Foto: Koleksi Peribadi Tya Ariffin & Instagram Tya Ariffin

Memiliki wisma sendiri yang tersergam megah di Puchong menerusi perniagaan jenama Mutyara diusahakan bersama suami akhirnya membongkar sebuah kisah yang tidak pernah dikongsi aktres Tya Arifin selama ini.

Aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini sebenarnya pernah mempersoalkan apakah hidupnya hanya sekadar bergelar isteri dan ibu semata mata sebelum ini.

Ironinya, perkenalan selama setahun setengah ketika bibit cinta bersulam antaranya dan suami, Asyraf Khalid mengubah drastik kehidupan dan kerjaya seninya yang sudah mekar di tanah kelahiran sendiri.

Berjauhan Dengan Keluarga

Jodoh panjang antara Tya dan Asyraf akhirnya menyatukan mereka pada November 2015. Pasangan ini juga dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, setahun lebih sekaligus menjadi pelengkap kebahagiaan.

“Berkahwin dengan Asyraf juga memerlukan saya banyak berkorban. Saya tinggalkan kerjaya seni di Indonesia yang sedang berkembang dan berjauhan dengan keluarga.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Jadi sebelum ini pun saya mencari rezeki untuk membantu keluarga. Datang ke Malaysia juga saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan di sini. Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya juga ketika itu bergelut antara cintakan keluarga serta kerjaya seni dan masa depan bersama suami.

IKLAN

“Jujur pada awal fasa perkahwinan, saya pernah bertanya kepada suami, hidup saya saat itu untuk apa? Saya pernah seperti rasa hilang punca. Takkan saya hanya mahu menjadi isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah. Sedangkan saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak betah duduk diam.

“Bagaimanapun perasaan itu bukan bermaksud menyesali setiap keputusan yang dibuat. Cuma saya sentiasa percaya hidup ini perlu diteroka dan bukan hanya duduk berpeluk tubuh. Pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Bergelar Ibu Ubah Hidup Tya

Ternyata pengorbanan dan keputusan Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri membuka 1001 hikmah tersendiri saat melahirkan anak lelaki sulungnya.

IKLAN

“Kehadiran Arif boleh saya anggap satu hadiah dan isyarat yang cukup berharga. Posisi ibu mulai mengubah dimensi hidup saya. Menceburi dunia perniagaan Mutyara pada April 2018 juga mula membuka skop hidup saya jadi lebih luas.

“Ilham cetusan perniagaan jus kesihatan yang diwarisi dari keluarganya secara turun temurun membuka satu langkah bermakna.

“Saya kian nampak ada hala tuju dalam hidup. Menjadi isteri dan ibu kepada dua anak juga tidak membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. Saya jadi lebih optimis dan bersemangat dalam hidup ini apabila perniagaan yang diusahakan juga dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya.

Bagi Tya menyelak kembali perjalanan hampir tiga tahun menjalankan perniagaan bersama suami hingga memiliki wisma sendiri bukan satu kejayaan mudah.

Jika ikutkan semangat membara dalam diri, sejak awal fasa berniaga lagi sudah bercita cita ada wisma sendiri.
Namun, seperti pepatah dari Indonesia berbunyi, tiada hasil yang mengkhianati usaha, Tya boleh tersenyum bangga kerana apa yang diraih kini sudah membahagiakan diri.

IKLAN

Rezeki Melimpah

Bertemunya pada majlis pelancaran wisma Mutyara pada 5 September, Tya menarik nafas lega dan memanjat kesyukuran atas rezeki diperoleh.

 

“Kalau ikut semangat membara dalam jiwa, sejak awal lagi saya sudah mahu memiliki wisma sendiri. Begitu juga dengan suami. Namun semua itu bukan mudah. Tak salah bercita cita tinggi, namun ada kalanya kita kena berpijak pada bumi nyata.

“Saya sendiri bergelut memulakan perniagaan bersama suami. Maklumlah buat sendiri itu ini. Ada kalanya percaturan kita menjadi dan begitulah sebaliknya. Alhamdulillah apa dilakukan itu penuh berkat. Saya buat apa saja, Allah permudahkannya sampai jadi. Jadi dalam tempoh dua tahun lebih untuk memiliki wisma sendiri saya masih anggap satu kejayaan dan pencapaian peribadi,” katanya

Foto: Koleksi Peribadi Tya Ariffin & Instagram Tya Ariffin
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/