Murukku sangat popular bagi masyarakat India. Salah satu kemestian ‘snek raya’ bila tibanya perayaan Deepavali. Rasanya yang lemak, rangup dan berempah membuatkan ramai yang suka makan murukku ni, malah memang ralit lah kunyah sambil tengok tv.
Berbanding beli, sebenarnya lebih puas hati bila dapat buat murukku sendiri. Lebih jimat, yakin kebersihan dan status halalnya.
Nak buat murukku yang sedap dan rangup ada resipi dan caranya tersendiri.Boleh cuba resipi yang dikongsikan oleh Puan Azie Mazidah ini, yang telah mengolah dan mencuba berkali-kali untuk mendapatkan hasil murukkuyang sedap dan rangup.
Berikut perkongsian tersebut;
“Siapa suka murukku? setelah berkali-kali RnD saya lakukan, akhirnya saya dapat murukku yang Krapp.. Krupp..”
“Asalnya sekadar suka-suka untuk kawan-kawan dan saudara mara. Saya mengajar, tak dapat nak penuhi permintaan yang semakin meningkat apalagi untuk pengeposan..jadi saya nak sedekah resepi moga bermanfaat”.
Ads
Bahan-Bahan:
Sebungkus tepung murukku babas
Sebungkus tepung pulut cap 3 kambing (nak dapatkan maruku lebih ranggup)
Guna sukatan sudu sup tu bahan dibawah:
Ads
1 sudu serbuk kari daging babas
1 sudu serbuk cili
1 sudu jemuju
2 sudu majerin/ 1 sudu minyak sapi
1 sudu udang kering yang dah diblend kering (kisar halus) Nanti tersekat dekat acuan
Garam halus
1 kotak kecil santan (200ml) diblend dengan 6 ulas bawang putih + 1 kotak air suam.(guna sekotak je, ni dapat untuk 2 adunan)
Daun kari secukupnya
Cara Membuat:
1.Gaulkan semua bahan kering, masukkan majerin/minyak sapi, ramas-ramas hingga sebati.
2.Masukkan 1 kotak sahaja santan tadi, bersama 3 kotak air masak. Gaul dulu jika masih keras masukkan sedikit lagi air.Biasanya saya guna 3 1/3 kotak air. Pada yang tak pro lagi, masuk sikit-sikit dulu ek.
3.Uli sampai tak melekat ditangan dan mudah dipress pada acuan. Saya guna acuan plastik sahaja.
4.Press buat lingkaran pada kertas minyak coklat pembungkus nasi lemak tu.. Baru goreng dengan api sederhana dan balik-balikkan maruku.
5.Kalau api perlahan atau kuat sangat nanti tak ranggup. Pandai-pandai ek.. Masukkan daun kari ke dalam minyak untuk lebih aroma.
Biasanya Yong Taufu dijual di pasar-pasar malam. Jika beli boleh tahan juga harganya, berpuluh ringgit boleh ‘terbang’. Sebenarnya lebih jimat, puas hati makan dan terjamin bersih jika mak-mak buat sendiri Yong taufu di rumah. Boleh pilih nak kuah sup atau sos hitam.
Boleh ikut resipi kuah sup dan sos hitam daripada Puan Nor Husma Husin ini sebagai panduan.
“Ada penggemar yong taufu? Setiap kali teringin nak makan, saya akan masak sendiri. Ahli keluarga saya ramai, kalau beli di luar tak puas makan, kos pun tinggi.”
“Saya nak kongsikan resepi sos (sos hitam) dan kuah sup (hidangan yong taufu dengan kuah sup terkenal di sebelah Johor). Saya mention begini sebab ramai kenalan saya dari negeri lain agak pelik bila tahu yong taufu dimakan dengan sup.”
“Saya kongsikan bahan penyediaan yang sangat jimat dan berpatutan. Anggaran harga bahan memasak hanya RM50 saja (termasuk bahan isian yong taufu ya).”
BAHAN A – SOS HITAM
6 sudu makan taucu
4 sudu makan tepung jagung.
1 cawan kicap cair (kicap lemak manis)
8 sudu sos tiram
8 sudu gula pasir
6 cawan air (3 cawan untuk dikisar sekali, 3 cawan masukkan ke periuk untuk dikacau bersama selepas bahan-bahan tadi dikisar)
2 ketul kiub ikan bilis
Garam secukup rasa
**Jika nak rasa pedas, tambahkan 3-4 sudu cili kering kisar ya. Cara Membuat:
1.Kisar semua bahan di atas. Kemudian masak kesemua bahan kisar tadi sehingga sebati.
2.Kuah perlulah sentiasa dikacau bagi mengelakkan kuah menjadi berketul-ketul.
3.Jika terlalu pekat, tambahkan sedikit air panas hingga menampakkan ‘texture’ kuah menjadi sempurna.
Kalau sos hitam ni tak habis makan, boleh disejuk bekukan ya.
BAHAN B – KUAH SUP
3 ulas bawang putih – dititik
3 hiris halia
2 ketul kiub pati ikan bilis
Garam secukupnya
Sedikit gula (terpulang pada citarasa masing-masing)
Daun bawang
Bawang goreng
Air masak (anggaran 1 jug setengah)
Cara Membuat:
1.Tumis bawang putih dan halia dengan sedikit minyak panas.
2.Kemudian masukkan air masak diikuti kiub pati ikan bilis.
3.Tambahan sedikit garam hingga cukup rasa. Masak hingga mendidih.
Kuah sup ini juga sesuai dijadikan air rebusan bahan isian yong taufu.
MW:Jadi buat mak-mak yang suka makan Yong Taufu, boleh buat sendiri kuah nya di rumah. Lebih menjimatkan dan puas hati makan dengan anak-anak berbanding beli di luar.
Bagi orang Johor terutamanya keturunan Jawa, Nasi Ambeng merupakan antara makanan tradisi yang biasanya dihidangkan waktu kenduri kendara. Ia merupakan nasi berlauk yang dihidangkan dan dimakan beramai-ramai dalam dulang besar dilapikkan dengan daun pisang. Biasanya diletakkan nasi putih, ayam masak kicap, serunding kelapa, sambal goreng jawa dan ikan kering bulu ayam. Uniknya ia dimakan bersama-sama mee goreng.Kombinasi semuanya memang sedap.
Tapi memang payah nak jumpa orang jual Nasi Ambeng selain di negeri selatan tanah air ni. Mak-mak nak nak cuba rasa sedapnya makan nasi ambeng n, boleh cuba masak sendiri di rumah.
Boleh rujuk perkongsian resipi Nasi Ambeng ini.
“Siapa sini anak Johor dan orang Jawa? mesti biasa makan Nasi Ambeng.Biasa tunggu kenduri baru dapat merasa nasi ni,tapi semalam teragak sangat. Maklum la tinggal di Perlis memang payah jumpa hidangan tradisi ni.”
Saya sertakan di sini resipi paling simple saya buat. Cepat sikit siapnya sebab dah lapar.
AYAM KICAP:-
Ayam gaul garam kunyit,goreng separuh masak, ketepikan.
Bawang merah,putih,halia lengkuas tumbuk lumat.
Tumis kayu manis,bunga lawang,cengkih dengan serai diketuk dan bahan-bahan tumbuk.
Tumis sampai naik bau. Masukkan sos cili, sos tiram dan sedikit air.
Masuk ayam dan asam keping sekeping.
Terus letak kicap, letak air sikit terus tutup dengan tudung periuk bagi ayam betul-betul masak dan mesra dengan kuah.
Perasakan dengan gula garam.
SERUNDING KELAPA:-
Kelapa parut
Bawang merah,putih,serai,cili kering,ketumbar,2 beradik jintan,blender hancur.
Terus masuk kan dalam kelapa parut.
Masukkan gula 4 sudu, garam 1 sudu, gaul rata baru letak atas dapur.
Goreng sampai kering, masukkan daun limau purut masa masak tu untuk bau wangi.
MEE GORENG SIMPLE:-
Mee kuning-basuh dan tos
Bawang merah, putih, cili kering 6 batang blender hancur.
Tumis sampai pecah minyak, masukkan kicap sesudu.
Dah naik bau masuk mee.
Masukkan taugeh/daun kucai dan perasa. kn gula grm.
SAMBAL GORENG JAWA/SAYUR GORENG:-
Kacang panjang,carrot,cili merah,bawang merah bawang putih (dihiris halus)
Suhun,tauhu kering rendam sampai lembut (toskan)
Tauhu,tempe-potong dadu, goreng dan letak tepi.
Tumis bawang merah putih masukkan kacang panjang dan carrot.
Letak air sikit bagi empuk.
Masuk kan semua sayur lain goreng sampai masak. Perasakan dengan garam.
Bersua wajah dengan personaliti yang memenuhi ruangan Gaya Hidup VIP, Datin Fadzilah Mat Idin, 59, atau lebih selesa dengan panggilan Tok Mak, terserlah sifat keibuan.
Suaminya yang juga Pegawai Khas kepada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatudin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah, Dato’ Hj Jamaluddin Hj Ahmad, 68, juga tidak keberatan merestui pertemuan bagi sesi temubual ini.
Wanita yang bergelar suri rumah, aktif berniaga secara online dan guru personal kelas masakan ini sebenarnya sangat dikenali di laman sosial Facebook. Sebut saja menu popular air tangannya, Puding Raja Tok Mak pasti membuatkan ramai yang terliur dengan keenakan pencuci mulut istimewa ini.
FOTO: NURUL NIZA
Puding Raja Tok Mak Istimewa
Malah Puding Raja Tok Mak juga pernah menjadi hidangan buat santapan YDA dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Memandangkan suami bekerja di Istana Pahang lebih 40 tahun jadi Tok Mak pun sudah tinggal di kawasan Pekan selama itu. Walaupun Tok Mak ni orang Pahang (asal Kuala Lipis) sewaktu baru-baru berkahwin dengan suami, di kampung Tok Mak tak ada Puding Raja.
“Puding raja ini sangat istimewa kerana merupakan salah satu sajian istimewa yang terdapat di Pekan. Pada awalnya Tok Mak tak pernah terfikir dari telur kuning boleh menjadi jala emas. Jika singgah di Pekan, wajib merasai makanan ini kerana tidak terdapat di tempat lain. Kiranya dulu pencuci mulut ini hanya dihidangkan di istana saja dan kini ramai yang sudah komersialkan. Namun Tok Mak bersyukur kerana mendapat resipi istimewa Puding Raja ini daripada Dato Hanizah Dato Sri Ghazali yang juga Pengurus Icah Catering. Beliau merupakan guru yang mengajar Tok Mak buat Puding Raja. Tok Mak sangat berterima kasih kepada beliau. Malah beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab menyediakan santapan di raja Pahang dalam majlis-majlis rasmi dan personal,” ungkap Tok Mak.
Paling menggembirakan hati Tok Mak, Raja Permaisuri Agong juga pernah mencemar duli berkunjung ke kediamannya.
“Suami Tok Mak sudah bekerja dengan istana Pahang lebih 40 tahun jadi hubungan kami agak rapat dengan keluarga diraja. Raja Permaisuri Agong juga pernah mencemar duli ke rumah kami. Sambil menikmati hidangan Puding Raja yang Tok Mak masak, Raja Permaisuri Agong juga memberikan tips. Tok Mak juga sangat kagumi Raja Permaisuri Agong dan menjadikan bukunya, Air Tangan Tengku Puan Pahang-Masakan Tradisional Pahang sebagai panduan dalam masakan,” terang Tok Mak yang beruntung kerana sering mendapat tips masakan dari tukang masak istana.
Anak kedua Tok Mak mewarisi legasi ibunya,
8 Tahun Kongsi Resipi Di Facebook
Dek kerana ilmu masakan yang ada, sejak lapan tahun lalu, Tok Mak sudah berkongsi resipi masakan di FB miliknya. Pada awal hobi melayari laman sosial hanya sekadar mengisi masa lapang dan berhubungan lebih rapat dengan anak ketiganya yang melanjutkan pelajaran di Australia namun Tok Mak tidak menyangka penulisannya menjadi ikutan ramai rakan Facebook.
“Tok Mak tak sangka ramai yang menghargai perkongsian resipi masakan Tok Mak di Facebook. Bila Tok Mak ada masa lapang, akan kongsi resipi, gaya hidup Tok Mak yang ala kampung dan berkongsi cara mendeko meja makan. Paling tak disangkakan rakan yang ramai memberi maklum balas terdiri dari golongan ibu muda. Malah Tok Mak juga melayan rakan-rakan di Facebook seperti keluarga sendiri. Dimana Tok Mak menyantuni mereka dan beramah mesra dengan semua orang,” ungkap Tok Mak yang turut menurunkan ilmu masakan kepada anak keduanya Nurhafiza. Selain Puding Raja Tok Mak juga menghasilkan sendiri Rempah Soto dan produk tersebut ternyata mendapat sambutan.
Suami tercinta.
Anggap Anak-Anak Sebagai Sahabat
Selepas mendirikan rumahtangga, Tok Mak bergelar suri rumah sepenuh masa. Jadual kerja suaminya amat padat, disebabkan oleh itu Tok Mak memberi segala perhatian dan mementingkan pendidikan anak-anak.
“Tok Mak lakukan yang terbaik untuk memberi didikan kepada anak-anak. Tok Mak melahirkan anak ketiga pada usia 25 tahun. Sebagai seorang ibu dalam baik ada garangnya. Tok Mak berusaha lebih iaitu 200 peratus untuk ketiga-tiga anak bijak dalam pelajaran. Tok Mak juga rajin hantar tuisyen, bila anak-anak masuk asrama Tok Mak tak pernah lalai menjenguk mereka.
“Tok Mak juga berkenalan dengan semua tenaga pengajar anak-anak. Tak pernah putus memberikan anak-anak didikan yang terbaik. Malah Tok Mak anggap anak-anak sebagai sahabat. Syukur alhamdulillah ketiga-tiga anak berjaya, yang sulung Nurlina bertugas di luar negara, yang kedua Nurhafiza sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengurus di sebuah bank di Kuala Lumpur manakala anak yang ketiga Ahmad Jaffri kini merupakan Atlet Paralimpik Negara bagi Sukan Memanah. Anak lelaki Tok Mak sebelum ini normal, namun selepas mengalami kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu dia lumpuh dan pernah melanjutkan pelajaran di Australia dalam jurusan Sains Sukan.
“Pada Tok Mak dalam mendidik anak-anak biarlah secara sederhana, walau banyak duit tapi kita makan apa saja yang ada. Selain itu Tok Mak juga tak nak anak-anak besar diri. Tok Mak juga kenal dengan semua rakan-akan anak namun Tok Mak tetap menghormati privasi anak-anak. Tok Mak juga anggap anak sebagai sahabat kalau marah biar mereka dengan secara santai,” sambung Tok Mak yang turut berbangga bergelar seorang ibu.
Jangan Cepat Sombong
Tatkala menyentuh tentang pesanan arwah ibunya yang paling diingati, suara Tok Mak bergetar dan dia kelihatan begitu sebak tatkala melontarkan kata-kata.
“Paling saya tak boleh lupa, arwah ibu suruh sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Jangan cepat berasa sombong, tak rugi jika kita mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua orang. Tok Mak juga pupukkan perkara yang sama pada jiwa anak-anak. Tok Mak sendiri akui ramai kenalan di Facebook yang Tok Mak tak pernah jumpa. Dalam ramai kawan-kawan ada yang bukan calang-calang orang. Pada Tok Mak siapa pun kawan kita itu berbuat baiklah dengan mereka.
“Memandangkan Tok Mak berkahwin dengan lelaki yang lebih tua sembilan tahun dari Tok Mak. Ternyata banyak yang Tok Mak belajar dari Dato’ dan lebih mematangkan fikiran kita. Dato’ orangnya tidak suka makan di luar, jadi selepas berkahwin Tok Mak belajar memasak dan Dato’ juga banyak memberi pandangan dan idea untuk Tok Mak perluaskan ilmu memasak. Suami juga seorang yang sangat cool dan tidak banyak karenah. Antara menu yang menjadi kesukaan Dato’, Ikan Masak Taucu, Stew Ayam, Puding Raja dan Sago Gula Melaka,” luah Tok Mak.
Agak jarang bercuti ke luar negara namun Tok Mak dan suami akan pastikan akan curi masa untuk menghabiskan cuti bersama-sama.
“Memandangkan Dato’ sangat sibuk, jadi kami memang jarang bercuti apatah lagi ke luar negara. Sekali sekala kami akan ke Hong Kong menjenguk anak sulung kami yang bekerja di sana. Jarang sekali melancong, tetapi Tok Mak tak boleh lupakan pengalaman mengerjakan umrah bersama keluarga. Momen itu sangat berharga dalam hidup Tok Mak,” akhiri Tok Mak.
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.' Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.