Berbanggalah bila kerjaya anda adalah seorang suri rumah tangga. Ia umpama sebuah kerjaya profesional. Siapa kata suri rumah tak boleh jadi profesional? Tak semestinya anda perlu bekerja baru boleh dikatakan profesional. Tak semestinya juga anda perlu punya diploma atau ijazah kemudian tinggal di rumah menjadi suri rumah, baru boleh dikategorikan sebagai profesional.
Suri Rumah Kerja Mencabar
Suri rumah juga adalah satu kerjaya yang amat mencabar malah lebih mencabar daripada semua kerjaya yang ada walau hakikatnya anda tidak diberikan sejumlah pendapatan bagi hasil kerja anda pada setiap hujung bulan.
Malah, hasil kerja anda adalah asas utama kepada setiap pembangunan negara. Malangnya, tidak ramai yang sedar tentang hakikat ini termasuk mereka yang memegang jawatan suri rumah.
Betapa PENTINGNYA Kerjaya Suri Rumah
Perbincangan saya kali ini adalah untuk menyedarkan kita semua tentang betapa pentingnya tugasan seorang suri rumah dan betapa suri rumah juga adalah satu kerjaya profesional dan insya-Allah, saya akan berikan beberapa panduan untuk anda mencapai tahap profesional tersebut.
Moga para isteri suri rumah malah suami yang punya isteri sebagai suri rumah, lebih menghargai diri sendiri dan pasangan anda. Perkara paling utama ialah anda perlu berbangga dengan kerjaya anda sebagai suri rumah.
Berbanggalah, Jangan Malu!
Rata-rata wanita yang saya jumpa semacam malu bila memperkenalkan diri sebagai suri rumah. Kenapa perlu malu? Anda sepatutnya berbangga kerana anda adalah pemangkin kepada segala pembangunan yang ada.
Mungkin sebelum ini anda tidak sedar tentang perkara ini dan kini anda telah tahu maka mulai hari ini, tanamkan rasa bangga di dalam diri kerana memegang jawatan sebagai suri rumah.
Berbanggalah Dan Lakukan Dengan Gembira
Perkara kedua; lakukan segala kerja dengan rasa rela dan gembira. Saya faham, kerjaya sebagai surirumah tak kenal erti rehat apatah lagi erti tamat. Bak kata Labu dalam cerita Labu Labi: “selagi tak tutup mata, kerja kerja kerja…”.
Saya pernah kendalikan beberapa kes yang melibatkan suami yang tak nampak sumbangan isteri yang bekerja di rumah menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Bagi golongan seperti ini, isteri hanya tau goyang kaki, duduk rumah tonton televisyen dan makan itu ini sepanjang hari.
Beri Cuti Sehari Dan Suami Ambil Alih
Jika anda tergolong dalam kumpulan tersebut, saya cadangkan agar anda berikan satu hari cuti kepada isteri anda. Hanya satu hari!! Anda akan tahu apa sebenarnya tugas isteri anda di rumah. Saya masih ingat cerita sahabat saya, rakan sepengajian di UM dan kini adalah seorang suri rumah.
Satu hari sahabat saya ini demam teruk. Masuk hari kedua, suami sahabat saya meluahkan isi hatinya agar isterinya itu segera sihat sebab tak larat melihat keadaan rumah yang tak terurus dan bimbang, si suami pula yang akan sakit teruk.
Jaga Penampilan Diri Walau Hanya Di Rumah
Di samping itu, anda perlu jaga penampilan diri. Siapa kata anda tak boleh bersolek jika di rumah? TIdak ada salahnya anda memakai pakaian yang kemas dan cantik untuk lakukan kerja-kerja rumah. Buang prinsip “duk rumah jer, tak per!!” sebaliknya tanam prinsip, “kemas dan cantik walau di mana berada dan bila-bila masa”.
Saya teringat luahan hati seorang suami, dia tak suka berada di rumah waktu cuti sebab terpaksa melihat isterinya yang hampir menyerupai hantu dengan pakaian selekeh dan rambut yang tak terurus. Jika sedemikianlah penampilan anda, jangan bising dan kecoh jika suami cari lain kat pejabat.
Belajar Dan Mengajar
Perkara paling penting yang perlu setiap suri rumah lakukan bagi memantapkan keprofesionalan kerjaya anda ialah anda perlu belajar dan mengajar. Tak ada masa? Tak cukup wang? Saya tak mintak anda ikuti kursus-kursus kat kolej.
Anda boleh belajar daripada rancangan televisyen, rancangan radio malah anda sekarang ini kebanyakan rumah ada komputer dan internet, gunakan peluang tersebut untuk belajar. Memang kerja anda banyak dan tak habis-habis namun anda perlu bijak menguruskan segala kerja anda.
Anda juga perlu ajar anak-anak menguruskan keperluan mereka sendiri. Contoh paling mudah, ajar anak-anak mengemaskan semula mainan selepas selesai bermain, kemaskan bilik tidur dan ajar anak-anak mengangkat pinggan sendiri ke sinki. Bila dah besar sikit, ajar pula untuk mencuci.
Bijak Urus Keperluan
Bila anda bijak mengatur setiap keperluan dan pengurusan rumah tangga dan anak-anak, anda bukan saja dapat memudahkan segala kerja anda sebaliknya anda menyediakan anak-anak anda menjadi seorang yang bertanggungjawab. Malah, anda boleh lakukan kerjaya sampingan untuk tabungan anda sendiri dan boleh juga membantu kewangan suami.
Ingat!! Berbanggalah dan tingkatkan keprofesionalan anda sebagai surir umah. Mak saya juga seorang suri rumah dan jika mak saya boleh, anda juga pasti boleh!!
Sumber artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis di dalam majalah MINGGUAN WANITA http://bersamasuzana.blogspot.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI