Tangan kirinya telah tiada. Tetapi itu bukan halangan untuk Mohd Yusnizal bin Mohd Yusoff untuk melakukan aktiviti yang disukainya iaitu selam skuba dan menunggang motosikal. Terkini, Yusnizal telah berjaya mendapat lesen yang membolehkan dirinya bergelar jurulatih selam skuba berlesen.
“ Tuhan tidak mahu kita mengeluh. Apabila Dia tarik sedikit daripada kita itu sebab Dia bagi kelebihan yang banyak yang kita tidak tahu. Saya banyak cuba buat aktiviti dengan menggunakan sebelah tangan.
“ Saya bersyukur sehingga sekarang tidak ada masalah dalam apa sahaja yang saya lakukan. Sekarang ini saya antara instructor OKU diving yang pertama di Malaysia. Saya boleh mengajar dan memberi lesen kepada sesiapa sahaja yang mahu melakukan aktiviti selam skuba. Lesen ini saya perolehi daripada Scuba Diving International (SDI).”
.
Suka Mencabar Diri
Jelas Yusnizal lagi, selam skuba jadi pilihan kerana dia dapat melihat keindahan di dalam lautan. Pemandangan di dalam laut sentiasa berubah walaupun penyelam berada di kawasan yang sama. Melihat pemandangan yang cantik juga boleh menghilangkan tekanan dalam dirinya.
“ Saya suka mencabar diri. Kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak boleh buat seperti mereka. Saya cabar diri buat kali pertama dengan menyertai sukan paint ball. Saya memang suka sukan lasak. Banyak juga pertandingan yang saya sertai bersama-sama dengan pasukan paint ball saya.
Ads
“ Setelah saya jadi OKU, saya cabar diri sekali lagi dengan menyertai selam skuba. Perkenalan saya dengan selam skuba ini berlaku apabila saya bertemu dengan sekumpulan penyelam skuba berlesen. Mereka kata jika saya mahu bercampur dengan mereka, saya perlu ada lesen selam skuba.
“ Masa itu saya rasa tercabar. Saya pergi semua tempat selam skuba. Tetapi semua tidak mahu mengajar saya. Mereka tidak percaya saya boleh menyelam skuba. Walau ditolak saya tidak patah semangat.
“ Apabila kumpulan ini pergi melakukan aktiviti selam skuba, saya ikut tetapi saya buat aktiviti snorkelling. Namun apabila sampai di tempat tersebut saya telah berkenalan dengan seorang guru selam skuba. Dia tarik saya masuk belajar selam skuba. Dia ajar saya sehingga dapat lesen selam skuba,” ujarnya lagi.
Ads
Contoh Kepada OKU Lain
Selepas mendapat lesen selam skuba, Yusnizal mula melangkah jauh dalam bidang selam skuba ini.
“ Saya ambil lesen ini sebab saya mahu tunjukkan kepada orang lain bahawa OKU seperti saya juga boleh jadi tenaga pengajar. Untuk mendapat lesen ini memang susah. Memang orang tidak akan percaya OKU boleh melakukannya.
“ Apabila saya ada lesen, saya boleh menjadi contoh kepada OKU lain yang berminat untuk menceburi selam skuba ini untuk menceburinya sama. Sekarang ini saya lebih yakin dengan kebolehan diri. Saya juga lebih bermotivasi. Tidak ada benda yang mustahil yang tidak boleh kita lakukan.”
Ads
Selain selam skuba, Yusnizal juga suka menunggang motosikal. Pada Disember 2018, dia telah berjaya mencatat rekod Malaysia dengan menunggang motor menggunakan sebelah tangan di jalan yang mempunyai 1000 selekoh di Thailand.
.
KISAH YUSNIZAL SELANJUTNYA BOLEH DIKETAHUI DALAM RUANGAN KU GAPAI BINTANG, MAJALAH MINGGUAN WANITA VOLUME 2 DISEMBER 2019.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Mohd Yusnizal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ada suami yang susah nak hadam, bila isterinya kuat membebel. Bisinglah.. tak tahu jaga hati suamilah. Kalau Dr Say Shazril, doktor selebriti dalam program Tanya Doktor pun boleh tahan sabar.. kenapa tidak suami-suami di luar sana.
Tahu tak sebab apa, bebelan dan kebisingan isteri itu dapat buatkan rumah tangga tambah bahagia. Penjelasan Dr Say ini memang makan dalam. Tapi banyak betulnya wahai suami.
Ini yang Dr Say kongsikan tentang isterinya, Dr Azura Abas yang banyak membantunya bukan saja dalam kariernya, malah menjadikan dirinya seorang suami dan ayah penuh tanggungjawab terhadap keluarga dan anak mereka, Aezriel (Ace).
Kongsi Dr Say, “saya habis medical school kat India umur 25. Masa tu tengah kapel dengan @azuraabas dekat 4 tahun. Kebanyakan yang kapel-kapel masea study oversea ni bila balik Malaysia apa lagi, kahwin lor.”
Tapi saya fikir, “aku baru 25, tak kan nak kawin dah, laju sangat game over. Tak test market Malaysia lagi ni”. Tapi Azura ni geliga orangnya. Masih saya ingat ayat dia, “kalau you tak nak kahwin dengan I takpe, I tak nak tunggu, ramai lagi laki nak kat I”. Suuuper menusuk ayatnya.
Tapi saya akurkan dan menamatkan hajat test market Malaysia saya. Maka berkahwin lah kami masa saya berumur 26.
Saya propose tak fancy, over whatsapp je (style dak-dak wechat & Da’i). Fast foward dah 5 tahun kami berkahwin. Kalau tanya saya menyesal tak kahwin awal dan tak test market Malaysia? Jawapan saya, “lagi menyesal kalau saya tak makan ugutan Azura dan bernaung di bawah pemerintahannya,”
Gaduh? Tak yah cakap. Lepas ada Ace ni setiap langkah saya buat salah. Bernafas pun salah. Geram? Tak yah cakap, walaupun saya mengaku saya banyak cuai handle Ace tapi bila turn dia cuai, as if nothing happened. Ralit-ralit pusing saya yang dipersalahkan.
Tapi despite all this, I know she is d best person for me & for Ace coz segala pekik-an dan bebel-annya adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kami as a family. I’m sorry you kena jaga 2 babies (Ace & saya) hun.
Maka dekat-dekat hujung tahun ni, saya menyeru kepada suami-suami di luar sana hargailah bini anda dan kebisingan mereka kerana jika satu hari mereka tersenyap nescaya gelaplah masa depan anda.
Benarlah pepatah “Behind every great man is not a woman. She is beside him, she is with him, not behind him”
MW : Boleh buat azam tahun baru siap-siap ya wahai suami..
Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu. Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya. Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri. Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU. Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.
Biar pun perkahwinannya gagal di pertengahan jalan, Farah redha dengan ketentuan Ilahi. .
Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki. Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.
Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya. Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya.” Kongsinya lagi.
Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang..
Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan
tiba,”nasihat Farah di akhir perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hasrat sebuah keluarga untuk menghadiri majlis kenduri kahwin tidak kesampaian selepas kereta Perodua Myvi dinaiki lima mangsa merempuh belakang sebuah lori tiga tan dalam kejadian di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan 4.40pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Mohamad Rodzi Abdul Kadir,52; penumpang di sebelah pemandu, Jamilah Jalim @Jamil, 47, dan penumpang di bahagian belakang, Bashirah Jalim@Jamil, 49; Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam untuk menghadiri kenduri perkahwinan.
“Difahamkan kereta dinaiki lima mangsa itu dari Kedah menuju ke Shah Alam berkonvoi bersama dua lagi kenderaan. Ketika kejadian, berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbalik pada jarak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.
“Kemalangan lori terbalik itu menyebabkan trafik perlahan di lokasi. Difahamkan dua kenderaan yang berkonvoi bersama kereta Myvi berkenaan sudah melepasi laluan kemalangan itu.
“Manakala kereta dinaiki lima mangsa terbabit yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah yang sedang bergerak perlahan,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Azman berkata, mereka yang meninggal dunia adalah lima sekeluarga membabitkan pesara tentera, Mohamad Rodzi dan isterinya, Jamilah bersama anaknya, Nur Intan.
“Dua lagi mangsa yang meninggal adalah kakak ipar kepada Mohamad Rodzi, Bashirah dan anaknya Nur Shifa.
“Difahamkan urusan pengebumian kelima-lima mangsa akan dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk membawa balik jenazah ke Yan, Kedah, untuk dikebumikan,” katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Selama, Perak ke Selayang dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat kemalangan itu kesemua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima.
Menurutnya, dua mangsa tersepit di bahagian depan kereta berjaya dikeluarkan dengan kerja-kerja pemotongan kenderaan dilakukan oleh anggota bomba.
“Penumpang di bahagian belakang tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga semua mangsa ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah. Pesanan buat yang memandu, semoga lebih berhati-hati di jalan raya terutama dalam musim hujan dan keadaan jalan yang licin.
Dua beradik pelajar vokasional maut langgar MPV rosak di Lebuhraya PLUS Sungai Petani menghala ke Bertam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, kira-kira jam 3 petang hari ini.