Cukup membimbangkan apabila ramai kanak-kanak yang dijangkiti virus influenza. Ia mudah dijangkiti melalui titisan cecair pernafasan menerusi batuk dan bersin. Menurut kenyataan akhbar KKM, berdasarkan trend yang direkodkan kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI), terdapat peningkatan kes semenjak pertengahan bulan Disember 2019, lepas.

Oleh itu, mak ayah perlu perhatikan, jika anak-anak terutamanya yang berumur di bawah 5 tahun mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, sakit kepala mahupun sukar bernafas merupakan antara petanda dijangkiti virus ini. Amalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan ini berlaku mahupun menyebabkan ia mudah tersebar.

Seeloknya jika anak-anak mempunyai influenza, mak ayah kena lebih bersikap bertanggungjawab kuarantin mereka di rumah. Tak perlu hantar anak ke sekolah, pusat transit, nurseri mahupun berada di tempat awam.

Jemput baca perkongsian daripada Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan ini;

Setiap tahun, pada waktu begini, kes jangkitan influenza akan meningkat, terutamanya dikalangan kanak-kanak. Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

1. Kekalkan Kebersihan Diri

Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat.

2. Dapatkan Vaksin Influenza

Golongan berisiko tinggi digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Langkah Pencegahan

Individu yang mempunyai gejala jangkitan influenza pula disarankan amalkan langkah-langkah dibawah ini, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza:

1. Berehat Di Rumah

Jika pergi ke tempat awam, pakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

2. Tutup Hidung & Mulut

Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah.

3. Elak Kongsi Peralatan Peribadi

Elakkan daripada berkongsi peralatan peribadi seperti tuala mandi, sapu tangan dan sebagainya dengan orang yang lain untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Kanak-Kanak Bawah 5 Tahun

KKM juga menasihatkan mengenai langkah yang perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun seperti berikut:

  • Makan Ubat Paracetamol

Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah (tepid sponging);

  • Elakkan Beri Ubat NSAIDS

Elakkan beri ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS)(ibuprofen, voren, dsb) untuk kurangkan demam kerana ia boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.

  • Minum Air Secukupnya

Memastikan pesakit minum air secukupnya supaya kekal terhidrat.

  • Bawa Jumpa Doktor

Bawa pesakit berjumpa doktor sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai selsema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti FB Anda

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat mak ayah dalam mencegah jangkitan influenza serta menjaga anak-anak yang mengalami jangkitan ini.

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan, KKM)