Tersentuh hati membaca kisah yang dimuat naik oleh Ustazah Asma’ Harun mengenai seorang wanita yang juga insan istimewa yang digelar Bidadari Syurga.
Menerusi perkongsian tersebut yang disalurkan menerusi laman sosial Facebook akaun Ustazah Asma’ berasa cukup terharu dapat bertemu dengan seorang wanita yang juga pengikut setianya yang selesa dipanggil Noor. Malah Ustazah juga menerangkan air mata turutnya turut mengalir ketika mencoret kisah ini.
Ustazah Asma’ Harun pendakwah yang menjadi idola ramai.
Wanita istimewa ini cukup gigih dan setia menunggu saat berjumpa dengan Ustazah. Bayangkan walaupun terpaksa menunggu lama namun dia tidak jemu untuk berjumpa dengan idolanya. Wanita tersebut yang menghadapi ujian penyakit misteri kulit bermula setelah tamat sekolah menengah, dalam umur 18 tahun.
BIDADARI SYURGA
“Allah menghantarkan saya seorang wanita yang sungguh istimewa, seorang yang begitu cantik hatinya.
“Ketika pertama kali berhadapan dengan saya, dia berdiri dan berterusan mengesat air matanya, enggan dekat, menjauh, beberapa kali saya panggil. Dia tetap kaku di hadapan pintu masuk Galeri Ustazah Asma’ Harun.
“Sehinggalah saya yang mendekat, menggosok belakang badannya, nak menarik dia masuk lebih dalam. Saya tatap dirinya, saya katakan padanya bersama deraian air mata.
“Jangan Malu Dik, Kamu Ciptaan Allah Yang Sempurna”
“Jangan malu dik, kamu ciptaan Allah yang sempurna, kamu manis sekali dan sunguh istimewa, kamu begitu indah kerana ia daripada pancaran hati kamu.
“Saya benar-benar maksudkan pujian itu, bukan hanya pemanis mulut untuk menjaga hatinya, tapi benar, Itulah yang saya rasa ketika melihatnya. menulis ini pun saya menangis bila teringat pertemuan semalam.
“Rupanya beliau dah beberapa kali datang ke Galeri namun tak rezeki berjumpa saya. Bila saya lihat update di fb nya, dan beberapa keping gambarnya sedang menunggu saya, sungguh rasa bersalah. Dia datang menaiki grab, seorang diri. Noor panggilannya.
Penyakit Misteri Yang Tiada Jawapan
“Ujian penyakit misteri kulitnya bermula setelah tamat sekolah menengah, dalam umur 18 tahun, ia bukanlah daripada kecil, tiada daripada keturunan atau ahli keluarga terdekat. Misteri yang tiada jawapan oleh pakar-pakar perubatan, selama ini saya pernah lihat di media, tapi sekarang di hadapan mata saya dan dia adalah seorang wanita.
Ads
“Kulitnya dipenuhi dengan biji-biji besar berair, hampir memenuhi setiap ruang wajah, tangan dan badannya , ia semakin bertambah tak berkurang. Jika kita mengalami masalah jerawat atau jeragat dah meresahkan, bagaimanalah dengan beliau.
“Pelbagai ujian demi ujian, saya tak terbayang bagaimana Noor menempuhnya, kesukaran pergaulan, mencari rezeki, penerimaan masyarakat.. dan pelbagai lagi .
“Sekarang Noor bekerja sebagai pembantu rumah, mengemas membersih dll. Dan sangat bersyukur doanya dimaqbulkan Allah swt untuk mendapat majikan yang sangat baik.
Noor Sangat Bersyukur Mendapat Majikan Yang Sangat Baik
Ceritanya, “Ustazah, saya dah berjanji jika dapat majikan yang baik dan boleh terima saya seadanya, saya hanya nak gaji yang rendah. Tapi dengan dua syarat, pertama saya diberi kebenaran untuk solat lima waktu di masjid/Surau terdekat, kedua saya diberi kebenaran untuk hadir majlis ilmu atau kelas al-Quran”.
Ads
“Allahu Allah, hebatnya wanita ini. Sungguh saya malu. Sambungnya lagi sambil senyum yang indah,
“Saya kan ustazah, kalau tak dengar ceramah boleh demam, yang lain tak dapat tak apa, jangan saya tak dengar ceramah, hari-hari mesti dengar, itulah kekuatan saya,” kongsi Noor lagi.
“Saya mendengarnya dengan rasa kagum, lalu beliau menyebutkan beberapa petikan daripada ceramah saya, Noor bercerita dengan gayanya dan sungguh saya bahagia melihatnya.
“Saya melihat banyak buku yang dibelinya, dan jumlahnya bukan sedikit, beliau mohon untuk tandatangan, setiap buku ada namanya, saya tanya ada orang kirim ke?
“Tak ustazah, semua ni saya nak hadiahkan, kebanyakan jiran-jiran majikan saya ni, ada juga kawan, itu sahaja saya mampu untuk bajet bulan ni, yang lain tunggu bulan depan pula, tak cukup duit, setiap bulan dapat gaji beli hadiah,” Noor menjawab sambil ketawa kecil.
Sambungnya, “Ustazah, beri hadiah kan sunnah nabi, itu sahaja yang saya boleh buat untuk gembirakan orang, kita pun gembira, harap mereka boleh terima saya ustazah..”
Ads
Sentiasa Redha Dengan Ujian Yang Berlaku Setiap Masa
Allahu Akbar, sekali lagi jawapannya membuatkan saya menatap wajahnya dengan mata berkaca. Saya tahu gajinya rendah, dan dia masih memperuntukkan sebahagiannya untuk hadiah, dilakukan pada setiap bulan, dan ia bukan satu hadiah yang murah. Buku-buku yang berharga puluhan ringgit.
Terus saya berkata padanya di hadapan ramai yang turut memerhatikan kami.
“Orang pandang saya ini mulia, hakikatnya saya ini hina, mungkin orang pandang Noor tiada apa, tapi hakikatnya sunguh mulia disisiNya, kerana sentiasa redha dengan ujian yang berlaku setiap masa, ujian saya bersilih ganti dengan nikmat, tapi Noor pula ujian itu kekal pada batang tubuh Noor setiap masa.. SubhanAllah..
Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;
إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang marah maka padanya kemurkaan Allah”. (Riwayat al-Tirmidzi)
“Noor terus senyum indah, mohon untuk mendoakannya, berterusan memuji Allah swt yang memberikannya kekuatan, kesabaran dan redha di atas semuanya.
Bidadari Syurga Itu Bukan Pada Kecantikan Zahir..
“Semoga kisah ini bermanfaat untuk kita menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur ke atas ciptaan Allah terhadap diri kita, bagaimana pun rupa paras dan bentuk badan, itulah yang terindah kerana penciptaNya adalah yang Maha Indah.
“Bidadari Syurga itu bukan pada kecantikan zahir, tapi tergantung sepenuhnya pada hati seorang wanita solehah yang redha dengan segala Ujian daripada tuhanNya,” tulis Ustazah Asma’ Harun.
#UAHSahabatDuniaAkhirat”
Sumber / Sumber Foto : Facebook Ustazah Asma’ Harun
Salah satu adab di dalam menyambut kelahiran bayi ialah mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan lahir dan sangat digalakkan dilakukan pada hari ketujuh kelahiran. Ia perlu dikumpul, ditimbang dan dianggarkan dengan nilaian emas serta diniatkan untuk disedekahkan kepada fakir miskin.
Selain tujuan menjaga kebersihan kepala bayi ia merupakan amalan sunnah yang sangatlah elok dilakukan dalam meraikan kelahiran anak yang dinantikan.
Kepada yang baru menimang cahaya mata, jangan lupa mencukur habis rambut baby pada hari ke-7. Cukur sampai botak. Tak kira babygirl or babyboy. Jangan cukur sipi-sipi je.
Disunatkan. Sunnah dan perintah agama. Bila buat, dapat pahala. Banyak hadith tentang kelebihannya.Tujuannya untuk membuang rambut yang pernah diselaputi darah semasa dalam kandungan dan proses kelahiran. Darah kan kotor.
Kalau dah terlepas hari ke-7? Buat je la hari-hari lain. Jangan langsung tak cukur pulak.
Gambar sebelum kena cukur.
Berat Rambut Dinilai Harga Emas/Perak
Rambut yang dicukur ditimbang dengan penimbang emas(nak timbang kat kedai emas pun boleh), seterusnya berat rambut dinilai dengan harga emas atau perak ikut kemampuan kita, dan wangnya kita sedekahkan kepada fakir miskin. Sunnah dan sangat digalakkan.
Contoh rambut babyR ni berat 0.99gram.
Harga emas kita ambil paling mahal la kan sebab kita nak sedekah. Tapi ikut kemampuan. Kalau tak mampu, ikut harga perak.
Ini contoh ye.
0.99g x RM215/g (harga persatuan emas)= RM212.85.
Kalau nak sedekah RM215 pun boleh jugak. Seikhlas hati.
Ketiga-tiga anak memang cukur pada hari ke-7. Tak panggil orang ramai pun. Husband yang cukur especially Rayyan & BabyR. Balik kerja terus cukur. Sebagai isteri, kena ingatkan suami.
1. Ambil 1 bekas berisi air suam
2. Basahkan kepala baby dan gunakan sedikit syampoo rambut baby.
3. Guna pisau cukur gillette je or mana-mana yang ada. Pastikan baru.
4. Setiap kali cukur, celupkan pencukur dalam bekas berisi air tadi. Pastikan semua rambut yang dicukur dimasukkan dalam bekas tersebut.
5. Selesai cukur, letakkan sehelai tisu di dalam penapis air. Tapiskan air & rambut dalam bekas tadi.
6. Biarkan penapis tersebut kering dihembus angin pada suhu bilik sahaja. Jangan la jemur kat luar rumah kang tinggal penapis je . Dah kering, boleh angkat je tisu dan rambut yang tertapis dan lipat rapi masuk bekas or sampul angpaw.
7. Bawa ke kedai emas untuk ditimbang. Atau timbang je sendiri kalau ada penimbang emas.
Gambar selepas kena cukur. Lupa nak ambil gambar lepas cukur masa hari ke 7 tu.
Mingguan Wanita: Sunnah bayi yang baru lahir dicukur rambutnya pada hari ketujuh kelahiran.Begini rupanya cara betul nak kumpul rambut bayi sebelum ditimbang mengikut nilai emas/perak dan disedekahkan kepada fakir miskin.
Kisah kali ini berkisar tentang seorang bapa yang angkuh dengan kemewahan yang diperolehinya selama hidupnya. Menurut anaknya, Zaim, ayahnya merupakan kontraktor berjaya di utara tanah air. Tidak dinafikan sejak kecil Zaim sendiri dilambakkan dengan kesenangan, setiap permintaan anak-anak pasti ditunaikan.
Ayahnya sangat disenangi anak-anak kerana jarang memarahi anak-anak dan pemurah dalam membeli jiwa anak-anak. Keempat-empat anaknya juga berjaya dalam bidang akademik dan kesemuanya lulusan universiti. Satu kekurangan bapa Zaim ialah dirinya tidak mahu menunaikan perintah agama.
Bukan hanya tidak mahu mendirikan solat yang merupakan tiang agama, malahan dia tidak menunaikan kewajipannya untuk berpuasa, apatah lagi membayar zakat. Ketika masih mentah, Zaim tidak nampak kekurangan ayahnya daripada mata kasar.
Setelah makin meningkat usia, Zaim mula belajar agama di sekolah dan ustaz-ustaz, membuatkan dia sedar bahawa betapa jauh bapanya dari agama Islam. Zaim cuba menasihati bapanya secara halus dengan langkah mengajak ayahnya menunaikan umrah.
Tetapi hampa, bapanya sekeras-kerasnya menolak permintaan Zaim dan membuat keputusan untuk membawa keluarganya bercuti ke luar negara sahaja. Ayahnya makin menjadi-jadi apabila kematian ibu. Ayahnya seolah-olah hilang malu apabila bercinta dengan wanita yang terlalu muda.
Hilang Punca
Akibat terlalu cintakan wanita yang hanya mahukan wang dan harta ayah, mereka berdua ditangkap khalwat di sebuah hotel mewah. Sebagai anak, Zaim merasa malu dan mula mencari alternatif lain untuk mengubah bapanya.
Akhirnya Zaim berjumpa imam masjid di kawasan perumahannya dan meminta dia bersemuka dengan ayah. Tetapi malangnya imam itu diherdik dan dihalau bapa Zaim kerana mencampuri urusannya.
Paling menggusarkan hati Zaim apabila ayahnya mempersendakan kehidupan imam yang hidup sederhana biar pun menjaga solat lima waktu serta taat dengan setiap perintah agama. Bagi ayah Zaim, sepatutnya orang yang alim hidupnya senang bukannya susah.
Walhal, dirinya dengan bongkak mengakui bahawa tidak pernah solat sepanjang hidup, apatah lagi menunaikan zakat dan bersedekah, tetapi Allah tetap kurniakan kemewahan dan kesenangan yang tidak berbelah bahagi di dunia.
Balasan Sekelip Mata
Siapa sangka tidak lama selepas bapa Zaim memaki imam, dirinya tiba-tiba diserang strok. Sepanjang dia sakit, dia langsung tidak mahu bertemu anak-anak. Dia lebih rela tinggal bersama isteri mudanya daripada dijaga anak-anak.
Selaku anak sulung, hati Zaim dilanda resah apabila tidak mengetahui tentang perkembangan kesihatan ayahnya. Setelah berbincang bersama adik-adiknya mereka ingin ke rumah isteri muda ayahnya dan akan membawa balik bapa mereka.
Setibanya mereka di sana, amat mengejutkan apabila mereka mencium bau yang amat busuk. Setelah berkali-kali memberi salam tidak menjawab, mereka cuba memecah pintu dan bau yang busuk itu datang daripada dalam rumah.
Lebih menyedihkan apabila mereka melihat jenazah ayah mereka yang mulai membusuk dan berulat berada di dalam bilik tidur utama. Rupa-rupanya ibu muda meninggalkan bapa sendirian dan tidak sedar bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Ternyata kekhilafan bapa Zaim membuatkan pengakhiran hidupnya amat menyedihkan. Bayangkan tidak ramai jemaah yang ingin turut serta ketika solat sunat jenazah ditunaikan akibat tak tertahan bau busuk. Zaim sendiri hampir termuntah, namun ditahan kerana inilah penghormatan terakhir buat ayahnya.
Oleh itu sebagai hamba-Nya, kita harus ingat kekayaan dan kemewahan tidak menjanjikan apa-apa di mata Allah. Sebaliknya amal soleh yang menjadi bekalan kita di akhirat kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh bila sedang diuji, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Mengeluh Dan Keluhan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang dari akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Kecewa Punca Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewaMengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Berdoa Pada Waktu Mustajab
Pada saya mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap.
Doa Yang Sempurna
Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran dan suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Ganti Keluhan Dengan Elemen Positif
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di YouTube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Norazian pilu suami terkorban nahas FRU, kehilangan orang tersayang bukanlah satu fasa yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi suami tercinta.Pagi tadi negara dikejutkan dengan...