
Melihat orang susah buat kita jatuh simpati dan terus ingin bersedekah. Tetapi dalam kepala mula mencongak berapa banyak nak bersedekah, sudahnya kita hulurkan dengan nilai yang tak seberapa kerana bimbang diri sendiri tak mencukupi.
Sebenarnya pemikiran sebegini salah, kerana lebih banyak kita bersedekah lebih murah rezeki kita Allah berikan. Bersedekah adalah cara paling mudah untuk kita bahagiakan orang. Insyallah rezeki kita akan bertambah besar dan murah.
Selain itu, bersedekah dan bahagiakan orang yang di dalam kesusahan bukanlah atas asbab inginkan perhatian daripada manusia sebaliknya dari Allah SWT.
Ikuti dan fahamkan perkongsian Nora Aida ini :
Perjalanan hidup saya, Allah didik saya untuk bergantung 100 peratus pada Dia. Kadang-kala saya goyah, saya rebah. Bangkit kembali. Begitulah terus berulang kali.
Allah beri faham, semakin bahagiakan orang, semakin besar rezeki kita. Bahagiakan orang bukan sebab nak perhatian orang itu, tapi hendak perhatian daripada penduduk langit.
Tengah hari tadi, saya request runner di aplikasi lalamove. Untuk bantu hantarkan parcel ke J&T bangi. Amount tertera di aplikasi itu bayaran sebanyak RM5. Saya lihat runner itu dari Cheras. Dia terima job ini.
Selepas pick up barang daripada saya untuk di pos ke J&T, beliau terpaksa tunggu hampir 50 minit beratur di J&T kerana terlalu panjang barisan. Saya memang deal dengan runner itu untuk dia bayarkan dahulu amount postage, kemudian saya bayar online amount postage + upah beliau RM5.
Ucap Terima Kasih
Runner itu tidak mengeluh. Saya fikir, dia dari Cheras, accept job RM 5. Tunggu 50 minit beratur di J&T, sanggup ambil risiko. Mesti dia sangat memerlukan. Kos amount postage RM22.50 untuk 3 parcel. Allah gerakkan hati saya untuk transfer RM100. Beliau berulangkali ucap terima kasih dan ayat akhir bunyi begini:
“Kak, hari ni akak tolong saya waktu saya susah. Saya yakin akan datang waktu akak susah, mesti ada orang lain tolong akak.”
Saya dah agak, dia memang betul-betul memerlukan, kalau tak, tak akan sanggup accept job RM5 dari Cheras ke Bangi. Memang Allah hadirkan bantuan-bantuan dari Dia melalui perantara manusia. Saya bukanlah bagus dan pemurah pun, tapi Allah gerakkan hati ini dan tangan ini untuk transfer RM 100. Saya yakin pasti ada doa dia yang Allah makbulkan.
Terima Nikmat Tak Putus
Amazingly, hari ini teramat banyak nikmat rezeki yang saya terima. Allahuakbar. Saya pernah lalui kehidupan yang sangat susah dulu. Tapi, tetap Allah beri rezeki untuk saya, suami, dan anak-anak. Tak pernah kebuluran. Rezeki sentiasa ada. Sebab itu janji Allah.
Bagi anda yang takut atau risau dengan status kewangan, yakinlah rezeki anda tidak akan pernah putus. Rezeki anak-anak anda tidak pernah putus. Teruskan berdoa dan upgrade keyakinan pada Dia dengan ilmu.
Nora Aida
Redha , ikhlas , Pasrah ❤️
Sumber: Nora Aida
MW: Semoga perkongsian ini dapat mendidik jiwa dan terus kekal istiqomah untuk bersedekah. Bergantunglah kepada Allah 100 peratus kerana Dia Maha Berkuasa dan Maha Pemurah.
Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Dalam keluarga kecilnya, hanya dia sekuntum mawar yang dikelilingi tujuh kumbang. Merupakan satu-satunya wanita tunggal dalam keluarga, menjadikan Pengarah Eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman, 56 tahun, terbiasa menggunakan pendekatan tegas sepanjang mendidik anak-anak yang kebetulan semuanya lelaki.
Isteri kepada Aminuddin Mohd. Nasir ini memaklumkan, pada mulanya dia agak kaget sebaik putera sulungnya, mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu. Kehadiran menantu perempuan pertama, dalam keluarganya memberi suasana baru buat dirinya.
Kolaborasi eksklusif Raikan Syawal di antara jenama telekung berinovasi unggul Malaysia; Siti Khadijah dan Mingguan Wanita, menampilkan buat julung kalinya Padzilah bergandingan bersama dua menantu perempuannya, Fatin Suraya dan Fairuz Aimi sebagai penghias muka depan majalah ini. Kebetulan di hari fotografi sampul depan ini, menantu sulungnya, Noor Atiqah Ismail Suhaimy tidak dapat turut serta kerana komitmen kerja.
Bersama Mingguan Wanita, Padzilah dan dua menantunya berkongsi emosi serta luahan rasa dalam menjalin hubungan harmoni mentua menantu. Sejauh mana konflik yang timbul diselesaikan seaman mungkin. Pastinya ramai yang ingin tahu, sisi lain Padzilah selaku pemilik jenama telekung terkemuka Malaysia dalam berdiplomasi dan mencambahkan kasih bersama menantu-menantunya serta persiapan raya yang bakal menjelang tiba.
Lembut Dalam Tegas – Padzilah
Pengalaman pertama manis untuk dikenang. Mungkin perasan kekok, malu dan berdebar menjadi satu. Tambahan pula dengan mendapat mandat baru selaku ibu mentua, Padzilah melalui pengalaman itu sebaiknya. Jika sebelum ini terbiasa mengamalkan pendekatan tegas dalam mendidik anak-anaknya. Sebaliknya apabila mendepani wanita berstatus menantu, lain pula pendekatannya.
“Semasa pertama kali menerima menantu sulung perempuan, saya akui sedikit kekok dengan kehadirannya. Sebelum ini, rumah dipenuhi dengan sosok lelaki, bukan satu malah tujuh orang kesemuanya. Kehadiran menantu perempuan pertama memberi pengalaman baru buat saya.
“Dia yang bertugas sebagai seorang doktor, jika berkelapangan akan turun ke dapur masak bersama-sama saya.Terkini saya mempunyai tiga orang menantu. Masing-masing ada karakter tersendiri, bergantung kepada suami mereka untuk membentuknya.
“Selaku mentua, lazimnya pesanan normal seperti perlu bangun awal pagi, ringan tangan membantu kerja rumah dan apa-apa yang relevan dilakukan oleh seorang menantu. Seandainya ada perkara yang tidak kena dengan menantu, lazimnya saya akan menyampaikan teguran itu melalui anak-anak lelaki yang juga suami mereka. Tetapi jarang-jarang ada isu yang timbul, kerana saya mengambil pendekatan bertoleransi apabila melibatkan perihal menantu,” kongsi opah kepada empat orang cucu lelaki dan empat orang cucu perempuan kepada MW.
Syawal Cara Padzilah
Berbicara tentang rezeki, pernah sambutan Syawal diraikan bersama buah tangan berupa telekung Siti Khadijah menjadi pemberiannya buat saudara mara ketika pulang berhari raya di rumah mentuanya di Tapah, Perak.
“Sejak dikenali ramai ini, lazimnya cuti Aidilfitri dan cuti Aidiladha sahaja kami berpeluang menutup sementara butik-butik kami. Hampir 20 tahun saya menyambut Hari Raya bersama keluarga mentua di Tapah, Perak.Kebetulan kedua orang tua saya sudah lama meninggal dunia, jadi jarang-jarang saya dan keluarga pulang ke kampung saya di Sungkai, Perak.
“Yang manisnya,bila orang mengenali saya sebagai pemilik jenama Telekung Siti Khadijah, ada yang memanggil saya dengan nama “Siti” kerana menyangka Siti Khadijah itu nama sebenar saya. Kerana tidak mahu menghampakan mereka, saya iya kan sahaja,”kongsinya sambil ketawa kecil.
Dalam pada itu ada peristiwa lucu, mengenai telekung Siti Khadijah bila balik kampung. Menurut Padzilah lagi, ada yang terkilan kerana tidak hadir ke rumah mentuanya kerana satu peristiwa itu.
“Kebetulan ada sekali, saya pulang bersama telekung-telekung Siti Khadijah untuk dihadiahkan kepada saudara mara terdekat dan kenalan rapat yang berkunjung ke rumah mentua. Ada pula yang terkilan, kerana tak dapat dan rasa rugi sebab tak datang.
“Selain itu istimewanya Syawal saya, juadah nasi himpit dinikmati bersama kuah kacang sudah menjadi signature dish kami sekeluarga. Ada satu lagi menu istimewa yang mungkin kedengaran pelik tetapi menjadi amalan keluarga. Jika orang lain biasa makan lemang bersama rendang, keluarga sebelah suami pula gemar menikmatinya bersama susu pekat manis. Tradisi ‘manis’ ini diteruskan pula oleh anak-anak dan kekal menjadi kegemaran mereka sejak kecil hingga ke hari ini. Kalau tentang warna tema bila raya, selalunya kami tak terikat dengan tema tertentu….terpulang kepada warna yang anak-anak suka,” cerita Padzilah.
Terima Teguran Mentua Dengan Positif Dan Hati Terbuka-Suraya
Menantu kedua dalam keluarga pengasas jenama telekung terkenal SK, Fitri Suraya Zulkifli, 30, yang merupakan suri hati kepada Mohammad Munzir Aminuddin, Pengarah Pemasaran dan Jualan untuk jenama tersebut, cukup mesra melayan setiap pertanyaan yang diajukan.
Menurut ibu jelita kepada dua orang cahaya mata lelaki, Aaqil El-Hekimi, 5 tahun dan Aarif El-Hekimi, 1 tahun, dirinya sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi sebahagian daripada keluarga SK. Perkenalan dengan suami dan mentuanya bukanlah baru-baru ini sahaja, malah sebelum wujudnya lagi jenama tersebut.
“Saya mengenali mentua sebelum wujudnya SK. Hubungan kami sama juga seperti menantu dan mentua yang lain di luar sana. Cuma setelah nama SK sudah dikenali seluruh rakyat Malaysia, saya sebagai menantu turut membawa jenama tersebut di mana-mana saya berada. SK memang cukup dikenali ramai, malah nama ibu mentua saya, Padzilah Enda memang sering menjadi bualan orang yang saya kenali. Jadi sebagai menantu saya perlu tahu serba sedikit tentang produk yang SK ada. Bagi saya, siapa pun keluarga mentua kita, yang penting jadilah menantu yang membawa dan menjaga nama baik kepada keluarga dan agama,” ujarnya yang juga pernah bekerja bersama SK sebelum mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
Rapat Dengan Keluarga Mentua
Hubungan menantu dan mentua yang baik pastinya terbit atas dasar kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Itulah yang dipraktikkan oleh Suraya sendiri dalam menjaga hubungan baik bersama mentua tersayang.
“Alhamdulillahlah saya dikurniakan mentua yang baik. Memang Puan Padzilah yang saya kenal tegas orangnya tapi sikap tegasnya itu bertempat. Bagi saya dalam menjaga hubungan yang baik bersama mentua tidak kira yang mentua lelaki atau perempuan, kita sebagai menantu perlulah pandai menjaga hati mereka dan memahami perasaan daripada sisi mentua itu sendiri. Hormat dan sayangi kedua mentua seperti ibu bapa sendiri, kerana mereka lah ibu bapa pasangan kita. Kalau nak ambil hati mentua bukan hanya sekadar dengan material sahaja tapi pikat hati mereka dengan masakan air tangan kita sendiri atau masak makanan kesukaan mereka.
“Kalau ada isu, kedua pihak mestilah berbincang, memahami dan sepakat atas isu tersebut agar tidak berterusan dan menjadi lebih serius. Lagipun, kita sebagai menantu perlu berlapang dada menerima segala kritikan dan teguran daripada mentua. Mereka kan dah macam ibu dan ayah kita sendiri. Terima segalanya dengan fikiran positif serta hati terbuka. Kerana mentua adalah sebahagian daripada hidup menantu di dunia dan juga di akhirat dan begitu juga sebaliknya.Seperkara lagi apabila ada isu dalaman keluarga mentua yang melibatkan urusan kerja atau keluarga mentua kita sebagai menantu perlu tahu ada batas diri agar tidak terlalu mencampuri urusan keluarga mentua…,” ujar Suraya lagi.
Sempat juga Suraya berkongsi bagaimana dia menjaga hubungan baik sesama ipar duai terutamanya adik-beradik suami yang kesemuanya adalah lelaki.
“Suami saya memang sangat rapat dengan adik-beradiknya. Kalau ada masa terluang pada hujung minggu kami akan pergi ke rumah mentua yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan kami. Selalunya kami sekeluarga bersama ipar duai dan anak-anak saudara yang lain akan berkumpul dan makan tengah hari serta makan malam di sana. Di situlah hubungan silaturahim terjalin, ketika berkumpul kami dapat berkongsi semua benda. Lagipun adik-adik ipar saya yang belum berkahwin juga pandai melayan anak-anak buah seramai lapan orang ini. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami sama seperti adik-beradik sendiri,” ujarnya lagi yang mempunyai ramai adik beradik perempuan dan hanya seorang abang dalam keluarga sendiri.
Rutin Beraya Di Kampung Mentua
Setiap tahun, keluarga besar ini mempunyai rutin untuk beraya di rumah keluarga mentua di Perak. Biasanya hari raya kedua setelah beraya bersama keluarga masing-masing, Suraya dan suami bersama keluarga mentuanya akan pulang beraya ke Tapah.
“Rutin hari raya biasanya bermula dari awal pagi, kami akan bersiap dan berpakaian cantik untuk ke masjid solat sunat hari raya dengan mengenakan telekung SK pastinya. Selepas solat, kami akan bersalaman dan bermaafan sesama ahli keluarga. Selepas itu kami akan siapkan juadah raya untuk santapan bersama dan meraikan tetamu yang datang.
“Persediaan tahun ini agak berbeza sedikit daripada tahun lepas. Tahun lepas seluruh keluarga beraya dengan baju SK. Tahun ini pula, kami ada tema keluarga sendiri. Tahun ini saya dan suami pilih tema warna kuning atau mustard untuk digayakan pada hari raya pertama dan biru muda untuk hari raya kedua. Untuk juadah raya pula, kami akan menempah atau beli biskut raya dan kerepek dan akan dibawa ke kampung halaman di Tapah sebagai juadah raya pada hari raya kedua. Duit raya tu pun wajib untuk diberikan kepada anak saudara dan kanak-kanak yang datang beraya.
“Antara juadah yang menjadi pilihan saya setiap kali hari raya mestilah rendang, lemang, nasi impit dan kuah kacang. Itu menu wajib yang ada untuk hidangan pada hari raya,” ujarnya yang menyukai nasi ayam dan juga ayam masak lemak air tangan ibu mentua tersayang.
Kena Pandai Sesuaikan Diri–Fairuz Aimi
Orangnya lemah lembut dan memiliki paras rupa yang ayu. Turut bicaranya juga sopan dan teratur. Kejelitaannya semakin terserlah setelah selesai disolekkan oleh juru mekap profesional, Atie Jengka.
Fairuz Aimi bt Tajul Anuar, 29, merupakan menantu ketiga kepada puan Padzilah, pengasas Telekung Siti Khadijah (SK) dan suami, Aminuddin Mohd Nasir.
Keluarga Cetus Perkenalan
Mengahwini anak lelaki ketiga puan Padzilah, Mohammad Muhaimin Bin Aminuddin kira-kira enam tahun lalu, kini pasangan muda itu telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Musa Abqari,5, Nuh Imdad, 3, dan Hajar Unayfa, 4 bulan.
“Mama (puan Padzilah) dan emak saya merupakan kenalan bahkan mak adalah salah seorang dealer SK dahulu. Saya pernah mengikut mak ke rumah mama sempena majlis hari raya. Saya juga pernah membantu menguruskan percutian keluarga mama ketika mereka ke Jepun kerana ketika itu saya belajar di sana.
“Waktu itu saya tak kenal pun lagi dengan suami. Mungkin dah tersurat jodoh kami, selepas itu suami melahirkan hasrat untuk mengenali saya dengan lebih rapat. Daripada situlah, kami makin rapat dan akhirnya berkahwin,” kongsi Fairuz Aimi, menceritakan detik perkenalan dengan suami, Mohammad Muhaimin yang merupakan Chief Strategic Planning Officer (CSPO) untuk SK.
Bila ditanya apa perasaannya bergelar salah seorang menantu pemilik telekung premium itu, menurut Fairuz Aimi, pastilah dia tumpang berbangga.
“Ketika saya berkahwin dahulu, jenama SK masih belum segah sekarang. Tapi melihatkan perkembangan jenama itu kini, saya rasa amat bangga bahkan suami juga terlibat secara langsung di pengurusan dalam syarikat. Untuk diri sendiri, tak ramai rakan yang tahu saya ini salah seorang menantu pemilik SK. Mana yang tahu tu, tahulah,” tambah Fairuz Aimi sambil tersenyum manis.
**********************
Banyak lagi kisah menarik Pengasas Siti Khadijah dan menantu-menantu kesayangan, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Jun.
“Jangan lupa dapatkan ‘GiftBox’ Mingguan Wanita x Siti Khadijah secara eksklusif di 7-Eleven mulai awal bulan Jun ini! Dengan pembelian giftbox edisi terhad ini, anda boleh dapatkan telekung Siti Khadijah secara percuma. Hanya terdapat di 500 cawangan 7 Eleven yang terpilih di Semenanjung Malaysia kecuali Langkawi. Maklumat lanjut di laman Facebook @7ElevenMalaysia. 7-Eleven, Sentiasa Di Sisimu.”
Teks & Penyelaras : Mastura Burhanuddin, Nurul Azwa Abu Bakar & Shahrina Azlin Abdullah
Reka Letak Grafik : Nadiah Abdullah & Team Grafik Pengiklanan
Foto : Tuan Azman Tuan Muda
Video : Izwan Zainal
Solekan : Kelrina, Atie Jengka, Dinie Awalluddin, Anne Karim
Busana : Terima Kasih Butik Leeyanarahman (@Leeyanarahman.Co), Bangi Sentral Bangi
Hijab : Hegiragroup (@Hegiragroup.Catalogue) & Waarna (@Waarna) Shah Alam
Jeju, Musim Sejuk Umpama Kat Narnia, Best Sangat Percutian Wanita Ini

Pulau Jeju yang terletak di Korea Selatan menjadi pilihan Mahani Muhtar sebagai destinasi percutiannya kali ini. Bersama-sama dengan rakan kembaranya, Mahani telah menghabiskan masa selama enam hari lima malam menjelajah pulau yang semakin menjadi tumpuan pelancong ini. Ikuti kisah percutian mereka.
Walaupun terletak di negara Korea Selatan, suasana di pulau ini sangat mendamaikan, tidak sesibuk Seoul mahupun Busan. Sangat sesuai untuk yang menikmati pulau di negara empat musim, yang dikenali sebagai ‘Hawaii of South Korea’ di kalangan pelancong tempatan.
Memandangkan Jeju adalah sebuah pulau, pantai adalah tarikan utama pelancong ke Jeju. Selain itu, terdapat beberapa air terjun yang menakjubkan. Ini termasuk air terjun yang mengalir terus ke laut, iaitu Jeongbang Waterfall.
Antara tarikan pelancong juga adalah Seongsan Ilchulobong, iaitu ‘Puncak Matahari Terbit’ (sunrise peak), iaitu kawah gunung berapi yang tidak lagi aktif. Ini merupakan salah satu tapak lawatan Unesco. Untuk melawat Seongsan Ilchulobong ini, kita perlu mendaki anak tangga. Pemandangan dari tangga sangat menakjubkan. Kita dapat melihat pantai dan bandar Jeju dari atas.
Terjatuh Dalam Longkang Penuh Salji
Disebabkan pergi masa musim salji, dapatlah kami menikmati salji yang memutih umpama Narnia. Salji yang tidak lebat di kawasan luar kepulauan Jeju, tapi salji yang sangat lebat di pusat kepulauan Jeju, iaitu di kawasan pergunungan Hallasan, yang terletak di tengah-tengah Pulau Jeju.
Gunung Hallasan adalah gunung tertinggi di Korea Selatan. Pada musim sejuk, cuaca tidaklah ekstrem sejuk. Sangat sesuai dengan orang Malaysia yang tidak tahan sejuk melampau, tapi masih dapat menikmati cantiknya salji.
Kami berkesempatan ke Pulau Udo, sebuah Pulau kecil berdekatan Pulau Jeju. Untuk ke Udo, ada perkhidmatan feri disediakan dari Jeju, dengan perjalanan lebih kurang setengah jam. Pantai di Udo juga sangat cantik dan menakjubkan.
Lebih mudah pemandangan dinikmati sekiranya anda sewa motosikal, basikal ataupun smart car. Smart car adalah pilihan terbaik kerana berbumbung dan sesuai sekiranya kekurangan masa. Kami berpeluang menyaksikan penyelam turun ke laut, tanpa membawa tangki oksigen, di Pulau Udo ini.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bercuti apabila saya terjatuh longkang yang penuh salji separas pinggang. Semuanya disebabkan longkang tersebut penuh salji. Saya tidak menyangka itu adalah sebuah longkang.

Perlu Cuba Makanan Laut
Jeju sangat kaya dengan makanan laut. Kami berkesempatan mencuba pelbagai jenis makanan laut di pulau ini, seperti ikan makarel, abalone, octopus dan sotong. Terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan laut sahaja terutamanya di tepi pantai
Selain itu, nasi campur atau bibimbap juga sangat popular. Jika perlukan bibimbap yang halal, anda boleh meminta ‘sanchae bibimbap’ iaitu nasi dan sayur sahaja. Selain itu, ada juga bibimbap telur atau tuna dijual di kebanyakan convenient store.

Makanan ‘Ready food’juga ada dijual convenient store seperti nasi putih, telur rebus atau ikan yang sudah dimasak. Mi segera juga ada di jual di kebanyakan kedai, dengan pilihan mi segera halal untuk muslim.
Jika ke Innisfree House, terdapat banyak pilihan hidangan yang lazat untuk dinikmati di sana, selain daripada membeli-belah produk kecantikan.
Tip Bercuti Di Jeju
- Rancang perjalanan dengan teliti, tapi boleh fleksibel dan jangan rigid, lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Sebabnya apabila berlakunya ribut salji, tempat-tempat terbuka seperti pantai atau taman menjadi sangat seju, adakalanya ia ditutup demi keselamatan.
- ‘Study’ ramalan cuaca. Jika anda ingin menyaksikan salji yang segar dan tebal, rancang perjalanan ke tengah Pulau Jeju, iaitu di kawasan pergunungan Hallasan pada hari yang ada ‘snowfall’ kerana snowfall di kawasan ini adalah yang tertinggi.
- Terdapat banyak hotel di tepi pesisiran laut di Jeju dan yang paling popular terdapat di sekitar barat Jeju. Selain itu, terdapat bannyak hotel berdekatan Seongsan Ilchulbong, di mana anda dapat menyaksikan matahari terbit dari bilik hotel anda.
- Sewa kereta untuk perjalanan yang lebih lancar dan lebih fleksibel kerana pengangkutan awam di Jeju sangat terhad dan tidak kerap. Antara sewa kereta yang dipercayai termasuklah AJ rent-a-car dan Lotte Car rental dengan kadar sewa yang berpatutan. Harus diingat, anda perlu memiliki lesen antarabangsa untuk memandu sebarang kenderaan berenjin. Lesen antarabangsa boleh didapati di JPJ dengan bayaran RM150.
Foto: Mahani Muhtar
7 Tahun Sulam Kasih, Akhirnya Farah Nabilah Jadi Suri Hidup Amirul

Pasangan pengantin yang cukup sepadan dan berpakaian cantik duduk bersanding di atas pelamin nan indah. Jalinan kasih yang disemai sejak usia 20 tahun diikat kemas dan akhirnya bersatu di sebuah majlis yang penuh gilang gemilang.
Pada tanggal 20 Disember lalu bertempat di Hotel Royale Chulan Damansara, pelakon cantik yang terkenal menerusi drama Titian Cinta, Farah Nabilah, 27, sah menjadi suri hati kepada juruterbang, Mohamed Amirul Yunus, 28, dengan sekali lafaz tepat jam 9.04 malam.
Mas Kahwin RM77, 777.77
Farah menerima RM1,000 sebagai mas kahwin, manakala RM77, 777.77 sebagai wang hantaran dengan iringan hadiah tujuh dulang hantaran berupa cincin, telekung dan senaskah al-Quran, kek, set penjagaan diri dan muka, minyak wangi, telefon pintar dan jam tangan.
Amirul juga menerima balasan tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin, sehelai kemeja, senaskhah al-Quran, seutas jam tangan, telefon pintar, set wangian dan penjagaan diri.
Farah sebelum itu menerima sebentuk cincin daripada ibu Amirul sebagai simbolik upacara pertunangan kira-kira jam 8.50 malam, disaksikan 300 tetamu yang hadir terdiri daripada keluarga, rakan taulan dan pihak media.
Pasangan itu berkenalan kira-kira tujuh tahun lalu menerusi rakan baik mereka yang juga pelakon, Izara Aishah.Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Daerah Petaling, Mastori Marsidi.
“Alhamdulillah, perkahwinan ini menjadi permulaan fasa dan tanggungjawab baharu untuk saya dan suami. Moga semuanya dapat dipermudahkan,” ungkap Farah sambil menjeling manja pada suami yang duduk di sebelah.
Simbolik Angka Tujuh
Ditanya mengenai simbolik angka tujuh, Farah berkata, itu merupakan angka kegemarannya dan tidak sangka perhubungan cinta mereka juga sudah menjangkau ke usia tujuh tahun.
“Tujuh merupakan nombor kegemaran dan secara tak sangka perhubungan kami juga masuk tahun ketujuh.
“Kami ambil masa yang lama untuk mendirikan rumah tangga kerana kerjaya masing-masing dan saya kira ini adalah masa yang sesuai untuk kami mendirikan rumah tangga,” jelasnya.
Farah turut memberitahu kepercayaan dan kesetiaan mengukuhkan lagi percintaan antara mereka.
“Hubungan saya dan Amirul sebenarnya terjalin secara jarak jauh kerana komitmen kerjaya. Saya sibuk dengan urusan seni, manakala dia pula menjalankan tugas sebagai juruterbang. Jadi, selalu juga dia berada di luar negara.
“Hanya kepercayaan dan kesetiaan terhadap satu sama lain yang mengukuhkan percintaan kami berdua,” katanya yang turut ditunangkan dengan pasangannya pada majlis sama.
“Alhamdulillah, tercapai juga hasrat saya untuk mendirikan rumah tangga pada usia 27 tahun. Apatah lagi, mak saya pun dah tanya bila dia boleh timang cucu memandangkan saya merupakan anak sulung dalam keluarga,” luah Farah yang ayu mengenakan busana, konsep tradisional Melayu sentuhan Rizalman.
Bergilir-Gilir Tinggal Rumah Keluarga
Di Rumah Keluarga Berbicara mengenai kehidupan berumah tangga, Farah dan Amirul akan bergilir-gilir tinggal di rumah keluarga mereka, sebelum berpindah ke kediaman sendiri Mac depan.
Katanya, mereka juga tidak merancang bulan madu kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan beberapa majlis resepsi yang akan berlangsung.
“Setakat ini, kami belum bincang untuk berbulan madu di mana, memamandangkan Amirul sibuk dengan tugasnya dan saya juga sudah ada tawaran berlakon Januari ini.
“Buat masa ini, kami mahu selesaikan majlis resepsi yang akan berlangsung pada 28 Disember dan 5 Januari nanti.Amirul dah tidak sabar untuk menikmati nasi kandar di Pulau Pinang. Mungkin itu akan jadi bulan madu ekspres kami terlebih dahulu,” katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
Tak Pernah Dedah Kisah Kekasih
Heroin yang turut terkenal dengan lakonannya dalam drama bersiri, Cik Reen Encik Ngok Ngek ini juga memohon maaf kerana sebelum ini merahsiakan hubungan cintanya daripada pihak umum.
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana merahsiakan hubungan kami daripada umum. Ini kerana ibu bapa saya tidak mahu saya terlalu menghebahkan perkara yang masih belum pasti.
“Bila dah masuk fasa lebih serius, barulah saya maklumkan kepada semua,” katanya.
Berkawan sejak tujuh tahun lalu, Farah berkata, mereka telah diperkenalkan oleh Izara Aishah, namun hanya rapat selepas dua tahun mereka berkawan.
“Pada mulanya saya jual mahal tetapi dia tidak berputus asa dan akhirnya dapat menambat hati saya. Bagi saya, apa yang penting dia berjaya menambat hati ibu bapa saya. Malah saya juga menjaga hubungan dengan baik sehinggalah kami selamat bernikah.
“Dengan tidak mendedahkan tentang hubungan kami. Baik buruk antara kami berdua sahaja yang tahu. Saya rasa itu penting untuk menjaga hubungan. Bila orang luar tahu itu yang akan jadi masalah” jelasnya.
Singkir Gosip Nakal
Ditanya tentang cabaran dan ujian untuk mengekalkan hubungan percintaan yang agak lama, Farah menerangkan Amirul tidak percaya pada gosip nakal.
“Setakat ini Alhamdulillah dia terima semuanya secara positif. Dia pernah berkata gosip hanyalah gosip. Dan bila kita ada kepercayaan dekat masing-masing, gosip macam mana pun takkan rosakkan hubungan kami. Saya suka berterus terang. Sebelum gosip tu sampai ke pengetahuan media, saya akan beritahu dia terlebih dahulu sebelum dia terbaca di mana-mana.
“Paling saya kagumi dan mengapa dia sangat istimewa di mata saya, adalah kerana kesabaran yang ada pada diri dia. Dia tak pernah halang saya bergiat aktif dalam bidang seni dan lebih galakkan jika saya raih populariti,” ungkap Farah yang sangat kagumi Amirul yang begitu menghormati kedua orang tua Farah.
Farah juga menerangkan setiap kali mahu membawa Farah keluar, Amirul akan duduk bersembang dahulu dengan ibu bapanya.
“Amirul seorang lelaki yang gentleman. Dia seorang yang serius membawa hubungan ini bermula dengan restu dari orang tua. Sebelum keluar dia akan pastikan, dia tanya kalau saya keluar ni dah beritahu ibu bapa saya dulu atau belum. Setiap kali dia datang rumah tak pernah datang dengan tangan kosong. Dari pertama kali sampailah dah tujuh tahun ini, dia selalu berborak dengan ibu bapa sebelum bawa saya keluar,” kata Farah.
Teruskan Karier Seni Selepas Berkahwin
Teruskan Karier Lakonan Pelakon cantik dan berbakat besar ini memberitahu lagi, dia tetap meneruskan karier seni walaupun sudah bergelar isteri.Bagaimanapun ujar selebriti berusia 27 tahun itu, segala tawaran berlakon akan dibincang dan dipersetujui terlebih dahulu oleh suaminya.
“Kalau tak berlakon pun, saya mungkin akan lebih terarah kepada dunia pengacaraan. Tetapi saya tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan, ia minat saya.
“Cuma saya akan berbincang dahulu jika ada tawaran yang datang dan jika suami setuju baharulah saya akan menerimanya,” ujarnya sejurus ditemu bual selepas majlis pernikahan berlangsung.
“Saya harap akan dapat menjadi isteri yang baik kepada Amirul. Dan supaya saya diberi kesabaran yang tinggi untuk menempuh baik buruk rumah tangga.” ujarnya.
************************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon Farah Nabila ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Januari, volume 1 yang kini telah pun berada di pasaran.
Penulis & Penyelaras: Norhayati Suboh
Foto: Noryanti Saharuddin & Terima Kasih Wedlocx.co