wanita

Assalamualaikum, bagaikan sekejap masa berlalu dan kini giliran saya untuk berkongsi cerita di ruangan ini. Ramai wanita kini yang bekerjaya dan merupakan antara penyumbang kepada pendapatan ekonomi keluarga. Malam semalam saya menonton Berita TV, dan berasa tersentuh dengan kejadian dimana seorang ibu yang bekerja terlupa anaknya ditinggalkan di dalam kereta sehingga menyebabkan anak kesayangannya meninggal dunia. Kisah ini memberi ikhtibar buat kaum-kaum ibu yang kini dilihat sangat sibuk.

Seperti mana jadual seharian saya, seawal jam 5 pagi saya sudah bangun untuk menyediakan sarapan dan lauk tengahari serta menyediakan persiapan persekolahan anak-anak sebelum ke tempat kerja. Memang pagi-pagi agak kelam kabut. Bila sampai pejabat, barulah boleh tarik nafas lega sekejap dan menikmati sarapan.

Kemudian teruskan kerja sehinggalah selesai waktu kerja 6 petang atau jika ada tugasan sebelah malam barulah sampai ke rumah. Rata-rata saya melihat rakan-rakan di pejabat pun semuanya hampir sama dengan saya punya tanggungjawab yang serupa. Kiranya ibu-ibu yang bekerjaya pada hari ini sememangnya perlu sihat dan sentiasa aktif agar jadual harian mereka sekeluarga tidak terganggu.

IKLAN

Diuji Sakit Tetiba…

Namun baru-baru ini saya mengalami sakit sendi dan tulang belakang yang memerlukan saya berehat hampir seminggu. Walaupun sakit namun disebabkan komitmen dan tanggungjawab pada kerja dan kerjaya menyebabkan saya perlu tangani segera penyakit yang ada. Selepas berjumpa doktor dan kemudian saya pulang ke kampung untuk berurut barulah penyakit yang saya alami berkurangan.

Sewaktu sedang berurut dengan ibu saudara sebelah suami, saya mengadu dan berkata doktor suruh saya rehat dan jangan terlalu beri tekanan pada tangan kanan kerana tangan kanan saya terlalu banyak bekerja. Dia cuma tertawa dan berkata, saya cukup beruntung kerana bekerja di dalam pejabat berbanding dirinya dulu sewaktu membesarkan anak-anak.

IKLAN

“Macam mana nak berehat kan, kita ni ibu apa pun jadi kena pastikan anak-anak cukup makan dan pergi ke sekolah untuk dapat ilmu. Mak Long ni kalau masa muda macam kamu doktor suruh rehat memang tak berasaplah dapur.

“Pak Long dan Mak Long dulu pukul 4 pagi dah bangun pergi menoreh getah. Balik dari menoreh sambung buat sarapan untuk anak-anak, masa tu anak bongsu baru berumur 3 tahun. Kami ni orang kampung duduk kampung semua kampung yang boleh dapat hasil kami buat. Lepas anak ke sekolah, kami pergi ke sawah pula, bawa anak bongsu mak long sekali. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya nak dapat wang ketika itu.

“Masa menoreh mak long pernah berlari lintang pukang dari atas bukit ke kawasan rumah kami kerana sangka mak long harimau sedang mengejar mak long. Sebabnya sebelum itu mak long ada mendengar seperti ngauman harimau yang begitu dekat dengan mak long. Kemudian mak long juga pernah nampak ular sawa yang besar dan panjang, hingga mak long kegigilan. Apa saja yang tak dilalui, bila berada dalam hutan,” ujar Mak Long sambil tersenyum.

Dari situ saya mendapat pengajaran, sebagai seorang wanita sememangnya kita perlu bersemangat dalam meneruskan hidup, bukan untuk diri sendiri namun untuk mereka yang tersayang. Jadi khususnya buat kaum ibu yang bekerja di luar sana anda jika anda fikir kerja anda sangat sukar sebenarnya ramai lagi yang melalui pelbagai kesukaran demi membesarkan anak-anak tersayang.

IKLAN

Malah baru-baru ini saya menemubual seorang usahawan terkenal yang bernama Bonda Zie seorang wanita yang bebas dari kanser selepas hampir dua tahun bertarung nyawa sebagai pengidap kanser. Bonda Zie berasa sangat bertuah bagaikan diberi nyawa kedua dari Allah, apabila pada awal mengetahui menghidap kanser doktor memberi tahu dia cuma boleh hidup dalam tempoh seminggu.

“Bayangkan bila saya mengetahui akan hal demikian. Namun saya beruntung kerana suami dan anak-anak memberi sokongan yang cukup padu pada saya. Saya bangkit kerana kata-kata semangat dari mereka. Malah saya juga merupakan tunggak kepada ekonomi keluarga jadi saya kena sihat,” ujar Bonda Zie yang mengakui bukanlah satu perkara mudah untuk melawan kanser yang dihidapi dan bertarung nyawa hampir dua tahun dengan perawatan kanser yang dilalui. Begitu kuatnya, wanita-wanita yang bergelar ibu. Mereka juga merupakan idola dalam hidup saya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI