suaminya mula terbongkar satu persatu. Mereka tinggal bersama di rumah miliknya, cuma dia tak pernah nampak suaminya pergi kerja. Katanya, dia dah berhenti dan sedang nak buat ‘business’. Jadi, Iza telah diminta oleh suaminya untuk membuat pinjaman peribadi yang berjumlah RM50,000.00 untuk bantu suaminya membuat business.
Tapi Iza sendiri tak pernah ambil tahu, business apa yang dibuat. Sebab masih suaminya duduk di rumah saja. Pakai kereta milik isterinya. Barang-barang dapur dan keperluan diri serta anak-anaknya juga dia yang tanggung. Bahkan, suaminya masih minta duit pada dia untuk bayar Top Up dan nak beli rokok sahaja.
Yang Iza nampak, kerja suaminya hanya makan, minum, tidur, tengok tv dan keluar malam lepak di kedai mamak dengan rakan-rakan. Dan kerap keluar malam untuk main futsal sahaja.
Bila Isteri Bertanyakan Soal Nafkah, Suami Mula Naik Tangan
Selepas lebih setahun, dia baru nekad nak bertanya dengan lebih serius pada suaminya. Dia mintak nafkah pada dirinya. Dia tidak kisah walaupun jumlah yang tak tinggi, asalkan suaminya tahu tanggungjawabnya. Berkali-kali diminta perkara yang sama, akhirnya itulah kali pertama Iza ditampar di bahagian mukanya.
Selepas daripada itu, hidup dia sering bergaduh dengan suaminya tentang nafkah dan hutang yang telah dibuat olehnya. Satu persatu barang kemasnya telah digadai oleh suaminya konon untuk business. Setiap malam asyik bergaduh sahaja dan banyak kali dia ditampar di bahagian kepala dan pernah dihentak ke dinding.
Stress dengan perkahwinannya itu membuatkan dia nekad nak berjumpa dengan bekas isteri pertama. Mujurlah ex suaminya ini tak marah, bahkan sekarang lebih gembira dan sambut baik kehadiran Iza. Barulah Iza tahu, rupanya suaminya dulu ini ada rekod yang tak baik dengan pekerjaannya hingga dibuang kerja. Bahkan, memang dari dulu, dia yang tanggung segalanya makan minum dirinya, anak-anak serta suaminya sendiri.
Segala perbelanjaan rumah ditanggung olehnya termasuklah menanggung hutang yang dibuat untuk pinjaman suaminya. Sebab itu, dia bahagia sekarang bila dilepaskan. Dia mampu untuk fokus pada anak-anak sahaja walaupun masih lagi menampung beban hutang yang masih ada.
Bertemu Bekas Isteri Suami, Lebih Bahagia Hidup Sendiri
Iza menangis dan memohon maaf pada bekas isteri pertama tersebut. Dia ceritakan segalanya yang telah berlaku pada wanita tersebut. Dan dia kini tahu telah melalukan kesilapan. Sekarang nekad untuk mohon fasakh di Mahkamah atas perbuatan tersebut.
Siapa yang baca story ni sampai habis, dan rasakan kisah ini ada kaitan dengan dirinya, kawan-kawannya atau mungkin pada ahli keluarganya? Ini adalah kisah benar yang telah berlaku pada seorang wanita yang hanya dengar pada janji manis dan cerita indah suaminya sahaja.
Pastinya, masa tak boleh diundur. Dan dia nekad untuk pandang terus kehadapan dan minta kisahnya ini dipanjangkan kepada wanita-wanita yang lain agar siasat serta kenal dengan lebih mendalam dengan seseorang lelaki sebelum berkahwin dengannya terutamanya jika pernikahan tersebut adalah pernikahan kedua suaminya.
Semoga menjadi pengajaran berharga buat wanita-wanita lain diluar sana. Siapa yang ada kisah yang sama nak dikongsi? Cer komen sikit.
Beringat sebelum kena, dah kena confirm tak lena.
MW : Memang ada lelaki sebegini, menumpang hidup senang isteri. Sendiri malas kerja dan culas tanggungjawab. Jadi.. siasatlah ‘background’ bakal suami anda ya.
Baca sini : Lelaki cari bakal isteri kerja gomen semata kaut kesenangan goyang kaki
Sumber/Foto : Fahmi Ramli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Lelaki Curang, Masa Seronok Lupa Anak, Bini.’ Bila Hilang Segala, Baru Ingat Keluarga
‘Lelaki curang, masa seronok lupa anak, bini.’ Bila hilang segala, baru ingat keluarga. Tiba-tiba sedih dan ingat segala pengorbanan isteri ketika susah dahulu.
Memang terlambatlah. Kesabaran isteri ada limitnya, jika berkali-kali curang dan bagi peluang tetapi tetap buat perangai, memang boleh jadi tawar hati.
Begitulah kesnya dengan kisah rumah tangga pelawak ini, bukan sekali dia lakukan kesilapan yang sama. Malah berkali-kali hingga buat netizen juga rasa muak dengan sikapnya.
Lelaki Curang
Kongsi Azlan Noor,
Lelaki curang ini, masa sedap dia lupa anak bini. Sudah hilang segala-gala, baru ingat keluarga.
Tadi saya tengok video temubual Hard To Heart Pak Nil dengan Shuk Sahar. Banyak sentuh pasal kisah hidup si Shuk tu.
Katanya sekarang sudah tak duduk serumah. Isterinya keluar dengan anak-anak dan duduk asing. Itu yang sekarang jual rumah di KL (Kuala Lumpur) dan balik Penang.
Masa Seronok Lupa Anak, Bini
Saya tertarik dengan satu poin yang dia sebut apabila Pak Nil tanya, apa ‘happy ending’ yang dia nak dalam drama sinetron dia ni?
“Pastinya nak keluarga saya balik.”
“Saya hilang satu-persatu selepas keluarga saya tak ada. Dan saya capai semua benda itu masa saya berkahwin, ada anak pertama, anak kedua. Saya lupa yang saya tumpang rezeki diorang.”
Pandai pun sebut lagu tu. Baru nak ingat semua itu.
Baca Di Sini:
Bila Dapat Tahu Suami Curang, Jangan Salahkan Diri Sendiri Hadapinya Dengan 5 Perkara Ini!
Isteri Boleh Sabar Bila Suami Kutuk Dirinya Tapi Jangan Tuduh CURANG, Sukar Dimaafkan!
Suami Curang Sebab Pilihan Sendiri, Jangan Aniaya Pasangan, Isteri Boleh Mohon FASAKH
Bila Hilang Segala
Satu lagi dia ada sebut,
“Bila berlaku semua ini, semua perniagaan saya lingkup. Hilang bisnes air. Hilang cafe.”
Ketahuilah, pintu rezeki suami akan terbuka seluasnya jika suami tunaikan hak atas anak dan isteri. Begitulah sebaliknya.
Boleh jadi, Allah tarik semula nikmat-nikmat yang Dia bagi sebelum ni asbab tak bersyukur dengan rezeki, kebahagiaan dan kemewahan kurniaan Allah.
Katanya sampai sekarang, tengah pujuk isteri lagi. Dan masih tak dapat apa-apa jawapan balas dari isteri dia.
Mana taknya bro. Isteri kalau dah tawar hati, macam tu la. Bukan sekali, tapi banyak kali. Buat, menyesal, ulang. Kemudian buat lagi, menyesal lagi. Tahu-tahu kantoi lagi.
Memang patut pun tawar hati. Berkali hati hancur dipermainkan suami. Senyum di muka, ceria di wajah kita boleh nampak, namun sakit, luka, perit di dalam tu, hanya Allah sahaja yang mampu ubati.
Baru Ingat Keluarga
Part last tu, Pak Nil minta dia cuba pujuk lagi isteri tu. Dan saya setuju.
Kalau betul sayangkan keluarga, rindu anak dan isteri, pujuklah balik. Buatlah macam-macam mana pun untuk ambil semula hati isteri tu walaupun sukar.
Sementara ikatan masih ada, sementara anak-anak belum mengerti akan hal sebenar lagi. Dan paling penting sebelum semuanya terlambat.
Cuma,
Andai berjaya, saya harap jangan diulangi lagi silap yang sama. Sebab jika berlaku lagi,
Boleh jadi dia akan hilang….
Hilang anak dan isteri dia selama-lamanya.
Mingguan Wanita : Sebelum berlaku curang, fikirkan dulu kesan dan akibatnya jika anda tak mahu kehilangan orang tersayang. Tak berbaloi hilang keluarga demi keseronokan sementara.
Sumber: Azlan Noor
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI