Al Fatihah.. ketika penyanyi Nora Ariffin, masih lagi mengumpul kekuatan menerima hakikat pemergian suami, Johan Nawawi dua tahun lalu. Pagi ini, ibu ini redha menerima ujian pemergian anak kedua nya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20.
Alif Johan meninggal dunia secara mengejut di kediaman keluarganya pagi tadi. Dan berita sedih itu dikongsikan Nora sendiri di instagramnya ketika penyanyi Di Persimpangan Dilema itu berada dalam pesawat dari Singapura.
Nora menerima berita sedih itu sebaik tiba di Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya. Dia kemudiannya, bergegas mengambil penerbangan balik ke Kuala Lumpur.
Menurut saudara terdekat, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Anak Kedua Nora Akan Di Post-mortem Esok
Terkini, Nora memaklumkan jenazah anak keduanya akan menjalani post-mortem esok. Sebaik selesai urusan itu, insya Allah pada waktu Zohor, jenazah anaknya akan dibawa ke masjid Kampung Tunku dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, iaitu tanah perkuburan yang sama dengan arwah suaminya.
“Esok anak saya akan dipost-mortem dulu. InsyaAllah.. lepas selesai.. lepas zohor, jenazah akan di bawa ke masjid Kampung Tunku. Insya Allah.. dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara bersama ayahnya.”
Kongsi Nora sebelum ini, “Inna Lillahi wainna ilayhi raji’un… Allah uji sekali lagi. Saya mahu bagi tahu semua, anak saya, Aliff Johan, baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.”
“Beliau kembali ke rahmatullah pagi tadi. Di rumah saya dan jenazahnya akan dikebumikan secepat mungkin, hari ini.”
Ads
“Mohon maafkan kesalahannya. Saya diuji sekali lagi.. Saya reda Ya Allah.”
Pemergian Alif Johan meninggalkan tiga orang beradiknya yang lain, Mohd Syakir Iman Johan, Purti Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah.
Allahyarham Pernah Jalani Pembedahan Bariatric
Sebelum ini, Alif pernah mengalami masalah berat badan hingga mencecah 130 kilogram. Arwah kemudiannya menjalani pembedahan bariatric dan berjaya menurunkan berat 40 kg dalam tempoh beberapa bulan.
Ads
Allahyarham juga aktif dalam nyanyian malah tersenarai sebagai 20 calon protege Mentor Milenia 2019. Semasa hayatnya, berimpian meneruskan legasi arwah bapanya dalam bidang muzik.
Pelajar tahun akhir jurusan perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga kerap menunjukkan bakat dalam pelbagai pertandingan nyanyian.
Pada 6 Disember lalu, Allahyarham juga memuat naik video kemenangannya sebagai juara pertandingan Clash of the Talent anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) yang membawakan lagu Salam Terakhir.
Dua tahun sebelumnya, suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi yang juga merupakan seorang komposer meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun.
MW :Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Nora Ariffin. Semoga roh Allahyarham Alif Johan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber/Foto : Nora Ariffin, Berita Harian, Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ada suami yang susah nak hadam, bila isterinya kuat membebel. Bisinglah.. tak tahu jaga hati suamilah. Kalau Dr Say Shazril, doktor selebriti dalam program Tanya Doktor pun boleh tahan sabar.. kenapa tidak suami-suami di luar sana.
Tahu tak sebab apa, bebelan dan kebisingan isteri itu dapat buatkan rumah tangga tambah bahagia. Penjelasan Dr Say ini memang makan dalam. Tapi banyak betulnya wahai suami.
Ini yang Dr Say kongsikan tentang isterinya, Dr Azura Abas yang banyak membantunya bukan saja dalam kariernya, malah menjadikan dirinya seorang suami dan ayah penuh tanggungjawab terhadap keluarga dan anak mereka, Aezriel (Ace).
Kongsi Dr Say, “saya habis medical school kat India umur 25. Masa tu tengah kapel dengan @azuraabas dekat 4 tahun. Kebanyakan yang kapel-kapel masea study oversea ni bila balik Malaysia apa lagi, kahwin lor.”
Tapi saya fikir, “aku baru 25, tak kan nak kawin dah, laju sangat game over. Tak test market Malaysia lagi ni”. Tapi Azura ni geliga orangnya. Masih saya ingat ayat dia, “kalau you tak nak kahwin dengan I takpe, I tak nak tunggu, ramai lagi laki nak kat I”. Suuuper menusuk ayatnya.
Tapi saya akurkan dan menamatkan hajat test market Malaysia saya. Maka berkahwin lah kami masa saya berumur 26.
Saya propose tak fancy, over whatsapp je (style dak-dak wechat & Da’i). Fast foward dah 5 tahun kami berkahwin. Kalau tanya saya menyesal tak kahwin awal dan tak test market Malaysia? Jawapan saya, “lagi menyesal kalau saya tak makan ugutan Azura dan bernaung di bawah pemerintahannya,”
Gaduh? Tak yah cakap. Lepas ada Ace ni setiap langkah saya buat salah. Bernafas pun salah. Geram? Tak yah cakap, walaupun saya mengaku saya banyak cuai handle Ace tapi bila turn dia cuai, as if nothing happened. Ralit-ralit pusing saya yang dipersalahkan.
Tapi despite all this, I know she is d best person for me & for Ace coz segala pekik-an dan bebel-annya adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kami as a family. I’m sorry you kena jaga 2 babies (Ace & saya) hun.
Maka dekat-dekat hujung tahun ni, saya menyeru kepada suami-suami di luar sana hargailah bini anda dan kebisingan mereka kerana jika satu hari mereka tersenyap nescaya gelaplah masa depan anda.
Benarlah pepatah “Behind every great man is not a woman. She is beside him, she is with him, not behind him”
MW : Boleh buat azam tahun baru siap-siap ya wahai suami..
Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu. Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya. Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri. Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU. Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.
Biar pun perkahwinannya gagal di pertengahan jalan, Farah redha dengan ketentuan Ilahi. .
Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki. Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.
Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya. Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya.” Kongsinya lagi.
Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang..
Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan
tiba,”nasihat Farah di akhir perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiada siapa yang menduga, hidayah itu diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengkehendakiNya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah dapat mengubah kehidupan dari kekufuran kepada keimanan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Beruntunglah bagi mereka yang menerima hidayah terutamanya bagi yang memeluk islam. Ini kerana seseorang itu telah mendapat kehidupan baru yang pastinya lebih baik dari sebelum ini.
Bagi Foo Siew Chin atau nama islamnya, Noor Hayati Foo Abdullah, 55 tahun, dia sememangnya telah lama mengenali Islam, sejak sekolah rendah lagi. Pada masa itu, dia sanggup tinggalkan mata pelajaran Sivik semata-mata ingin mengikuti kelas Pendidikan Agama Islam.
“Apa yang boleh saya katakan, saya rajin mengikuti kelas pendidikan agama Islam kerana topik-topik sirah nabi yang diajar oleh guru telah menarik perhatian saya,” ceritanya tentang permulaan dia mengenali islam.
Rasai Ketenangan
Walaupun sudah mengenali Islam sejak sekolah rendah, Noor Hayati hanya belajar dalam diam dan tidak sesekali pun menceritakan kepada ahli keluarga.
Sehinggalah apabila dia mendapat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, niat untuk menyambung pelajaran ke menara gading terbantut kerana waktu itulah dia betul-betul mengambil keputusan untuk memeluk islam.
Pada tarikh 27 Februari, 1985 saat dirinya berusia 21 tahun, Noor Hayati telah menlafazkan kalimah syahadah di Melaka.
“Boleh saya katakan terlalu banyak perbezaan dengan apa yang saya anuti sebelum ini. Bagi saya, agama islam itu sangat sempurna dan banyak mendorong saya untuk menjaga perbuatan dan tutur kata,” katanya lebih lanjut.
Penerimaan Keluarga
Ulas Noor Hayati lagi, selepas memeluk islam, barulah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohsin Bin Bawi yang dikenali sejak dari sekolah menengah lagi.
“Walaupun keluarga membantah dan saya teruskan niat dan ini tidak bermakna saya melupakan terus keluarga saya. Jadi, selepas berkahwin, saya melawat mereka seperti biasa.
“Lagipun, ibu dan ayah saya ada masalah kesihatan, jadi saya dan suami sentiasa bertanya khabar dan membawa mereka ke hospital untuk rawatan. Dari situlah, mereka merasakan saya tidak abaikan dan terharu dengan kebaikan suami saya, walaupun berbeza agama,” cerita Noor Hayati tentang penerimaan keluarganya pada suami.
Manakala pada pihak mentua pula, Noor Hayati cuba sedaya upaya mengambil hati. Sementelah mentua merasakan dirinya tidak mampu menjaga suami, tidak pandai memasak hidangan melayu dan sebagainya.
“Daripada perasaan tidak puas hati mentua, saya cuba perbaiki, belajar memasak sehingga pandai dan akhirnya mentua akur dengan pilihan suami saya,” katanya yang kini mempunyai bisnes makanan yg dikenali sebagai Warung Dayak di Batu Pahat dan terkenal dengan hidangan Mee Rebus dan Lontong Darat.
Bersyukur
Alhamdulillah, sudah 35 tahun Noor Hayati memeluk Islam dan dia bersyukur diberi rezeki dan hidayah.
“Walaupun sudah memasuki usia 55 tahun, saya tidak pernah putus untuk menuntut ilmu. Berkat sokongan, saya dapat menamatkan Kursus Sijil Eksekutif Dakwah di MARSAH. Saya juga diberi peluang menyempurnakan rukun Islam ke 5 pada tahun 2018 atas tajaan MAINJ,” katanya dengan terharu.
Selain daripada itu, Noor Hayati turut melakukan aktiviti yang mendekatkan dirinya dengan Islam seperti membantu mualaf lain di sekitar dengan dipilih sebagai Pendakwah Saudara Kita Batu Pahat oleh ustaz Hairul Faizal dan banyak lagi.
Cabaran
Namun begitu, Noor Hayati juga tidak terlepas daripada cabaran-cabaran bila bergelar muslim ini. Mungkin salah satunya adalah persepsi masyarakat melayu yang beranggapan mereka yang memeluk islam kerana ingin berkahwin. Tidak kurang pula yang merasakan saudara baru ini tidak dapat menyesuaikan diri dengan adat-ada orang melayu.
“Cabaran inilah menjadikan saya lebih kuat dan tabah untuk menghadapi segala dugaan. Melalui cabaran inilah saya berusaha untuk tunjukkan kepada mereka yang saya menjadi lebih baik selepas memeluk islam dan turut membuktikan kepada masyarakat bahawa saudara baru juga boleh mencapai kejayaan,” luah ibu kepada dua Nur Iziana, 33 tahun, Mohamed Afiq, 29 tahun dan Muhammad Aiman, 23 tahun ini.
.
.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!