Semalam tular berita tentang kisah seorang wanita dalam pantang diceraikan disebabkan buku temujanji klinik koyak. Rupanya bukan perkara itu yang menjadi punca menjadi penceraian apabila bekas suaminya tampil membuat penjelasan.
Sebenarnya pasangan ini bercerai bukan sebab buku klinik koyak, ini yang bekas suami ini hadap selama berkongsi hidup bersama.
“Bercerai Bukan Sebab Buku Klinik Koyak.”
Seorang lelaki menafikan yang dia menceraikan isteri yang masih dalam pantang hanya kerana tidak berpuas hati buku klinik koyak.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang ibu beranak tiga di Flat Taman Semarak di sini diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut berdepan tekanan, malah buntu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya yang berumur empat, dua tahun dan bayi berusia 17 hari.
Ini Yang Bekas Suami Hadap
Bekas suaminya, yang berusia 30-an itu berkata, tindakannya menceraikan isteri kerana tidak tahan dengan sikap bekas isteri yang mudah naik tangan setiap kali mereka berselisih faham.
Menurut beliau, masyarakat hanya mendengar cerita daripada sebelah pihak sahaja dan ia seolah-olah memberi gambaran yang dirinya suami tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya pergaduhan saya dengan bekas isteri berlaku selepas isteri marah apabila buku temu janji klinik anak kami koyak. Tapi waktu itu dia mengugut mahu mencederakan saya.
“Bagi saya itu agak melampau. Selama ini saya bersabar dengan sikapnya yang akan memukul dan mencederakan saya apabila kami bergaduh. Kali ini, saya tak tahan lagi, sebab itulah saya buat keputusan ceraikan dia,” katanya.
Ujarnya, dia terkesan apabila video berkenaan tindakan bekas isterinya yang mahu membunuh diri tular di media sosial, sehubungan itu dia memberi kenyataan kepada media kerana mahu membersihkan namanya.
Katanya, hanya dia dan bekas isteri sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Awal perkahwinan kami bahagia. Tapi semuanya sementara apabila lama-kelamaan kami sering bergaduh.
“Kami pernah bercerai pada tahun 2019 tapi rujuk semula atas permintaan isteri. Sepanjang menjadi suaminya, saya tak pernah abaikan tanggungjawab,” katanya yang turut membuat laporan polis.
Tetap Sayangkan Anak
Bagaimanapun dia tetap sayangkan anak-anaknya dan berharap masyarakat berhenti daripada terus menghukumnya.
Baru-baru ini tular video di aplikasi TikTok berkenaan seorang wanita yang cuba membunuh diri selepas diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Mingguan Wanita : Sesungguhnya apa yang berlaku harusnya menjadi pengajaran buat kita semua. Kadang-kadang tidak semestinya apa yang isteri lakukan betul, bertolak-ansur dan berubahlah demi suami dan keluarga.
Setiap individu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Siapa sangka keunikan mempunyai bukaan mulut yang paling besar di dunia, diiktiraf oleh Guinness World Records sekaligus membantunya menjana pendapatan, modal untuk buat duit.
Samantha Ramsdell yang popular di TikTok berikutan bukaan mulut yang sangat luas, kini secara rasminya dinobat wanita mulut paling besar di dunia oleh Guinness World Records.
Dia sebelum ini mengagumkan 1.7 juta pengikut menerusi perkongsian video memuatkan sejumlah besar makanan ke dalam mulut, termasuk keseluruhan kentang goreng McDonald’s.
Berasal dari Connecticut, wanita berusia 31 tahun itu menerima pengiktirafan berkenaan pada 28 Julai lalu selepas ujian ukuran yang dibuat di sebuah klinik di South Norwalk, Connecticut mengesahkan bukaan mulutnya seluas 6.52 sentimeter.
“Berusia 31 tahun dan memperoleh rekod ini untuk sesuatu yang selama ini buat saya rasa tidak yakin dan pernah mahu menjadikan ia kecil, adalah sangat hebat.
“Ia kini menjadi satu daripada perkara terbaik mengenai saya,” katanya yang bekerja sebagai wakil jualan peralatan perubatan.
Samantha turut menyokong mereka yang mempunyai anggota badan unik untuk mencatat rekod dalam Guinness World Records.
“Lakukan dengan penuh dan jadikan ia aset paling besar anda. Ia adalah kuasa anda, yang menjadikan anda istimewa dan berbeza daripada orang lain di sekeliling,” katanya seperti dilapor Mirror.
Menurut wanita itu, dia membuka akaun media sosialnya untuk berkongsi kebolehan nyanyiannya tanpa sedar bahawa bentuk mukanya yang lebih menarik perhatian orang ramai.
Sebelum ini katanya, dia mula mengumpul keyakinan sejak dua tahun lalu apabila mengambil kelas nyanyian serta berkongsi mengenainya di Instagram.
“Kemudian saya jatuh cinta dengan komedi dan parodi serta mula banyak berkongsi mengenai itu sebelum membuka akaun TikTok pada 2019 tetapi tidak begitu aktif sehingga tempoh pandemik pada April 2020.
“Sejak itu saya berkongsi banyak video kelakar dan parodi tetapi setiap kali berkongsi sesuatu yang menunjukkan mulut saya, ia menjadi sangat tular,” katanya.
Disamping itu, menurut Samantha siapa sangka kelebihan mulut besar yang dimilikinya juga boleh menjadi modal untuk buat duit dan menjana pendapatan.
Mendedahkan perkara itu di TikTok, Samantha Ramsdell memaklumkan dia menerima AS$15,000 (kira-kira RM62,000) untuk setiap video yang dimuat naik di aplikasi itu.
Katanya dengan teknologi istimewa yang ada pada aplikasi itu, ia menjadikannya mudah menjana pendapatan.
GulfNews melaporkan, wanita berusia 30 tahun dari Connecticut itu turut mempunyai pengikut seramai 740,000 sepanjang penularan wabak Covid-19 ini.
Walaupun dia bimbang wabak pandemik itu akan menjejaskan kariernya sebagai bintang komedi, dia memberikan pengiktirafan kepada TikTok, yang menjadikan dirinya sebagai selebriti sensasi internet.
“Ia kedengarannya seperti tidak banyak, tetapi ada video saya ditonton lebih 50 juta tontonan,” katanya.
Samantha bermula dengan video nyanyian dan lakonan untuk meningkatkan keyakinan dan menunjukkan kemahirannya secara atas talian.Kemudian, dia menyedari mulutnya lebih mencuri perhatian.
“Kehilangan lebih 50 paun (kira-kira 22.6 kilogram) dua tahun lalu menyebabkan saya kembali yakin.
“Saya mengikuti kelas nyanyian, dan memuat naik video itu di Instagram,” katanya.
Mingguan Wanita : Memang rezeki dan tuah bermulut besar. Siapa sangka keunikan mempunyai anggota badan yang unik berpeluang dicatat rekod dalam Guinness World Records, sekaligus mampu menjana pendapatan.
Sejak dulu, pasangan ini dikatakan cukup bahagia dan sentiasa dalam suasa yang ‘happy go lucky’. Ke mana saja ada suami, di situlah dia ada. Jatuh bangun suami, dialah orang yang sentiasa berasa di sisi.
Sejak mendengar kisah dia dan keluarganya dijangkiti covid 19, orang ramai sentiasa ingin tahu perkembangan dirinya. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang sarat mengandung. Setiap orang sentiasa mendoakan agar dirinya kembali sihat untuk terus bersama suami dan anak-anak.
11 tahun melayari hidup rumah tangga dan harungi kehidupan dengan bahagia. Apatah lagi sanggup jatuh bangun bersama pasangan.
Ingat lagi, ramai yang terkejut apabila dia memilih lelaki itu sebagai pasangan hidupnya. Seeolah-olah tidak yakin dengan kemampuan lelaki itu untuk membahagiakannya. Hakikatnya, dia menerima ‘lelaki’ itu sebagai teman hidupnya dan sanggup hidup susah bersama.
Boleh dikatakan banyak kenangan pahit dan manis dilalui bersama oleh pasangan ini. Daripada zero to hero’, dulu tidak mempunyai apa-apa, jatuh bangun diharungi bersama. Kini, bila sudah memiliki segalanya, maut memisahkan mereka. Dugaan yang Maha Hebat.
Shuib dan Allahyarham Siti Sarah, pasangan yang dikatakan cukup serasi dan bahagia. Pemergian isteri tercinta menjadi sebutan. Apatah lagi, segala kebaikan yang diberikan ole arwah Siti Sarah di buka satu persatu selepas dia tiada.
Kehilangannya cukup dirasai oleh semua orang, walaupun dia bukanlah sesiapa. Ada kebaikan dilakuakn sepanjang hidupnya.
Malahn, perkongsian daripada Nor Zabetha, peguam hebat ini turut dirasai olehnya. Coretan ini mungkin memberi kita panduan dan dan ingatan bersama.
Terasa hiba pemergian Siti Sarah dan tidak berjaya fokus kerana setiap ketika mengenangkan pemergian Allaryarhamah.
Rata-rata saya baca status muat naik dan komen-komen berkongsi perasaan yang sama. Saya menonton Live pengkebumian Siti Sarah dan menonton juga video-video Shuib beberapa hari ini dan selepas isterinya meninggal.
Tidak terbayang dan tergambar kehilangan yang dirasakan Shuib dan anak-anaknya. Selalunya pasangan suami atau isteri dirujuk sebagai “The other half”.
Begitulah saya melihat Siti Sarah ini di sisi suaminya, ‘the other half’. Separuh dari jiwa Shuib yang telah pergi.
Masa awal-awal dahulu kemunculan Shuib dahulu, saya hanya kenal Shuib sebagai suami kepada Siti Sarah. Saya pernah terbaca satu perkongsian di Facebook bagaimana Siti Sarah yang sentiasa setia di belakang suaminya. Jatuh bangun suaminya. Kagum saya dengan Siti Sarah.
Shuib bukan orang senang dan tidak juga terlalu popular sewaktu mereka berkahwin dahulu tetapi Siti Sarah sentiasa ada di belakang, sama-sama mereka menjadi pasangan yang sama hebat, melengkapi antara satu sama lain.
Sama-sama mereka mengorak kejayaan. Pelbagai cabang mereka terokai sama-sama.
Berniaga dan membina empayar bersama, skil nyanyian Shuib juga semakin baik dan saya pasti dengan adanya Siti Sarah, Shuib telah menerokai segala kelebihan dalam dirinya.
Mereka sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik.
Shuib juga pada pembacaan dan penelitian saya adalah suami yang baik dan sangat penyayang. Mereka berdua sangat rajin, usaha yang tidak putus-putus. Sentiasa mereka meluahkan rasa cinta dan sayang antara satu sama lain, sentiasa lihat mereka bahagia.
Saya masih ingat selepas 6 tahun mereka berkahwin, Shuib mengaturkan semula majlis resepsi persandingan mereka dalam satu majlis yang gemilang semperna ulang tahun mereka yang keenam, meraikan rasa cinta dan sayang mereka berdua.
Saya petik kata-kata Shuib dalam laporan berita yang saya ambil dari BH Online berkenaan Majlis Resepsi mereka
“Syukur alhamdulillah, akhirnya majlis yang saya impikan bagi menghargai isteri saya terlaksana. Apa yang saya lakukan ini untuk dia kerana dapat menerima saya seadanya sehingga ke hari ini”.
Waktu saya baca berita ini, saya melihat bagaimana mereka ini meraikan antara satu sama lain. Bila susah mereka bersama.
Bila mereka makin berjaya, begitulah makin kuat kasih sayang mereka dan tidak semestinya selepas bertahun berkahwin sudah hambar rasa saya atau kehidupan itu hanya jadi rutin.
Percintaan selepas kahwin yang bagai ‘fairy tales’.
Betapa segala yang ditinggalkan Siti Sarah sewaktu hidupnya dan suaminya Shuib, itu menjadi tauladan kepada kita semua bahawa hargailah pasangan kita sewaktu dia ada.
Luahkan rasa sayang, hargai setiap masa dan ketika pasangan kita. Hidup ini hanya seketika.
Bahawa kejayaan pasangan ini dapat dicapai kerana ada sokongan dan kerjasama daripada kedua-duanya.
Saling melengkapi antara satu sama lain. Daripada ‘Zero to hero’ sentiasa kekal setia bersama dan sentiasa yakin terhadap pasangan kita.
Saya tidak baca novel atau menonton drama-drama cinta tetapi kisah cinta mereka ini, saya labelkan antara kisah cinta yang Agung di alam realiti.
Banyak kisah kebaikan Siti Sarah yang dikongsikan antaranya yang dikongsikan saudara Nadir Al-Nuri berkenaan dengan korban untuk Hari Raya Korban di Palestin.
Saya rumuskan bahawa Siti Sarah adalah manusia yang hebat sewaktu hidupnya, isteri yang setia dan hebat sentiasa ada dikala jatuh dan bangun suaminya, ibu yang penyayang dan hebat.
Saya pernah terjumpa dengan Siti Sarah sekali dahulu, sewaktu program Malaysia Hari ini di TV3. Penuh dengan senyuman, dia masuk ke studio “Assalamualaikum semua!”.
Senyum dengan seikhlas hati melihat kami semua dan menyapa penuh mesra. Tidak sombong dan mesra. Senyuman membawa ‘mood’ yang baik di pagi hari.
Ada kata-kata, “Some people always seem to light up a room when they enter”. Begitulah Allahyarhamah.
Pilunya rasa hati kerana memikirkan anak-anak Siti Sarah yang ditinggalkan. Semoga mereka tahu bawa arwah ibu mereka adalah manusia yang sangat hebat dan berkorban untuk melahirkan yang si bongsu itu.
Semoga anak-anak Allahyarhamah tahu bahawa ibu mereka telah membawa contoh tauladan yang baik kepada rakyat Malaysia dan menjadi ikutan ramai wanitu untuk menjadi isteri, insan, ahli perniagaan dan terutama ibu yang hebat.
Moga mereka tahu bahawa ramai rakyat Malaysia yang berdukacita cerita kerana hilangnya
seorang wanita, isteri dan anak yang baik dan hebat seperti Siti Sarah.
Terima kasih di atas contoh tauladan dan kebaikan yang ditinggalkan kepada kami supaya menjadi ikutan kami sebagai bekalan kami ke sana nanti. Al-fatihah buatmu.
Mingguan Wanita : Separuh jiwa pasangan pergi tinggalkan selamanya, bersemadilah dengan aman.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Suami meninggal dunia akibat sakit jantung, ibu paling tua di dunia terpaksa besarkan anak sendirian tanpa suami.
Ternyata bukan satu yang mudah, kerana dalam usia warga emas dia perlu membesarkan anak kembar seorang diri setelah berpuluh tahun lamanya menanti cahaya mata.
Seorang wanita di New Delhi yang mencatat sejarah sebagai ibu paling tua di dunia selepas melahirkan bayi kembar perempuan pada usia 73 tahun dua tahun lalu, terpaksa membesarkan anak-anaknya bersendirian, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Menurut Erramatti Managayamma, dia berdepan cabaran tersebut susulan kematian suaminya akibat serangan jantung pada Oktober tahun lalu.
Erramatti dan mendiang suaminya, Raja Rao berkahwin pada 1962. Pasangan itu menunggu 57 tahun untuk bergelar ibu dan bapa apabila anak kembar mereka selamat dilahirkan pada 5 September 2019.
Erramatti hamil melalui persenyawaan luar rahim (IVF) selepas mengetahui tentang kaedah tersebut daripada jirannya.
Menurut akhbar Hindustan Times, Erramatti mengalami putus haid 25 tahun lalu dan tidak lagi boleh menghasilkan sel telur, manakala sel telur penderma lain digunakan untuk disenyawakan dengan sperma mendiang suaminya.
Memandangkan kelahiran normal adalah sukar bagi individu seusia Erramatti, bayi kembarnya dilahirkan menerusi pembedahan ceasarean.
Selepas berjaya melahirkan bayinya, Erramatti berkata bahawa dia sangat teruja.
“Saya tidak mampu mengungkapkannya dengan kata-kata. Bayi ini telah melengkapkan saya.
“Kini, tiada sesiapa boleh menggelar saya mandul lagi,” katanya.
Biarpun bergelar ibu tunggal, wanita itu berkata, dia melantik ahli keluarganya yang lain untuk menjaga anak-anaknya sekiranya sesuatu berlaku kepada dirinya.
“Saya mahu lihat anak-anak saya membesar dan telah memilih ahli keluarga untuk menjaga mereka sekiranya sesuatu yang buruk terjadi kepada saya,” katanya. –Agensi
Mingguan Wanita : Ternyata berkat kesabaran wanita ini dan suaminua, mereka akhirnya berjaya memiliki cahaya mata. Bukan setahun, dua mereka menanti, sebaliknya 57 tahun mereka tetap sabar dengan ujian ini. Kisah ini patut menjadi inspirasi buat pasangan yang masih lagi menanti kehadiran cahaya mata.