Kempen Bangkit Wanita:
Sudah lebih setahun kita hidup dalam norma baharu; dibelenggu pandemik Covid19. Begitu hebat penangannya, ramai yang terjejas sumber pendapatan berikutan banyak langkah SOP yang menyebabkan pergerakan dan komunikasi terbatas.
Justeru itu, Mingguan Wanita (MW) sangat prihatin dengan nasib golongan wanita yang terjejas pendapatannya. Susulan itu, adalah menjadi keperluan penting Kempen Bangkit Wanita digerakkan dengan tagline Langkah Yakin Lakar Kejayaan.
Kempen yang berlangsung dari Mac ini akan dibawakan khusus oleh pihak Mingguan Wanita, media wanita No.1 tanahair yang selama ini sememangnya banyak mengangkat isu-isu berkaitan wanita termasuklah usaha memperkasakan wanita.
Kempen yang julung kali dianjurkan ini merupakan pendekatan proaktif MW mendekati golongan sasaran iaitu wanita B40 dan M40 bagi melibatkan diri dalam dunia perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
Ini merupakan usaha awal yang difikirkan terbaik buat masa ini; menangani kebuntuan wanita dengan memberikan pendedahan awal kepada perniagaan yang sesuai mereka ceburi secara kecil-kecilan, seterusnya menyertai latihan atau kemahiran asas. Permulaan asas tanpa memerlukan banyak modal awal.