Foto:BERNAMA

Kes jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV) menimbulkan kebimbangan ramai, memandangkan ia mudah berjangkit. Sehingga kini keseluruhan kes dijangkiti Novel Coronavirus dilaporkan berjumlah 24,196 melibatkan 25 buah negara dan 492 kematian.

Statistik ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut statistik yang dikeluarkan oleh WHO yang menjadi pusat data dan statistik kes novel coronavirus (2019-nCoV) dari semua negara yang dijangkiti.

 

Baru Balik Negara Terlibat Jangkitan Coronavirus, Majikan Kena Berikan HAK Ini

 

Oleh yang demikian langkah berjaga-jaga perlu ditekankan lebih-lebih lagi bagi yang baru pulang dari negara yang terlibat dengan kes jangkitan Coronavirus ini.

Pesanan buat pekerja dan majikan, terkini Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ada mengeluarkan panduan untuk majikan dalam menangani isu berkaitan jangkitan coronavirus baharu (2019-nCoV).

IKLAN

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, berkata jabatan itu menerima banyak panggilan bertanyakan mengenai isu pekerjaan membabitkan wabak 2019-nCoV sejak awal tahun ini.

Katanya, soalan yang lazim diutarakan membabitkan majikan menahan pekerja daripada datang ke tempat kerja terutama mereka yang pulang dari negara dan destinasi mempunyai kes jangkitan coronavirus di China, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura.

5 Langkah Buat Majikan Berdepan Situasi Ini

Panduan itu mengandungi LIMA langkah yang boleh diambil majikan dalam berdepan situasi berkenaan.

1. Arah Pekerja Jalani Pemeriksaan Serta Merta

Kula Segaran berkata, majikan perlu mengambil langkah-langkah terbabit, iaitu dengan mengarahkan pekerja masing-masing menjalani pemeriksaan serta-merta jika mereka baru pulang dari negara yang mempunyai kes jangkitan coronavirus.

2. Kos Pemeriksaan Ditanggung Majikan

“Kos pemeriksaan oleh pengamal atau pegawai perubatan berdaftar itu perlu ditanggung majikan selaras peruntukan mengikut Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

IKLAN

3. Beri Cuti Sakit Bergaji SepanjangTempoh Kuarantin

“Majikan juga perlu memberikan cuti sakit bergaji kepada pekerja atau membolehkan mereka mendapatkan rawatan di hospital, sepanjang tempoh kuarantin, apabila mereka diarahkan berbuat demikian oleh pengamal perubatan berdaftar, tidak kira sama ada di rumah atau di hospital.

4. Beri Bayaran Tambahan

“Majikan digalakkan untuk memberikan bayaran tambahan kepada pekerja yang diarahkan menjalani kuarantin tetapi melebihi tempoh cuti sakit dan rawatan di hospital yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, majikan juga perlu membayar gaji penuh kepada pekerja yang mendapat arahan kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar, sekiranya mereka ke negara terbabit atas arahan kerja atau majikan.

5. Tak Boleh Halang Hadir Bekerja Jika Tiada Arahan Kuarantin

Katanya, mereka juga tidak boleh menghalang pekerja masing-masing daripada hadir ke tempat kerja jika tiada arahan kuarantin dikeluarkan pengamal perubatan berdaftar.

IKLAN

Bagaimanapun, beliau berkata, majikan dibenarkan mengarahkan mana-mana pekerja yang sakit untuk tidak datang bekerja, dengan memberikan cuti sakit bergaji.

“Majikan juga tidak boleh mengarahkan pekerja, dalam apa cara sekali pun, menggunakan peruntukan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh kuarantin.

“Sebarang persoalan lanjut boleh dimajukan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia,” katanya.

Baca Lagi Di Sini: Warga China Positif 2019-nCoV Sembuh, Memecahkan Mitos Koronavirus Tak Boleh Dirawat

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat sebagai panduan buat majikan dan juga hak buat pekerja. Jadi buat mana-mana individu yang baru sahaja pulang daripada negara mahupun destinasi mempunyai kes jangkitan coronavirus di China, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura, diharap segera mendapatkan pemeriksaan di pusat kesihatan.

Sumber: Bharian, Kementerian Kesihatan Malaysia

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI