Bukan semua wanita yang bergelar isteri, merasai sendiri manisnya alam perkahwinan. Beruntunglah kalau seorang isteri dikurniakan suami yang budiman, mengerti tiap satu tanggungjawab dan menyempurnakan peranannya selaku ketua keluarga. Bagaimana pula dengan wanita yang menikahi lelaki atas kerelaannya, tetapi terperangkap dari rumah tangga toksik.
Hampir 11 tahun menjalani kehidupan diselubungi ketakutan, wanita ini mengakui tidak pernah sehari pun dia mengharapkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, berkubur. Baginya demi anak-anak, dia tegar bertahan asalkan anak-anak masih punya bapa dan dia masih bersuami. Setelah bertahun-tahun menjadi saksi kelukaan hati seorang ibu, siapa sangka anak yang masih di bangku sekolah rendah itu mampu memberi semangat baru buat si ibu yang hilang sudah keyakinan diri.
“Ibu, berpisahlah…kakak tak sanggup tengok ibu menangis dan sakit lagi,”. Kata-kata dari anak perempuan sulung saya, seperti satu kejutan elektrik yang membuatkan saya tersedar dan mendapat semangat baru. Sebelum itu, 11 tahun saya bertahan kerana tak nak anak-anak membesar tanpa bapa dan saya kehilangan suami,”cerita Siti Aishah Zamri yang kini berbahagia disisi dua cahayamatanya; Puteri Nur Shaikha dan Putera Muhammad Khairul Haibillah.
Tiada lagi ketakutan
Menurut wanita berusia 33 tahun itu lagi, definisi bahagia itu subjektif. Ada mengukur darjah kebahagiaan itu dari sudut perkahwinan yang sempurna, anak-anak yang cemerlang sahsiah dan akademiknya serta pasangan yang menyenangkan. Bagi Aishah lagi, bahagia buat dirinya adalah bebas dari dibelenggu ketakutan terutamanya apabila tiba masanya dia perlu pulang ke rumah.
“Kebahagiaan itu subjektif. Ada orang rasa bahagia bila ada perkahwinan yang sempurna. Ada orang merasai nikmat bahagia apabila dia berjaya dalam perkara yang dilakukan. Bagi saya secara peribadi, bahagia itu membawa pengertian saya merdeka dari hidup yang penuh ketakutan. Saya tak perlu takut lagi untuk balik ke rumah saya sendiri. Saya tak perlu takut pada sesiapa dan saya berhak untuk membelanjakan wang gaji saya tanpa sekatan lagi. Saya bahagia dapat membuat keputusan sendiri, tanpa bimbang ada orang yang membantah atau menghalang dengan kekerasan.
“Saya bahagia dapat menikmati kehidupan ini bersama anak-anak. Saya berhak untuk rasa bahagia tanpa perlu takut lagi. Selagi hayat masih ada, saya berazam untuk membahagiakan anak-anak dan juga keluarga yang banyak menjadi saksi ketika hidup saya diselubungi kesedihan dan ketakutan satu masa lalu. Bahagia bagi saya bersifat memerdekakan diri dari sebuah perkahwinan yang menyulitkan dan hidup dengan penuh keyakinan,”kongsinya optimis.
Belajar dari khilaf diri
Mengakui sifatnya yang prihatin dan tanpa sedar sikapnya itu menjadi titik mula dia teraniaya, membuatkan dirinya lebih berhati-hati kini. Mendirikan rumah tangga seawal usianya 21 tahun, menjadikan dia naif dalam perihal peranan dan tanggungjawab seorang suami terhadap isteri. Hasratnya meringankan tanggungan suami, menjadikan dia lupa itu bukanlah alasan dia perlu menggalas ke semua tanggungjawab itu sendirian.
“Kesilapan saya apabila terlalu berlembut, terlalu mengalah dan bertolak ansur dalam bab kewangan terutamanya. Tanpa saya sedari, saya dipergunakan sehingga saya perlu menanggung ke semua hal berkaitan kewangan keluarga di bahu ini. Akibat terlalu ‘pemurah’ saya sentiasa beralah dalam bab kewangan dan sanggup mengeluarkan wang simpanan peribadi untuk menampung kewangan harian. Sebagai isteri kita perlu sentiasa ingat berpada-padalah prihatin. Jangan sampai jadi mangsa dan dipergunakan.
“Satu lagi jangan membuta tuli mempercayai suami tanpa kita sekelumit pun rasa syak wasangka terhadapnya. Saya tahu syurga seorang isteri itu dibawah tapak kaki seorang suami, tetapi berwaspadalah dalam apa jua keadaan. Sebaiknya kita perlu bertolak ansur dalam sesetengah perkara sahaja. Jangan biarkan diri dipergunakan, kerana kita yang membuka ruang untuk mereka culas melaksanakan peranan mereka. Jangan mudah beralah, tegas pada tempatnya…barulah aman sesebuah rumahtangga itu,”kongsi Aishah.
Islam juga menyarankan agar suami berbuat baik terhadap isteri. Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W yang membawa maksud; “Bertakwalah kalian dalam (memperlakukan) terhadap wanita,” (Riwayat Muslim). Selain itu pendapatan isteri itu boleh dikategorikan sebagai hak mutlak isteri. Suami tidak mempunyai hak walau sedikit pun ke atas harta tersebut. Jangan kerana isteri bertimbang rasa untuk membantu, bererti suami mempunyai kuasa mutlak ke atas wang isteri dan mengarahkan ia mengikut kehendaknya semata.
Kebangkitan semula Aishah
11 tahun hidupnya dibelenggu ketakutan dan dibibirnya tak pernah sekalipun dia gagal mendoakan agar rumahtangganya aman sentosa. Dia juga sentiasa bermunajat dan merintih dalam doanya agar hati sang mantan suami dijentik keinsafan. Dengan harapan penantiannya membuahkan hasil yang manis dan suaminya berubah.
“Selaku isteri yang teraniaya, saya menyarankan isteri yang sedang menderita dengan perkahwinannya…jangan berdiam diri. Kesilapan saya terlalu mengharapkan bekas suami berubah. 11 tahun saya mengharapkan adanya keajaiaban yang berlaku dan suami sedar. Saya tadah semua kesakitan dan anak-anak menjadi saksi. Sekiranya anda menjadi mangsa penderaan suami, rekodkan semua bukti kecederaan dan penganiayaan. Buat laporan polis dan rujuk pihak hospital. Kumpulkan kesemuanya di dalam satu fail khas bagi memudahkan anda memfailkan kes itu ke mahkamah.
“Satu lagi ramai yang berkata, saya masih muda…baru berusia 33 tahun tetapi sudah bergelar janda. Nasihat saya , jangan pernah takut untuk move on. Sebab kita tak tahu apa yang Allah janjikan sebaik kita melangkah daripada perkahwinan yang melukakan ini. Jangan terlalu bergantung harap pada suami, sebagai isteri anda wajib mempunyai sumber pendapatan sendiri.
“Jika berlaku sebarang kemungkinan, kita masih mampu menyara diri dan anak-anak. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji palsu suami terutamanya. Suami yang baik tidak akan menganiaya isteri. Kelilingi diri dengan insan-insan yang positif. Insan-insan yang merasionalkan anda dalam membuat keputusan yang bernas terutamanya keluarga.
“Jangan memperhambakan diri dan memendam semua kesakitan sendirian dan mengharapkan sang suami akhirnya berubah. Semua orang berhak untuk bahagia. Jangan pernah sesal dengan apa yang pernah anda lalui kerana anda berhak untuk merasai kebahagiaan sendiri. Life is too short to be unhappy. Ingat anak-anak yang bergantung harap pada kita dan keluarga yang sentiasa ada di saat-saat kita melalui saat sukar. Berjuanglah demi mereka.
Sebelum mengakhiri temubual ini, Mingguan Wanita ada bertanya kepada wanita cekal ini…adakah pintu hatinya kembali terbuka untuk sekali lagi lagi bergelar seorang isteri. Berikut adalah komentar Aishah.
“Saya berkahwin di usia 21 tahun dan bergelar ibu ketika usia 22 tahun. Di kala kawan-kawan seusia masing-masing mengejar impian dan cita-cita. Keutamaan saya kini bukanlah berkahwin lagi. Sebaliknya hidup saya kini demi anak-anak.
“Sebagai ibu saya gembira apabila melihat anak-anak hidup tanpa ketakutan lagi, saya juga mahu anak-anak tahu keganasan itu bukanlah normal. Saya reward anak-anak dengan kasih sayang dan beri mereka ruang untuk teroka apa yang mereka suka. Sekarang saya punya lebih masa untuk fikirkan tentang diri sendiri dan punya waktu uruskan anak dan keluarga. Saya trauma untuk berkahwin lagi. Mungkin saya akan fikirkan sedalam-dalamnya hal ini, kerana kegagalan lalu cukup mengajar saya lebih berhati-hati,”cerita wanita ini yang sudi berkongsi kisah hidupnya buat inspirasi wanita di luar sana untuk bangkit dari terus menjadi mangsa penganiayaan rumahtangga.